DIA YANG KU CINTA EP 1 Pintu masuk kedai itu dibukanya dengan sedikit tergesa-gesa.

Sebaik sahaja pintu terbuka, dia pantas memetik suis lampu dan pendingin hawa di belakang meja. Beg sandangnya diletakkan ke bawah meja. Belum pun dia bersedia untuk tugasnya., seorang lelaki masuk ke kedai itu. Pelanggan pertama malam itu. Tanpa mengukirkan senyuman seperti biasa yang dilakukannya, gadis itu pantas menghidupkan tujuh buah komputer yang tersusun menghadap dinding kaca. Malam ini dia agak lewat membuka kedai. Biasanya selepas solat Maghrib dia akan terus membuka Service Center itu. Tetapi hari ini dia hampir terlupa tugasnya dek kerana sibuk mengulangkaji pelajaran. Setelah berpuas hati dengan keadaan komputer dan pencetak yang berfungsi dengan baik, dia melangkah ke kerusi empuk berwarna biru. Sambil itu dia menjeling ke arah lelaki yang masuk tadi. Lelaki yang memakai jaket yang berlambangkan logo kolej itu sedang membelek-belek beberapa batang pen di bahagian alat tulis. Tanpa menghiraukan lelaki itu lagi, Iza mencapai buku nota subjek Fizik dari begnya. Pukul 9 nanti dia akan menghadapi ujian dua subjek berkenaan. “Macam mana nak pesan majalah?” Hampir sahaja buku di tangan terlepas dari pegangannya. Terkejut dia dengan pertanyaan tiba-tiba itu. Lelaki yang masuk tadi kini sudah berdiri di hadapannya. Lelaki itu tersenyum manis. Iza mancapai sehelai borang pesanan yang disediakan tanpa sedikit pun membalas senyuman itu. Dia terlalu risau akan ujian yang akan dihadapinya sebentar lagi. Apabila borang sudah bertukar tangan, Iza menatap notanya kembali. “Er…macam mana nak isi?” Iza mengeluh berat. Hatinya sedikit geram. Apa yang susah sangat nak isi borang itu? Selama ini tidak ada satu pun komen yang didengarinya mengenai borang itu. Semuanya pandai mengisi sendiri borang. “Isi nama, nombor telefon dan majalah yang nak dipesan,” jelas gadis itu separuh ikhlas. “Nombor telefon nak juga ke ?” Iza mengeluh lagi. Kenapalah di saat-saat dia risau begini terpaksa berhadapan dengan pelanggan seperti itu. Kalau bukan kerana abang Pian yang meminta dia tunggu sekejap, pasti dia kini boleh mengulangkaji dengan lebih tenang. Fizik adalah subjek yang agak susah baginya. Risau juga sekiranya gagal dalam ujian itu. “Nombor telefon tu untuk kami hubungi bila majalah dah ada. Tak perlulah awak datang sini untuk tanya,” jelas gadis itu lagi. Kali ini dia sudah memberi perhatian pada pelanggannya itu. Ditenangkan sedikit hatinya. Tetapi matanya jarang dipanahkan ke wajah lelaki itu. Dia mudah berasa malu apabila memandang wajah lelaki yang tidak pernah ditemuinya.Mata gadis itu jatuh pada kad matrik yang dipakai lelaki itu. Serta-merta dia bagaikan tertarik dengan nama yang tertera di situ. Faizul Amin. Sekali lagi dia memandang wajah itu. Lelaki yang berwajah sederhana dengan kaca mata tanpa bingkai. Wajahnya dihiasi dengan sedikit kumis dan janggut yang dijaga rapi. Dengan penampilan sederhana itu, Iza tidak menafikan bahawa lelaki seperti itulah yang diminatinya. Mungkin kerana itu debaran di dadanya bagaikan lari dari rentak biasa. Melihat kad matrik lelaki itu, dia pasti mereka adalah dari kemasukan yang sama. Cuma bezanya lelaki itu adalah pelajar ijazah. Sedang dia melayan perasaan, telefon di belakang berbunyi. Gadis itu sedikit hairan. Siapa pula yang telefon. Biasanya telefon itu hanya digunakan ketika siang untuk urusan kedai. Dia pantas mengangkat gagang telefon. “Hello.”

“Iza, ujian dah nak mula.” “Apa?” Dia pantas memandang jam di tangan. Baru pukul 8.30. Setahunya ujian hanya akan bermula pada pukul sembilan. Hatinya semakin risau. Abang Pian masih belum tiba untuk menggantikannya. “Cepatlah datang dewan.” Suara Nurul kedengaran lagi di hujung talian. “Ok, ok. Aku datang sekarang,” balas Iza separuh cemas. Dia meletakkan gagang kembali. Rasa paniknya muncul. Apa yang perlu dia buat sekarang. Lelaki bernama Faizul Amin tadi sudah pun keluar dari kedai. Nampak gayanya terpaksalah dia tutup sahaja kedai. Ketika dia bergegas keluar, abang Pian muncul. Iza mengeluh lega. “Eh! Kata ujian pukul 9,” tegur senior tahun lima itu. “Entahlah, tadi Nurul telefon kata ujian dah nak mula.” Dia terus keluar dengan perasaan cemas. Kalau betul ujian sudah hampir bermula, pasti perhatiannya pada ujian akan terganggu. Sebaik sahaja keluar dari kedai, dilihatnya lelaki itu masih lagi berada di luar. Dapat dirasakan wajahnya mula terasa panas dek malu. Seakan tidak menghiraukan lelaki itu, dia mencapai sandal di atas rak. “Eh, kita sebaya ke?” Lelaki itu bertanya tiba-tiba. Iza mengangkat wajahnya, memandang tepat ke wajah lelaki itu. Lelaki itu tersenyum lagi sambil memerhatikan kad matrik yang tergantung di lehernya. “Buat part time ke kat sini?” Tanya lelaki itu lagi. Buat kali pertama Iza mengukir senyuman sambil mengangguk untuk mengiyakan. “La.. saya ingatkan bukan student,” ujar lelaki bernama Faizul Amin itu lagi. Iza tertawa kecil. Memang ramai yang menganggap dia bukan pelajar kolej berkenaan. Yalah, jarang boleh lihat pelajar kolej itu membuat kerja sampingan seperti itu. “Nak pergi mana ni?” “Er… saya ada ujian kejap lagi.” ‘Oh…gitu. Tak apalah. Good luck ye,’ ucap lelaki itu mesra. “Thanks,” balas gadis itu sambil mengukir senyuman. Kali ini rasa malunya sudah semakin berkurangan. Cuma terasa hangat di hati dengan kemesraan lelaki itu. Debaran di dadanya sudah semakin berkurangan, tidak seperti mula-mula dia menatap wajah itu. Setelah mengucapkan terima kasih, Iza melangkah terus ke Dewan Peperiksaan tanpa berpaling lagi pada lelaki itu. Namun nama dan wajah itu pasti tidak akan dilupakan. Apatah lagi suara bernada mesra itu. Untuk pertama kali dalam hidup gadis berusia 18 tahun itu, dia dapat merasakan kehangatan menyentuh ke dasar hatinya. Begitu indah, begitu mengasyikkan perasaannya. EP 2 Hidup sebagai pelajar kolej ada masanya gembira dan ada masanya masalah pasti melanda. Hidup sebagai remaja, penuh cabaran. Salah pilihan, masa depan pasti tergugat. Harapan ibu bapa, kemahuan sendiri dan masalah cinta sering memberatkan fikiran remaja. Iza tidak terkecuali. Cuma semangat dan iman sahaja dijadikan pegangan supaya tidak mudah terpesong ke jalan yang salah. Hidupnya masih lagi jauh untuk dilalui jika usianya panjang. Dia tidak rela andai masa depan hilang entah ke mana kerana kesilapan di usia remajanya. Tengah hari itu, setelah menikmati juadah tengah hari Iza melangkah ke Student Service

