You are on page 1of 4

Oleh

: Mohamad Firdaus Bin Mohd Yusof

ROKOK ELEKTRONIK: ANTARA BERGAYA DAN BAHAYA Pernahkan anda mendengar perkataan 'Vapor'? Adakah anda tahu apakah yang dimaksudkan dengan 'vapor' itu ? Di sini saya ingin menjelaskan mengenai perkara yang digembar-gemburkan oleh masyarakat masa kini berkaitan 'vapor'. Vapor merupakan sejenis alat baru yang digunakan untuk menghisap rokok. Selain itu, ianya juga dikenali sebagai rokok elektronik ( e-rokok). Vapor diperbuat daripada tiub logam tahan karat (stainless-steel) yang dibentuk seperti sebatang rokok. Apabila disedut, sensor didalamnya mengesan perubahan tekanan lalu mengaktifkan elemen pemanas dan menyalakan lampu LED dihujungnya seolah-olah ia membakar seperti rokok biasa dan ia dijana oleh kuasa bateri. Pemanas yang menghasilkan wap campuran nikotin cecair, perisa dan bahan toksik di dalamnya lalu mengeluarkan wap yang kelihatan seperti asap rokok.

Kebanyakan perokok yang menghisap rokok elektronik di sekitar UPSI dan Tanjung Malim memberikan alasan bahawa mereka menghisap rokok elektronik kononnya bercita-cita mahu berhenti merokok. Selain itu, mereka juga mengatakan bahawa menghisap rokok elektronik dapat menjimatkan wang mereka daripada membeli rokok biasa yang lebih mahal

harganya. Sebenarnya, rokok elektronik ini tidak menggunakan tembakau. Oleh sebab itu, ada juga pendapat yang mengatakan bahawa rokok elektronik tidak mendatangkan kesan sampingan dan tidaklah bahaya seperti rokok biasa. Tembakau adalah faktor utama masalah berkaitan jantung dan seumpamanya. Biarpun risiko penggunaan tembakau ke atas kesihatan sudah diketahui umum, usaha mempromosikan hidup bebas rokok masih tidak begitu berkesan. Rokok elektronik dikatakan selamat digunakan kerana tidak mempunyai kandungan tembakau. Walaupun rasanyanya agak sama seperti merokok rokok asli, ia tidak mengeluarkan sebarang asap, karbon monoksida dan sudah tentu tidak menghasilkan abu Berdasarkan tinjauan saya di sekitar UPSI, saya mendapati bahawa 20 peratus masyarakat sekelilingnya menghisap rokok elektronik ini yang terdiri daripada pelbagai golongan sama ada pensyarah, kakitangan UPSI, pelajar UPSI dan pelajar sebagainya. Rokok elektronik ini memang hebat sehingga menjadi pilihan ramai. Mungkin dengan menghisapnya, seseorang perokok akan nampak lebih bergaya. Mereka kelihatan ranggi kerana tidak lagi menghisap rokok yang mempunyai tembakau tetapi sebatang objek yang menyerupai seakanakan pen serta boleh dibawa ke mana-mana sahaja. Pada pendapat saya, mungkin e-rokok ini mudah diperolehi kerana jualannya semakin meluas pada masa kini. Ini terbukti apabila saya ke pasar malam di Proton City dan di pekan Tg. Malim dan saya mendapati bahawa terdapat banyal kedai atau gerai yang menjualnya. Rokok elektronik ini boleh didapati dengan harga serendah RM 150 bagi dua batang rokok elektronik yang bersaiz kecil. Namun, bagi yang berkemampuan, mereka gemar membeli rokok elektronik bersaiz besar yang berharga RM 400 sebatang. Apa yang menariknya 'Vapor; ini ? Rokok elektronik sebenarnya tidak mengeluarkan bau asap yang busuk. Malah baunya lebih harum bergantung kepada perisa yang digunakan oleh penghisap. Sebagai contoh, jika perokok mengenakan perisa strawberi, asapnya juga akan berbau strawberi seolah-olah kita menyembur bau-bauan ke udara. Selain itu, penggunanya bebas untuk menukar apa-apa perisa yang dirasakan sedap baginya. Pelbagai perisa bagi rokok elektronik yang boleh di pasaran pada masa kini seperti perisa redbull, strawberi, pepsi, lemon tea, cofee dan sebagainya.

Namun begitu, tidak semua benda ada baiknya sahaja. Mungkin ada keburukan yang masih belum terungkai disebalik penggunaan rokok elektronik yang menjadi kegilaan masyarakat pada masa kini. Disebabkan penggunaannya masih baru di negara kita, jadi mungkin pihak berkuasa belum lagi penjalankan penyiasatan dan kajian yang mendalam terhadap kandungan rokok elektronik ini. Tetapi, berdasarkan kajian pada peringkat awal, terdapat beberapa pandangan yang dikemukakan oleh pihak berwajib mengenai rokok elektronik ini. Rokok elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kronik. E-rokok sebenarnya menggunakan sejenis cecair dan seterusnya menghasilkan wap air. Tetapi tahukah anda cecair nikotin juga terkandung di dalam e-rokok akan meningkatkan ketagihan untuk merokok. Ini menunjukkan e-rokok yang dikatakan selamat itu juga mampu merosakkan paru-paru seperti rokok biasa. Nikotin juga akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan pembebasan hormone adrenalin serta melambatkan sistem saraf. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, penjualan bahan dan produk e-rokok adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikotin untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali. Di sebalik kecanggihan penciptaan rokok moden ini, ia juga dikatakan lebih berbahaya daripada rokok biasa jika dikaji bahan-bahan yang menghasilkan proses pengewapan sepertimana yang di atas. Rokok versi digital ini semakin mendapat sambutan dan dijual secara berleluasa di negara ini. Rakyat seharusnya sedar akan bahayanya penggunaan rokok sama ada rokok biasa atau rokok elektronik. Tindakan sewajarnya juga perlu diambil secepat mungkin bagi mengelak penjualan rokok elektronik ini daripada terus merebak ke tahap yang lebih teruk. Jadi, peranan semua pihak amatlah diperlukan bagi membantu pihak tertentu dalam usaha memberi kesedaran di samping mencegah daripada menularnya penggunaan rokok elektronik ini. Kerjasama daripada anda pada hari ini mungkin akan menyelamatkan banyak nyawa pada hari esok.

Rujukan: Berita Harian. 19 Mac 2013. E- Rokok Undang Sakit Kronik. Kosmo. 27 April 2013. Rokok Elektronik Merbahaya.