You are on page 1of 8

Refleksi Hari Pertama Tatkala menjejakkan kaki di kawasan sekolah, kedatangan saya dan rakan guru pelatih yang

lain iaitu Muhamad Faiz bin Md Nayan telah disambut dengan mesra oleh guru besar iaitu Encik Abdul Mutalib bin Omar. Kami telah dibawa oleh kerani sekolah ke pejabat pentadbiran untuk mengisi beberapa dokumen seperti maklumat diri dan penyerahan surat menjalani Program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), borang kedatangan dan borang penilaian PBS kepada guru besar. Pada hari pertama ini, Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka telah mengadakan perhimpunan bersempena dengan Pelancaran Program Nilam Peringkat Sekolah Seri Cempaka. Pelancaran ini telah dirasmikan oleh guru besar. Setelah selesai perhimpunan, kami dibawa bersiar-siar dikawasan sekolah dan diperkenalkan dengan guru pembimbing kami. Guru pembimbing saya ialah Puan Laila Wati Binti Panjang Ahmad. Pada jam 8.45 pagi, saya telah diarahkan untuk memasuki kelas Darjah 1 Imam Bukhari untuk subjek Bahasa Melayu menggantikan guru yang sedang cuti bersalin. Dalam jangka masa lebih kurang tiga puluh minit ini, saya telah memperkenalkan diri saya sendiri, meminta murid-murid memperkenalkan diri mereka dan bertanya mengenai cita-cita mereka, permainan kegemaran mereka dan memperkenalkan mereka dengan solat Dhuha. Tamat tiga puluh minit, saya telah pergi ke Pusat Sumber Sekolah (PSS) untuk mencari maklumat yang diperlukan. Murid-murid Tahap 1 Sekolah Seri Cempaka akan berehat dan makan pada jam 10.15 minit pagi, manakal murid Tahap 2 akan berehat dan makan pada jam 10.45. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan kesesakan pada bahagian kantin sekolah dek kerana bilangan murid yang banyak pada satu-satu masa. Pada jam 10.45 pagi hingga 1.15 minit tengahari, saya bersama guru pembimbing telah memasuki dua buah kelas iaitu kelas Darjah 3 Imam Bukhari dan 1 Darjah 1 Imam Muslim. Bagi memenuhi kehendak pensyarah akademik di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, sewaktu Puan Laila Wati Binti Panjang Ahmad mengajar, saya duduk dibahagian belakang bilik darjah sambil mengambil gambar, video dan mencatat bagaimana proses pengajaran dan pembelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan. Setelah tamat kelas, saya telah bergambar bersama dengan guru pembimbing, muridmurid dan mengambil gambar berkaitan dengan fail-fail KSSR yang terdapat dibahagian hadapan bilik darjah. Maklumat-maklumat ini diperlukan dalam bentuk soft copy untuk subjek

BMM 3101 sekembalinya kami ke IPG nanti. Sekitar jam 1.45 minit tengahari, saya dan Muhamad Faiz bin Md Nayan telah bertolak dari sekolah dan kembali ke rumah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk meneruskan PBS untuk hari yang seterusnya.

Refleksi Hari Kedua Pada hari kedua menghadiri Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), kami telah pergi ke Pejabat Pentadbiran Sekolah Seri Cempaka untuk mendapatkan beberapa maklumat penting untuk Senarai Semak Penyediaan Portfolio dan Tugasan Pengajian Profesional. Saya telah meminta kebenaran guru pembimbing Puan Lailawati Binti Panjang Ahmad untuk membuat tugasan-tugasan projek di Pusat Sumber Sekolah (PSS). Sekitar jam 9.30 minit pagi, saya telah diarahkan oleh Encik Amin, salah seorang guru di Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka untuk masuk ke kelas 6 Imam Bukhari menggantikan tempatnya. Sebelum masuk ke kelas tersebut, Encik Amin sempat berpesan kepada saya untuk memberi semangat dan motivasi kepada murid-murid ini memandangkan mereka akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam masa lima bulan sahaja lagi. Alhamdulillah, dalam masa lebih kurang 30 minit berada di dalam kelas 6 Imam Bukhari ini, saya berusaha untuk memanfaatkan masa bagi memberi suntikan semangat kepada muridmurid ini, tetapi walau sebanyak mana-mana sekalipun suntikan semangat yang diberi, tanpa usaha dari pihak murid-murid sendiri, pada pendapat saya umpama mencurah air ke daun keladi, tiada hasil positif yang akan dikecapi. Sekitar jam 10.45 pagi hingga 11.45 pagi, saya telah masuk ke kelas 3 Imam Bukhari bersama guru pembimbing untuk melihat secara lebih lanjut proses pengajaran dan pembelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan. Pada jam 1.15 hingga 1.45 tengahari, saya telah diarahkan oleh Encik Iberahim, Penolong Kanan Pentadbiran untuk masuk ke kelas 1 Imam Muslim untuk menggantikan guru yang sedang berkursus. Memandangkan subjek pada waktu ini adalah subjek Bahasa Inggeris, saya berusaha untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi atas permintaan murid-murid, saya telah menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pertuturan. Walau bagaimanapun, saya tetap memasukkan unsur bahasa Inggeris apabila berada di dalam kelas ini dengan cara mengajar murid-murid akan penterjemahan objek-objek asas seperti kipas, meja, kerusi, kertas dan lain-lain ke dalam bahasa Inggeris. Pada jam 1.45 tengahari hingga sekitar jam 2.15 petang, kami telah dijemput untuk solat Zohor berjemaah di surau sekolah bersama-sama dengan Penolong Kanan Pentadbiran, Ustaz dan murid-murid darjah enam.

Refleksi Hari Ketiga Alhamdulillah, pada hari ketiga menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka, semangat untuk mendidik anak-anak bangsa semakin berkobarkobar dalam diri saya. Saya amat bersyukur kerana telah diberi peluang oleh Penolong Kanan Pentadbiran untuk sit-in atau masuk ke kelas bagi menggantikan guru yang tidak hadir atas sebab-sebab tertentu. Saya telah diarahkan untuk masuk ke tiga buah kelas iaitu Kelas 6 Imam Muslim, iaitu pada jam 8.15 pagi hingga 9.15 pagi, kelas 1 Imam Bukhari, iaitu pada jam 9.15 pagi hingga 10.15 pagi dan Kelas 1 Imam Bukhari iaitu pada jam 12.45 tengahari hingga 1.45 tengahari. Semasa di Kelas 6 Imam Muslim, guru bahasa Inggeris yang sepatutnya hadir telah menyediakan bahan edaran yang perlu disiapkan oleh murid-murid dari kelas ini. Saya telah mengambil peluang keemasan memasuki kelas yang murid-muridnya akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) ini dengan cara memberi suntikan semangat kepada mereka sekaligus mengukuhkan keazaman dan kesungguhan untuk lebih tekun berusaha. Saya juga mengingatkan mereka dan diri saya sendiri bahawa kepentingan berusaha untuk mengubah kehidupan dari yang miskin kepada keadaan keluarga yang lebih baik, dan mediumnya adalah melalui pendidikan. Saya juga mengingatkan bahawa usaha tanpa solat sebagai tiang agama adalah seperti mencurah air ke daun keladi, perbuatan yang cukup siasia. Mungkin ada diantara murid-murid yang memperoleh 5A tanpa mengerjakan solat, tetapi keberkatan itu sendiri sukar untuk dilihat. Contohnya dari segi akhlak, peribadi, keterampilan dan aspek-aspek yang lain dalam diri murid-murid ini amat berbeza dengan murid-murid yang mengerjakan solat. Sebelum menamatkan sesi ini, saya telah mengedarkan bahan edaran yang telah diberi oleh guru bahasa Inggeris melalui PKHEM. Sewaktu memasuki kelas 1 Imam Bukhari, saya telah menggunakan dua jenis Alat Bantu Mengajar (ABM) iaitu video nilai-nilai murni dan juga kad perkataan. Saya telah membuat persediaan yang lebih awal semasa dirumah kerana PKHEM sendiri telah memaklumkan kepada saya sehari lebih awal berkaitan dengan sit-in ini. Saya juga telah menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bagi sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas ini. Saya juga mendapat pengajaran bahawa tidak semua aktiviti yang telah dirancang dalam RPH boleh dilaksanakan kerana memandangkan saya masih baharu lagi dalam mengenal murid-murid yang berada dalam kelas pertama bagi darjah satu disekolah ini. Saya

telah menyediakan aktiviti pemulihan bagi murid-murid yang kurang berkemampuan untuk mengeja suku kata beberapa patah perkataan, tetapi aktiviti ini tidak boleh dijalankan kerana semua murid-murid dalam kelas ini boleh mengeja dengan sangat lancar dan sangat baik, dan apabila saya menaip sangat, saya maksudkan bahawa mereka boleh mengeja dengan cukup baik serta lancar dan sekaligus melesetkan tanggapan saya sendiri bahawa murid-murid darjah satu belum tahu mengeja dengan lancar. Oleh sebab beberapa aktiviti yang dirancang tidak dapat dijalankan, terdapat ruang masa selama hampir 10 minit dari jumlah keseluruhan 60 minit apabila berada di dalam kelas ini, saya telah mengambil inisiatif untuk menerangkan secara lebih lanjut berkaitan dengan nilai-nilai yang telah diajarkan tadi. Murid-murid menunjukkan semangat yang sangat mendalam dalam sesi pengajaran dan pembelajaran ini apabila peneguhan positif telah diberikan iaitu berupa makanan ringan seperti gula-gula, roti, cokelat dan gula-gula pelbagai warna iaitu Nips. Apabila memasuki kelas 1 Imam Bukhari lagi pada masa 12.45 tengahari hingga 1.45 tengahari, saya telah menjalankan arahan dari guru bahasa Inggeris yang tidak memasuki kelas kerana perlu menghadiri mesyuarat Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBI) iaitu menyuruh murid-murid melakukan latihan pada buku latihan yang tersedia ada untuk subjek ini. Murid-murid menunjukkan akhlak dan minat yang baik dalam mata pelajaran bahasa Inggeris ini. Kelas tamat pada jam 1.45 tengahari tetapi saya menahan seorang murid yang belum menyiapkan latihan tadi dan menyuruhnya menyiapkan latihan sebelum balik ke rumah dan secara kebetulannya, murid ini merupakan salah seorang anak kepada guru di sekolah ini. Sekitar jam dua petang, saya dan Muhamad Faiz bin Md Nayan telah kembali ke rumah dan semangat kami untuk ke sekolah pada keesokan harinya masih berkobar-kobar.

