You are on page 1of 5

Huraikan setiap prinsip rukun negara dalam usaha kearah mewujudkan semangat perpaduan di negara ini

Malaysia terkenal sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum yang diwakili oleh etnik Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Murut dan kumpulan etnik minoriti yang lain. Malahan Malaysia dijadikan sebagai model sebuah negara perpaduan etnik oleh negara-negara maju yang lain. Kerajaan Malaysia menjadikan perpaduan negara sebagai matlamat utama dalam pelaksanaan dasar kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Semua ini mulai dititikberatkan selepas tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969, di mana berlakunya rusuhan kaum akibat ketidakpuasan hati dikalangan masyarakat Malaysia. Berikutan peristiwa ini, tertubuhlah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) di bawah Undang-undang Darurat telah merangka satu ideologi dan dasar-dasar pembangunan serta pendekatan untuk menghapuskan jurang pemisah antara kaum. Hasilnya lahirlah satu ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara. Rukun Negara telah secara rasminya diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong. Rukun Negara lahir untuk menyedarkan rakyat Malaysia bahawa mereka hidup dalam masyarakat majmuk dan perlu menghormati antara satu sama lain, perlu hidup bersatu padu dan untuk membangkitkan semangat cintakan negara. Lima prinsip telah digariskan dalam Rukun Negara yang bertujuan mengekal serta memelihara keharmonian dan perpaduan kaum demi kesejahteraan rakyat dan negara. Antara lima prinsip itu adalah kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan. Prinsip-prinsip yang dibentuk ini tidak menampakkan hak milik mana-mana kaum. Ia bersifat umum yang bertujuan untuk mengatur tata tingkahlaku bagi memperkukuhkan perpaduan yang bercirikan acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Huraikan setiap prinsip rukun negara dalam usaha kearah mewujudkan semangat perpaduan di negara ini

Kepercayaan kepada Tuhan Prinsip pertama dalam Rukun Negara adalah kepercayaan kepada Tuhan, yang menuntut rakyat Malaysia menjadikan agama sebagai pegangan utama. Walaupun dalam Perlembagaan Malaysia menjadikan agama Islam adalah agama Persekutuan, namun ia masih memberi peluang kaum lain yang bukan beragama Islam untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing. Keadaan ini boleh dilihat setiap penganut bagi satu-satu agama boleh berkunjung ke rumah ibadat masingmasing dengan harmoni. Sikap mengambil tahu dan memahami anutan agama orang lain membolehkan perpaduan dapat dipupuk. Kelainan atau kepelbagaian pegangan agama dan kepercayaan tidak menjadi halangan bagi rakyat Malaysia untuk hidup bersatu padu. Setiap kaum perlu menghormati pegangan dan kepercayaan agama masing-masing. Menyedari

pentingnya akan agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan telah diakui oleh setiap agama di dunia ini. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan peribadi dan menggugat sesuatu bangsa dan negara. Rakyat Malaysia perlu memahami mengenai asas ajaran, kepercayaan dan upacara keagamaan bagi agama yang dianuti oleh kaum-kaum lain supaya dapat menjamin keharmonian hidup beragama. Malahan dalam perlembagaan juga termaktub bahawa agama lain bebas diamalkan walaupun agama Islam adalah agama rasmi persekutuan. Setiap etnik di Malaysia perlu memahami sensitiviti agama dan perlu dipelihara secara bersama agar tidak wujud keadaan yang menyebabkan tercetusnya ketegangan. Oleh itu, pengamalan dan penghayatan ajaran agama membolehkan wujudnya keharmonian dan perpaduan dikalangan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

Huraikan setiap prinsip rukun negara dalam usaha kearah mewujudkan semangat perpaduan di negara ini

Kesetiaan kepada Raja dan Negara Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud setiap rakyat hendaklah menunjukkan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan juga menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan di mana Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Yang Di-Pertuan Agong, Rajaraja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah lambang perpaduan rakyat. Sikap kesetiaan ini adalah suatu nilai yang baik untuk memupuk kecintaan rakyat kepada negara. Kesetiaan dan penghayatan yang mendalam terhadap prinsip ini menjadikan ia salah satu cara yang boleh menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia. Keluhuran Perlembagaan Semua rakyat Malaysia seharusnya menghormati Perlembagaan dan memahami sejarah disebalik penggubalan Perlembagaan.Tiada siapa yang berhak untuk mempertikai dan mempersoalkannya. Perlembagaan Negara adalah sistem

perundangan tertinggi yang berfungsi untuk melindungi rakyat negara ini tentang hak dan keistimewaan mereka. Apabila semua warganegara menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan Perlembagaan membolehkan rakyat hidup secara harmoni dan sejahtera tanpa ada wujudnya ketegangan antara kaum. Perlembagaan Persekutuan yang digubal menyentuh tentang kedudukan Yang diPertuan Agong dan Raja-raja, agama islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu, hak asasi rakyat dan sebagainya.

Huraikan setiap prinsip rukun negara dalam usaha kearah mewujudkan semangat perpaduan di negara ini

Misalnya,dalam Perlembagaan Persekutuan ada dinyatakan bahawa Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi persekutuan. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum melalui penggunaan bahasa yang sama, serta sebagai pengenalan kepada bangsa dan negara Malaysia. Walaupun bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi, perkembangan bahasa-bahasa lain tidak dihalang. Begitu juga tentang orang bukan islam bebas menganut dan mengamalkan agama mereka mengikut kepercayaan masing-masing. Hak Asasi rakyat Malaysia juga dijamin dalam Perlembagaan Malaysia. Oleh yang demikian, penghormatan dan kepercayaan yang teguh kepada

perlembagaan membolehkan ikatan perpaduan diantara pelbagai kaum dapat diperkukuhkan lagi. Kedaulatan Undang-undang Undang-undang adalah satu sistem keadilan yang dapat menjamin kehidupan masyarakat dapat bergerak dengan teratur dan licin dan dapat melahirkan warganegara yang berdisiplin dan hidup dengan aman dan harmoni. Semua rakyat Malaysia hendaklah menerima dan mempertahankan kedaulatan undang-undang. Prinsip keempat dalam Rukun Negara ini menuntut kita supaya sama-sama menghormati undang-undang, menyokong dan memeliharanya. Walaupun Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, namun menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memelihara kedaulatan negara supaya tidak terancam oleh anasir-anasir luar yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara. Rakyat seharusnya ditanamkan dengan semangat patriotisme semenjak kecil agar sedar untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang supaya keamanan dapat dikekalkan selamanya. Kerjasama antara rakyat untuk menghormati kedaulatan undang-undang membolehkan Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk mampu hidup bersatu padu antara satu sama lain.

Huraikan setiap prinsip rukun negara dalam usaha kearah mewujudkan semangat perpaduan di negara ini

Kesopanan dan Kesusilaan Prinsip ini menekankan tentang personaliti dan tingkahlaku setiap rakyat Malaysia. Kesopanan dan kesusilaan adalah untuk membentuk warganegara yang bersopan- santun, menghormati antara satu sama lain, berakhlak mulia dan mengelakkan daripada menyentuh sensitiviti kaum lain supaya mereka boleh menjalani kehidupan dengan aman dan harmoni. Semangat perpaduan diantara rakyat tidak dapat dicapai seandainya masyarakat tidak mempunyai sikap yang saling hormatmenghormati, memahami kaum lain, berkeperibadian mulia atau mempunyai tingkah laku atau perbuatan yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Oleh itu, prinsip ini amat penting dan hendaklah dipertahankan oleh sesiapa sahaja. Kesopanan dan kesusilaan dapat dilihat pada tingkah laku dan tutur kata seseorang. Bahasa yang lembut dan sopan serta tingkah laku yang baik akan menjamin perhubungan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Prinsip ini jika dipraktikkan akan membentuk individu yang berdisiplin dan bermoral yang akan membantu mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu. Kesimpulannya, kelima-lima prinsip Rukun Negara adalah bermatlamatkan untuk menjadikan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum ini hidup harmoni bersatu padu, saling hormat menghormati antara satu sama lain serta dapat hidup muhibbah tanpa mengira batas agama, bahasa dan etnik. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ini jelas merupakan kunci kepada masyarakat untuk memelihara dan menggalakkan perpaduan demi kejayaan dan kestabilan negara kita Malaysia. Hakikatnya, perpaduan yang diciptakan dapat membantu negara mempertingkatkan dan mempergiatkan perrtumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan system pemerintahan negara yang demokratik. Rukun Negara menjadi peraturan dan tonggak hidup yang penting dan pematuhan kepadanya dapat mewujudkan perpaduan dikalangan pelbagai etnik.