You are on page 1of 6

Perkembangan Kognitif Perkembangan ialah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat

daripada sifat baru yang berlainan daripada sifat yang awal. Santrock (2008) mentafsirkan perkembangan sebagai perubahan dalam corak biologi, kognitif dan sosioemosi individu yang bermula daripada peringkat percambahan sehingga ke akhir hayat.

Jadi, perkembangan terbahagi kepada banyak bahagian, iaitu fizikal, kognitif, bahasa, sosio emosi, dan kendiri. Fokus saya pada kali ini ialah terhadap perkembangan kognitif. Dua teori utama dalam perkembangan kognitif yang menjadi fokus saya ialah teori ahli psikologi Switzerland iaitu Jean Piaget dan ahli psikologi Rusia iaitu Lev Vygotsky. Teori-teori ini telah memainkan peranan penting dalam membantu memahami cara kanak-kanak berfikir dan bagaimana guru boleh memainkan peranannya untuk membantu murid mencapai perkembangan kognitif yang optimum.

KONSEP PERKEMBANGAN KOGNITIF

Menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel (2008), kemahiran kognitif merupakan kebolehan individu untuk berfikir, memberi pendapat, memahami, mengingati perkara-perkara yang berlaku di persekitaran masing-masing. Ia melibatkan aktiviti mental seperti ingatan, mengkategori, merancang, menaakul, menyelesaikan masalah, mencipta, berimaginasi dan lain-lain. Kemahiran kognitif ini penting untuk kelangsungan hidup bagi seseorang individu.

Pembinaan pemikiran kanak-kanak diberi penekanan untuk perkembangan kognitif kanak-kanak ini. Ia tertumpu kepada perubahan pemikiran kanak-kanak yang berlaku daripada satu peringkat perkembangan kepada seterusnya.

Menurut Piaget, proses pemikiran kita berubah secara menyeluruh bermula selepas lahir sehingga kita mencapai kematangan,. Setiap individu akan sentiasa mencuba untuk memahami dan mengadaptasi perubahan-perubahan yang berlaku di persekitaran mereka. Piaget juga telah mengenalpasti empat faktor yang saling berkait yang boleh mempengaruhi proses pemikiran individu iaitu kematangan biologi, interaksi individu dengan persekitaran, pengalaman sosial dan keseimbangan.

Kematangan biologi merupakan proses pemikiran yang dipengaruhi oleh faktor baka ataupun genetik. Kemudian, interaksi individu dengan persekitaran pula merupakan komunikasi atau interaksi antara individu dengan persekitaran untuk memahami perkara-perkara yang berlaku.

Mereka akan meneroka, menguji, memerhati dan menyusun maklumat yang diperolehi. Seterusnya ialah pengalaman sosial iaitu pergaulan individu dengan orang-orang di persekitaran seperti ibu bapa, adik beradik, rakan, guru dan sebagainya. Faktor terakhir ialah keseimbangan yang merupakan salah satu cara yang digunakan oleh individu untuk mengadaptasi dengan situasi-situasi yang baru dialami.

Menurut Vygotsky pula, perkembangan kognitif individu berlaku dalam dua peringkat iaitu, peringkat sosial dan peringkat individu. Pada peringkat sosial, maklumat atau pengetahuan individu diperolehi melalui interaksi individu dengan individu lain yang ada di persekitaran seperti ibu bapa, adik beradik, guru, rakan sebaya, keluarga terdekat dan jiran. Peringkat individu pula ialah kebolehan individu menukar maklumat dan pengetahuan yang diperolehi daripada interaksi sosial kepada kefahaman individu. Maklumat yang diperolehi ini boleh menukar skemata individu.

CIRI-CIRI PERUBAHAN KOGNITIF KANAK-KANAK

Terdapat empat peringkat dalam perkembangan kognitif iaitu peringkat Sensorimotor, peringkat Pra Operasi, peringkat Operasi Konkrit, dan peringkat Operasi Formal, menurut Piaget.

Pada peringkat Sensorimotor iaitu bayi berumur bawah 2 tahun, bayi menggunakan deria dan pergerakan fizikal untuk mempelajari tentang persekitarannya. Pada peringkat ini, bayi akan menggunakan mulut untuk merasa sesuatu objek dan mengkoordinasi mata dan tangan bagi mencapai sesuatu objek. Sebagai contoh, bayi akan memasukkan jari dan merasa puas apabila dapat merasa dan menghisap jarinya. Kepuasan ini akan menyebabkan mereka melakukan perbuatan ini berulang kali. Selain itu, kanak-kanak pada peringkat ini akan mula menunjukkan permulaan pemikiran logik. Sebagai contoh, kanak-kanak ini akan dapat mengatur skema-skema yang mudah dan logik seperti mengeluarkan barang-barang daripada sebuah bekas yang bertutup, atau boleh mengambil barang yang jauh.

Seterusnya, pada peringkat Pra operasi iaitu kanak-kanak berumur 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak telah mula menggunakan minda bagi membentuk skema-skema baru. Kanak-kanak telah menggambarkan dan merancang pergerakan ataupun aktiviti mereka dengan menggunakan minda untuk membentuk skema. Perubahan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak dalam peringkat ini ialah mereka dapat mewakili sesuatu dengan simbol mental iaitu bahasa, isyarat, gambar dan sebagainya. Kanak-kanak menggunakan simbol ini untuk menyatakan sesuatu objek, orang atau peristiwa yang dialami oleh mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak mewakili imej sebenar buku dengan perkataan `buku ataupun dengan menggunakan gambar. Pada peringkat ini juga, kanak-kanak berumur 2-3 tahun boleh menceritakan pengalamannya ataupun peristiwa yang telah berlaku.

Pemikiran kanak-kanak pada peringkat Pra operasi juga bersifat intuitif iaitu pemahaman mereka tentang objek bergantung pada ciri-ciri yang bersifat nyata. Mereka tidak mampu lagi untuk berfikir secara logik dan rasional. Sebagai contoh, sepuluh keping kad sama saiz diletakkan secara dua baris, iaitu lima keping kad setiap baris, dan satu baris dipanjangkan. Kanak-kanak akan mengatakan baris yang lebih panjang tersebut mempunyai lebih kad daripada baris yang pendek, walaupun kedua-dua baris tersebut mempunyai bilangan kad yang serupa.

Pada peringkat ini juga, kanak-kanak telah menunjukkan sifat egosentrik di mana mereka melihat dan memahami persekitaran melalui perspektif mereka sendiri. Kanak-kanak menyangka semua orang mempunyai minat, perspektif, perasaan dan reaksi yang sama dengan mereka, contohnya seorang kanak-kanak yang suka dengan sesuatu siri kartun, mereka akan beranggapan orang lain juga suka dengan siri kartun berkenaan.

Pada peringkat Operasi Konkrit iaitu kanak-kanak berumur 7 hingga 11 tahun, kanak-kanak ini telah boleh berfikir secara logik walaupun masih terikat dengan situasi konkrit. Pada peringkat ini juga, kanak-kanak sudah boleh menguasai konsep pengekalan. Prinsip asas konsep ini adalah prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan. Prinsip identiti adalah mereka sudah tahu jika tiada penambahan atau pengurangan bilangan objek, maka bilangannya tetap sama walaupun bentuknya berubah. Prinsip ganti rugi pula adalah mereka tahu perubahan dari satu segi akan ditukar oleh perubahan dalam satu aspek yang lain. Manakala, prinsip keterbalikan pula mereka boleh mengulang proses yang berlaku kepada keadaan yang asal kembali. Contohnya, jika air di dalam cawan, dituang ke dalam gelas yang lebih tinggi dan tirus, mereka dapat tahu bahawa kuantiti air tersebut masih sama.

Selain itu, kanak-kanak dalam peringkat ini juga dapat mengkategorikan objek mengikut kumpulan masing-masing. Contohnya, mereka mengelaskan objek mengikut warna, saiz dan sebagainya. Mereka juga boleh melakukan proses menyusun secara bersiri, iaitu susunan secara menaik dan menurun. Sebagai contoh, mereka boleh membuat susunan logik seperti 1<2<3,>2>1.

