You are on page 1of 3

Bohong seorang ibu

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang
seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu
membohongi saya . Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan
renungan anda sekalian. Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir
sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba
kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami
terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang
masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk
yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan
bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu
berkata : ' ' Makanlah nak ibu tak lapar. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk
pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil
pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-
beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan
mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping
kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada
bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya
tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu.
Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : ' Makanlah nak, ibu tak suka
makan ikan. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan
membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan
saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari
tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di
hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk.
Saya berkata : ' Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula. ' Ibu tersenyum
dan berkata : ' Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi. ' – PEMBOHONGAN
IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani
saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah
siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar
dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada
Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng
berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan
menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang
kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu
kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan
berkata : ' Minumlah nak, ibu tak haus!! ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan
dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu
bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih
agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan
keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin
parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang
untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali
menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga
dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak
mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : ' Saya tidak perlukan cinta dan saya
tidak perlukan lelaki. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak
dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi
bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu.
Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan
hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan
wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras
tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu
berkata : ' Jangan susah-susah, ibu ada duit. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.
Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat
sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah
syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun
bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati
penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas
bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan,
eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan
pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan
anaknya ini dengan berkata ; ' Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang. '
– PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu
diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu
berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda
tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani
pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh
kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana
terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat
dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu
menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air
mata . Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat
itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi
ibu tetap tersenyum dan berkata : ' Jangan menangis nak, ibu tak sakit. ' –
PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup
matanya untuk kali terakhir kali. Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan
ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda
boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak
saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun
saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya
membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan
nafasnya yang terakhir.

You might also like