Center. Sementara menunggu kelas seterusnya, dia ingin melayari internet untuk mencari bahan bagi tugasan yang diberi pensyarah. Dari jauh dilihatnya kedai agak sesak dengan pelajar. “Hai Iza. Dah makan?” Tegur Kak Lun sebaik saja dia melangkah masuk. Iza hanya tersenyum sambil mengangguk. “Ada komputer kosong, kak?” “Hm…yang satu tu tak ada orang pakai. Iza guna sajalah,” beritahu wanita itu sambil menunding jari ke sebuah komputer di hujung sekali. Iza mengukir senyuman lantas melangkah ke komputer itu. Dua orang pelajar perempuan berada di komputer sebelah. Iza mengeluarkan buku catatannya untuk melihat maklumat yang ingin dicarinya. Semasa asyik menghadap komputer, Iza perasan akan kehadiran dua orang pelajar lelaki di sebelahnya. Dari perbualan mereka dengan dua pelajar perempuan tadi, dia dapat mengangak yang mereka datang untuk membantu. Iza buat endah tak endah walaupun dia ternyata kurang senang dengan kehadiran dua pelajar itu. Hinggalah suatu ketika, Iza menoleh ke arah empat orang pelajar yang sedang berbincang tentang tugasan mereka itu. Tersentak hati gadis itu seketika apabila menyedari bahawa di sebelahnya adalah Faizul Amin, lelaki yang telah menarik minatnya seminggu yang lalu. Iza menganjakkan kerusinya sedikit apabila menyedari keadaan mereka yang kelihatan tidak selesa. Lelaki bernama Faizul Amin itu tersenyum tanda mengucapkan terima kasih. Iza membalas senyuman dengan rasa debaran di dada. Seperti mana kali pertama dia bertemu lelaki itu, begitulah perasaannya kini. Kelu dirasakan lidah dan degup jantung yang bagaikan dapat memecahkan dindng dadanya. Entah mengapa Iza begitu mengharapkan Faizul Amin akan menegurnya. Tetapi lelaki itu terus berpaling, berbincang tentang tugasan tanpa menghiraukannya. Hampa rasa hati gadis itu. Lupakah lelaki itu akan dirinya. Hatinya mengeluh sendirian. Namun kemudian ditenangkan hatinya. Mungkin benar lelaki itu tidak mengingati wajahnya. Pertemuan pertama mereka terlalu singkat dan bukanlah dirancang. Tetapi bagi Iza, untuk melupakan wajah itu tidak sekali-kali. Bagaimana harus dilupakan wajah yang telah meruntun hatinya. Wajah itu jugalah yang telah membuatkan dia merasakan suatu perasaan yang indah buat pertama kali dalam hidupnya. Hidup perlu diteruskan walau banyak masalah melanda. Itulah prinsip hidup Iza, seorang gadis yang tabah berdikari dalam mengharungi zaman remajanya. Pinjaman PTPTN yang sepatutnya diterima seawal semester masih belum diterimanya. Kerana itu dia terpaksa membuat kerja sampingan di kedai serbaneka yang dipanggil Student Service Center itu. Dia tidak mahu menyusahkan ibu bapanya. Dengan bayaran dua ratus ringgi sebulan, cukup untuk dia menampung hidupnya di kolej itu. Selain itu kerja sampingan itu juga membolehkan dia menggunakan komputer dan mencetak tugasan dengan percuma serta mendapat potongan harga bagi barang yang dibelinya. Kak Lun juga banyak mengajar dia tentang banyak perkara. Walaupun ada masanya kedai sibuk dan dia hanya berseorang menjaga kedai namun keadaan tetap dapat dikawal.

Di dalam kelas, Iza agak pendiam. Pergaulannya terlalu terhad. Mungkin kerana kesibukannya, dia jarang keluar bandar seperti rakan-rakan yang lain. Cuma pada rakan sebilik sahaja dia banyak berbual. Bagi gadis itu dirinya adalah biasa, tiada yang istimewa. Namun bagi yang melihat gaya hidupnya ramai yang menganggap dia seorang yang unik. Bagi Iza, masalah cinta tidak terlepas dari hidupnya. Dalam kesibukan, dia masih sempat mengenali seorang lelaki yang tidak pernah ditemuinya. Bukan bermakna perkenalan itu tanda dia telah melupakan Faizul Amin. Nama, wajah dan suara lelaki itu masih lagi melekat di fikirannya. Walaupun sering bertembung namun lelaki itu tetap seakan tidak perasan akannya. Cuma dia sahaja yang sering merasakan sesuatu tiap kali bertembung dengan lelaki itu di kolej. Perkenalan Iza dan Faiz juga secara tidak sengaja. Walaupun jarak memisahkan namun itu tidak menghalang mereka saling berkenalan dengan lebih dekat. Hinggalah suatu hari, mereka bertemu setelah dua bulan saling berhubung melalui telefon. Selepas selesai menduduki kertas peperiksaan terakhir, Iza bersiap untuk bertemu Faiz di Bandar Batu Pahat. Dia mengenakan baju kurung kerana teringat akan kata-kata Faiz yang dia suka gadis yang berbaju kurung. Dia mahu kelihatan cantik di hadapan lelaki itu. Iza tidak menafikan dia sedikit berdebar untuk berhadapan dengan Faiz buat pertama kali. Walaupun dia pernah melihat gambar lelaki itu namun debarannya masih lagi terasa. Tetapi debaran itu tidak sama ketika dia kali pertama bertemu Faizul Amin. Iza mengeluh sendiri apabila teringat lelaki itu. Dia sedar dirinya sudah jatuh hati pada lelaki itu. Kalau tidak, tidak mungkin dia akan terasa kaku hanyak kerana terlihat lelaki itu. Wajahnya terasa panas hanya memandang lelaki itu dari jauh. Tetapi sayang Faizul Amin seakan tidak pernah bertemunya. Tidak pernah memandang apatah lagi menegurnya seperti pertama kali dahulu. Perlahan dia menghela nafas panjang. Matanya dipejam erat. Dia ingin melupakan bayang Faizul Amin dari ingatannya. Mungkin lelaki itu bukanlah untuknya. Buat apa dia mengingati orang yang tidak pernah mengingatinya. Setelah beberapa ketika, Iza merasakan hatinya sedikit tenang. Dia mencapai beg sandang yang menjadi trend pada masa sekarang. Beg itu dipinjam dari Nurul, rakan sebiliknya. Jika selama ini dia jarang berbaju kurung dan kelihatan seperti tomboy namun hari ini imejnya ketara berubah. Dia mahu Faiz berpuas hati melihat perubahannya. Iza melangkah meninggalkan bilik dengan rasa debaran. Di fikirannya dia cuba membayangkan bagaimanakah pertemuannya dengan Faiz nanti. Namun jauh di sudut hati dia tahu, bayang Faizul Amin masih lagi gagal disingkir dari ingatannya. EP 3 Iza tersentak. Wajah Faiz direnungnya seakan tidak percaya dengan kenyataan lelaki