Seterusnya ialah peringkat Operasi Formal iaitu kanak-kanak berumur 11 tahun ke atas. Pada peringkat ini, kanak-kanak boleh melakukan andaian dan jangkaan berdasarkan fakta. Pemikiran mereka juga tidak lagi bertumpu kepada objek konkrit semata-mata, namun boleh memikirkan idea secara abstrak dan membuat hipotesis. Sebagai contoh, mereka boleh memberi idea kepada punca kemalangan jalanraya. Selain itu, kanak-kanak sudah boleh berfikir secara abstrak, iaitu menyelesaikan masalah matematik di mana melibatkan perwakilan abstrak. Contohnya, 2y + 3y = 20. apakah nilai y? Mereka juga boleh berfikir secara sistematik, iaitu memberi beberapa kemungkinan

penyelesaian. Contohnya, sekiranya anda pergi ke perkhemahan, anda membawa 4 helai t-shirt, 4 helai seluar track dan 4 helai jaket, berapa kombinasi pakaian yang akan anda perolehi? Selain itu, kanak-kanak juga telah berupaya untuk melakukan hipotesis dan mencari alternatif untuk menyelesaikan masalah. Mereka sudah boleh menaakul secara induktif dan deduktif. Pemikiran secara induktif merupakan berfikir aspek yang khusus kepada yang lebih umum. Contohnya, mereka dapat memberikan kesan pencemaran sungai pada masa akan datang berdasarkan pencemaran sungai yang ada pada masa sekarang.

Seterusnya, pada peringkat ini juga, egosentrik remaja juga telah timbul. Mereka lebih fokus kepada idea dan pemikiran mereka sendiri dan susah menerima pendapat orang lain.

CARA-CARA GURU MEMBANTU MURID MENCAPAI PERKEMBANGAN KOGNITIF YANG OPTIMUM

Sebagai seorang guru, kita mestilah membantu murid agar dapat mencapai perkembangan kognitif yang optimum. Jadi, guru mestilah merancang pengajarannya agar dapat merealisasikan hasrat ini.

Guru mestilah menggunakan bahan bantu mengajar yang konkrit untuk memudahkan pemahaman murid. Sebagai contoh, jika murid diajar kemahiran menambah dan menolak, guru boleh menggunakan bahan-bahan konkrit yang berada di sekelilingnya seperti ranting kayu, batu, daun, dan lain-lain. Pendekatan ini sesuai untuk kanak-kanak pada peringkat Pra operasi, iaitu berumur 2 hingga 7 tahun. Selain itu, guru boleh menggunakan bahan konkrit sebagai bahan bantu mengajar dalam mempelajari kemahiran yang baru. Bahan-bahan ini mestilah menarik dan bersesuaian dengan pelajaran yang ingin diajarkan kepada kanak-kanak. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan model-model tiga dimensi seperti haiwan, tumbuhan mainan untuk mewakili objek yang dipelajari oleh mereka. Pendekatan ini boleh dipraktikkan untuk kanak-kanak di peringkat operasi konkrit, iaitu kanak-kanak berumur 7 hingga 11 tahun.

Seterusnya, guru harus memberi arahan dengan menggunakan ayat yang pendek dan disertai dengan contoh agar mudah difahami oleh murid. Contohnya, arahan untuk murid mengutip sampah yang berada disekeliling mereka, diberi dengan menggunakan ayat mudah dan jelas. Arahan yang pendek serta jelas ini akan memudahkan murid untuk menuruti dan mengikuti kehendak guru.

Selain itu, guru juga patut memberi peluang kepada murid melakukan `hands-on terhadap sesuatu kemahiran. Sebagai contoh, murid diberi peluang untuk membentuk perkataan daripada potongan-

potongan huruf. Dengan kaedah atau cara ini, murid akan dapat meningkatkan lagi keyakinan terhadap diri mereka.

Guru juga boleh menyediakan pengalaman pembelajaran yang pelbagai. Kanak-kanak tidak semestinya belajar dalam bilik darjah sahaja. Berikan mereka peluang untuk merasa sendiri pengalaman di luar bilik darjah untuk memperkaya ingatan dan fikiran mereka kepada flora dan fauna. Contohnya, guru membuat lawatan ke Zoo Negara, taman yang berada di sekolah, dan sebagainya. Menerusi pengalaman ini, mereka akan dapat membuka minda mereka dan dapat menikmati sendiri pengalaman tersebut.

