You are on page 1of 5

REFLEKSI KENDIRI

Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya saya telah berjaya melaksanakan program Bina Insan Guru Fasa Ke-4 bersama dengan rakan-rakan dari unit Pendidikan Seni Visual Semester 4 Ambilan Januari 2011. Program Bina Insan Guru pada semester ini telah dilaksanakan pada 6,7 dan 8 September 2012 yang bertempat di Kg Pancur Merah, Setiu. Program ini telah disertai oleh 105 orang guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail. Program Bina Insan Guru merupakan satu program yang wajib dilalui oleh setiap pelajar Ijazah Sarjana Muda Perguruan bagi melengkapkan perjalanan untuk menjadi seorang guru. Program ini perlu dijalani pada setiap semester dan pada semester ini saya telah berjaya menyelesaikannya. Program Bina Insan Guru pada semester ini lebih berfokuskan kepada khidmat bakti masyarakat. Bagi melaksanakan program ini, unit kami telah digabungkan dengan Pismp Bahasa Melayu, Pismp Kajian Sosial, Pismp Bahasa Inggeris 2 dan Pismp Pendidikan Islam 3 untuk Program Bina Insan Guru siri 4. Sebelum memulakan program ini, kami menubuhkan carta organisasi yang diwakili oleh ahli dari setiap unit. Di sini kita dapat melihat serta belajar cara untuk bekerjasama dan membuat kerja dalam kumpulan atau organisasi yang besar. Saya dengan sukarela telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa bagi program BIG pada kali ini. Saya telah ditugaskan untuk menjadi AJK aktiviti, dimana saya perlu merangka aktiviti sepanjang program ini berlangsung.

Kami telah mengadakan mesyuarat bersama lima ahli unit yang terlibat dengan program ini dan membincangkan mengenai tempat yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti khidmat bakti masyarakat. Wakil dari kelima-lima unit telah mencapai kata sepakat dan memilih untuk mengadakan khidmat bakti masyarakat yang berbentuk Program Anak Angkat di Kg Pancur Merah, Setiu. Ahli Jawatankuasa Tertinggi program BIG telah bekunjung ke Kg Pancur Merah untuk berbincang bagi mendapatkan persetujuan mereka mengadakan program ini disana. Setelah berbincang bersama Jawatankuasa Ketua Kampung Pancur Merah, mereka telah bersetuju untuk menerima kunjungan kami ke sana bagi melaksanakan program ini. Setelah mendapat persetujuan, kami AJK Aktiviti bagi program Bina Insan Guru mula merangka aktiviti yang bakal dilaksanakan di sana. AJK Aktiviti terdiri saya Nurfatihah Mohd Nazir dari unit Pismp Pendidikan Seni Visual, Fatin Fatihah dari unit Pismp Bahasa Inggeris 2, Fadhilah Atikah dari unit Pismp Bahasa Melayu dan Nur Fatin Safiqah dari unit Pendidikan Islam 3 sebagai selaku ketua AJK. Kami telah berbincang dan memilih beberapa aktiviti yang sesuai dilaksanakan antaranya ialah sukaneka, mural, gotong-royong dan program motivasi tahun 6. Setelah mencapai kata sepakat, saya telah ditugaskan oleh ketua AJK Aktiviti untuk memantau aktiviti membuat mural di tadika yang terdapat di kampong tersebut. Antara kekuatan yang saya perolehi sebelum melaksanakan program ini adalah saya dapat merasai pengalaman bagaimana untuk merangka aktiviti yang sesuai sepanjang berada di Kg Pancur Merah dan menjadi salah satu AJK untuk memastikan program ini dapat berjalan lancar. Saya juga bertanggungjawab sepenuhnya ke atas rekaan dan alatan yang perlu disediakan bagi aktiviti mural. Jujur saya katakan, ini merupakan pengalaman pertama saya menghasilkan mural di dinding sebuah tadika. Saya belum pernah mengalami pengalaman seumpama ini sepanjang saya berada di institut. Setelah selesai melakukan segala persiapan, tibalah hari yang dinanti-nantikan oleh kami. Tanggal 6 September 2012, kami telah berangkat ke Kg Pancur Merah bagi melaksanakan program ini. Saya berasa amat teruja untuk berkenalan dengan keluarga angkat yang bakal saya temui. Setibanya kami di sana, kami disambut baik oleh orang

