You are on page 1of 1

Anda telah menyertai satu pertandingan syarahan peringkat daerah.

Tajuk syarahan anda ialah RAKYAT BERSATU, NEGARA MAJU. Sediakan teks syarahan anda itu selengkapnya. Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, rakan-rakan, dan hadirin sekalian. Rakyat Bersatu, Negara Maju. Begitulah tajuk syarahan saya pada pagi ini. Hadirin yang saya hormati, Sejak kecil lagi, kita telah dididik tentang pentingnya perpaduan baik dalam kalangan adik-beradik mahupun dalam kalangan rakyat. Antara lidi sebatang dengan lidi seberkas, yang manakah yang lebih mudah dipatahkan? Persoalan ini sering kali diajukan oleh ibu bapa kita atau orang tua-tua untuk kita renung apabila pendidikan menyentuh perpaduan. Jawapannya amat jelas, iaitu lidi sebatanglah yang mudah dipatahkan. Hal ini bersinonim dengan ungkapan yang berbunyi bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Lidi sebatang bersinonim dengan bercerai manakala lidi seberkas bersinonim dengan bersatu. Jika kita mengimbas kembali sejarah peristiwa kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka, jelaslah bahawa punca utama kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah perpecahan rakyat, iaitu antara golongan Tamil Muslim dengan golongan Melayu. Sebagai negara yang berbilang kaum, perpaduan rakyat amat mustahak untuk membawa kemajuan dan kemakmuran kepada nusa dan bangsa. Dengan adanya perpaduan, rakyat berbilang kaum dapat mengetepikan perbezaan mereka dari segi warna kulit, budaya, dan agama serta berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk membangunkan negara. Rakyat yang bersatu padu dapat menjamin kestabilan dan keamanan negara. Hal ini adalah amat penting kerana suasana yang stabil dan aman adalah kondusif kepada kemajuan sektor pelancongan. Tiada pelancong yang suka menjadikan negara yang huru-hara sebagai destinasi pelancongan. Oleh sebab sektor pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan utama negara kita, perkembangan sektor pelancongan nescaya membawa kemajuan dan kemakmuran kepada negara kita. Selain itu, rakyat yang bersatu padu akan memberikan imej yang baik kepada pelabur asing. Pelabur asing akan berasa yakin untuk menanam modal di negara kita kerana wujudnya keamanan dan keharmonian sosial. Dengan adanya pelaburan asing, banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan dan masalah pengangguran dapat diatasi. Kesannya ialah perkembangan ekonomi yang pesat dan taraf hidup rakyat turut bertambah baik. Ekoran daripada senario ini, kes jenayah akan bertambah kurang kerana menurut kajian ahli sosiologi, salah satu punca utama kes jenayah ialah kemiskinan. Hadirin yang dihormati, Kejayaan negara kita membebaskan diri daripada belenggu penjajah adalah kerana adanya pakatan murni antara pelbagai kaum. Pakatan murni tidak akan dicapai jika rakyat tidak bersatu padu. Berlandaskan pakatan murni ini, rombongan kemerdekaan yang diterajui oleh Bapa Kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman telah berjaya meyakinkan pihak penjajah untuk memberikan kemerdekaan kepada negara kita. Selepas mencapai kemerdekaan, rakyat pelbagai kaum telah menggembleng tenaga untuk membawa kemajuan kepada negara kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pernah berlaku konflik antara kaum akibat permainan politik oleh parti-parti politik, namun konflik itu telah dapat diselesaikan dalam masa yang singkat sahaja kerana adanya sifat toleransi antara pelbagai kaum. Tegasnya, atas daya usaha pemimpin pelbagai kaum, setiap kaum dapat menghayati peribahasa yang berbunyi buang yang keruh, ambil yang jernih dengan melupakan detik hitam yang merenggangkan silaturahim antara kaum. Akhir kata, pelbagai usaha perlu dilakukan supaya masyarakat sentiasa mengamalkan prinsip bersatu padu, contohnya mengadakan pelbagai program seperti program rukun tetangga, gotong-royong, dan amalan rumah terbuka. Selain itu, mana-mana pihak yang membangkitkan isu sensitif yang boleh menggoyahkan ikatan perpaduan hendaklah dikenakan hukuman yang berat. Sekian, terima kasih.