itu. Dia cuba mencari ketulusan pada wajah itu. Lelaki itu tersenyum seakan mengerti dengan apa yang dirasainya kini. Tetapi Iza seakan tidak dapat melihat keikhlasan di wajah itu. Adakah kerana perasaannya yang sememang tidak menentu atau sememangnya Faiz hanya bergurau. “Awak serius ke?” Soal Iza untuk memastikan kebenaran. “Saya serius. Awak tak percaya?” “Entahlah,” balas gadis itu lantas melepaskan satu keluhan. Dia bagaikan bingung seketika. Perasaannya bagaikan berbelah bahagi. Bukankah ini yang diharapkannya dari pertemuan ini. Tetapi mengapa dia seakan tidak percaya, seakan tidak mahu ini berlaku. Iza merasakan mahu sahaja dia lari dari situ. Apatah lagi dia bagaikan melihat bayang Faizul Amin melambai-lambai ke arahnya. “Kenapa saya?” “Saya rasakan awak yang paling sesuai. Saya mahukan seorang wanita di sisi saya.” Faiz bersuara lembut tetapi ia langsung tidak menarik hati gadis itu. “Awak masih lagi tak kenal saya. Orang di hadapan awak ini bukan seperti yang awak harapkan,” jelas Iza jujur. Dia merasakan masih lagi belum bersedia untuk mencintai lelaki itu. Dia sukakan Faiz tetapi tidak bermakna dia mencintai. Hatinya sudah terpaut pada seseorang yang ternyata tidak mengerti perasaannya itu. “Kita boleh belajar tentang diri masing-masing, Iza. Bila masa dah sesuai, kita boleh disatukan.” Iza terasa semakin kaku. Seram dirasakan mendengar kata-kata itu. Dia sedar Faiz sudah matang. Dia sudah 25 tahun. Tetapi dirinya masih terlalu muda untuk memikirkan sebuah hubungan yang menuntut komitmen. “Awak tak sukakan saya?” “Bukan begitu.” “Sudah tu?” Iza bagaikan tertekan dengan pertanyaan ringkas itu. Faiz seakan menuntut jawapan pada masa itu juga. Bagaimana harus dijelaskan. Dia bukan sahaja tidak bersedia malah perasaannya pada lelaki terasa begitu rapuh. Bila-bila masa boleh hancur berkecai. “Berikan saya masa untuk memikirkannya,” pinta Iza separuh merayu. Dia ingin menolak sahaja tawaran kasih itu. Namun jauh di sudut hati, dia juga ingin mencintai dan dicintai. Dia juga seperti remaja lain yang ingin diingati oleh orang lain dengan penuh kasih sayang. “Okey, malam ini saya telefon awak.”

“Secepat itu?” “Buat apa nak lambat-lambat. Kalau betul awak ikhlas, tidak ada perasaan pada orang lain, sekarang pun awak dah bersetuju.” Iza tersentak dengan kata-kata itu. Wajah Faiz sudah hilang dengan senyuman. Untuk sekian kalinya Iza cuba melenyapkan bayang Faizul Amin. Namun semakin kuat dicubanya namun semakin kukuh bayang itu di kotak fikiran. Bila-bila masa Faiz akan menghubunginya, meminta jawapan yang dijanjikan. Namun Iza masih buntu, sukar membuat keputusan yang terbaik. Pulang sahaja dari pertemuan petang tadi, Iza terus meminta pendapat rakan sebiliknya. Mereka memang mengetahui perhubungannya dengan Faiz tetapi tidak tentang perasaannya pada Faizul Amin. Nurul beria-ia menyuruhnya menerima sahaja Faiz. Tetapi Fiza menasihatinya agar berfikir panjang. Jarak umur antara dirinya dan Faiz begitu ketara. Lagi pun mereka baru sekali bertemu. Berbual di telefon dan bertemu ada banyak perbezaan. Faiz menghubunginya tepat jam 9.30 malam. Tanpa bertanya keadaannya, dia terus bertanya tentang jawapan yang dijanjikan. Iza sedikit berkecil hati. Walaupun selama ini Faiz jarang bertanya tentang keadaan dirinya namun dirasakan dia harus mula berbuat demikian. Jika benar dia ingin memiliki dirinya dengan ikhlas, Faiz seharusnya lebih mengambil berat tentang dirinya. “Macam mana? Boleh saya tahu jawapan awak sekarang?” “Saya masih belum bersedia,” ujar Iza perlahan. “Tak apa, awak boleh belajar menerima saya. Saya pun akan belajar memahami awak.” Iza terdiam. Jujurkah lelaki itu dengan kata-katanya? Bolehkah dia mempercayai lelaki yang berada jauh darinya, yang hanya menghubunginya sekali seminggu? Bolehkah dia mengikut rentak lelaki yang ternyata lebih matang darinya itu? “Kalau awak tak beri peluang, bagaimana awak nak tahu hasilnya. Setiap hubungan itu kita tak akan dapat pastikan bagaimana akhirnya.” Iza bagaikan termakan dengan kata-kata itu. Namun akalnya pantas membidas. Cinta bukan suatu eksperimen baginya. Kalau gagal, boleh berpisah begitu sahaja. Dia mahukan cinta sejati, cinta yang dia tahu ada penghujung penuh makna. Tetapi adakah cinta sejati itu ada pada lelaki yang tidak mengerti perasaannya? Lelaki yang langsung tidak menyedari kehadirannya? Lelaki yang langsung sudah melupakannya? Iza tidak tahu adakah itu keputusan sebenarnya. Akhirnya dia menerima Faiz untuk memulakan sebuah percintaan. Dia bagaikan hilang dalam dirinya sendiri ketika memberi jawapan itu. Dirasakan bukan dirinya yang bersuara memberi jawapan.

Mungkin. Ya mungkin suaranya tetapi bukan hati dan fikirannya. Hati dan fikirannya sudah melayang bersama angan-angan untuk bersama Faizul Amin, lelaki yang tidak mengerti perasaannya. EP 4 Tidak banyak yang boleh dilakukan Iza sepanjang cuti empat minggu itu. Dua minggu pertama dia berada di kampung. Duduk di rumah dia hanya berkurung tanpa keluar ke mana-mana. Dia bukanlah kaki jalan seperti kebanyakan rakan-rakannya. Kerana itu minggu ketiga, dia ke rumah kakaknya di Puchong. Di rumah kakak dia turut merasa bosan. Kakak keluar bekerja pada waktu pagi dan hanya pulang menjelang malam. Rakan-rakan serumah kakak juga selalu keluar. Hanya sekali dia dibawa berjalan sekitar bandar Shah Alam. Hari sebelum dia pulang ke kampung, abangnya yang sulung datang untuk membawa dia ke rumah pak cik di Selayang. Pada malam itu, Along banyak memberi nasihat padanya. Along seakan dapat menghidu yang dia kini sudah mempunyai kekasih. Entah bagaimana boleh diketahui oleh lelaki itu pun Iza tidak pasti. Sepanjang di kampung hanya sekali dia menghubungi Faiz. Itupun untuk memberitahu lelaki itu yang dia sudah selamat sampai di kampung. Selepas itu dia langsung tidak menghubungi. Faiz juga lansung tidak menelefon walaupun dia sudah memberi nombor telefon rumahnya. Iza mula berasa kecil hati yang akhirnya menjadi sakit hati. Dia tidak akan lupa peristiwa semasa Faiz menghantarnya ke stesyen keretapi di Kluang. Sepanjang menaiki bas dari Parit Raja, dia tidak habis dileteri hanya kerana tidak memakai baju kurung. Sakit hatinya dengan tindakan lelaki. Tidak fahamkah lelaki itu, dengan dua buah beg yang dibawanya adalah lebih senang memakai jeans dan tshirt. Apabila dia cuba mempertahankan tindakannya tidak memakai baju kurung, Faiz semakin meninggikan suara. Akhirnya dia hanya mendiamkan diri, tanpa sedikit pun memandang lelaki itu. Sehingga keretapi meninggalkan stesyen Kluang, dia langsung tidak memandang Faiz yang berdiri di ruang menunggu. Saat itu dia terasa begitu menyesal kerana menerima lelaki sebegitu. Baru sehari bergelar kekasih, sudah mula mengokong dirinya. Malam itu dia terasa sukar untuk melelapkan mata. Nasihat Along terus terngiangngiang di telinganya. “Jangan mudah menerima lelaki tanpa berfikir panjang. Selidik dahulu latar belakang lelaki itu sebelum memberi jawapan.” “Jangan mudah terpengaruh hanya kerana ingin bercinta seperti orang lain. Tidak mati pun jika tidak bercinta macam orang lain.” “Kalau berjumpa orang yang dirasakan sesuai, biarlah emak dan ayah melihat lelaki itu dahulu sebelum mula bercinta. Biarpun hanya bercinta, sekurang-kurangnya emak dan ayah tahu dengan siapa Iza berkawan.” “Jika hati merasa ragu, mintalah petunjuk Tuhan kerana Tuhan lebih mengetahui

tentang hamba-Nya. Buatlah solat Istikharah, Insya Allah Tuhan akan memberi petunjuk pada kita.” “Cinta ini bukan permainan. Biarlah cinta itu ada hala tujuan. Biarlah sampai ke jinjang pelamin kalau diizinkan Tuhan.” “Jika benar lelaki itu baik, emak dan ayah pun merestui, janganlah sampai terpesong. Banyak cabaran jika bercinta ini, Iza.” “Along bukan nak membantah Iza bercinta. Bercintalah jika benar lelaki itu benar-benar baik dan ikhlas. Tetapi jagalah diri kerana dirimu hanyalah untuk lelaki yang bernama suamimu.” Iza terasa sebak mengenangkan kesilapannya. Ternyata menerima Faiz dahulu adalah satu kesalahan. Dia menerima tanpa mengetahui lebih banyak tentang lelaki itu. Lagipun sepanjang berjauhan ini dia langsung tidak merindui lelaki itu. Hanya sakit hati yang menemani. Saat itu Iza berazam untuk melupakan rasa hatinya yang ingin mencintai dan dicintai. Ternyata sekarang adalah masa untuknya menumpukan perhatian pada pelajaran. Dia mahu melakukan yang terbaik sepanjang tiga tahun pelajarannya di kolej. Selepas tamat pengajian barulah dia akan memikirkan soal cinta. Itulah azamnya tika itu. Saat itu nama Faiz sudah terpadam dari ingatannya. Begitu juga Faizul Amin yang sememangnya sudah hampir dilupakannya. Iza pulang ke kampus dua hari sebelum semester baru bermula. Nurul sudah pun sampai lebih awal darinya. Pada temannya itu diceritakan kisahnya dan Faiz. “Kau dah nekad nak berpisah dengan dia?” “Macam itulah nampaknya. Aku menyesal sebab terima dia tanpa fikir panjang,” keluh Iza perlahan. Dia sememangnya sudah nekad dan tidak akan berganjak dengan keputusannya itu. “Habis, apa dia cakap?” “Aku tak beritahu dia lagi. Aku ingat nak senyap saja. Lagipun aku dah tak pakai handset. Dia pun tak akan dapat cari aku lagi.” “Ala…dunia ini kecil. Esok-esok entah-entah engkau berjumpa dengan dia juga.” Iza terdiam. Dia sedar niatnya untuk mendiamkan diri bukanlah keputusan yang baik. Sepatutnya dia berterus terang dengan Faiz. Dia pun sebenarnya rasa tidak sedap hati jika hanya berdiam diri. “Jadi kau rasa, aku kena beritahu dia juga?” “Mestilah. Sekurang-kurangnya lepas ini kau boleh lupakan dia terus,” nasihat Nurul lagi. Iza mengangguk perlahan.

Dia mengambil dompetnya, mengeluarkan beberapa keping syiling dan terus keluar dari bilik. Fikirannya ligat memikirkan apakah yang harus dikatakan kepada Faiz nanti. Tetapi mujurlah dia hanya memberitahu melalui telefon. Sekurang-kurangnya jika lelaki itu bersuara kasar dia boleh terus meletakkan telefon. Janji dia memberitahu lelaki itu yang antara mereka sudah tiada apa-apa. “Hello.” Suara lelaki itu kedengaran di hujung talian. Iza terasa degup jantungnya begitu kencang tika itu. Fikirannya tiba-tiba bagaikan kosong, tanpa butir yang harus dikatakan. “Hello. Iza ke?” Suara itu kedengaran lagi. Masih ingat lagi rupanya dia pada aku, bisik gadis itu sendirian. Dia menghela nafas, cuba mengumpul kekuatan untuk mula bersuara. “Faiz, Iza ini.” “Iza, kenapa tak beritahu awak dah balik Batu Pahat? Saya baru telefon rumah awak. Emak awak cakap yang awak dah balik. Saya telefon handset awak tapi tak dapat.” Iza cuba mengumpul kekuatan lagi. Dia tidak mahu mengalah dengan kata-kata lembut seperti itu. Sekali keputusan sudah diambil, dia tidak mahu berpaling lagi. “Maaf, Faiz. Saya dah tak pakai handset lagi.” “Kenapa?” “Saya rasa cukuplah setakat ini hubungan kita. Saya sebenarnya tidak dapat menerima awak.” Tanpa menjawab soalan tadi, Iza terus mengungkap apa tersimpan di hatinya selama ini. Lelaki di hujung talian hanya terdiam, seakan terkejut dengan kata-kata itu. “Awak dah fikir masak-masak?” “Keputusan saya muktamad, Faiz.” Kedengaran keluhan berat di hujung talian. “Awak terlalu mudah mengalah, Iza.” “Bukan saya mudah mengalah. Tetapi saya langsung tiada perasaan pada awak. Saya tak dapat berikan peluang pada diri saya untuk menerima awak.” “Awak sukakan orang lain, bukan?” Iza tersentak dengan kata-kata bersahaja itu. “Saya…” “Sudahlah, Iza. Kalau awak sukakan orang lain, awak mesti beritahu saya dari awal. Bukan sekarang.” “Faiz…” “Terima kasih kerana melukakan hati saya.”

Klik! Telefon diletakkan. Iza bingung seketika. Aku melukakan hati diakah? Hatinya tertanya-tanya sendiri. Sepatutnya aku yang terluka kerana sikapnya yang membuatkan aku keputusan ini. Namun dapat dirasakan saat itu satu beban telah terlepas dari bahunya. Dia mengeluh lega bersama satu senyuman. Hatinya puasa dengan keputusan itu. EP 5 Semester baru sudah bermula. Semester ini Iza berazam lebih berusaha untuk pelajarannya. Keputusannya untuk semester lepas tidak begitu cemerlang. Iza agak kecewa namun tidak berputus asa untuk terus berusaha. Dia sedar sekiranya dia tidak berusaha keputusannya pasti lebih teruk. Namun Iza tetap kecewa kerana pinjaman PTPTN yang dipohonnya masih lagi belum diluluskan. Kerana itu dia terpaksa melakukan kerja sampingan seperti semester lepas. Semester itu dia memulakan tugas pada hari kedua dalam minggu pertama. Seperti biasa, tepat pukul enam petang dia sudah muncul di Student Service Centre. Kak Lun menyambutnya dengan senyuman. Wanita berusia pertengahan 30-an itu kelihatan sudah bersiap sedia untuk pulang. “Macam mana cuti, Iza? Seronok?” Tanya wanita itu mesra. Iza hanya tersenyum nipis sambil mengeleng. “Biasa saja, kak.” Kak Lun tersenyum mendengar jawapannya. “Kak Lun nak beri kerja tambahan pada Iza,” beritahu wanita itu kemudian sambil mengeluarkan dua helai kertas. Iza yang sudah meletakkan begnya mendekati wanita itu. “Selepas tutup kedai, Iza kena kira berapa banyak majalah dan kad telefon yang dah dijual. Jumlahkan semua ini dengan duit dari barang-barang lain. Lepas itu Iza masukkan semua duit yang ada ke dalam sampul surat dan letak dalam laci berkunci ini,” beritahu wanita itu panjang lebar sambil menunjukkan laci yang selama ini sentiasa berkunci. “Dalam mesin tinggalkan duit kurang dari dua puluh ringgit,” sambung Kak Lun sambil menyerahkan setangkai kunci. “Ini kunci laci. Jaga baik-baik sebab laci ini banyak benda berharga.” Iza mengangguk sambil mengambil kunci dari tangan wanita itu. Nampaknya kerjanya semakin banyak tanggungjawab. Dia tahu pendapatan kedai boleh mencecah seribu ringgit sehari. Iza memulakan tugas dengan rasa bosan. Selalunya awal semester begini tidak ramai pelajar yang datang. Masing-masing masih belum sibuk dengan tugasan. Jika tidak pasti kedai itu sibuk dengan mereka yang ingin mencetak dan menjilid tugasan masingmasing. Dalam kebosanan itu, Iza membuka laci berkunci tersebut. Niatnya sekadar ingin mengetahui apa yang terkandung di situ. Apabila laci dibuka, matanya tertarik pada