Kg Pancur Merah. Setelah kesemua ahli unit berkumpul, majlis penyerahan anak angkat dijalankan secara rasmi oleh ketua kampung. Saya telah diserahkan kepada keluarga angkat Meriam Bt Abdullah. Setelah selesai majlis penyerahan anak angkat, saya berangkat pulang ke rumah keluarga angkat yang berada di Kg Ulu Kekabu. Keluarga angkat saya terdiri daripada 6 adik-beradik dan hanya seorang sahaja yang masih tinggal bersama ibu angkat. Kekuatan yang saya dapati semasa berada bersama keluarga angkat adalah saya mendapat layanan yang baik sepanjang bersama mereka. Saya berasa amat gembira semasa berada di rumah mereka kerana mereka amat peramah dan gemar berbual. Saya dapat berkenalan dengan lebih rapat bersama mereka dan kami melakukan pelbagai aktiviti bersama. Contohnya memasak bersama dan mengait buah jambu. Melalui program ini saya mendapat perkongsian ilmu daripada ibu angkat saya iaitu mengenai resipi untuk memasak gulai telur itik serta saya mendapat pengalaman mengait buah jambu serta memberi itik peliharaanya makan. Selain itu, saya juga menghadapi sedikit masalah semasa mula-mula saya sampai di rumah tersebut dan sewaktu saya mula-mula masuk ke bilik yang disediakan untuk kami. Saya mendapati di rumah ibu angkat saya tiada katil untuk tidur dan kami hanya ada tilam nipis untuk tidur. Pada mulanya saya agak kekok untuk menyesuaikan diri akan tetapi saya cuba untuk membiasakan diri dengan situasi tersebut dan akhirnya saya berjaya mengatasi masalah tersebut serta dapat tidur dan berehat dengan selesa. Dari program ini saya mendapat pelbagai pengalaman dan perkongsian ilmu dari keluarga angkat saya. Saya berasa amat bertuah kerana dapat menyertai program seumpama ini. Pada hari kedua kami berada di Kg Pancur Merah, kami mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kampung pada waktu pagi serta aktiviti mural di tadika. Saya telah ditugaskan untuk menyiapkan mural di dinding tadika dan saya telah memilih rekaan yang menggambarkan hidupan di dasar laut untuk di lukis di dinding tadika tersebut. Saya telah memilih kesemua ahli dari unit Pendidikan Seni Visual untuk membuat mural kerana terdapat sesetengah ahli dari unit kami sudah pernah membuat mural dan saya boleh mendapatkan nasihat dan pandangan daripadanya mengenai

mural yang dihasilkan. Semasa proses mewarna mural di dinding tadika tersebut kami mengalami masalah kekurangan berus untuk mengecat. Alatan yang disediakan oleh AJK Alatan tidak mencukupi dan kami amat berterima kasih kepada guru tadika tersebut kerana sudi meminjamkan berus cat kepada kami. Kami berjaya menghasilkan mural di tadika tersebut dalam 4 jam setengah sahaja dan guru tadika tersebut berpuas hati dengan hasil kami. Pada sebelah malam pula, kami mengadakan jamuan BBQ bersama keluarga angkat di Dewan Felcra. Setiap keluarga angkat membeir sambutan yang baik terhadap program yang kami jalankan. Selain itu, terdapat juga tayangan filem dan sesi karaoke bersama orang Kg. Pancur Merah. Saya berasa amat gembira melayan keluarga angkat saya serta bergurau senda bersama mereka. Tidak pernah saya merasakan pengalaman yang menarik seperti ini. Unit kami telah ditugaskan untuk memberi makanan kepada setiap pengunjung yang hadir pada malam itu. Meskipun kepenatan akan tetapi saya berasa sangat gembira dengan pengalaman yang berharga ini. Keesokan harinya, pihak Kg Pancur Merah mengadakan jamuan hari raya khas kepada kami. Saya berasa amat berat hati untuk meninggalkan keluarga angkat saya kerana saya sudah merasa selesa bersama mereka dan gembira berada di rumah mereka. Apakan daya setiap pertemuan itu pasti akan ada perpisahan yang mengundang. Setelah selesai jamuan hari raya bersama penduduk Kg Pancur Merah, kami bersiap-siap untuk mengemas tapak jamuan hari raya tersebut kerana sebentar lagi kami akan berangkat pulang ke IPG KDRI. Sebelum pulang terdapat majlis penutupan Program Khidmat Bakti Siswa dan majlis penyerahan semula anak angkat. Saya berasa amat sayu untuk meninggalkan keluarga angkat saya meskipun bru 3 hari berkenalan. Tepat jam 2.30 petang kami berangkat pulang ke IPG KDRI bagi meneruskan rutin harian kami sebagai pelajar. Kesimpulannya, saya mendapat pelbagai input berguna sepanjang saya berada bersama keluarga angkat di Kg Pancur Merah dan Kg Ulu Kekabu. Setip pengalaman yang saya kutip sangat berguna untuk diaplikasikan dalam profesion perguruan dan juga dalam kehidupan seharian. Saya juga dapat membuka minda tentang cara untuk menjalinkan hubungan baik bersama masyarakat. Ianya akan menjadi salah satu ilmu

yang baru kepada saya dalam menjalinkan hubungan sosial bersama masyarakat setelah saya bergelar guru pada suatu hari. Selain itu, saya juga dapat membina silaturrahim antara umat manusia serta dapat belajar untuk berkomunikasi dengan orang lain selain ahli keluarga saya sendiri.

Disediakan oleh : NURFATIHAH MOHD NAZIR PISMP PSV/PJ/BM SEMESTER 4 2012

You might also like