Refleksi Hari Keempat Seperti kebiasaannya, sampai sahaja ke Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka, murid-muridnya kelihatan gigih membaca buku-buku cerita bersempena dengan Program Nilam peringkat sekolah ini. Pada setiap hari, selama 30 minit, pihak sekolah akan mengadakan perhimpunan minor untuk membincangkan dan mengwar-warkan perkara-perkara baharu berkaitan dengan sekolah dan murid-murid contohnya program perkhemahan yang akan diadakan pada hari Jumaat bersamaan dengan 5.4.2013 ini. Apabila jam menunjukkan pukul 7.45 minit pagi, saya telah masuk ke kelas 1 Imam Muslim untuk melihat guru pembimbing saya iaitu Puan Lailawati Binti Panjang Ahmad mengajar subjek Panduan Keselamatan Jalan Raya (PKJR). Setelah itu, pada jam 8.45 hingga 9.45 minit pagi, saya telah memasuki kelas 5 Imam Bukhari yang diajar oleh guru pembimbing saya untuk subjek Kajian Tempatan. Saya telah dimaklumkan oleh pihak pentadbiran untuk masuk ke kelas 5 Imam Muslim untuk menggantikan guru yang mengajar subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang tidak dapat menghadirkan diri atas sebab-sebab yang tertentu dari jam 9.45 hingga 10.45 minit pagi. Selama lebih kurang satu jam berada di dalam kelas ini, saya telah menggunakan untuk memberi motivasi dan kata-kata semangat kepada murid-murid dari kelas ini yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama satu tahun lima bulan sahaja lagi. Walaupun cara penyampaian saya agak keras dan garang, tetapi niat saya hanya satu iaitu ingin melihat murid-murid ini boleh mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik. Sekitar jam 11 pagi, saya dan Muhamad Faiz bin Md Nayan telah membantu pihak pentadbiran mengedarkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada ibu bapaibu bapa murid-murid yang layak menerimanya. Saya telah belajar cara-cara untuk berkomunikasi dengan ibu bapa-ibu bapa murid-murid ini dengan bantuan guru besar dan PKHEM sendiri. Selain itu, saya juga belajar cara-cara dokumen-dokumen yang perlu diisi sebagai bukti bahawa ibu bapa-ibu bapa murid-murid ini telah menerima bayaran bagi bantuan kewangan ini. Oleh kerana dari jam 12.00 tengahari hingga 1.45 minit tengahari tiada kelas untuk dimasuki, saya dan Muhamad Faiz bin Md Nayan telah membuat tugasan-tugasan projek di Pusat Sumber Sekolah (PSS). Pada masa yang sama, secara kebetulannya, guru pembimbing

saya berada di pusat sumber tersebut. Hampir dua jam kami bertiga bercakap dan berbincang mengenai permasalahan dalaman dan luaran yang perlu dihadapi oleh seorang insan bergelar guru ini. Selain itu, kami telah diberikan pelbagai maklumat dan edaran berkaitan dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Elemen Merentas Kurikulum (EMK). Ternyata dan telah terbukti guru pembimbing saya iaitu Puan Lailawati Binti Panjang Ahmad seorang guru yang cukup prihatin, cakna, berkebolehan dan sering mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat melalui pembacaan, penelitian maklumat dan pelbagai catatan yang dihasilkan apabila mengikuti kursus-kursus tertentu, lawatan dan aktiviti-aktiviti luar yang memerlukan pengorbanan masa dari insan yang bergelar pendidik, dan pada masa yang sama juga bergelar isteri dan ibu. Sekitar jam 2.40 minit petang, kami telah kembali ke rumah dengan hati yang sangat gembira kerana teringat akan kerenah dan gelagat murid-murid comel ini dan bercampur sedih tatkala teringat bahawa esok hari merupakan hari terakhir untuk kami menghadiri Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka yang ternyata sangat berdedikasi, dari pihak guru besar hinggalah ke kakitangan pendidik yang lain dan dari muridmurid hinggalah ibu bapa mereka yang tekun menghantar dan mengambil anak-anak mereka tiap pagi dan petang sepanjang hari persekolahan.

Refleksi Hari Kelima