You are on page 1of 8

Laporan Pelaksanaan Minggu Panitia Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan

Anjuran : Panitia Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan SK Petaling (1) Tarikh : 15 Julai hingga 19 Julai 2013

15 Julai 2013 - Majlis Perasmian Minggu Panitia KT dan PSK 16 Julai 2013 -Tahap 1- Pertandingan mewarna poster Tahap 2- Pertandingan kuiz Kemerdekaan 17 Julai 2013 - Projek Kain Rentang Jalur Gemilang dengan kerjasama murid Tahun 5 18 Julai 2013 - Pertandingan Kelas Patriotik 19 Julai 2013 - Majlis Penutupan Minggu Panitia KT dan PSK Pengenalan:

Minggu Panitia Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan salah satu projek yang dimuatkan dalam takwim sekolah. Bagi memastikan projek ini berjaya maka kerjasama telah dilakukan dalam kalangan guru praktikum dengan kerjasama Panitia Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Projek ini telah berlangsung selama lima hari bertempat di Sekolah Kebangsaan Petaling (1). Berikut merupakan laporan berkenaan proses yang terlibat ketika pelaksanaan minggu panitia. Sebelum

Sebelum melaksanakan projek, perbincangan telah dilaksanakan untuk merangka kertas kerja. Pandangan daripada ketua panita telah diambil kira untuk mendapatkan gambaran awal tentang pembahagian tugas yang akan dilaksanakan oleh guru yang terlibat. Perjumpaan bersama GPK Pentadbiran dan Guru Besar telah dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan dan memaklumkan program yang akan dijalankan ketika minggu panitia. Ketika ini juga perbincangan tentang aspek belanjawan dilaksanakan dengan teliti agar peruntukan kewangan menepati anggaran yang disediakan.

Selain daripada itu, perbincangan mengenai tentatif program juga merupakan salah satu perkara yang penting kerana perbincangan telah dilakukan bersama mentor dan GPK

Pentadbiran untuk mendapat kelulusan program yang akan dilaksanakan. Ketelitian merupakan aspek yang penting untuk merangka tarikh dan waktu pelaksanaan program.

Makluman juga telah diberikan kepada kerani sekolah untuk urusan perbelanjaan supaya peruntukan dapat diperoleh mengikut masa yang ditetapkan. Di samping itu, senarai nama guru yang terlibat dalam program telah ditampal di bilik guru untuk makluman semua guru berkenaan minggu panitia tersebut. Pembahagian tugas dilaksanakan dengan adil supaya semua guru terlibat dalam menjayakan minggu panitia.

Rekaan banner adalah bantuan daripada En. Faizul B. Mohd Zawawi, di mana rekaan dan tempahan banner telah dilakukan oleh beliau. Hadiah bagi pemenang juga dibeli sebelum majlis penutupan minggu panitia.

Selain daripada itu, latihan persembahan bagi upacara perasmian adalah hasil kolaborasi antara guru pelatih bersama Pn. Noor Baizura Bt. Mohd Noor melatih 5 orang murid tahun 6 untuk menari tarian tradisional. Persiapan telah dilakukan dengan teliti supaya murid dapat mengingati gerak-geri tarian yang bakal dipersembahkan. Bagi persembahan penutup pula, latihan tarian telah dilaksanakan ketika waktu rehat.

Bagi pertandingan kuiz Kemerdekaan, soalan kuiz Kemerdekaan telah dirangka sebelum berlangsungnya minggu panitia untuk memudahkan urusan ketika program dijalankan. Selain itu, lakaran untuk pertandingan mewarna poster juga telah disediakan dan siap difotokopi mengikut bilangan murid di mana lakaran akan diedarkan semasa berlangsungnya minggu panitia. Persiapan bagi projek kain rentang juga telah dibuat lebih awal di mana ilustrasi bendera pada kain putih dilakarkan seminggu sebelum tarikh yang telah dijadualkan.

Bagi pertandingan kelas patriotik, borang penilaian telah dirangka terlebih dahulu di mana menekankan aspek kebersihan, keceriaan dan mengikut tema patriotisme. Penilaian pertandingan kelas patriotik ini akan dilaksanakan sepanjang minggu panitia berlangsung.

Semasa

Majlis perasmian Minggu Panitia Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan telah dijalankan pada 15 Julai 2013 (Isnin) bertempat di Dewan Terbuka SK Petaling (1). Majlis dapat dijalankan dengan jayanya dan telah diceriakan lagi dengan persembahan tarian tradisional daripada murid tahun 6.

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang minggu panitia. Pada 16 Julai 2013 (Selasa) telah berlangsungnya pertandingan mewarna poster bagi murid tahap 1 manakala pertandingan kuiz Kemerdekaan bagi murid tahap 2. Pertandingan mewarna poster dan juga kuiz Kemerdekaan telah mendapat sambutan yang positif daripada semua murid serta mendapat kerjasama daripada semua pihak.

Pada 17 Julai 2013 (Rabu), telah berlangsungnya projek kain rentang Jalur Gemilang di mana ini merupakan aktiviti kemuncak bagi minggu panitia Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Aktiviti ini telah dijayakan oleh murid tahun 5 SK Petaling (1). Murid-murid telah menunjukkan kerjasama yang baik serta disiplin yang tinggi semasa aktiviti mengecop tapak tangan pada bendera. Kain rentang yang telah siap dicop telah digantung di hadapan pintu pagar sekolah dan dikibarkan sepanjang minggu panitia.

Seterusnya, bagi pertandingan kelas patriotik yang telah berlangsung selama 4 hari di mana bermula pada hari Isnin (15 Julai 2013) dan berakhir pada hari Khamis (18 Julai 2013). Pertandingan kelas patriotik ini dijalankan bertujuan menerapkan nilai-nilai murni, memupuk semangat muhibbah dan kerjasama erat antara murid yang terdiri daripada pelbagai kaum, mewujudkan kerjasama antara kumpulan murid serta mendorong murid untuk melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dijalankan di sekolah. Setiap kelas didapati telah berusaha menghias kelas masing-masing mengikut tema patriotisme. Penilaian telah dijalankan pada 18 Julai 2013 (Khamis) di mana setiap kelas dinilai menggunakan borang penilaian di mana aspek yang dinilai adalah aspek kebersihan, keceriaan dan mengikut tema.

Majlis penutupan minggu panitia telah berlangsung dengan meriahnya pada 19 Julai 2013 (Jumaat) di mana Tuan Guru Besar, Encik Muniandy a/l Suppiah telah merasmikan penutupan minggu panitia di samping penyertaan daripada pihak murid dengan bantuan guru amat membanggakan.. Murid juga terhibur dengan persembahan tarian daripada wakil murid tahun 4 dan tahun 5 di mana tarian yang dipersembahkan adalah tarian yang menggabungkan tarian India, Cina dan Melayu. Ucapan kalungan bunga terima kasih

diucapkan buat semua guru dan murid yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam menjayakan minggu panitia ini. Semoga program seperti ini sentiasa mendapat sokongan yang positif daripada semua pihak, dapat menanamkan semangat cintakan tanah air seterusnya mengeratkan silaturahim antara komuniti sekolah. Selepas

Minggu panitia Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan telah berjalan dengan jaya di mana pelbagai aktiviti yang telah dirancangkan dapat dilaksanakan.

Beberapa penambahbaikan boleh dilakukan, antaranya adalah dari segi aktiviti. Pada masa akan datang, aktiviti bagi minggu panitia ini boleh ditambah misalnya dengan memainkan lagu patriotik semasa rehat. Perkara ini secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana ke arah bulan kemerdekaan yang bakal menjelma. Ini juga merupakan perancangan awal yang telah difikirkan. Namun begitu, bagi mengikut kesesuaian waktu dan situasi di mana pada masa sekarang adalah bulan puasa, aktiviti ini tidak dilaksanakan. Pada masa akan datang, adalah menarik sekiranya aktiviti ini dapat dijalankan kerana secara tidak langsung dapat mendorong murid menghayati lagu-lagu patriotik di samping dapat menghayati bait-bait lagu yang menggalakkan semangat cintakan negara. Selain daripada itu, pertandingan deklamasi sajak juga boleh dijalankan sebagai persediaan bulan kemerdekaan nanti di mana dapat mencungkil bakat dan kreativiti murid sekaligus dapat mencari wakil sekolah yang boleh diketengahkan pada masa akan datang.

Selain daripada itu, kuiz kenegaraan boleh dilaksanakan pada setiap pagi sepanjang minggu panitia iaitu ketika perhimpunan pagi sebelum murid masuk ke kelas. Soalan-soalan mudah boleh dikemukakan dengan memberikan sagu hati yang ringkas kepada murid yang dapat menjawab soalan. Dengan aktiviti ini, secara tidak langsung dapat mendorong murid untuk mencari maklumat dan menambah pengetahuan murid apabila guru membetulkan dan menjelaskan jawapan yang dijawab oleh murid. Walaupun aktiviti ini nampak ringkas, namun dapat memberikan pengetahuan tambahan buat murid.

Cadangan penambahbaikan yang lain adalah dengan mempelbagaikan aktiviti yang menarik yang sesuai dengan minat dan kebolehan murid sekolah rendah. Setelah menjalankan post mortem, kanak-kanak lebih menyukai aktiviti yang bercorak permainan dan menarik. Oleh yang demikian, cadangan aktiviti pada masa akan datang adalah mengadakan pertandingan mencari harta karun bertemakan minggu panitia. Aktiviti mencari harta karun ini juga boleh mendapat kerjasama daripada pihak pusat sumber sekolah untuk

menggalakkan murid mengunjungi dan memeriahkan pusat sumber. Melalui aktiviti seperti ini, murid dapat belajar sambil bermain di samping mendapat pengetahuan melalui eksplorasi ilmu yang mereka lalui.

Selain daripada itu, sekiranya mendapat peruntukan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, perancangan yang rapi boleh dibuat untuk mengadakan pameran kenegaraan di mana pihak sekolah boleh bekerjasama dengan agensi luar untuk mengadakan pameran ini supaya dapat memberikan lebih pendedahan kepada murid mengenai kepentingan dan keseronokan mengetahui dan mempelajari sejarah negara Malaysia. Diharapkan dengan adanya pameran seperti ini menjadikan minggu panitia PSK dan KT mahupun bulan kemerdekaan lebih bermakna dan dinanti-nantikan oleh setiap murid.

Secara keseluruhannya, diharapkan pada masa akan datang, minggu panitia Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ini dapat dilaksanakan dengan meriah dan memberi makna kepada semua murid.

Lampiran Gambar Aktiviti Sepanjang Minggu Panitia Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan

Projek Kain Rentang Jalur Gemilang

Murid mengecop tapak tangan pada bendera

Murid yang terlibat dalam persembahan tarian

SEKOLAH KEBANGSAAN PETALING (1), KM 10, JLN KLANG LAMA, 58000 KUALA LUMPUR

LAPORAN MINGGU PANITIA PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN DAN PANITIA KAJIAN TEMPATAN

TAHUN 2013