helaian kertas berwarna merah. Agak tebal kertas itu yang tersusun rapi. Melihat tulisan yang tertera di situ, barulah gadis itu teringat akan borang langganan majalah yang telah diedarkan sejak semester satu lagi. Kak Lun ada mengatakan yang langganan akan bermula semester ini. Iza sekadar melihat sekali lalu majalah-majalah yang ingin dilanggan oleh mereka. Sedang dia menyelak borang itu, dia terhenti pada sehelai borang langganan. Dia tertawa sendiri melihat nama majalah yang tertulis di situ. GS Mikami. Ingin mengetahui lebih lanjut, Iza menarik borang itu keluar dari ikatannya. Nama yang tertera di situ dibacanya. Faizul Amin. Serta merta ingatannya melayang ke wajah lelaki tersebut. Nyata dia masih belum melupakan wajah itu. Cuma perasaan itu sahaja yang sudah tiada. Iza tertawa sendiri lagi. Dia tidak sangka lelaki itu meminati komik sebegitu. Sangkanya Faizul Amin seorang yang serius dan hanya menumpukan perhatian pada pelajaran sahaja. Melihat nombor telefon yang tertera di situ, peristiwa ketika kali pertama bertemu lelaki itu menerpa lagi. Dia tersenyum sendiri sambil mengeleng-geleng perlahan. Tiba-tiba muncul idea di fikirannya. Nombor telefon di borang ditulis pada secebis kertas. Dia tersenyum lagi. Dia ingin mengenali lelaki itu. Tetapi bukan secara serius, sekadar bermain-main. Iza merasakan hari itu tidak lagi sebosan sebelum ini. Dia bertugas dengan riang sambil menunggu masa kerjanya tamat. Dia ingin memulakan satu permainan baru dalam hidupnya. Iza bagaikan hilang suara tatkala mendengar suara lelaki itu di hujung talian. Rasa gemuruh yang tidak semena-mena hadir bagaikan mungunci bibirnya untuk bersuara. “Hello.” Suara itu kedengaran lagi. Nadanya seperti kehairanan. “Er…hello.” Akhirnya Iza memberanikan diri untuk bersuara. Dia telah memulakan permainan ini dan dia seharusnya meneruskan. Pulang sahaja dari kedai dia terus memberitahu rakan-rakannya. Nurul, Fiza, Lina dan Mimi menyokong permainannya itu. Kerana itu Mimi dengan rela hati membenarkan telefon bimbitnya digunakan untuk menghubungi lelaki itu. “Nak bercakap dengan siapa?” Suara itu masih lagi kedengaran mesra tetapi seperti kehairanan. “Er…Faizul Amin.” Iza masih lagi teragak-agak. “Saya Faizul Amin. Boleh saya tahu siapa ini?” Iza terdiam. Dia terlupa untuk mencipta nama bagi permainan itu. Dia tidak mahu Faizul Amin mengetahui identiti sebenarnya. Biarlah hanya dia mengetahui siapa lelaki itu. “Hm…Iza. Panggil saya Iza.” Akhirnya nama itu juga digunakannya. Lagipun di kolej ini bukan dia sahaja yang bernama Iza. Kalau dia tidak memberitahu kursus yang diambil

pasti rahsianya akan tersimpan rapi. Satu jam mereka berbual di telefon bagaikan seminit cuma bagi Iza. Terlalu cepat masa itu berlalu. Mereka berbual bagaikan rakan lama yang sudah lama tidak berhubung. Saling bertanya tentang keadaan diri masing-masing. Cuma Iza agak lebih berhati-hati. Dia tidak mahu Faizul Amin mengetahui siapa dia. Kerap kali lelaki itu bertanya kursus yang diambilnya. Dia pantas sahaja menukar tajuk. Cukuplah lelaki itu mengetahui namanya dan dia adalah pelajar kolej itu juga. Iza masih lagi tersenyum sehingga dia berbaring untuk melelapkan mata. Ternyata Faizul Amin memberi reaksi yang begitu menyenangkan. Walaupun baru sejam berbual namun dia dapat merasakan kejujuran lelaki itu dalam setiap kata-katanya. Faizul Amin berasal dari Kedah. Mengambil kursus Elektrik Komunikasi, meminati komik dan bola keranjang. Masih sendirian… Iza tersenyum lagi. Lega hatinya mendengar jawapan lelaki itu yang diyakini kejujurannya. Niatnya bertanya sekadar untuk mengelakkan dia menjadi penggugat hubungan orang lain. Tetapi jawapan Faizul Amin bagaikan satu peluang untuknya mengenali lelaki itu dengan lebih dekat. Hatinya ternyata begitu gembira ketika matanya dilelapkan. Dia berharap hari esok gembira itu akan berterusan seperti matahari yang sentiasa muncul dengan riang. EP 6 Semakin dia mengenali lelaki itu, semakin dia merasakan betapa rapatnya antara mereka. Bagaikan ada chemistry antara mereka untuk saling mengenali antara satu sama lain. Dari berbual di telefon, mereka sudah saling berbalas e-mail. Tetapi identitinya masih lagi belum terdedah. Walaupun Faizul Amin kerap kali bertanya, dia lebih bijak menyembunyikan. Dia masih lagi belum bersedia untuk berhadapan dengan lelaki itu. Sedangkan jika terserempak dengan lelaki itu sudah membuatkan dia tidak keruan, apatah lagi kalau lelaki itu sudah mengenalinya. Malah debaran yang dirasakan kini semakin hebat berbanding dahulu. Perasaan yang dirasakan kini juga semakin indah dari dulu. Dia bagaikan sudah jatuh hati pada lelaki itu. Mengingatkan itu, Iza terasa malu sendiri. Dia pasti Faizul Amin hanya menganggapnya sebagai kawan. Tidak mungkin sama perasaan mereka kerana lelaki itu tidak pernah mengenalinya. Pernah sekali mereka bertembung di koperasi. Faizul Amin dilihatnya bersama-sama tiga orang lagi rakannya. Dia pula berada di situ bersama Lina. Melihat sahaja kehadiran lelaki itu, dia mula berasa tidak tenteram. Semua yang dilakukan serasa serba tidak kena. Dapat dirasakan wajahnya terasa panas dek malu. Dan jika dilihat wajahnya, pasti tidak ubah seperti udang dibakar. Tetapi Faizul Amin sedikit pun tidak memandangnya. Selepas membayar barang yang dibeli, dia terus keluar dari situ. Sedikit pun tidak perasan akan dirinya yang berdiri tidak sampai dua kaki darinya. Iza malu sendiri dengan perasaannya. Kerana itu dia kerap kali berniat ingin

mengundurkan diri sahaja. Mendiamkan diri, tidak menelefon lagi atau tidak membalas e-mail dari lelaki itu. Faizul Amin bukan mengenali wajahnya. Pasti lama kelamaan dia akan dilupakan lelaki itu. Tetapi dia tidak dapat menipu dirinya. Sehari tidak menghubungi lelaki itu terasa kosong hidupnya. Kiriman e-mail dari lelaki itu dicetak dan dibacanya berkali-kali. Kerana terasa rindu pada lelaki itu dia pantas menghubunginya. Dan tatkala mendengar suara mesra milik Faizul Amin, niatnya pasti akan dilupakan. Hari Khamis, Iza bertugas lagi. Selepas menutup kedai untuk solat Maghrib, Iza membuka kedai tepat jam lapan malam. Malam itu hanya beberapa orang pelajar yang datang untuk melayari internet. Sedang dia asyik menatap majalah, dua orang lelaki masuk secara tiba-tiba. Iza tergamam seketika, pipinya terasa panas membahang. Demi melihat sahaja Faizul Amin yang berdiri sambil tersenyum, nafasnya bagaikan tersekat. Wajahnya ketara berubah. Lelaki itu menunjukkan ke arah komputer di hujung sekali. Hanya anggukan yang mampu dilakukan gadis itu. “Er…komputer tak on lagi,” ujar lelaki itu kemudian. Masih lagi bersama seulas senyuman. “Er…ya, ya.” Iza cepat-cepat bangun dan menuju ke komputer. Ketika sedang menghidupkan komputer dapat dirasakan kehadiran lelaki itu di sisinya. Iza sedikit tidak selesa kerana debaran di dadanya semakin kencang dan ruang udara terasa semakin sempit untuk dia bernafas. “Terima kasih,” ucap Faizul Amin ketika dia ingin berlalu. Iza hanya mendiamkan diri dan cuba mengawal perasaan yang terbit di wajahnya. Ternyata dia kalah apabila berhadapan dengan lelaki itu. Sepanjang satu jam itu, Iza bagaikan serba tidak kena. Sekejap dia duduk di kerusi membaca majalah, sekejap menyusun barang-barang yang sememangnya sudah bersusun dan selebihnya duduk di kerusi dan menghadap dinding. Melihat Faizul Amin sedang membaca e-mail yang dikirimnya, perasaannya semakin tidak keruan. Dadanya bagaikan mahu pecah kerana debaran yang bagaikan seratus kali lebih laju dari biasa! Tanpa disedarinya Faizul Amin beberapa kali mengerling ke arahnya. Walaupun sedang menatap monitor di hadapan namun ekor matanya sempat melihat ke wajah gadis itu. Sememangnya itu tidak disedari oleh Iza kerana kesibukannya yang cuba mengawal perasaan sendiri. Ketika Faizul Amin ingin membayar untuk penggunaan komputer, sedikit pun dia tidak memandang wajah lelaki itu. Tidak sanggup rasanya memandang ke wajah itu. Sesunggunya kalau boleh dia lari dari situ, pasti dilakukannya. Faizul Amin ternyata kehairanan dengan tingkah gadis itu. Sejak dia masuk hinggalah dia selesai melayari internet, tingkahnya kelihatan serba tidak kena. Bagaikan ada sesuatu yang menggangu. Melihat nama yang tertera di kad matrik gadis itu, hatinya dapat mengagak sesuatu. Namun dia tidak berani membuat kesimpulan. Tidak mungkin itulah gadis itu.

Sehingga selesai menutup kedai, fikiran Iza masih lagi terganggu dengan kehadiran Faizul Amin malam itu. Masih diingati wajah lelaki itu ketika membaca e-mail yang dikirimnya. Lelaki itu seakan-akan tercari-cari siapa dirinya. Dia rasa bersalah pada lelaki itu. Kerana itu ketika sampai di kawasan asrama, dia berdiri di hadapan telefon awam sejenak. Fikirannya ligat menimbang suatu perkara. Adakah dia harus menghubungi sahaja lelaki itu dan menerangkan siapa dirinya sebenar. Atau sebaiknya dia mengundurkan diri kerana sememangnya dia tidak sanggup lagi meneruskan permainan perasaan itu. Iza tidak menafikan bahawa dia sudah jatuh cinta pada Faizul Amin. Meneruskan permainan bermakna dia merelakan hatinya dilukai. Andainya Faizul Amin sudah mengetahui siapa dirinya, mungkin lelaki itu akan mengundurkan diri. Dirinya bukanlah gadis idaman lelaki. Dia tidak secantik rakan-rakannya. Dia tidak sepandai Ika mahu pun Shida. Tetapi dia tidak sanggup kehilangan lelaki itu. Berbual dengan lelaki itu menjadikan dirinya terasa dihargai. Membaca e-mail Faizul Amin membuatkan dia sentiasa bersemangat. Faizul Amin punyai keistimewaan tersendiri. Membuatkan dirinya terasa hangat dengan suatu perasaan yang seakan penuh kasih sayang. Hampir satu jam Iza berdiri di situ, berjalan ulang-alik memikirkan perkara itu. Akhirnya dia membulatkan tekad, mengumpul semangat. Dengan perlahan tetapi tanpa tenang, gagang telefon diangkat. Setiap kali nombor telefon ditekan, debarannya semakin laju. Ketika suara lelaki itu kedengaran di hujung talian, Iza memejamkan mata. Bersedia untuk bersuara… EP 7 “Saya minta maaf kalau selama ini menyusahkan awak.” Ucapnya tika itu untuk memulakan bicara. “Menyusahkan? Saya tak faham,” balas lelaki itu kemudiannya. “Saya nak beritahu siapa saya sebenarnya.” Ucapnya lambat-lambat bersama debaran. Faizul Amin turut terdiam. “Saya ialah gadis yang bekerja di Student Service Centre,” jelasnya penuh debaran. Bimbang hatinya menanti reaksi lelaki itu. “Maksud awak, yang jaga malam ini?” Tanya lelaki itu seakan terkejut. “Ya, saya.” Tawa kedengaran di hujung talian. Iza terkejut. Apakah makna tawa itu? “Saya dah agak, awaklah orangnya,” jelas Faizul Amin akhirnya. Iza mengeluh lega. Suara lelaki itu masih kedengaran biasa walaupun ternyata sedikit terkejut.

“Saya minta maaf kalau mengganggu awak.” “Awak tak perlu minta maaf. Awak tak bersalah apa-apa.” Bagaikan satu beban sudah terlepas dari bahunya, Iza terasa begitu lega dengan kata-kata itu. “Terima kasih,” ucapnya perlahan. Dia sudah bersedia untuk meletakkan telefon. Rasanya sudah tiada apa yang harus dikatakan. Terpulanglah pada lelaki itu apa yang ingin dilakukannya selepas ini. Jika ingin terus berkawan, dia pasti mengalu-alukan. Jika ingin mengundur diri, apalah daya dirinya. “Saya nak bertemu awak.” Iza tersentak saat itu. Berjumpa? Dia tidak pernah berharap sebegitu. “Untuk apa?” “Awak sudah pun mengenali saya. Izinkan saya untuk mengenali awak pula.” Lembut suara itu menuturkan kata-kata. Membuatkan Iza tergamam seketika. Iza tersenyum lagi. Perbualan mereka di telefon malam tadi tidak mungkin dilupakan. Betapa tulusnya kata-kata lelaki itu. Walaupun terasa berat namun dia memberanikan diri juga untuk berjumpa lelaki itu. Iza mengerling ke arah jam tangannya. Mereka telah berjanji untuk bertemu pada pukul 2.50 petang di hadapan perpustakaan. Iza tidak mengenakan baju yang istimewa. Dia tetap berpakaian seperti lazimnya. Dia mahu Faizul Amin mengenali dirinya yang sebenar. Biarlah dia menjadi dirinya sebenar di hadapan lelaki itu. Dari jauh dia sudah nampak lelaki itu berdiri di hadapan perpustakaan. Iza semakin berdebar untuk berhadapan dengan lelaki itu. Seram dirasakan seolah-olah akan berhadapan dengan satu hukuman. Walaupun Faizul Amin tidak pernah berkasar dengannya namun rasa bimbang tetap dirasai. Apabila dia sudah mendekati, senyuman Faizul Amin menyambutnya mesra. Hati gadis itu semakin lega. “Lama tunggu?” Dia memulakan bicara. Ternyata begitu kekok dirasakan untuk berbual dengan lelaki itu. Walhal jika di dalam telefon mereka berbual bagaikan sudah berkenalan bertahun-tahun lamanya. Faizul Amin hanya tersenyum sambil mengeleng perlahan. Tidak lama kemudian dia menghulurkan sebuah bungkusan kecil dan sekeping kad. Iza terkejut sambil memandang tepat ke arah lelaki itu. “Ini sebagai tanda persahabatan kita. Saya ikhlas,” jelas lelaki itu dengan senyuman yang tidak putus-putus. Iza teragak-agak untuk menerima. Tetapi apabila dilihatnya lelaki itu benar-benar serius, dia mencapai bungkusan dan kad berkenaan. “Saya harap awak gembira. Hadiahnya murah tapi saya harap ia akan bermakna buat awak.” Iza terharu mendengar kata-kata itu. Hatinya rasa ingin tahu apakah hadiah yang

