HASIL KAJIAN

Asal – Usul Sebelum Sekolah
Nama SMK Mohd Khalid diambil sempena nama seorang tokoh yang telah banyak berjasa dalam meletakkan batu asas perkembangan pendidikan awal sekolah melayu di Negeri Johor Darul Takzim. Beliau adalah Mohd Khalid Bin Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi. Beliau dilahirkan di Kampung Pali, Melaka pada awal tahun 1850. Beliau pernah dilantik menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Johor Bahru dan menjadi Nazir pertama Sekolah-Sekolah Melayu Johor. Beliau juga telah dilantik menjadi setiausaha Jabatan Pelajaran Johor dan pemeriksa sekolah-sekolah Johor Bahru dan Endau pada tahun 1913. Apabila Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor diwujudkan, Mohd Khalid dilantik sebagai setiausaha Jabatan Agama dan Pelajaran (ecclesiastical and Education Department). Mohd Khalid telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1917 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah Johor Bahru. Bagi mengingati jasa dan sumbangan beliau dalam pembangunan Pendidikan Melayu di Negeri Johor, nama beliau diukir di sebuah institusi pendidikan guru mulai 1 Julai 1974, iaitu Maktab Perguruan Mohd Khalid. Namun maktab ini telah ditutup pada Januari 2000.

Latar Belakang Selepas Sekolah
SMK Mohd Khalid merupakan sebuah sekolah kawalan di Daerah Johor Bahru. Bangunan sekolah ini pada asalnya adalah Maktab Perguruan Mohd Khalid dan telah dibangunkan kembali menjadi sebuah sekolah premier bermula pada tahun 2006 oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor khusus bagi membuka peluang kepada anak-anak yang cemerlang dalam peperiksaan untuk bersaing dengan rakan-rakan yang memiliki pencapaian setara dengan mereka. Pada 3 Januari 2006, SMKMK telah menempa sejarah apabila satu Majlis Penyerahan Plak Pengoperasian Sekolah telah disempurnakan oleh Ketua Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pendidikan JPNJ, Tn. Hj. Zakaria bin A. Shukor. Dengan penyerahan plak ini, maka bermulalah sesi persekolahan sekolah ini bagi Tahun 2006 dengan rasminya. Buat sementara waktu, SMKMK beroperasi di SMK Tasek Utara dan mula berpindah ke premis baru mulai 3 Julai 2006.Tenaga penggerak perintis SMK Mohd Khalid diterajui oleh Pengetua, Hj. Suleiman bin A. Rahman bersama 3 orang Guru Penolong Kanan serta 13 orang guru penolong dan dibantu oleh 4 orang staf sokongan. Penubuhan sekolah ini telah mendapat sokongan padu daripada Persatuan Ibubapa dan Guru yang sentiasa memberikan sumbangan dalam bentuk idea dan kewangan sekaligus turut sama memacu ke arah kecemerlangan dan kegemilangan sekolah ini.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful