Cerpen : Jalan Menuju Kedewasaan

Ruang restoran itu mulai sepi. Malam perlahan-lahan mendakap setiap ruang. Si gadis berambut panjang dan berkulit putih kuning itu tunduk menatap ketul-ketul ais yang terapung di dalam gelas di depannya. Jejari runcingnya memutar dan menyentuh lembut penyedut minumannya. Dia menyedari betapa lelaki di depannya merenung sayu ke arahnya. Beberapa ketika kemudian dia mengangkat kepalanya. Mendongak tanpa secebis senyuman. Cuma bibirnya bergerak-gerak lantaran sukarnya menyatakan sesuatu yang terpendam di hatinya. "Aku akan ke luar negeri, Man." Yati, gadis itu, bersuara perlahan. Lelaki itu tidak bersuara seolah-olah telah mengetahui apa yang akan diperkatakan oleh gadis di depannya. "Kau gembira, Man ?" Dia mengusulkan pertanyaan. tetapi hampa kerana lelakinya masih tetap membisu. "Tentunya Yati yang lebih gembira," tiba-tiba lelaki itu bersuara. Dia tersintak tanpa menduga jawaban yang di dengarnya. Dia kecewa dengan sindiran lelakinya itu. Perbualan itu terhenti dan ruang restoran itu kembali sepi. Sebentar tadi jam yang tersangkut di dinding restoran itu berdenting tujuh kali. Dan suara azan dari masjid kecil Kota K telah lama hilang. Tetapi kenderaan masih sibuk di sepanjang jalan di perut Kota K itu. Apakah kebisuan yang lama di antara mereka akan terus memenuhi ruang-ruang hati ? Dalam diam mereka cuba membaca gerakhati dan kebosanan yang membaluti diri

masing-masing. Lalu pertemuan itu terpaksa diakhiri. Lelaki itu kembali ke kampusnya. Dan dia pulang ke rumahnya dengan perasaan hampa. Pertemuan itu tidak memberi erti padanya. Tiada kemesraan yang terjalin. Tidak seperti pertemuan-pertemuan yang lalu. Malah tidak seperti pertemuan pertama dahulu. Dia pulang ke desanya di sisi Kota K itu membawa seribu resah. Masih terbayang di matanya wajah sayu lelakinya. Pertemuan tanpa rencana itu amat menyentuh perasaaannya. Dia kecewa kerana tidak dapat menyatakan kejayaannya yang sebenar kepada lelakinya. Dia juga hampa kerana tidak mendengar ucapan tahniah dari lelakinya. Lelakinya seolah-olah tidak merestui dia meneruskan pengajiannya di luar negeri. Mengapa ? Fikirannya mula diburu pertanyaan demi pertanyaan. Bagaimanakah dapat dia menyatakan perihal kejayaannya kepada lelakinya ? Malam semakin larut. Suara cengkerik dan lain-lain unggas rimba menyanyikan lagu malam dengan irama tak menentu - memecahkan kesunyian malam itu. Di luar gelap pekat tanpa sebutir bintang. Begitulah suasana malam desanya. Dan malam seperti itulah yang melahirkan kemesraan dan kasihnya kepada lelakinya se purnama lalu. Mengapa setelah memberi keyakinan kepadanya untuk menghadapi peperiksaan barulah tandatanda kecewa di wajah lelakinya mulai ketara ? Mengapa setelah dia berjaya dalam peperiksaan, lelakinya menampakkan kekesalannya ? Lelaki yang anih, bisik hatinya untuk ke sekian kalinya. Dia berdiri di jendela menatap gelap malam dan sesekali cahaya lampu kenderaan yang melalui jalan di hujung desa. Di dalam kamarnya sendiri suasana begitu samar. Pelita minyak tanah yang tergantung di dinding mengerdip hiba tanda kehabisan minyak. Dia tidak menghiraukan. Dia lebih senang dengan suasana suram begitu seperti kesuraman yang menutup dirinya kini.

Ditinggalkannya jendela. Angin dingin menujah masuk sejak tadi. Dihampiri meja tulisnya. Dibukanya laci. Terpampang di matanya sekeping potret wajah dirinya dan wajah lelakinya dalam kesuraman cahaya itu. Dikeluarkannya potret itu dan ditutupnya kembali laci meja tulisnya. Dia beralih ke sisi katil. Duduk di penjuru kiri dengan kaki dilunjurkan ke bawah. Dia merenung sayu kepada potret di tangannya. Ah... pertemuan di Pesta Konvokesyen, hatinya berbisik. Kenangan lama itu bermain dalam ingatannya. Kesayuan terus mencengkam perasaannya mengenang saat-saat gembira itu - apabila kasih mula berputik. Apakah pertemuan pertama itu titik mula kedewasaan hidupnya ? Ketika itu suasana sesak dari gerai ke gerai di tapak pesta itu. Dia resah mencari dan meneliti di celah-celah orang ramai itu. Pesta tahun itu dirasakannya amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang tak pernah terlepas dari kunjungannya. Lebih meriah dan lebih ramai pengunjungnya. Lokasi kampus itu yang tak jauh dari desanya memberi ruang kepadanya menjadikannya sebagai salah satu aktiviti tahunannya. Di samping dapat mencerna mindanya untuk membina azam supaya dapat menjadi salah seorang pelajar di situ suatu hari nanti. Dalam keresahan itu tak disedarinya ada sepasang mata memerhati tingkahnya. "Apa yang saudari cari ?" Dia tersintak menatap wajah lelaki di sebelahnya. Dan tersenyum tanpa rela membalas senyuman lelaki itu. "Tak ada apa-apa," Dia cuba mengelak. "Tetapi saudari kelihatan mencari seseorang. Kalau boleh saya menolong." Lelaki itu masih cuba merapati dirinya. Merapati hatinya.

Dia serba-salah. Direnungnya wajah lelaki itu. Ada tanda-tanda kejujuran di situ. "Terimakasih. Saya sedang mencari abang saya. Saudara pelajar di sini ?" Lelaki itu angguk. "Siapa namanya ?" "Roslan..." "Roslan bin Kamarudin ?" Lelaki itu menduga dengan wajah sedikit resah menanti jawaban darinya. Dia angguk - hairan bercampur gembira. "Saudara kenal dia ?" Anggukan lelaki itu diiringi senyuman bangga. Dia membalas. Pertemuan berakhir di situ. Tetapi lembaran bersampul biru mula mengambil tempat. Satu demi satu silih berganti. Sedikit demi sedikit dia mula mengenali hati lelaki itu. Kejujuran dan sikap terus-terang lelaki itu membuatkannya tidak dapat lari dari tambatan kasih. Pertemuan yang lain diukir satu demi satu. Dan dia mula menghadapi hari-hari seterusnya tanpa ada waktu terluang. Masa lapangnya dipenuhi dengan pertemuanpertemuan singkat di Kota K. Dia tidak pernah merasa bosan dengan pertemuan yang ada kalanya sekadar pertemuan semata. Malah dia mula tidak menghiraukan perasaanperasaan yang mengganggu pelajarannya. "Apakah kita akan begini selamanya ?" Pertanyaan lelakinya di suatu pertemuan di Kafetaria kampus itu kembali dalam ingatannya. Bukan tujuannya ke kampus itu untuk menemui lelakinya. Tetapi tanpa diduga dia menemui abangnya bersama lelakinya. Jadi, dia tidak dapat mengelak dari menghabiskan sebahagian petang itu bersama lelakinya.

Dia tampak terkejut dengan pertanyaan itu. Lalu di renungnya wajah lelakinya. "Maksud mu ?" Soalnya kembali dengan nada kehairanan. Dia keliru. "Seperti kini, bertemu dan berpisah," jawab lelakinya. Memang terserlah pengertian yang mendalam dari pengucapan lelakinya itu. Sehinggakan dia tidak dapat bersuara beberapa ketika. Apakah yang dikehendaki oleh lelakinya dari dirinya ? Hatinya diburu pertanyaan itu. Apakah...? Apakah...? Pertanyaan itu bagaikan berulang di dalam dirinya. Dia telah cuba memahami hati lelaki itu sepenuhnya. Tetapi setiap kali timbul pertanyaan yang asing pada anggapannya, dia menjadi gugup. Lelakinya sering menimbulkan pertanyaan yang membuatkannya sering pula bertanya pada dirinya. Sudah dewasakah aku ? Sudah dewasakah aku ini ? Dan sehingga pertemuan petang itu pun dia masih tidak mengetahui sejauh mana kedewasaannya. "Aku masih tidak faham maksud mu," dia cuba mengelak. "Aku rasa kita sudah cukup dewasa untuk sama-sama memikirkan dan memahaminya." Lelaki itu menerangkan dengan wajah yang cuba melindungi sesuatu. Cuba melindungi perasaannya. Kita...? Kita sudah dewasa ? Hatinya bertanya. Benarkah ini ? Aku sudah dewasa seperti anggapan lelaki ku. Sejak bila...? "Norhayati !" Dia dikejutkan dari menungan panjang oleh suara garang dan keras. Dia merasakan tiaptiap pasang mata di dalam kelas Tingkatan Lima Sains itu memandang ke arahnya. Dia cuba untuk tidak menghiraukan. Tetapi hatinya tidaklah setenang yang diinginkan.

"Apa yang awak fikirkan, Yati ?" Tanya Pak Guru lembut walaupun tadi suara itu begitu keras dan mengancam. Padanya dirasakan suara itu bisa menggetarkan seluruh tubuhnya sambil menimbulkan ketakutan. Pak Guru yang hampir berusia separuh abad itu seakan memahami jiwanya yang sedang berkocak. Adakah Pak Guru cukup dewasa untuk memahami masalah yang berlegar di dalam jiwanya kini ? Hatinya seakan mahukan kepastian. "Tak ada apa-apa, Cikgu." Begitulah jawaban yang mampu keluar dari celah bibir nipisnya apabila tiada kesempatan untuk berfikir. Jawaban yang tergesa-gesa itu walaupun kadang-kadang tidak memuaskan hati pendengarnya, memang sering diucapkannya. Malah setiap guru yang mengajar kelas Lima Sains itu pernah melalui pengalaman yang serupa setiap kali dia merenung keluar tingkap kaca yang terbuka. "Yati, saya harap awak dapat jumpa saya pada waktu rehat nanti," usul Pak Guru sebelum tempoh mengajar berakhir. Dan dia hanya berupaya mengangguk lemah seakan melakukannya tanpa kerelaan hatinya. Bila tiba waktu yang dijanjikan, dia pun menemui Pak Guru. Segala masalahnya dicurahkan bersama linangan airmatanya. Begitu sayu dia menumpahkan segala rasa yang membelenggu jiwanya kini. Pak Guru menatapnya dan simpati. Pak Guru merasakan satu tugas berat terpikul di bahunya bila memikirkan peperiksaan SPM yang semakin hampir - yang akan dihadapi oleh anak muridnya itu. "Cikgu harap awak lupakan untuk sementara. Sehingga selesai peperiksaan pun jadilah. Awak tidak sepatutnya memikirkan hal itu buat masa ini..." Banyak benar ceramah Pak

Guru hari itu. "Baik Cikgu, saya akan cuba." Dia mengakhiri pertemuan dengan Pak Guru bersama sebuah keyakinan yang teguh di hatinya. Dia telah berjanji pada dirinya akan menunjukkan kecemerlangan semulajadinya dalam pelajaran. Tetapi peperiksaan percubaan SPM telah hampir benar. Kesempatan baginya untuk mengembalikan sesuatu yang terabai telah tiada. Gagal ! Dia gagal dalam peperiksaan itu. Dan sebuah kekecewaan tumbuh dalam dirinya. Mampukah aku menghadapi peperiksaan akhir nanti ? Hatinya dibalut kebimbangan. Keyakinannya hampir patah. Dia merasakan harus menemui Pak Guru sekali lagi. Tetapi bila ?... Suatu petang dia membina sebuah lagi pertemuan dengan lelakinya atau menurut katakata rakan-rakannya, pertemuan dengan kekasihnya. Di pertemuan itu dia menyatakan kegusaran hatinya. Dan yang lebih utama menyatakan kegagalannya dalam peperiksaan percubaan itu. "Aku gagal," katanya pendek seperti bilamana dia menyatakan kegagalan peperiksaan penggal kedua yang lalu. Bermakna tahun ini mencatat sejarah dalam pelajarannya apabila dia gagal dua kali berturut-turut. Apakah aku akan gagal lagi dalam peperiksaan yang terakhir di persekolahan peringkat menengah ini ? Pertanyaan itu begitu merunsingkan hatinya. Dan kerana itulah dia telah membina pertemuan petang itu dengan lelakinya - kekasihnya. "Mengapa ?" Lelakinya begitu terkejut. Rasa bersalah membara dalam diri lelakinya.

Mungkinkah pertemuan-pertemuan kosong itu yang menyebabkan kegagalan itu. Tetapi dia dengan sedikit keyakinan menidakkan. Malah mengakui kegagalannya adalah kesalahannya sendiri. "Aku terlalu memikirkan tentang diri ku, kedewasaan ku. Itulah sebabnya aku gagal." Dia cuba memujuk hati lelakinya. "Bukankah aku yang memulakan itu ?" Lelakinya masih merasakan ia berpunca dari dirinya. Dari perasaan kelelakiannya. Bukankah dia yang seakan tidak sabar ingin mengikat gadis di depan matanya itu ? Lalu, setelah menjanjikan sesuatu, perpisahan pun terjadi. Perpisahan yang perlu itu terlaksana tanpa kesayuan dan kedukaan. Tetapi lelakinya dengan wajah muram meneruskan harinya di kampusnya. Dan dia dengan berjuta keyakinan kembali kepada kebiasaannya. Kebiasaan yang terjalin sebelum kejayaannya yang cemerlang dalam peperiksaan SRP dulu. Tetapi sesuatu yang tak terduga bisa terjadi tanpa mengira waktu. Dan alangkah payah menghindarkan apabila takdir telah menentukan. Menjelang tiga minggu peperiksaan SPM akan bermula, satu tugas bersama tersangkut di bahunya dan di bahu abangnya. Sesuatu yang tak pernah tergambar di fikirannya sebagai anak bongsu dari tiga orang adik-beradik. "Tahukah Yati, ayah pergi sebelum Yati lahir ? Dan ibu pergi setelah melahirkan Yati. Dan kematian ibu pula adalah kerana kesukaran melahirkan adik kita..." Begitulah abang menerangkan. Jadi aku bukanlah anak yang bongsu. Siapakah adik kembar ku itu ? Di manakah dia kini ? Pertanyaan yang menghairankan itu amat meresahkan. Keyakinannya hampir

tergugat menjelang saat-saat akhir peperiksaannya. Surat dari kakak yang dikirim kepada abang tambah menyesakkan fikirannya. Ah... kakak. Kenapa tidak diberitahu sejak dulu lagi ? Adakah itu satu daripada pesan dan wasiat ibu menjelang kedewasaan ku ? Jika kakak tidak upaya mencarnya, mengapa begitu cepat kakak berkahwin ? Dia seolah-olah menyalahkan semua yang berlaku. Menyalahkan dirinya sendiri. Ada tanda kekesalan terserlah di wajahnya. Dan sekali lagi dia merasakan perlu menemui Pak Guru. Namun begitu di hari peperiksaan itu wajah lelakinya seakan menjadi pendorong kepada ketekunannya. Wajah lelaki itulah yang dapat memberi sedikit ketenangan di hatinya. Bukankah pertemuan terakhir itu mengubah segala-galanya menjelang saat-saat akhir peperiksaannya ? Bukankah lelakinya yang memberi sejuta keyakinan yang teguh di dalam dirinya ketika itu ? Bukankah cuma lelaki itu yang sentiasa sedia mendengar keluhan hatinya ? Lelaki yang penuh rahsia, hatinya seakan berbisik. Ah... perasaan mengganggu saja, bisik hatinya lagi. Dia cuba melupakan hari-hari yang telah dilaluinya bersama lelakinya. Tetapi saat-saat indah itu sukar luput dari fikirannya. Dan hatinya tambah pilu mengingati pertemuan di restoran Kota K senja tadi. Dan hari pun terus berlalu. Tetapi terlalu lambat dirasakannya. Namun sudah setahun dia meninggalkan tanahair. Melanjutkan pelajaran ke luar negeri bererti memisahkannya jauh dari lelakinya. Barulah dia mengerti makna kesayuan di wajah lelakinya di lapangan terbang ketika keberangkatannya. Barulah dia mengerti makna kesayuan di wajah lelakinya di restoran Kota K dulu. Dia mula memahami makna perpisahan. Malah dia telah mula menyedari kedewasaannya dari persendiriannya. Keterasingan dari lelakinya mengajarnya menjadi lebih dewasa. Dari jauh wajah lelaki itu seakan memberi dorongan ke arah kejayaannya. Wajah lelakinya menjadi simbol perjuangannya kini. Namun sesekali tergerak hatinya untuk bertanya - adakah lelaki itu akan terus menjadi sumber kedewasaan hidupnya ?

Dia menanti jawaban dari hari-hari yang berlalu. Dan ketika salji musim dingin sedang gugur memutih di sekitar kediamannnya, dia tidak terkejut menatap sekeping warkah biru dari lelakinya. Dia tidak terkejut dengan permintaan lelakinya. Dia tahu permintaan itu terlalu berat untuk ditunaikannya. Tetapi dia telah tahu erti ketabahan. Dia berazam untuk kembali ke tanahair untuk melihat sendiri lelakinya menaiki pelamin dengan gadis yang bukan dirinya. Gadis yang hingga kini dia masih tak mengenalinya. Cuma sekali surat lelakinya ada memberitahu sebelum kepulangannya ke tanahair. Gadis itu adalah seorang mahasiswa tahun pertama di kampus lelakinya. Dan gadis itu adalah adik kembarnya sendiri yang dipisahkan dari dirinya kerana kemiskinan keluarganya. Walaupun masih banyak yang tidak diketahui dan tidak dapat difahaminya, dia telah merasakan sesuatu menimpa di pipinya. Suatu titisan lembut dan jernih. Buat pertama kali di kedewasaannya, airmatanya menitis. Terbayang di matanya liku-liku perjalanan yang masih jauh di keputihan dan kedinginan salji itu. Ketika kapal terbang mula berangkat pulang, dia menyedari keberangkatan kali ini akan menambah warna-warna duka di kedewasaan hatinya. [ TAMAT ]

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful