P. 1
Mesyuarat&Minit Mesyuarat

Mesyuarat&Minit Mesyuarat

5.0

|Views: 17,429|Likes:
Published by mik_slumber
Minit mesyurat
Minit mesyurat

More info:

Published by: mik_slumber on Jul 02, 2009
Copyright:Attribution Non-commercial

Availability:

Read on Scribd mobile: iPhone, iPad and Android.
download as PDF, TXT or read online from Scribd
See more
See less

05/11/2014

pdf

text

original

BAB 10 MESYUARAT DAN MINIT MESYUARAT

OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat: 1. Memahami konsep mesyuarat. 2. Memahami jenis-jenis mesyuarat. 3. Memahami kepentingan mesyuarat. 4. Memahami cara-cara menulis minit mesyuarat yang betul. 10.1 PENGENALAN

Dalam kehidupan manusia sehari-hari, seseorang individu itu tidak boleh hidup sendirian. Ia terpaksa mencari kawan kerana manusia tidak dijadikan untuk hidup sendirian. Apabila terdapat seorang rakan, setiap kerja yang dilaksanakan biasanya akan dikongsi bersama. Individu pertama akan bertanya pendapat individu kedua apabila ia hendak melaksanakan sesuatu. Begitu juga sebaliknya. Tanpa merujuk kepada orang lain untuk mendapatkan pandangan kedua, seseorang itu akan digelar sebagai kera sumbang yang tidak tahu berkawan. Apabila jumlah manusia bertambah, dengan menggunakan satu bahasa yang difahami oleh kumpulan mereka, mereka mula mengadakan permuafakatan dalam menjalankan tugas-tugas masing-masing. Dari situ, lahirlah struktur pentadbiran dalam masyarakat sebagaimana yang telah anda pelajari dalam Bab 3. Manusia akan hidup berkelompok di bawah pemimpin yang dipilih di kalangan mereka melalui persetujuan yang dicapai. Persetujuan itu diperolehi melalui mesyuarat. 10.2 APAKAH MAKSUD MESYUARAT?

Mesyuarat berasal daripada bahasa Arab yang membawa makna berhimpun, berkumpul untuk berbincang bagi mencapai kata sepakat untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Kamus Dewan mentakrifkan mesyuarat sebagai, “Perundingan (untuk membincangkan sesuatu, atau mencapai sesuatu keputusan).” Secara amnya dapatlah kita katakan bahawa mesyuarat itu ialah satu perhimpunan yang diadakan untuk mendapatkan buah fikiran daripada pelbagai golongan atau kumpulan
221

bagi mendapatkan satu keputusan. Keputusan yang diperolehi biasanya dicapai selepas berlakunya perbahasan atau percambahan atau percanaian fikiran oleh ahli-ahli mesyuarat dan biasanya keputusan yang dicapai itu adalah kata sepakat atau persetujuan oleh sebilangan besar anggota atau ahli-ahli yang hadir bermesyuarat. Ahli-ahli minoriti yang tidak bersetuju dengan keputusan yang dicapai hendaklah lazimnya akur akan keputusan yang dicapai oleh suara ramai. 10.3 KEPENTINGAN MESYUARAT

Setiap kali sesuatu projek atau peristiwa hendak dilaksanakan, biasanya mesyuarat akan diadakan terlebih dahulu untuk mendapatkan kata sepakat. Dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu, apabila sesuatu upacara, misalnya perkahwinan atau perayaan pesta tertentu hendak dilaksanakan , ketua-ketua keluarga akan dipanggil untuk bermesyuarat dan menyampaikan pendapat masing-masing. Kata sepakat akan dicapai dan kesepakatan itulah yang akan dipatuhi semasa projek berkenaan dilaksanakan. Mesyuarat juga diadakan sewaktu projek sedang dilaksanakan dan selepas projek dilaksanakan. Mengapa pola sebegini terjadi? Jika diteliti, terdapat berbagai-bagai sebab mengapa mesyuarat itu perlu diadakan. 10.3.1 Menjelaskan Hal-Hal yang Tidak Jelas Persefahaman itu amat penting semasa melaksanakan tugas-tugas dalam sesuatu projek. Melalui mesyuarat, segala butiran yang tidak jelas yang ada dalam fikiran ahli dapat dijelaskan. Ringkasnya, dengan adanya mesyuarat, semangat kekitaan akan dapat diwujudkan kerana jurang perbezaan fahaman atau sebarang selisih faham dapat dikurangkan atau dihapuskan. Apabila persefahaman dan semangat kekitaan wujud, maka perjalanan projek akan menjadi licin dan teratur. 10.3.2 Pengagihan Tugas Sesuatu projek yang hendak dilaksanakan mungkin memerlukan kerencaman tugas. Begitu juga dengan jumlah orang yang terlibat. Makin besar projek, makin rencam bidang tugas dan makin ramai pekerja yang diperlukan. Melalui mesyuaratlah agihan tugas dapat dilakukan. Ini dibuat dengan cara melihat kepakaran individu yang terlibat dengan tugas-tugas tertentu. Tambahan pula melalui mesyuarat juga semangat kesukarelawanan akan mucul. Individu yang mahir dalam sesuatu tugas akan secara sukarela bersetuju untuk melaksanakan tugas tersebut tanpa dipaksa-paksa. Daripada mesyuarat juga dapat ditentukan jumlah individu yang terlibat dalam sesuatu tugas. Biasanya untuk sesuatu jawatankuasa itu, jumlah ahlinya akan bergantung kepada keperluan tugas yang akan dilaksanakan.
222

10.3.3 Menilai dan Mengawal Aktiviti Setiap pertubuhan/persatuan/perkumpulan mempunyai perancangan kegiatan yang akan dijalankan dalam jangka waktu tertentu, biasanya diukur dalam jangka waktu satu tahun. Kegiatan-kegiatan tersebut akan dilaksanakan secara berjadual, mengikut perancangan awal yang dibuat oleh jawatankuasa kerja atau oleh jawatankuasa kecil. Siapakah yang akan memantau perjalanan kegiatan berkenaan? Biasanya tidak pernah ada persatuan melantik seorang pemantau untuk melihat sama ada kegiatankegiatan persatuan dijalankan mengikut jadual atau tidak. Mesyuaratlah yang akan berfungsi untuk menilai dan mengawal aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan. Melalui mesyuaratlah masalah-masalah, kekuatan dan kelemahan perjalanan aktiviti akan dikenal pasti sementara keputusan pula dapat dicapai untuk mengatasi segala masalah dan kerumitan yang timbul. 10.3.4 Menyelesaikan Banyak Masalah yang Rumit Sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 10.3.3, mesyuarat dapat meninjau dan melihat perjalanan aktiviti-aktiviti persatuan dan dapat mencari jalan untuk memperbaiki atau mengatasinya. Melalui mesyuarat juga, bukanlah hal-hal yang bersangkutan dengan perjalanan persatuan sahaja dapat dipantau, tetapi juga individu-individu yang menjadi ahli persatuan. Sikap dan hemah mereka dalam persatuan dapat dilihat atau dikesan ketika mereka melaksanakan projek-projek. Siapa yang jujur dan ikhlas, siapa yang hanya menjadi oportunis, siapa pula yang boleh diharap dan tidak boleh diharap, semuanya dapat dikesan melalui mesyuarat kerana dalam mesyuaratlah ahli-ahli akan membangkitkan segala kelemahan dan kekuatan persatuan untuk memantapkan lagi perjalanan dan kemajuan persatuan. Masalah kewangan yang selalunya menjadi kekangan utama dalam perjalanan persatuan dapat diatasi dengan kadar segera melalui mesyuarat. Jika tabungan persatuan sudah hampir habis atau sudah habis, mesyuarat dapat mengatasinya dengan membuat keputusan bagi mengisi semula tabung persatuan agar terus dapat bergerak pada masa hadapan. 10.3.5 Mencari Sokongan dan Kerjasama Sesama Ahli “Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.” Dalam setiap pertubuhan, setiap ahli ialah individu tersendiri yang mempunyai personaliti tersendiri. Ada ahli yang menyokong dan ada ahli yang menjadi pembangkang kepada perjalanan persatuan. Melalui mesyuarat, sokongan dan kerjasama ahli dapat dicari dengan cara bergaul dan bekerjasama. Ketika mesyuarat, ahli-ahli yang tidak puas hati terhadap
223

sesuatu isu akan mendapat penjelasan yang akan menghilangkan keraguan mereka. Ahli-ahli yang berpuas hati dan gembira akan memberi sokongan dan kerjasama untuk pengukuhan persatuan. 10.3.6 Mendapatkan Mandat Mandat atau kuasa untuk melaksanakan ssesuatu projek hanya boleh didapati melalui mesyuarat, sama ada mesyuarat agung atau jawatankuasa. Perlantikan ahli jawatankuasa siap dengan tugas-tugas masing-masing diperolehi melalui cadangan dan keputusan mesyuarat. 10.3.7 Menyebarkan Maklumat Apabila selesai sahaja mesyuarat agung, kebanyakan ahli sudah tahu apakah tugas yang harus dilakukan sebelum tiba mesyuarat agung yang akan datang. Jawatankuasa kerja yang ditubuhkan akan bermesyuarat untuk melaksanakan projek-projek yang telah ditentukan. Bagaimana hasil daripada kejayaan projek dapat disampaikan dengan mudah dan berkesan kalau tidak melalui mesyuarat. Selain memberi laporan, jika ada maklumat baru, ian akan mudah disebarkan melalui ahli jawatankuasa yang akan pula menyebarkannya kepada ahli-ahli biasa yang terlibat dalam projek-projek yang akan dilaksanakan. 10.3.8 Merancang Strategi Setiap persatuan/pertubuhan/kumpulan mempunyai perancangan yang akan dilaksanakan sepanjang tahun. Mesyuarat agung akan meletakkan garis panduan rancangan yang akan dilaksanakan. Mesyuarat jawatankuasa kerja pula akan memperincikan rancangan-rancangan tersebut. Mesyuarat demi mesyuarat akan diadakan untuk merancang strategi pelaksanaan setiap projek yang hendak dilaksanakan. Lebih banyak projek yang hendak dilaksanakan, lebih keraplah mesyuarat yang perlu diadakan supaya setiap ahli yang terlibat tahu akan tugas masingmasing. 10.3.9 Mengetahui Kekuatan dan Kelemahan Sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan-perenggan di atas, setiap pertubuhan diwujudkan untuk melaksanakan projek-projek yang dipersetujui bersama dan projek-projek ini dilaksanakan secara berkala di bawah pengawasan ahli-ahli jawatankuasa induk. Setiap projek yang dilaksanakan akan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jika kekuatan dan kelemahan ini tidak dikenal pasti, maka tentulah ahli224

ahli tidak dapat belajar mengendalikan persatuan berkenaan dengan berkesan. Melalui mesyuaratlah segala kekuatan dan kelemahan dikenal pasti. Segala kekuatan diperkukuhkan dan segala kelemahan diperbaiki dan tidak lagi diulang pada masa-masa muka dalam projek-projek lain. 10.4 JENIS-JENIS MESYUARAT

Terdapat lima jenis mesyuarat, dan kelima-lima mesyuarat tersebut ada disenaraikan di bawah. 10.4.1 Mesyuarat Agung Tahunan Mesyuarat Agung Tahunan ialah mesyuarat utama dalam siri mesyuarat sesebuah pertubuhan/persatuan/perkumpulan kerana ia melibatkan semua anggota yang berdaftar. Mesyuarat ini perlu diadakan mengikut peruntukan undang-undang negara di bawah akta Pendaftar Pertubuhan bagi semua persatuan/pertubuhan/perkumpulan yang diwujudkan di luar sekolah. Namun begitu persatuan di sekolah/institut pengajian tinggi juga perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan yang akan dihadiri oleh semua ahli. Melalui mesyuarat agung ini, setiap anggota berpeluang berbincang secara menyeluruh segala usul dan cadangan yang dikemukan. Mengikut undang-undang tubuh, notis bagi mesyuarat agung hendaklah disampaikan kepada semua ahli dalam masa 14 hari sebelum mesyuarat diadakan. Kuorom mesyuarat ditentukan oleh setiap persatuan, biasanya 1/3 atau ½ daripada ahli mesti hadir untuk membolehkan mesyuarat agung dilaksanakan. Agenda tetap yang biasa bagi mesyuarat agung ialah (i) (ii) (iii) (iv) (v) (vi) (vii) 10.4.2 Aluan Pengerusi. Membentangkan dan Mengesahkan Minit Mesyuarat Agung lalu. Membentangkan dan meluluskan Penyata Kewangan. Memilih dan melantik Ahli Jawatankuasa baru. Membincangkan usul dan cadangan. Ucapan penangguhan. Hal-hal lain.

Mesyuarat Agung Tergempar/Luar Biasa

Mesyuarat Agung Tergempar/Luar Biasa, seperti namanya, diadakan secara tergempar apabila sesuatu isu timbul dan tidak dapat dilaksanakan atau diselesaikan di peringkat jawatankuasa. Agenda yang dibincangkan biasanya hanyalah yang ditentukan atas cadangan ahli atau mengikut peraturan tertentu. Mesyuarat ini kadang-kadang dikenali sebagai Mesyuarat Agung Khas.
225

10.4.3 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja/Induk Dalam perjalanan sesebuah pertubuhan, mesyuarat Jawatankuasa Kerja amat penting sebagai nadi persatuan atau pertubuhan kerana melalui mesyuarat inilah segala perancangan dan strategi pelaksanaan setiap projek dibahaskan, diperinci untuk dilaksanakan. Melalui mesyuarat inilah Jawatankuasa Kecil yang bersesuaian dengan corak projek ditubuhkan. Agenda ditentukan oleh pengerusi yang dilantik melalui perbincangan dengan semua ahli jawatankuasa lain. Kekerapan mesyuarat ini amat bergantung kepada keperluan. Lagi banyak projek yang hendak dilaksanakan, lagi kerap jawatankuasa ini bersidang. Lagi banyak kebuntuan dan kekangan atau masalah, kerap jugalah jawatankuasa ini memerah otak. Notis untuk mesyuarat ini disampaikan oleh setiausaha, biasanya satu minggu daripada tarikh mesyuarat. Kuorom mesyuarat biasanya 1/3 daripada jumlah semua ahli jawatankuasa. Agenda am untuk mesyuarat jawatankuasa kerja ialah (i) (ii) (iii) (iv) (v) 10.4.4 Ucapan Pengerusi. Membentangkan dan Mengesahkan Minit Mesyuarat Lalu Perkara Berbangkit. Agenda-agenda yang Ditentukan/Laporan Aktiviti. Hal-hal Lain.

Mesyuarat Jawatankuasa Kecil

Mesyuarat Jawatankuasa Kecil ialah mesyuarat yang paling bawah. Jawatankuasa ini sudah diberikan satu atau dua tugas tertentu untuk dilaksanakan, misalnya Jawatankuasa Makanan, Jawatankuasa Persiapan, Jawatankuasa Buku Cenderamata, Jawatankuasa Penjurucaraan, Jawatankuasa Sambutan dan sebagainya. Ahli Jawatankuasa ini mungkin terdiri daripada lima atau enam orang sahaja. Angka sebenarnya tidaklah tetap kerana jumlah ahlinya bergantung kepada kecil besarnya projek yang hendak dilaksanakan dan juga banyak sedikitnya tugas yang hendak dilaksanakan. Agendanya hanyalah berbincang cara hendak melaksanakan tugas yang diberikan kepada jawatankuasa tersebut termasuk jumlah kewangan yang diperlukan untuk dibentangkan dalam Jawatankuasa Kerja yang akan dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat. Dalam Jawatankuasa Kecil, semua orang akan menjalankan tugas walaupun di kalangan anggota terdapat pengerusi dan setiausaha yang bertugas menyelaraskan Jawatankuasa berkenaan.
226

10.4.5

Mesyuarat Jawatankuasa Adhoc/Sementara

Mesyuarat Jawatankuasa Adhoc, sebagaimana namanya dikendalikan secara tidak berjadual. Biasanya mesyuarat ini dilaksanakan di awal penubuhan sesuatu persatuan, yakni sebelum tertubuhnya jawatankuasa tetap yang akan mengendalikan perjalanan persatuan seperti mendaftarkannya dan sebagainya. Mesyuarat dikatakan secara adhoc juga apabila sekumpulan pelajar dikerahkan untuk melaksanakan sesuatu projek, sama ada penting atau tidak dalam jangka waktu yang amat singkat. Mesyuarat ini bertujuan melantik Jawatankuasa Kecil untuk mengendalikan tugas-tugas yang juga dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan. 10.5 TUGAS-TUGAS JAWATANKUASA