diberikan lelaki itu. “Boleh saya buka?” Tanya dia kemudian. Faizul Amin mengangguk sambil tersenyum. Iza membuka bungkusan itu. Sebuah kotak kecil berwarna hitam berada di dalamnya. Sekali lagi Iza memandang lelaki itu. Faizul Amin masih lagi tersenyum. Kotak berwarna hitam itu dibuka penuh cermat. Seutas rantai kunci berada di dalamnya. Rantai kunci itu dihiasi dengan glob kristal. Iza memandang lagi lelaki itu. “Dalam dunia yang luas ini, kita ditemukan di sini juga,” ujar lelaki itu tenang, masih lagi tersenyum. Iza tersenyum. Barulah dia dapat menangkap makna kata-kata lelaki itu tadi. Sememangnya rantai kunci itu amat bermakna untuk hubungan mereka. Ia tanda satu persahabatan yang tidak pernah terduga. Cinta usah dicari tetapi ia akan datang sendiri tanpa kita sedari. Begitulah telahan yang dapat dibuat Iza. Di saat dia tidak ingin lagi bercinta, Tuhan telah membuka jalan untuk dia mengenali Faizul Amin. Dari persahabatan yang biasa, mereka menjadi rapat sehingga ada yang menyangka mereka adalah pasangan kekasih. Sesungguhnya Iza bahagia dengan keadaan itu. Walaupun antara mereka sekadar sahabat akrab namun rasa bahagia tetap menjelma. Faizul Amin melayannya dengan baik. Lelaki itu ternyata seorang yang begitu pandai mengambil hati dan tidak sekali pun berkasar dengannya. Mereka kerap bertemu, makan bersama dan ada kalanya belajar bersama di perpustakaan. Walaupun berlainan kursus namun ia tidak pernah menjurangkan persahabatan mereka. Dari hari ke hari, perasaan Iza pada lelaki itu semakin mendalam. Layanan Faizul Amin membuatkan dia semakin sayangkan lelaki itu. Tetapi dia bimbang, risau andainya dirinya hanya bertepuk sebelah tangan. Dia tidak pasti apakah perasaan Faizul Amin pada dirinya. Adakah sama atau sebaliknya ? Apabila dia mengadukan hal ini pada rakan-rakan baiknya, mereka semua berpendapat bahawa Faizul Amin turut mempunyai perasaan yang sama dengannya. Jika tidak masakan lelaki itu mahu melayannya dengan baik, sentiasa ingin bertemu dengannya dan sering menunjukkan sikap ambil berat terhadap Iza. Atas kata-kata itulah Iza cuba menguatkan dirinya setiap kali berhadapan dengan lelaki itu. Dia tidak berani untuk bertanya walaupun hatinya meronta-ronta inginkan jawapan. Cukuplah sekadar dia memulakan persahabatan ini. Untuk langkah seterusnya, terpulanglah pada lelaki itu. EP 8 Di sebalik kata ada rahsia Di sebalik senyum ada makna Kan ku bisik kan padamu Satu hari bila perlu Saat pasti kau jadi milikku Biarkanlah aku menanggung rindu Biarkanlah engkau tiada tahu

Halus kasihku padamu Zahirnya tak kulihatkan Hingga pasti kau jadi milikku Entah bila bermula Cinta yang tak kusangka Mungkin terlalu lama Sangsi asmara terperdaya Berlalulah masa Tak sanggup ku menanti Gelora di jiwa Tak siapa mengerti Siksanya menanggung rindu Sukarnya memendam rasa Kekasih* Lagu mendayu-dayu itu menusuk ke telinga Iza. Dia terduduk di atas katil. Pilu dirasakan hatinya apabila meneliti bait-bait lagu itu. Hari ini genaplah sebulan hubungan persahabatan antaranya dengan Faizul Amin. Setiap hari dilalui bagaikan mendalamkan cintanya pada lelaki itu. Perasaannya kini sudah hampir tidak dapat ditahan. Walaupun seribu orang mengatakan yang Faizul Amin turut mencintainya namun selagi tiada kata dari lelaki itu, dia bagaikan bertepuk sebelah tangan. Sejak semalam Faizul Amin beria-ia mengajaknya untuk makan malam bersama. Mereka telah berjanji untuk bertemu pada pukul sepuluh malam di kafeteria. Kerana itu Iza hanya makan sedikit sahaja ketika berbuka puasa tadi. Rasa tidak sabar untuk bertemu Faizul Amin terasa memuncak saat itu. Tetapi kini hanya sayu yang dirasakannya. Kenapalah Faizul Amin seakan tidak mengerti perasaannya. Mungkinkah lelaki itu sememangnya tidak berperasaan sedemikian. Layanannya hanya sekadar kawan. Cuma dirinya sahaja yang mengharap. Untuk sekian kalinya, Iza cuba mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan lelaki itu. Dia tersenyum sendiri untuk menenangkan hatinya. Biarlah Tuhan sahaja yang menentukan bagaimana akhirnya hubungan mereka ini. Suasana di kafetaria malam itu agak riuh. Ada yang sekadar berbual dan ada juga yang bertemu janji. Tetapi bagi Iza, dia gagal untuk mengklafikasikan pertemuannya itu. Adakah sekadar kawan, sekadar makan bersama. Tetapi mengapa Faizul Amin kelihatan melayannya lebih baik dari sebelum ini. Di awal pertemuan, sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya telah dihulurkan padanya. Kad ucapan itu kelihatan lebih sesuai diberikan kepada kekasih, bukan sahabat sepertinya. Faizul Amin sering kali memandang tepat ke anak matanya seperti ingin mengucapkan sesuatu. Tetapi sering kali dia mengatakan sesuatu yang Iza sendiri sukar mengerti maksudnya. Sesuatu yang tersirat dengan seribu makna. Iza semakin keliru, semakin tidak menentu. Sehinggalah di akhir pertemuan, Iza kecewa kerana mengharapkan sesuatu yang tidak pasti. Namun rasa kecewanya bertukar menjadi risau apabila Faizul Amin mengatakan

