You are on page 1of 2

TEKS UCAPAN NUR SYAZWANI BINTI SANUSI, GURU BESAR SEKOLAH KEBANGSAAN BALUNG KOKOS SEMPENA KEJOHANAN OLAHRAGA

KALI KE-2 PADA 5 MAC 2010

Terima kasih kepada saudari Pengerusi Majlis. Bismillah Hirrahman Nirrahim. Yang Berbahagia Tuan Haji Syeikh Rahim bin Haji Syeikh Yusuf, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Yang Berusaha Puan Masrina binti Maula, Penolong Kanan Pentadbiran, dan seterusnya warga Sekolah Kebangsaan Balung Kokos yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan keizinan-Nya, maka dapatlah kiranya saya menghadiri temasya gilang gemilang yang berlangsung di sekolah ini sekaligus merasmikan Kejohanan Olahraga kali ke-2 Sekolah Kebangsaan Balung kokos. Tahniah dan syabas diucapkan kepada ahli jawatankuasa penganjur temasya yang telah berusaha dengan gigih dalam merancang, menyusun dan seterusnya berhasil untuk merealisasikan Kejohanan Olahraga kali ke-2 ini. Sudah terang lagi bersuluh, bukanlah mudah untuk menguruskan sesebuah kejohanan sebesar ini apatah lagi dilakukan pada setiap tahun dan menjunjung cita yang jitu iaitu untuk melahirkan generasi yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik malah unggul dalam aspek kokurikulum. Beban kerja yang dihadapi kian bertambah dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak tetap pasang surutnya. Alah bisa tegah biasa, sikap saling bekerjasama dan bertolak ansur sesama kita telah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dilaksanakan dalam usaha untuk mencapai misi serta visi apatah lagi sekiranya wujud perbezaan pendapat serta ideologi, yang perlu ditangani dengan bijaksana. Pepatah sakti Melayu muafakat membawa berkat dan bersatu teguh bercerai roboh haruslah digenggam erat andai kita mahu menyuburkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan warga pendidik khususnya. Hadirin dan hadirat sekalian, Menurut apa yang telah difahamkan oleh pihak penganjur, Kejohanan Olahraga kali ke2 ini diadakan dengan melibatkan pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan Balung Kokos

bagi mencari pelapis-pelapis muda yang berpotensi untuk digilap potensi mereka. Selain itu, temasya ini juga bertujuan menerapkan amalan gaya hidup sihat dengan menyahkan toksik dari dalam badan kita melalui proses perkumuhan. Toksik ini diibaratkan seperti besi yang telah berkarat, dimana badan kita akan menjadi berat dan lemah, serta akan menjadi rapuh pada bila-bila masa sekiranya tidak bersukan. Insyaallah temasya ini dapat meyemai kesedaran kesihatan dan merealisasikan matlamat utama negara kita untuk meningkatkan mutu hidup rakyat iaitu melalui kempen Gaya Hidup Sihat dan Hidup Tanpa Rokok. Hasrat negara ini merupakan salah satu anak tangga untuk membentuk belia yang sihat dan cergas dalam sesuatu organisasi. Kehidupan yang bahagia adalah hasil daripada penjagaan kesihatan yang teratur lantas menyerlahkan imej dan keperibadian individu. Hadirin yang dihormati, Sukan juga menjadi tapak asas bagi mengukuhkan ikatan silaturahim dengan memupuk sikap kerjasama dan persefahaman bagi membentuk kita menjadi rakyat Malaysia yang berfikiran terbuka, progresif dan inovatif dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Akhir kata, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa penganjur Kejohanan Olahraga kali ke-2 serta semua yang terlibat. Dengan lafaz Bismillah Hirrahman Nirrahim saya selaku guru besar Sekolah Kebangsaan Balung Kokos dengan ini merasmikan kejohanan olahraga kali ke-2 peringkat sekolah pada tahun ini. Saya sudahi ucapan ini dengan wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Sekian terima kasih.

You might also like