10.5.1 Pengerusi Seorang pengerusi biasanya dipilih daripada kalangan anggota yang mempunyai kebolehan bercakap dengan baik dan dapat mengawal majlis dengan tertib. Beliau bertugas untuk mengendalikan mesyuarat dengan berwibawa dan berketrampilan. Beliau hendaklah memulakan mesyuarat dengan baik dan tertib. Biasanya ia mengalu-alukan kehadiran anggota, memperkenalkan ahli baru, mengucapkan terima kasih kepada ahli lama yang tidak terlantik lagi kerana jasa masing-masing. Pengerusi juga akan dengan ringkas menyatakan pengalamannya berhubung dengan perjalanan persatuan selepas mesyuarat yang lepas. Di sini idea-idea baru pengerusi mungkin dikemukakan, atau dengan kuasa yang diberikan kepadanya oleh anggota, ia akan mencuba untuk melaksanakan beberapa projek yang difikirkan baik untuk kemajuan persatuan. Ia juga akan mengemukakan perkara-pekara yang hendak dibincangkan (agenda) dengan ringkas dan jelas. Selain itu, ia harus menjadi perantara yang baik, mengawal perjalanan mesyuarat dengan cara menjadi pendengar yang baik dan tidak pula berpihak kepada mana-mana anggota. 10.5.2 Setiausaha Setiausaha persatuan/pertubuhan, sesuai dengan gelaran jawatannya setia dan usaha, hendaklah harus setia kepada persatuan dan berusaha untuk menggerakkan jentera pentadbiran persatuan. Sebilang waktu, ia hendaklah bekerjasama dengan pengerusi. Selain itu, tugas-tugas lain ialah mengedar surat jemputan mesyuarat, menyediakan minit mesyuarat terdahulu untuk diedarkan sebelum mesyuarat, menyediakan agenda dan tempat mesyuarat, menyediakan segala peralatan mesyuarat yang diperlukan, mengedar borang kehadiran, mencatat dan menyiapkan minit mesyuarat dengan baik dan segera serta mengedarkan minit mesyuarat tersebut dengan kadar segera kepada setiap anggota yang terlibat.
227

10.5.3 Ahli Jawatankuasa Ahli Jawatankuasa yang terlantik bertanggung jawab untuk memberikan buah fikiran yang bernas untuk memajukan pertubuhan atau untuk menjayakan projek. Ia juga harus sanggup bekerjasama dengan semua ahli jawatankuasa lain dengan baik serta sanggup pula memberikan khidmat bakti secara ikhlas dan jujur. 10.6 MINIT MESYUARAT

Apakah yang dikatakan minit mesyuarat? Minit mesyuarat ialah hal atau perkara yang telah dibincangkan dalam sesuatu mesyuarat dan persetujuan telah dicapai terhadap perbincangan tersebut. Ini bermakna catatan minit mesyuarat amat penting bagi membolehkan tindakan dapat dilaksanakan oleh pihak-pihak berkenaan dengan berkesan. Minit mesyuarat menjadi panduan pelaksanaan kepada yang terlibat. Tanpa penulisan minit yang baik dan sempurna, pelaksanaan tidak akan sempurna. 10.7 KAEDAH MENULIS MINIT MESYUARAT

Ada pelbagai cara menulis minit mesyuarat. Ada yang kelihatan kemas, rapi, jelas dan ringkas dan ada juga yang berjela-jela dan tidak mengikut peraturan atau format tertntu walupun isi penting bagi sesuatu minit mesyuarat itu terdapat di dalamnya. Dalam pelajaran ini, saya akan menurunkan panduan menulis minit mesyuarat yang bersistem dan kemas. Sesuatu minit mesyuarat hendaklah mengandungi bilangan mesyuarat, tarikh mesyuarat, tempat mesyuarat, senarai kehadiran, agenda mesyuarat, catatan mesyuarat dengan tindakan, serta tandatangan penyedia minit mesyuarat. 10.7.1 Bilangan, Tarikh dan Tempat Mesyuarat Bilangan mesyuarat biasanya ditulis di atas sekali, contohnya ‘Minit Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Akademik (JKPA) yang ke89 Bil.06/2000’ atau ‘Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Projek “Pelajar Cemerlang, Negara Gemilang” yang ke-3 Bil 3/2000’. Tarikh, Masa dan Tempat ditulis dengan cara di‘indent’ dan langkau dua baris selepas bilangan minit mesyuarat. 10.7.2 Senarai Kehadiran Dalam bahagian ini, semua nama anggota mesyuarat dicatatkan di bawah tajuk kecil ‘Hadir’, ‘Tidak Hadir dengan Kenyataan’ dan ‘Tidak Hadir
228