Selain itu, murid-murid akan lebih menumpukan perhatian kepada pengajaran guru jika dikaitkan dengan pengalaman mereka sendiri. Jadi, guru boleh mengaitkan pengalaman mereka seperti pengalaman bercuti di kampung dengan pengajaran. Pengalaman ini amat membantu kanak-kanak untuk memahami perkara yang lebih kompleks. Ini bertepatan dengan teori Lev Vygotsky iaitu kaitkan pengajaran dan kehidupan seharian kanak-kanak serta pengaplikasian pengetahuan kanakkanak kepada pengalaman mereka yang sebenar.

Guru juga seharusnya memberi peluang kepada murid-murid agar dapat memanipulasi dan menguji objek-objek yang diajarkan kepadanya. Berilah mereka peluang untuk mencuba sendiri kemahiran yang dipelajari agar mereka dapat berfikir secara kritis dan kreatif di bawah bimbingan guru. Contohnya, membuat eksperimen dalam subjek sains tentang keperluan cahaya matahari untuk melakukan proses fotosintesis tumbuhan. Dengan memberi mereka peluang untuk melakukan eksperimen, murid-murid akan lebih faham dengan apa yang dipelajarinya dan lebih mengetahui perkara tersebut berdasarkan pengalamannya tadi.

Seterusnya, murid-murid juga seharusnya diberi pembacaan dan pembentangan yang ringkas dan tersusun. Pembacaan dan pembentangan ini akan meningkatkan keupayaan berbahasa mereka ke arah yang lebih baik. Guru juga mesti memberi peluang kepada murid-murid untuk melahirkankan ideanya sendiri. Contohnya, berikan mereka buku-buku yang mudah untuk dibaca, iaitu buku yang mempunyai ayat-ayat mudah, kemudian beransur kepada yang lebih kompleks. Kanak-kanak juga bebas untuk memberikan pandangannya sendiri. Kemudian, guru membimbing kanak-kanak untuk membentangkan idea-idea mereka dengan langkah-langkah mudah.

Guru boleh menggunakan bahan yang konkrit untuk menggambarkan sesuatu konsep yang lebih kompleks untuk kanak-kanak pada peringkat operasi formal. Contohnya, penggunaan bahan tiga dimensi, carta, rajah, gambar, jadual, dan pengalaman murid sendiri sebagai alternatif untuk mengajar sesuatu yang lebih sukar. Dengan penggunaan bahan-bahan tersebut, murid-murid dapat

membayangkan perkara yang diajar oleh guru serta dapat memahami perkara yang kompleks dengan lebih mudah. Selain itu, guru mestilah memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mencari alternatif untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka juga boleh membuat hipotesis daripada hasil pembelajaran mereka tersebut. Guru juga mesti membimbing mereka untuk mencari jalan penyelesaian, agar mereka dapat berfikir secara kritis dan kreatif.

Guru juga boleh mengemukakan konsep yang luas. Bimbing pelajar untuk meneroka serta mengkaji konsep tersebut. Guru mesti menerima pendapat pelajar dan bimbing mereka agar menerima pandangan orang lain. Dengan cara ini, pemikiran pelajar akan lebih terbuka dan tidak hanya bertumpu kepada fakta semata-mata. Mereka juga dapat mempelajari menerima pandangan orang lain jika pendapat orang tersebut adalah benar.

Kesimpulannya, guru memainkan peranan yang penting kepada kanak-kanak dalam mencapai perkembangan kognitif yang optimum. Jadi, guru mestilah merancang aktiviti untuk murid-murid dengan efektif sebagaimana yang telah disarankan. Selain itu, guru perlulah membimbing muridmurid dengan sebaiknya untuk mencapai perkembangan kognitif ini. Tahap pemikiran murid mungkin berbeza-beza, jadi guru perlulah cakna dengan perkembangan kognitif murid untuk merealisasikan hasrat ini.