You are on page 1of 2

Falsafah Pendidikan Saya dan Kaitan Dengan Falsafah Pendidikan Negara

Setiap guru pastinya mempunyai falsafah ataupun pemikiran tersendiri dalam bidang pendidikan. Cara terbaik bagi saya untuk menghuraikan falsafah pengajaran saya adalah dengan mengatakan bahawa saya suka serta berminat untuk mengajar. Matlamat pertama saya dalam bidang pendidikan ini adalah untuk membina hubungan dengan pelajar saya melalui cara mengingati setiap nama dan serba sedikit tentang latar belakang mereka. Saya tidak keberatan jika pelajar saya mahu bercakap sesuatu yang tidak berkaitan dengan pendidikan dan saya akan memberikan yang terbaik untuk membuat mereka sedar bahawa saya bukan sahaja sebagai seorang guru tetapi juga boleh dianggap sebagai rakan untuk berkongsi masalah atau perasaan. Saya percaya dengan itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah. Tambahan pula, aspek yang paling penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah untuk berseronok dan berasa selesa di dalam kelas. Hal ini kerana ia boleh menarik minat pelajar untuk datang ke sekolah dan menikmati bahan pengajaran saya. Selain itu, saya akan memastikan di dalam kelas saya akan ada banyak pembelajaran interaktif yang melibatkan komunikasi antara pelajar dan guru, perbincangan kumpulan atau tutorial, pembentangan kelas, persembahan video, kerja amali dan pendekatan penyelesaian masalah. Dengan cara ini, aktiviti yang berpusatkan pelajar sekali gus akan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dan kondusif. Ironinya, para pelajar tidak akan berasa bosan dan lebih fokus ketika berada di dalam kelas serta cara ini juga dapat membantu untuk menerapkan minat mereka terhadap subjek yang saya bakal ajar kepada para pelajar. Selain itu, penyediaan serta pendedahan awal tentang bidang kerjaya adalah satu lagi aspek yang saya rasa semua pelajar di dunia mesti belajar pada peringkat sekolah lagi. Justeru, saya akan membantu para pelajar saya untuk membina kemahiran, keyakinan diri dan komunikasi dengan cara di mana setiap pelajar haruslah sentiasa mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran di dalam kelas. Cara ini akan dijadikan sebagai persediaan kepada mereka apabila tamat alam persekolahan seterusnya dapat melangkah dengan yakin ke alam pekerjaan atau pun ke alam pendidikan yang lebih tinggi. Seterusnya, sebagai guru saya haruslah menyediakan keadaan kuliah atau bilik darjah yang menyeronokkan dan menggembirakan. Jadi, bagi menyediakan keadaan kelas yang selesa dan keadaan pembelajaran yang aktif saya akan cuba untuk memecahkan kuliah ke

dalam masa yang singkat. Hal ini kerana menurut kajian, pelajar hanya boleh memberi tumpuan pada jam pertama kuliah atau sesi pembelajaran. Bagi mengelakkan pelajar tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, saya akan memberi kebenaran untuk mereka makan gula-gula, minum air atau pun meregangkan badan ketika sesi pembelajaran sedang dijalankan.

Secara ringkas, saya percaya bahawa untuk menjadi seorang pendidik yang berdedikasi dan berjaya, saya perlu menjadikan mengajar sebagai salah satu hobi. Hal ini kerana apabila sesuatu perkara itu telah dijadikan sebagai hobi, semestinya kita akan berasa selesa dan gembira untuk melakukan pekerjaan tersebut. Saya berharap suatu hari nanti, saya boleh menjadi seorang guru yang berdisiplin serta disukai oleh para pelajar. Sekiranya demikian, pelajar akan berasa selesa untuk masuk ke kelas saya dan gembira semasa proses pembelajaran.

You might also like