Tanpa Kenyataan’. Biasanya nama Pengerusi dicatatkan paling atas dan Setiausaha paling bawah. 10.7.3 Agenda Mesyuarat serta Catatan Dalam bahagian ini, agenda mesyuarat ditulis sebagai kepala tajuk diikuti dengan catatan isi penting yang dinyatakan atau dibincangkan. Biasanya catatan pada bahagian ini dibahagikan kepada dua ruangan, satu untuk catatan perbincangan yang dibuat dan satu lagi ruangan untuk ditulis siapakah pihak yang akan bertindak melaksanakan keputusan yang telah dicapai. Dalam bahagian Aluan Pengerusi, biasanya dicatat makluman yang disampaikan oleh pengerusi majlis berhubung dengan ruang litup pertubuhan/persatuan/projek yang dilaksanakan. Dalam bahagian Membentang dan Mengesahkan Minit Mesyuarat lalu biasanya dicatatkan ‘Mesyuarat bersetuju mengesahkan minit mesyuarat tersebut dengan pindaan berikut (jika terdapat pindaan, pindaan tersebut dicatatkan di bahagian bawahnya satu persatu)’. Dalam bahagian Perkara Berbangkit dicatatkan segala keputusan mengenai hal-hal yang dibangkitkan bersangkutan dengan kandungan minit mesyuarat lalu. Dalam bahagian Agenda, biasanya ayat yang digunakan untuk catatan minit ialah (a) Mesyuarat mengambil maklum…. diikuti dengan pecahan kecil perkara-perkara yang dibincangi oleh anggota mesyuarat dan (b) Mesyuarat bersetuju… diikuti oleh pecahan persetujuan yang dicapai berdasarkan perkara-perkara yang dibincangkan. Pada bahagian sebelah kanan (biasanya dalam ruangan kecil yang disediakan) ditulis pihak yang akan bertanggungjawab terhadap pelaksanaan keputusan yang dicapai pada para (b). Dalam bahagian Hal-Hal Lain, dicatatkan segala perbincangan dan keputusan yang dicapai berhubungan dengan hal-hal lain yang dikemukakan oleh anggota yang tidak berkaitan dengan agenda tetapi berkaitan dengan kepentingan persatuan/pertubuhan/perjalanan projek secara keseluruhan. Dalam bahagian Penutup, biasanya dicatatkan tarikh mesyuarat ditangguhkan dan ucapan terima kasih kepada pengerusi.
229

10.7.4 Tandatangan Penyedia Minit Pada bahagian ini, setiausaha atau penolong setiausaha akan menurunkan tandatangannya sebagai pengesahan pertanggungjawaban terhadap kandungan minit mesyuarat. 10.8 RUMUSAN

Dalam bab ini, anda telah diperkenalkan dengan konsep mesyuarat, kepentingan diadakan mesyuarat, tugas-tugas anggota mesyuarat serta cara-cara menulis minit mesyuarat dengan betul dan teratur supaya mudah dibaca dan diambil tindakan. Panduan yang diberikan ini dijangka akan dapat benar-benar membantu anda dalam penyediaan minit mesyuarat sewaktu anda mengadakan mesyuarat bagi mengendalikan projek khidmat masyarakat bersama kumpulan anda. Untuk memudahkan tugas-tugas anda, anda boleh melihat pada Lampiran B5 bagi contoh minit mesyuarat.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI 1. 2. 3. 4. 5. 6. Apakah yang dikatakan sebagai mesyuarat? Mengapakah mesyuarat itu perlu diadakan? Apakah jenis-jenis mesyuarat? Apakah tugas-tugas pengerusi mesyuarat? Apakah tugas-tugas setiausaha? Apakah dia minit mesyuarat?

Sila semak jawapan anda di akhir modul ini.

230

You're Reading a Free Preview

Download
scribd
/*********** DO NOT ALTER ANYTHING BELOW THIS LINE ! ************/ var s_code=s.t();if(s_code)document.write(s_code)//-->