You are on page 1of 3

Refleksi Program Bina Insan Guru

Bina Insan Guru (BIG), merupakan satu aktiviti/ kerja kursus yang mesti dilaksanakan oleh semua penuntut Program Pensiswazahan Guru di semua Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia. Bagi saya penuntut Semester 5 TESL di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPBA) memang menanti bilakah taklimat BIG akan diadakan. Persoalan ini telah ditanya kepada Penyelaras Kursus dan Pensyarah Pendidikan Jasmani dari awal semester lagi. Akhirnya, pada 25 Ogos 2013, satu taklimat berkenaan BIG telah diadakan di Dewan Kuliah A di IPBA. Di awal taklimat, En Baseni Jantra telah memaklumkan bahawa pada semester ini program BIG ini akan terbahagi kepada 2 sesi iaitu etiket dan sosial dan khidmat komuniti yang perlu dilaksanakan selama 3 jam setiap satu dan sasarannya adalah murid sekolah. Program ini boleh dilakukan secara indidividu atau berkumpulan. Kumpulan saya iaitu kumpulan C TESL terus memandang kepada saya sambil tersenyum dan sebulat suara menyatakan bahawa sekolah saya akan menjadi lokasi bagi program tersebut. Faktor saya sebagai Guru Besar di sekolah itu, lokasi dalam Kuala Lumpur, kemudahan sedia ada dan pelbagai lagi kelebihan yang ada di Sekolah Kebangsaan Wangsa Melawati menjadi penentu pemilihan rakan-rakan saya sekali lagi. Pensyarah kemudian membenarkan kami untuk berbincang dalam kumpulan bagi menentukan hala tuju program BIG bagi semester ini. Perbincangan dalam kumpulan diadakan dan keputusannya, kami telah memilih untuk mengadakan ceramah Pengucapan Awam dalam konteks etiket dan sosial manakala Klinik Subjek Bimbingan/ Pembelajaran dalam konteks khidmat komuniti. Pemilihan penyelaras program, setiausaha, bendahari, pembentang ceramah dan semua jawatankuasa yang kami rasa perlu diwujudkan telah dipilih. Pembentangan kepada pensyarah dan rakan-rakan sekursus diadakan. Kumpulan kami telah memilih untuk mengadakan Program BIG pada 8 September 2013 (Ahad) di SK Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Refleksi seterusnya melihat kepada kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dapat dilihat, difikirkan dan diperhalusi sepanjang saya merancang dan melaksanakan program BIG ini. Melihat kepada konteks pemilihan SK Wangsa Melawati sebagai lokasi Program BIG buat kali kedua berturut-turut, tentu menyakinkan banyak pihak bahawa ada kekuatan dan kelebihan secara terang atau tersembunyi yang ada di sekolah itu. Kekuatan pertama tentulah sokongan daripada ketua pentadbir di situ, dimana saya sebagai Guru Besar dan penuntut PPG tentulah menyokong sepenuhnya program BIG ini. Lokasi sekolah yang terletak di tepi MMR2, tentulah juga menjadi lokasi yang mudah untuk didatangi oleh ahli kumpulan saya. Kemudahan seperti Bilik Gerakan, makmal komputer, dewan bestari,laman terbuka dan kemudahan letak kereta yang banyak seperti menarik-narik ahli kumpulan saya ke sekolah ini. Respons yang diberi oleh para guru, staf sokongan, PIBG 1

Refleksi Program Bina Insan Guru


dan murid-murid di sekolah ini amat mengalakkan. Guru-guru sanggup membantu saya dalam menempah makanan, staf sokongan menyediakan kemudahan peralatan seperti dewan, kerusi meja, LCD, PIBG menyokong program ini serta sambutan murid-murid di mana dari jumlah asal murid 15 orang telah bertambah menjadi 27 orang walaupun program ini diadakan pada hari Ahad. Program BIG ini telah dibawa dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa PIBG dan mendapat sokongan kerana mereka melihat kebaikan dan kesan kepada kemenjadian anak-anak di SK Wangsa Melawati. Setiap kekuatan pasti ada kelemahan. Kelemahan yang paling ketara adalah masa yang diberi. Kami hanya ada kurang sebulan untuk merancang dan melaksanakan program BIG ini. Jarak antara ahli kumpulan yang jauh, kekangan untuk berjumpa dan berkomunikasi menyebabkan menyelaras dan memastikan setiap perkara telah dilaksanakan adalah seperti igauan bagi saya. Beban tugas sedia ada ditambah dengan tugasan akademik yang perlu disiapkan menyebabkan tekanan itu sentiasa ada. Hubungan secara elektronik sahaja yang menjadi perantara kami. E-mail, sms dan telefon adalah makanan saya selama menyelaras program ini. Memastikan setiap ahli kumpulan memahami hala tuju dan objektif program juga menjadi cabaran. Tajuk pertama yang dipilih iaitu Pengucapan Awam adalah satu tajuk yang luas sebenarnya. Memastikan murid-murid mendapat manfaat daripada bengkel tersebut, aras yang ingin digunakan dan dan bahan-bahan yang ingin digunakan benar-benar difahami oleh penceramahnya.Begitu juga dengan tajuk kedua iaitu Klinik Subjek Bimbingan. Mata pelajaran yang dipilih adalah Bahasa Inggeris. Tahap kemampuan anak-anak murid SK Wangsa Melawati adalah berbeza dengan tahap kemampuan penceramahnya. Objektif bengkel yang kedua ini adalah untuk membantu anak-anak itu. Kesukaran mengenalpasti kemampuan anak murid dan tahap kesukaran bahan yang disediakan benar-benar merisaukan saya sebagai Penyelaras Program. Program BIG ini merupakan satu program secara bekerjasama yang dilaksanakan saban semester. Peluang mengadakan di sekolah saya secara tidak langsung memberi peluang kepada saya untuk memperkenalkan program ini kepada warga sekolah dan seterusnya memberi manfaat yang tidak ternilai kepada anak-anak murid sekolah saya. Pemilihan bengkel seperti Pengucapan Awam dan Klinik Subjek Bimbingan adalah peluang bagi anak murid saya untuk menimba sesuatu pengalaman yang baru bagi mereka. Dalam hala tuju saya di sekolah untuk menjadikan kemenjadian murid sebagai agenda utama, ini adalah platform yang amat sesuai bagi mereka untuk meneroka suatu bidang baru. Bagi rakan-rakan dalam kumpulan TESL C pula, ini adalah peluang untuk mereka dating dan melihat hasil kerja yang saya usahakan selama ini. Keceriaan sekolah, anjung PBS yang diwujudkan, percalonan sebagai sekolah kluster kecemerlangan dan perubahan-perubahan positif yang telah saya lakukan di SK Wangsa Melawati adalah kebanggaan saya. 2

Refleksi Program Bina Insan Guru


Dari sudut ancaman, tidak banyak yang boleh dibincangkan di sini. Masuk semester 5 ini, rakan-rakan dalam kumpulan C Tesl telah mula memahami cara saya berfikir, bertindak dan bekerja. Di akui, memang ada tentangan atau idea-idea yang ingin mengubah cara kumpulan ini melaksanakan Program BIG ini namun atas dasar sepakat, ianya dapat dibendung. Jarak perjalanan yang jauh terutama bagi Fadillah di Kuantan, Suher di Melaka, Adawiyah dan Rohaya di Bentong, Pahang serta rakan-rakan lain yang tinggal di sekitar Selangor juga boleh dianggap sebagai ancaman. Segelintir guru lama dan berijazah merasakan Program BIG ini akan membebankan mereka jika sekolah ini menjadi lokasinya. Saya sebagai Guru Besar, tidak pernah memaksa mana-mana guru untuk membantu saya melaksanakan program itu. Perbincangan di bilik guru malah di kantin juga kedengaran namun semuanya tidak berani berhadapan dengan saya. Saya anggap semuanya sebagai asam garam dan cabaran dalam saya melaksanakan program ini hingga berjaya. Jika di imbas kembali perjalanan program ini dari mula hingga akhirnya, dapat saya rumuskan bahawa pelbagai cabaran , halangan dan kesusahan yang terpaksa di tempuh oleh saya dan ahli kumpulan saya. Pegucapan awam bukanlah sesuatu yang asing bagi diri saya yang pernah berucap di pentas pidato, menyampaikan taklimat kepada Menteri Pelajaran, ceramah kepada guru-guru baru dalam kursus induksi dan ceramah kepada Guru-guru Penolong Kanan seluruh Kuala Lumpur. Namun, tidak salah untuk terus menimba ilmu dan belajar. Peluang yang diberi dalam menyampaikan ceramah kepad anak-anak murid itu amat saya suka dan menjadi teras kejayaan program ini. Klinik Subjek Bimbingan pula adalah satu pentas untuk berkongsi ilmu di antara kami. Anak-anak murid saya kelihatan teruja dan bersemangat untuk mendapat tips-tips terkini dari guru-guru berpengalaman. Teknik terkini yang diberikan oleh rakan-rakan saya secara tidak langsung dapat menambah ilmu serta pengetahuan mereka. Persediaan yang dijalankan untuk anak-anak tahun 5 ini adalah satu langkah berterusan dalam memastikan kecemerlangan mereka dan sekolah berterusan. Akhir kata, terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Program BIG semester 5 kali ini. Terima kasih kepada semua pensyarah yang terlibat, guru-guru, PIBG, para ibu bapa, anak-anak SK Wangsa Melawati dan tidak dilupakan rakan-rakan dalam kumpulan TESL C. Sekian, wassalam.