You are on page 1of 4

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan

seperjuangan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Berjalan-jalan ke Tanjung Jara, Bermain pasir bersama rakan, Kisah Nabi Sulaiman pilihan cerita, Mari bersama kita dengarkan. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Tersebutlah kisah suatu cerita, Nabi Sulaiman yang bijaksana, Memerintah kerajaan adil dan saksama, Bersama haiwan-haiwan boleh berbicara. Rakan-rakan sekalian, Sulaiman bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh keistimewaan dari Allah SWT sehingga boleh memahami bahasa binatang. Dia boleh bicara dengan burung Hud Hud dan juga boleh memahami bahasa semut. Dalam Al-Quran surah An Naml, ayat 18-26 adalah contoh dari sebahagian ayat yang menceritakan akan keistimewaan Nabi yang sangat kaya raya ini. Firman Allah, Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata, hai manusia, kami

telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.

NABI Sulaiman dianugerahkan Allah kebijaksanaan sejak remaja lagi. Beliau juga memiliki pelbagai keistimewaan, termasuk mampu bercakap, memahami dan memberi arahan terhadap jin dan haiwan sehingga semua makhluk itu mengikuti kehendaknya. Bertitik tolak daripada peristiwa itu, kewibawaan Sulaiman semakin terserlah. Melihat kecerdasan akal yang ditonjolkannya itu, Nabi Daud menaruh

kepercayaan dengan mempersiapkannya sebagai pengganti dalam kerajaan Bani Israel. Setelah kewafatan Nabi Daud, maka Nabi Sulaiman pun diberikan kuasa sebagai pemimpin. Beliau juga dapat menundukkan jin, angin dan burung, sehingga dapat disuruh melakukan apa saja, termasuk mendapatkan tembaga dari perut bumi. Rakan-rakan yang dikasihi, Setelah membangunkan Baitulmuqaddis, Nabi Sulaiman menuju ke Yaman. Tiba di sana, disuruhnya burung hud-hud mencari sumber air. Tetapi burung berkenaan tiada ketika dipanggil. Ketiadaan burung hud-hud menimbulkan kemarahan Sulaiman. Selepas itu, burung hud-hud datang kepada Nabi Sulaiman dan berkata: Aku telah terbang untuk mengintip dan terjumpa suatu yang sangat penting untuk diketahui oleh tuan di Negeri Saba Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita bijaksana yang memerintah Saba dan mempunyai singgahsana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah Mendengar berita itu, Nabi Sulaiman mengutuskan surat mengandungi nasihat supaya menyembah Allah kepada Ratu Balqis. Surat itu dibawa burung hud-hud dan diterima sendiriRatu Balqis. Selepas dibaca surat itu, Ratu Balqis menghantarkan utusan bersama hadiah kepada Sulaiman.

Rakan-rakan sekalian, Nabi Sulaiman melayan utusan tersebut dengan baik dan menceritakan pengalaman yang dialami di Yaman kepada Ratu Balqis. Ini membuatkan Ratu Balkis berhajat untuk berjumpa sendiri dengan Nabi Sulaiman. Keinginan Ratu Balqis itu diketahui Nabi Sulaiman terlebih dahulu dan beliau memerintahkan tenteranya yang terdiri daripada manusia, haiwan dan jin untuk membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Ratu Balqis. Nabi Sulaiman juga memerintahkan Ifrit supaya membawa singgahsana Ratu Balqis ke istananya. Apabila Ratu Balqis tiba Sulaiman bertanya : Seperti inikah singgahsanamu? Dijawab Ratu Balqis: Ya, memang sama seperti singgahsanaku. Kemudian Ratu Balqis dipersilakan masuk ke istana Nabi Sulaiman. Namun, ketika berjalan di istana itu, sekali lagi Ratu Balqis terpedaya, kerana menyangka air pada lantai istana Nabi Sulaiman, sehingga menyelak kainnya. Berkatalah Sulaiman; Sesungguhnya ia istana licin yang diperbuat daripada kaca. Berkatalah Balqis; Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman dan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Peristiwa itu menyebabkan Ratu Balqis berasa sangat aib dan menyedari kelemahannya, sehingga dia memohon ampun atas kesilapannya selama ini dan akhirnya dia diperisterikan oleh Nabi Sulaiman. Firman Allah SWT: Para jin membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendaknya dari bangunan

yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku. (Saba: 13)

Rakan-rakan sekalian, Pengajaran dari cerita ini ialah : Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Kita juga wajib percaya bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan sesuatu perkara. Tiada perkara yang mustahil dunia ini. Kedua : Kita juga hendaklah berani untuk berdakwah dan menyampaikan keindahan Islam kepada sesiapa saja. Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.

You might also like