sesuatu sebelum mereka berpisah. “Saya sudah jatuh cinta pada seseorang.” Ujar lelaki itu agak tenang. Degup jantung gadis itu mula berlari kencang. Faizul Amin kelihatan serius. Iza tidak semena-mena terasa sebak. Adakah bermakna ini adalah pertemuannya terakhir dengan lelaki itu. “Saya tidak berani untuk meluahkan kerana saya takut selepas ini tidak dapat bertemu awak lagi.” Iza semakin berdebar-debar. Ternyata selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan. Faizul Amin sudah punyai pilihan sendiri. Ingin sahaja Iza menangis saat itu. Tetapi dikuatkan. Biarlah tika itu sahaja. Selepas ini air mata itu akan dihamburkan semahunya. “Saya minta maaf kalau menyuarakan rasa hati saya ini, Iza. Saya tidak boleh menahan lagi perasaan ini.” Kalau boleh, mahu sahaja Iza lari dari situ. Dia tidak sanggup hendak mendengar siapa yang telah mencuri hati lelaki itu. Cukuplah, dia tidak mahu hatinya terluka. “Siapa dia, Amin ?” Iza memberanikan diri untuk bertanya. Walaupun terasa pedih di hati namun digagahi juga bertanya. Dia cuba tersenyum walaupun terasa begitu pahit. Faizul Amin memandang tepat ke wajahnya. Iza tidak mampu memandang wajah itu. Dia menundukkan wajahnya sambil memejamkan matanya. Tuhan, kuatkanlah hatiku untuk menerima jawapan ini. Jika ini ujianMu untukku, janganlah Kau biarkan aku terus berduka dengan ujian ini. Pulang dari pertemuan itu, Iza menyembam wajahnya ke bantal. Dia menangis, melepaskan rasa hati yang bercampur baur. Badannya masih lagi menggigil tidak menentu sejak menerima jawapan dari Faizul Amin. Nurul dan Fiza yang bertanya juga tidak diendahkan. Puas menangis, dia ke bilik air untuk membasuh muka. Dia mengambil wuduk untuk menenangkan hatinya. Di hamparan sejadah, dia menghadap Tuhan meminta petunjuk. Selepas Solat Hajat, dia melakukan pula solat Isthikharah. Di akhirnya, dia berdoa pada Yang Esa. Ya Allah, jika benar Faizul Amin adalah yang terbaik untukku, Kau berikanlah petunjukmu. Jika tidak, Kau jauhkanlah dia dariku. Sesungguhnya padaMu sahaja aku memohon perlindungan dan petunjuk. Iza terkenang kembali saat manis ketika Faizul Amin menyebut lembut namanya. Perasaan gembira dan terharu bercampur-baur saat itu. Kakinya terasa lembik untuk berdiri. Dia tidak sangka sesungguhnya Faizul Amin juga sudah memendam perasaan sejak awal perkenalan mereka dahulu. Kini dia menyerahkan segala-galanya pada Tuhan. Andai benar lelaki itulah yang terbaik untuknya, dia pasti akan menerima Faizul Amin sepenuh hati. Tetapi jika tidak, dia redha dengan ketentuan itu.

*Lagu dari Hetty Sarlene - Sangsi Asmara EP 9 13 tahun yang lalu Gadis kecil yang berusia sebelas tahun itu pulang dari sekolah dengan marah-marah. Manakan tidak, dia diejek oleh rakan-rakan sekelasnya kerana berkawan dengan seorang budak lelaki. Dia tidak akan lupakan kata-kata Suhana yang mengatakan dia tidak cantik dan tidak layak berkawan dengan Hilmi. Iza sedar dia tidak secantik Suhana yang cerah seperti anak orang putih. Tetapi dalam pelajaran, Suhana kalah padanya. Dia berkawan dengan Hilmi pun hanya kerana ingin membantu rakannya itu dalam subjek Matematik. Sedikit pun dia tidak pernah ingin bercinta dengan Hilmi seperti yang didakwa Suhana. Iza mencebik apabila teringat mulut Suhana yang terherot-herot ketika mengejeknya. Dia kemudiannya mengeluarkan sekeping kertas. Dia tersenyum sendiri melihat kertas yang tertulis beberapa patah perkataan dan dihiasi dengan gambar yang dilukisnya sendiri. Lelaki Idaman Shahriza Shamsudin: - Berkaca mata - Lebih bijak - Berwajah sederhana dan matang - Baik perwatakan - Menyenangkan Gadis kecil itu tersenyum lagi. Inilah ciri-ciri lelaki idamannya. Dia yakin suatu hari nanti dia akan bertemu dengan lelaki sebegitu, malah menjadi isteri lelaki yang diidamkannya. Dia yakin dengan impiannya yang satu itu. Hari Ini Suasana di rumah Iza agak riuh sejak semalam. Saudara mara dan kenalan tidak putus-putus datang. Ada yang bermalam di situ. Kawasan dapur gamat dengan ibu-ibu yang sedang menyediakan juadah untuk dihidangkan. Di belakang rumah, kaum bapa sedang berehat selepas penat memasak sambil berbual-bual. Di halaman rumah, kanak-kanak riang bermain. Manakala di atas rumah, anak-anak gadis sibuk menyusun gubahan di hadapan pelamin dan sesekali sering usik-mengusik antara satu sama lain. Iza yang sedang disolek mak andam tidak putus-putus diusik. Dia hanya tersenyum walaupun wajahnya ternyata kemerah-merahan dengan usikan itu. Sebentar lagi, majlis pernikahan akan dilakukan di masjid. Ini diikuti majlis persandingan dan makan beradab di sebelah tengah hari. Baru sekejap tadi adik memaklumkan yang rombongan pihak lelaki sudah pun sampai di masjid. Iza gembira bercampur sebak. Menjadi isteri orang bermakna dia sudah punyai tanggungjawab yang besar. Tetapi gembira di hati lebih mendahului. Bakal

diijabkabulkan dengan lelaki yang dicintai sepenuh hati pastinya menjadi kenangan terindah dalam hidupnya. Selesai sahaja bersiap, Iza dipimpin pengapit turun ke halaman rumah. Masing-masing yang sedang membuat kerja di khemah tersenyum-senyum melihat kecantikan raja sehari. Iza kelihatan tersenyum bahagia. Ketika sampai di masjid, rombongan lelaki dilihat sudah bersedia menunggu majlis pernikahan. Iza berdebar tidak keruan apabila terpandang lelaki yang dicintainya sudah sedia di hadapan jurunikah. Bakal ibu mertua dan saudara-mara sebelah bakal suaminya tersenyum melihat kehadiran gadis itu. Masing-masing memuji kecantikan pengantin penuh berseri. “Aku terima nikahnya Shahriza binti Shamsudin dengan mas kahwin enam puluh ringgit tunai.” Dengan sekali lafaz, rasmilah dia kini menjadi isteri lelaki itu. Iza terasa sebak. Tetapi ditahan air matanya dari luruh. Ketika dia bersalaman dengan suaminya buat kali pertama, setitik air matanya jatuh ke tangan lelaki itu. Lelaki yang kini suaminya kelihatan terkejut. Iza kemudiannya memandang lelaki itu sambil tersenyum, tanda rasa bahagianya. Satu bulan mereka berkawan, lima tahun menyemai cinta, dua tahun mereka saling berjauhan kerana menggapai cita-cita, akhirnya mereka disatukan juga. Ternyata pilihannya tepat ketika menerima Faizul Amin setelah seminggu dia berfikir, meminta petunjuk dari Tuhan. Pernah ditanya pada lelaki itu, apakah yang membuatkan lelaki itu jatuh hati padanya. Dia seakan tidak percaya kerana selama ini dirinya bukanlah gadis yang mudah menjadi perhatian lelaki. Lelaki itu hanya tersenyum lantas mengatakan bahawa dirinya seorang gadis unik, punyai keistimewaan tersendiri yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Hanya mereka yang bertuah sahaja akan dapat melihat keistimewaan itu. Kerana kata-kata itulah, Iza semakin mencintai lelaki itu kerana dia tahu Faizul Amin tidak akan membohonginya. Tiada apa lagi yang diharapkan kini selain hidup bahagia di samping lelaki itu sehingga ke akhir hayatnya. Semoga ikatan yang telah dimeterai ini kekal hingga ke hujung nyawa.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful