You are on page 1of 9

MODAL PENGUPAYAAN ISLAM, MELAYU

Petikan titah utama Raja Muda Perak, RAJA NAZRIN SHAH IBNI SULTAN AZLAN
MUHIBBUDDIN SHAH di Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di Bangunan Setiausaha
Kerajaan Perak, Ipoh pada 13 Julai 2009

Allah SWT telah mencipta gajah sebagai haiwan bersaiz besar. Pernah dikisahkan akan
pelbagai tafsiran enam orang buta yang memberi deskripsi akan rupa bentuk gajah; yang
memegang ekor menyamakan dengan tali, yang memegang kaki menyamakan dengan
tiang, yang memegang telinga menyamakan dengan kipas, yang memegang badan
menyamakan dengan dinding, yang memegang belalai menyamakan dengan ular dan yang
memegang gading menyamakan dengan tombak.

Melayu adalah bangsa yang besar yang telah diberikan pelbagai tafsiran. Melayu adalah
satu istilah yang lama, dianggap sebagai istilah yang paling mengelirukan di rantau Asia
Tenggara, hinggakan setiap takrif mengundang kepada persoalan baru.

Melayu boleh ditakrif dari pelbagai sudut, secara negara - secara negeri, secara bahasa -
secara budaya, secara adat - secara agama. Bahawa Alam Melayu boleh dikaji berasaskan
geografi, sejarah, bahasa, budaya dan politik. Melayu adalah bangsa yang pernah
gemilang, memiliki sejarah, budaya dan tamadun - pernah mencipta nama - mencipta
keagungan. Bangsa Melayu itu bangsa yang bertanah air - bangsa yang bernegara,
memiliki Raja yang berdaulat - memiliki kerajaan yang terhormat.

Umumnya bangsa Melayu itu mengambil sikap yang sangat terbuka, bebas membentuk
cara hidup dan adat, tidak terikat dengan yang lain, laksana buluh, tumbuh dan bergerak
sendiri dengan penuh autonomi, bagaimanapun diikat oleh akar yang satu.

Dalam konteks Tanah Melayu, di penghujung pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka,


Melayu dirujuk sebagai kumpulan penduduk yang tinggal cukup lama di Melaka, bertutur
bahasa Melayu dan memperlihatkan citra kesetiaan seorang rakyat kepada Sultan.

Budaya Melayu yang menghormati dan menjunjung titah Raja telah melahirkan satu rumpun
masyarakat yang berdisiplin lagi mematuhi undang-undang, telah menjamin suasana aman
lagi tenteram, stabil lagi harmonis, membolehkan pembesar dan rakyat, dagang dan senteri,
menumpukan usaha bertani dan berladang, bertukang dan berdagang, berkeluarga dan
bermasyarakat, berkampung dan bernegara, membina kemakmuran - melimpah
kesejahteraan.

Titah Utama ini memilih takrif Melayu menurut yang terkandung dalam Perlembagaan
Negara. Bahawa orang Melayu itu menganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan
mengamalkan kebudayaan Melayu. Berasaskan takrif tersebut, Melayu di Malaysia bukan
terikat kepada darah keturunan, tetapi dicirikan oleh faktor-faktor agama, budaya dan
bahasa. Sebagai pribumi di bumi Melayu ini, bangsa Melayu merupakan urat dan nadi
negara; hakikat ini jangan sama-sekali dipertikaikan.

Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan setiap umat
Melayu di Malaysia. Kedatangan Islam mengubah penganutan agama keseluruhan bangsa
Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh Allah SWT. Proses pengislaman di
alam Melayu dalam masa yang singkat merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan
kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat.

Penerimaan Islam di kalangan orang Melayu adalah menarik kerana Islam merupakan satu
keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sudah wujud dalam
masyarakat, memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu melakukan asimilasi dalam
penyesuaian sistem kepercayaan lama dengan yang baru.

1
Ajaran Islam yang lengkap lagi menyeluruh dapat difokuskan kepada empat elemen utama:

Pertama: aturan hubungan manusia dengan Tuhan

Kedua: aturan hubungan sesama manusia

Ketiga: aturan hubungan manusia dengan alam

Keempat: penerangan akan tujuan hidup manusia

Islam menyeru kepada kemakrufan serta menjauhi kemungkaran (amar makruf nahi
mungkar). Islam menyeru kepada pembinaan sifat-sifat positif seperti rajin, disiplin, tekun,
ikhlas, amanah, jujur, berfokus (khusyuk), berilmu dan sebagainya. Islam, berperanan
sebagai kompas, memandu bangsa Melayu melayari bahtera dalam lautan kehidupan di
dunia, melakukan amar makruf untuk memenuhi keperluan duniawi, juga sebagai persiapan
ukhrawi.

Bangsa Melayu telah melalui evolusi budaya yang panjang. Berlaku proses-proses
penyesuaian adat yang diwarisi untuk diselaraskan dengan risalah ajaran Islam. Akhirnya
terbina keperibadian yang memberikan identiti bangsa Melayu beragama Islam. Paradigma
budaya bangsa disandarkan kepada adat, dan adat pula bersendi hukum, hukum bersendi
Kitabullah bermaksud Kitab Allah iaitu al-Quran.

Islam telah mengubah cara masyarakat Melayu berfikir. Agama Islam berserta budaya
Melayu berkerajaan, berasaskan prinsip negeri beraja - rakyat bersultan adalah faktor
utama yang mempengaruhi pembentukan jiwa raga - membina jati diri orang Melayu.

Islam dijunjung - Raja disanjung. Hubungan tertib lagi beradab antara Raja dan rakyat serta
rakyat dan Raja telah mengalirkan adat budaya, budi pekerti dan sopan santun yang amat
halus lagi indah, mengupayakan umat membina persekitaran hidup yang aman lagi
harmonis, makmur lagi sejahtera.

Agama Islam telah diterima dari atas ke bawah; oleh itu struktur pemerintahan tidak
berubah malah disesuaikan dengan kehendak Islam dan boleh ditafsirkan hanya
menyentuh kedudukan sistem itu sendiri. Setelah menganut Islam, Raja yang memerintah
dilenyapkan hubungan batiniah dengan para dewa tetapi dihubungkaitkan dengan Allah dan
Rasulullah serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia.

Raja diberi gelaran Sultan, diberi kuasa yang lebih besar kerana kini Baginda telah diiktiraf
sebagai Khalifah di dunia. Dalam hasrat mahu memancarkan doktrin kepimpinan selaras
dengan ajaran Islam, perawi Sejarah Melayu merakamkan hubungan antara Raja-Raja
Melayu Melaka dengan Allah dan Rasulullah.

Melayu dan Islam bagai tidak dapat dipisahkan. Pada hukum adatnya rangkuman bangsa
yang besar dengan agama yang besar, boleh membina modal pengupayaan umat yang
besar. Namun secara realitinya, membina modal pengupayaan umat, tidak semudah
mengguna pakai asas perkiraan matematik atau formula cantuman dua institusi bank atau
resipi gabungan dua institusi multinasional.

Rangkuman bangsa dan agama memiliki dimensi lain. Sementara komponen Islam itu
merupakan komponen yang berada pada tahap kesempurnaan, komponen bangsa memiliki
pelbagai variabel yang boleh berubah, bertukar ganti dan sukar diramal.

Bahawa bangsa itu terdiri daripada manusia yang memiliki akal dan nafsu; memiliki
perasaan dan emosi, memiliki kehendak dan cita-cita, memiliki niat baik dan niat jahat.
Bahawa selain mendapat perlindungan para malaikat, manusia turut terdedah kepada
godaan Iblis.
2
Islam sebagai pegangan telah ditafsirkan oleh akal manusia dengan pelbagai tafsiran dan
turut terdedah di peringkat amalan kepada pengaruh nafsu manusia untuk dijadikan
landasan - dijadikan pakaian, tidak terkecuali dijadikan simbol - dijadikan instrumen.

Dalam era pra dan pasca Perang Dunia Kedua, orang Melayu mula secara terbuka
membangkitkan isu-isu berkaitan dengan nasib dan masa hadapan bangsa dan mula
bergerak aktif dalam kegiatan politik tanah air.

Dinamik politik berteraskan gerakan nasionalisme Melayu dan dinamik politik berpaksikan
Islam selanjutnya berkembang di negara ini. Kewujudan parti politik berteraskan
kebangsaan Melayu dan parti politik berpaksikan Islam laksana kelahiran kembar politik
dari perut bumi yang sama. Kembar politik yang keanggotaannya terdiri daripada insan-
insan yang sama-sama berbangsa Melayu dan sama-sama beragama Islam.

Sepatutnya politik yang berakarkan bangsa dan berpokokkan Islam berupaya


memperkuatkan modal pengupayaan umat - menyuburkan pohon yang kukuh, tidak goyang
di tiup angin - tidak goncang dilanda ribut. Namun peranan saling melengkapi nyata tidak
berlaku. Realiti politik tidak memperlihatkan kembar politik ini bersifat identical.

Asas-asas utama perjuangan untuk kemerdekaan, untuk agama, untuk bangsa, untuk
negara, gagal mencantumkan roh dua tenaga politik Melayu-Islam ini. Sub-budaya
matlamat, perbezaan penekanan serta kaedah perjuangan lebih dominan dan beransur-
ansur menjadi faktor pemisah. Tulisan jawi - tulisan rumi, kopiah putih - songkok hitam, baju
Melayu - jubah Arab, meletakkan Melayu Islam itu berada dalam dua aliran sungai yang
mengalir selari tetapi enggan bertemu.

Percantuman dua kembar politik ini pernah berlaku berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969,
tetapi hanya untuk satu tempoh yang singkat. Percantuman tersebut, meskipun berlaku
dalam tempoh yang singkat, merupakan puncak kepada perpaduan politik bangsa dan
ummah di tanah air ini, yang sekali gus memperkukuhkan modal pengupayaan umat. Era
tersebut adalah era penyatuan, era paling produktif kepada bangsa dan ummah, era yang
telah menghasilkan dasar-dasar yang dapat mengoptimumkan kebaikan ummah, antara
yang paling signifikan adalah Dasar Ekonomi Baru.

Melayu Islam kemudiannya kembali terpisah. Sehari demi sehari semakin jauh. Retak-
retak yang berlaku bagaikan membawa belah. Bahawa retak-retak yang
berkemungkinan membawa belah, semakin melukakan jantung insan Melayu, semakin
menghiris hiba hati kecil umat Islam. Sesungguhnya insan Melayu dan umat Islam
senantiasa meletakkan harapan - tidak berhenti memanjatkan doa, agar Melayu dan Islam
berpisah tiada - agar Melayu dan Islam kekal bersatu.

Betapa luka - betapa hibanya bangsa menonton ironi yang berlaku. Di manakah salah ibu
mengandung hingga bangsa yang serumpun enggan membina silaturahim, di manakah
silap ibu mengandung hingga insan yang seagama enggan bersaudara. Islam tidak
senantiasa menjadi landasan pilihan dalam mengharungi perjalanan hidup. Tergelincir dari
landasan bagaikan satu norma dan bangsa Melayu hanya kembali kepadanya pada waktu-
waktu menghadapi kegelapan dan kesulitan, pada waktu-waktu permulaan hayat ketika
menyambut kelahiran bayi, ketika jodoh dipertemukan, dan ketika menemui pengakhiran
hidup apabila jasad disemadikan di liang lahad.

Pengupayaan umat ditentukan ketika umat menghadapi cabaran besar. Arnold Toynbee,
pakar sejarah Inggeris dalam buku A Study of History, setelah mengkaji asas kelahiran 21
tamadun, merumuskan bahawa faktor utama membina tamadun yang gemilang ialah
pengupayaan umat menghadapi cabaran; lalu umat terdorong menyatukan kekuatan,
menggabung sepenuh tenaga - merangkum sepenuh usaha untuk sama-sama mengatasi

3
cabaran, baik yang berbentuk alam semula jadi atau peristiwa besar seperti peperangan,
tekanan ekonomi, bencana alam dan perubahan pemerintahan.

Akhbar Mingguan Malaysia demikian juga Berita Minggu, terbitan 12 Julai 2009 menyiarkan
makalah khas susulan berita Natrah Maarof atau Bertha Hertogh meninggal dunia ketika
mencapai usia 72 tahun, akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada
Khamis 9 Julai 2009.

Kisah Natrah Maarof telah 59 tahun berlalu. Namun ia kekal menjadi sebahagian daripada
ingatan kolektif dan tercatat kuat dalam memori bangsa Melayu kerana peristiwa Rusuhan
Natrah di Singapura pada 12 Disember 1950. Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa
Natrah.

Akhbar-akhbar tempatan menegaskan pentingnya memperbetulkan laporan tidak tepat


media Barat. Media Barat melaporkan orang Islam bertindak agresif dan tidak menghormati
keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam kepada ibu bapanya
yang beragama Kristian hingga mencetuskan rusuhan; 18 terbunuh dan 173 cedera apabila
tentera menembak para perusuh yang terdiri dari orang Melayu.

Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan tersebut adalah kemarahan orang Melayu
terhadap akhbar Straits Times ketika itu, yang berulang kali secara provokatif menyiarkan
gambar Natrah (yang beragama Islam), melutut di hadapan patung Virgin Mary. Umat Islam
bertanya bagaimanakah perasaan penganut agama Kristian jika melihat seorang kanak-
kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat.

Pilihan Raya Umum Ketiga berlangsung pada 10 Mei 1969. Keputusan pilihan raya tersebut
telah memberikan keghairahan keterlaluan di kalangan orang bukan Melayu yang
merayakan prestasi pencapaian parti-parti pembangkang. Cara sambutan kemenangan
hingga ke peringkat membawa penyapu di atas lori, bagai mahu menghalau orang Melayu
dari kampung halaman sendiri, telah mencetuskan peristiwa berdarah pertempuran kaum
pada 13 Mei 1969. Kesabaran orang Melayu ketika itu nyata terlebih uji dan provokasi yang
keterlaluan tidak dapat menahan kemarahan orang Melayu dari meluap.

Terkandung pengajaran penting daripada Peristiwa Natrah di Singapura pada Disember


1950 dan Peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur pada tahun 1969. Pertama: berkaitan jati diri
Melayu dalam konteks Nusantara; kedua: agama Islam yang menjadi jati diri bangsa
Melayu; ketiga: jati diri bangsa untuk mendapatkan kemerdekaan dan juga
mempertahankan kemerdekaan; keempat: orang Melayu mempunyai batas dalam sifat
terbukanya. Bahawa agama Islam yang menyeru kepada perdamaian dan bangsa Melayu
yang bersifat sopan dan sedia menerima bangsa lain, mempunyai batas sempadan
kesabaran; selagi agamanya tidak dicabar, selagi adat budaya bangsanya tidak dipijak -
selagi kehormatan dan maruah bangsanya tidak dihina, selagi salah silah warisan sejarah
tanah airnya tidak diungkit.

Hari ini umat Melayu Islam sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti,
menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya. Melayu
dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat
membina modal keupayaan umat yang kuat. Bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya
ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat
towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang
berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya
menambahkan lagi kelemahan ummah.

Budaya berpolitik yang sedang berlaku telah memunculkan ketaksuban baru, menjelmakan
budaya asabiah, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan kepada kumpulan wajib
diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh.

4
Akhirnya manusia Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan
mencari kelemahan antara satu sama lain. Baik kata-kata yang diungkapkan - mahupun
tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah yang
lebih rendah.

Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang
akan terus berlaku lagi. Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai
topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat - memperdayakan bangsa demi
memenuhi nafsu sendiri. Bangsa bagaikan sedang menghitung hari untuk dapat terus
bertahan di tampuk kuasa. Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus
berlanjutan, akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang
menang, kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu.
Kukur apa kepada kukur, kelapa juga yang binasa.

Demi meningkatkan keupayaan modal umat, insan Melayu Islam wajib belajar dari
kesilapan, wajib meneliti keterlanjuran yang dilakukan, dan Kembalilah! Kembalilah ke
pangkal jalan - Lakukanlah! Lakukanlah pembetulan.

Insan Melayu Islam hendaklah bijaksana mengenal kawan - hendaklah arif mengenal
lawan; jauhkan diri dari berpatah arang - berkerat rotan dan merenung akan pentingnya
menjiwai semangat kiambang yang kembali bertaut selepas biduk berlalu. Jangan sampai
umat Melayu Islam menjadikan dirinya kuda trojan memudahkan musuh masuk ke dalam
kota bangsanya.

Usaha penyatuan ummah amat wajib dirintis dan melalui penyatuan tersebut dibina modal
keupayaan dalam semangat serumpun bangsa - sealiran agama. Kesetiaan kepada
perjuangan yang murni lagi suci haruslah mengatasi kesetiaan kepada individu atau
kesetiaan kepada kumpulan. Berpijaklah kepada kenyataan - berpandulah kepada akal
fikiran. Semarakkan semangat silaturahim - hayati semangat bermaaf-maafan. Bahawa
Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu.

Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat
keesaan Allah, Tuhan yang satu, dan Nabi Muhammad SAW itu adalah Rasul junjungan,
Quran itu kitab pegangan, dan secara bersama sepakat menghadap kiblat melakukan ibadat
sembahyang, serta menerima orang Islam itu sebagai saudara.

Semoga barang disimpangkan oleh Allah SWT juga, Melayu Islam di bumi ini daripada
ditimpa petaka - dihujani bala, hingga tidak bernegara lagi. Sekurang-kurangnya kata dan
ungkapan Paduka Anakanda ini menjadi bukti lafaz setia kepada takhta pemerintahan Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan serta tanda kasih kepada negeri
dan bangsa; agar nanti apabila Paduka Cucunda Raja Azlan Muzzaffar Shah telah
mencapai usia dewasa, tidak akan dia menyalahkan Paduka Anakanda atas
ketidakberanian Paduka Anakanda memberikan peringatan kepada bangsa.

Bahawa yang perlu dipertahankan itu, bukan sekadar batang tubuh peribadi seorang Raja
tetapi Kerajaan Baginda; kerana tanpa Kerajaan tidak akan wujud sebuah negara, tanpa
negara apalah ertinya suatu bangsa.
Utusan Malaysia, Rabu 15 Julai 2009

'RINTIS PENYATUAN MELAYU'

Oleh ANI AWANG


pengarang@utusan.com.my

IPOH 14 Julai - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu usaha penyatuan umat
Melayu dirintis bagi membina keupayaan kaum itu dalam semangat serumpun bangsa dan
sealiran agama.
5
Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai, baginda bertitah semua pihak harus
mengetepikan kesetiaan kepada individu atau kumpulan.

"Berpijaklah kepada kenyataan, berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat


silaturahim, hayati semangat bermaaf-maafan, bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu
agamamu.

"Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat
keesaan Allah, Tuhan yang satu dan Nabi Muhammad SAW itu ialah Rasul Junjungan, al-
Quran itu kitab pegangan dan secara bersama menghadap kiblat melakukan ibadat
sembahyang, serta menerima orang Islam itu sebagai saudara," titahnya.

Baginda menyatakan demikian dalam titah utama bertajuk Islam dan Melayu: Modal
Pengupayaan Umat pada majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 oleh
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Dewan Bankuet bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri
di sini hari ini.

Raja Nazrin menegaskan, budaya berpolitik yang sedang berlaku menyebabkan ketaksuban
baru sehingga menjelma budaya assabiyah, yang mengutamakan kesetiaan kepada
kumpulan berbanding kelangsungan ummah.

Titah baginda, keadaan itu akhirnya menyebabkan Melayu Islam terperangkap dalam
perlumbaan mencari kesalahan dan kelemahan antara satu sama lain.

Lebih malang lagi, menurutnya, apabila kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan
yang dilakukan, semakin hari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah.

"Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang
akan terus berlaku lagi? Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai
topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat, memperdaya bangsa demi
memenuhi nafsu sendiri?" titah baginda.

Raja Nazrin mengingatkan, jika perkara itu terus berlaku maka bangsa Melayu hanya
menghitung hari untuk kehilangan tampuk kuasa.

"Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan akan bertambah
binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang.

"Ini kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu," titahnya.

Baginda bertitah, umat Melayu Islam kini sedang menghadapi cabaran besar menyentuh
identiti, maruah, martabat dan kelangsungan bangsanya.

"Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam
hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat.

"Namun, bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu,
yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat personaliti melangit jauh lebih kecil.

"Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah
kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah,"
titah baginda.

Lebih malang lagi, menurutnya, apabila kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan
yang dilakukan, semakin hari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah.

6
“Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang
akan terus berlaku lagi? Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai
topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat, memperdaya bangsa demi
memenuhi nafsu sendiri?” titah baginda.

Raja Nazrin mengingatkan, jika perkara itu terus berlaku maka bangsa Melayu hanya
menghitung hari untuk kehilangan tampuk kuasa.

“Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan akan bertambah
binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang.

“Ini kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu,” titahnya.

Baginda bertitah, umat Melayu Islam kini sedang menghadapi cabaran besar menyentuh
identiti, maruah, martabat dan kelangsungan bangsanya.

“Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam
hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat.

“Namun, bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu,
yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat personaliti melangit jauh lebih kecil.

“Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah
kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah,”
titah baginda.

Utusan Malaysia, Rabu 15 Julai 2009

UNIFICATION OF MALAYS IS MOST IMPORTANT - RAJA NAZRIN


15/07/2009 3:06am

IPOH July 14 — It is obligatory for the Malays to make efforts to unite to build human capital
in the spirit of a common race and religion, said the Raja Muda of Perak, Raja Dr Nazrin
Shah.

In his speech entitled ’Islam and the Malays: the Muslims’ Human Capital’ at the Muslim
Intellectuals Discussion 2009, here today, he said loyalty to a cause that was noble and holy
should be given more importance than loyalty to the individual or group.

“Be realistic - be governed by reasoning. Spread the spirit of friendship - believe in the spirit
of forgiveness. Malay is your race and Islam is your religion,” he said.

Raja Dr Nazrin said the Malays today were facing a major challenge concerning identity,
integrity, status and survival of the race. “The number of Muslim Malays is small. The
number of Muslim Malays with knowledge, who are professionals, rich, possessing the
qualities of towering personality is even much smaller.

“The separation of the Malays and Islam in differing groups, who are being led by
personalities who refuse to meet with one another, will certainly weaken the Muslims even
further,” he said.

The Raja Muda said the current political culture had created a new obsession, the
emergence of a group culture, promoting the belief that loyalty to the group must be given
priority above the survival of the ummah.

7
He said the Muslim Malays would eventually be trapped in the race to find faults and
weaknesses among themselves which would weaken the race even further.

“As a result, the human capital of the Muslims became weaker. How many more of them are
prepared to become opera actors, wear the Muslim and Malay masks, to ridicule the ummah
- dupe the community to fulfill their own desire,” he said.

Earlier, the Sultan of Perak, Sultan Azlan Shah officially declared the discussion open.

Three working papers would be tabled at the discussion organised in conjunction with the
81st birthday anniversary of Sultan Azlan. The papers would be presented by the President
of Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, Datuk Dr Sidek Fadzil; the Vice-Chancellor of Kolej
Universiti Islam Antarabangsa Melaka (KUIM), Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusuf
Hashim and the President of the ’Teras Keupayaan Melayu’ (Teras), Mohd Azmi Abdul
Hamid.

— BERNAMA

Utusan Malaysia Online (English Version), Rabu 15 Julai 2009

MELAYU BERJAYA SELAGI BERSATU, HAYATI ISLAM


Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
bhnews@bharian.com.my

Ummah perlu diperkukuh hadapi cabaran: Sultan Perak

IPOH: Bangsa Melayu perlu diberi peringatan, panduan dan bimbingan sepanjang hayat
untuk terus maju dan bersatu padu serta bijak menggunakan sumber harta, kekayaan,
kewangan dan modal insan.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah kuat atau lemah bangsa itu bergantung kepada
kejayaan orang Melayu membina perpaduan.

“Dalam hasrat membina perpaduan yang kukuh, bangsa perlu bijak mencari kejernihan dan
membuang yang keruh, bersandarkan semangat persaudaraan Islam.

“Bangsa Melayu hari ini perlu berusaha mencari titik pertemuan supaya bangsa itu akan
terus memiliki daya tahan dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi,” titah
baginda menyempurnakan Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di sini, semalam.

Turut berangkat Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara
Salim dan Raja di-Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri
Harussani Zakaria.

Sultan Azlan bertitah, jika bangsa Melayu menghayati ajaran Islam sepenuhnya dan
penghayatan itu dijelmakan dalam segenap aspek pekerjaan dan kehidupan harian,
kejayaan bangsa akan terus ditingkatkan dan perpaduan bangsa akan bertambah erat.

Titah baginda, dengan menghayati Islam sepenuhnya, bangsa Melayu akan didorong
mengamalkan etika kerja yang tinggi, bersih, cekap dan amanah, bebas daripada salah
guna kuasa, penyelewengan atau melakukan rasuah.

8
“Jika bangsa Melayu dapat disemai dan memiliki sifat sedemikian, bangsa Melayu akan
menjadi bangsa yang mulia, dihormati dan disegani, sebaliknya, bangsa yang gagal
menghayati dan mengamalkan sifat sedemikian akan jatuh dan terpinggir di dunia ini,” titah
baginda.

Sementara itu, Raja Nazrin dalam ucapan utama pada muzakarah itu bertitah, budaya politik
negara kini mewujudkan ketaksuban baru, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan
kepada kumpulan wajib diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang lebih
menyeluruh.

“Ketaksuban itu mengakibatkan orang Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan


mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain. Baik kata yang
diungkapkan, mahupun tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret
bangsa jatuh ke lembah yang lebih rendah.

“Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan
topeng Melayu, mempersendakan umat, memperdaya bangsa demi memenuhi nafsu
sendiri.

“Bangsa bagaikan sedang menghitung hari untuk terus bertahan di tampuk kuasa.

“Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, akan bertambah
binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang, kerana yang
menang menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah, penubuhan Umno pada 1946 dan Pas pada 1951 mewujudkan
dinamik politik berteraskan gerakan nasionalisme Melayu dan dinamik politik berpaksikan
Islam.

Titah baginda, kewujudan parti politik berteraskan kebangsaan Melayu dan parti politik
berpaksikan Islam.

Baginda bertitah, sepatutnya politik berakarkan bangsa dan berpokokkan Islam berupaya
memperkuat modal pengupayaan umat, menyuburkan pohon yang kukuh, tidak goyang
ditiup angin, tidak goncang dilanda ribut.

Berita Harian, Rabu 15 Julai 2009