You are on page 1of 13

Masyarakat Feudal England di Abad ke-16

Sistem Feudal merupakan satu cara hidup yang merangkumi aspek-aspek sosial, ekonomi dan politik. Aspek yang terpenting dalam sistem feudal ialah perjanjian antara Raja dengan vassalnya. Kesetiaan merupakan kunci dalam sistem feudal.

Raja menduduki lapisan teratas dalam lapisan sosial manakala rakyat bergelar Serf berada di lapisan terbawah. Raja memberi perlindungan kepada vassal dan vassal pula memberi khidmat dan kesetiaan kepada raja. Begitu juga dengan hubungan antara vassal dengan serf. Hubungan yang terjalin adalah hubungan timbal balik.

Raja
Kuasa raja telah jauh berkurangan. Raja terpaksa berkongsi kuasa dengan golongan bangsawan (vassal). Asas kekuatan vassal bergantung kepada kekuasaan dan kewibawaannya dalam kalangan rakyat wilayahnya. Pergolakan tercetus apabila raja cuba kurangkan kuasa vassal. Malahan ada vassal yang lebih berkuasa daripada raja. Ketiadaan kuasa pusat dan persaingan antara vassal tidak dapat dikawal menyebabkan banyak peperangan sering berlaku dan mengganggu kestabilan politik.

Raja menghadapi cabaran daripada golongan bangsawan dan Gereja yang perlu dikawal daripada mempunyai kuasa dan pengaruh yang kuat. Walaupun kuasa dan pengaruh Raja berkurangan, sokongan golongan bangsawan diperlukan kerana mereka memiliki kedudukan ekonomi yang tinggi berasaskan pemilikan tanah di wilayah yang dikurniakan raja.

Taraf kebangsawanan golongan vassal ini dikekalkan dengan penganugerahan anugerah dan gelaran seperti Duke, Earl, Count dan Baron yang boleh diwarisi secara turun-temurun.

Dalam masyarakat feudal, tanah menjadi punca kekayaan kepada Tuan Tanah (Raja & Golongan Bangsawan). Raja bergantung kepada sistem cukai untuk menampung segala keperluan kewangannya. Pendapatan raja diperolehi daripada cukai hasil tanah dan kutipan tol yang dipungut dari pengguna yang lalu lintas di wilayah tadbirannya.

Golongan Serf
Golongan Serf tidak memiliki tanah yang mereka kerjakan itu. Serf terikat dengan memberi khidmat dan kesetiaan dengan mengerjakan tanah tuannya yang diperuntukkan kepadanya serta menjalankan tugas lain mengikut keperluan tuannya. Serf boleh dikerah oleh tuannya menjadi askar.

Serf akan menggunakan lebihan hasil tanamannya untuk mendapatkan barang lain melalui Sistem Barter disebabkan penggunaan mata wang yang terhad. Secara umum, ekonomi masyarakat feudal kurang berkembang. Masyarakat feudal terdiri daripada unit-unit kecil pertanian yang mengamalkan pertanian sara diri yang kurang produktif. Penggunaan mata wang yang terhad tidak memungkinkan perdagangan jarak jauh.

Golongan Gereja
Dalam keadaan ekonomi dan politik yang tidak maju dan tidak stabil, golongan Gereja telah berjaya meluaskan pengaruh dalam masyarakat feudal. Pengaruh agama Kristian memainkan peranan utama dan merangkumi segala aspek kehidupan masyarakat.

Kemudahan pendidikan yang menekankan agama Kristian turut disediakan oleh pihak Gereja. Aspek kerohanian dan persediaan untuk akhirat dipentingkan sementara aspek duniawi kurang ditumpukan. Namun dalam kalangan golongan pemimpin Gereja, timbul kecenderungan untuk mementingkan aspek duniawi dan mengejar kemewahan hidup.

Amalan rasuah dan penyelewengan kuasa berleluasa kerana mereka turut terlibat dalam persaingan kuasa dan permainan politik oleh golongan vassal. Amalan penjualan surat pengampunan dosa Indulgences oleh pihak Gereja yang dilakukan tanpa memerlukan seseorang pembeli itu untuk membersihkan diri dan bertaubat telah menjadikan ianya suatu perniagaan yang menguntungkan beberapa pihak paderi dan pemimpin tinggi Gereja. Selain itu, timbul kesan yang ketara akibat daripada sikap taqlid yang menerima segalanya tanpa menyoal.