You are on page 1of 5

GEMPAR MATI LAPAR DI BALING

OLEH: ZAINUDDIN MAIDIN

YANG dicari ialah orang mati kebuluran di Baling tetapi yang di temui ialah lebih 20
orang pengganas komunis yang keluar dari hutan kerana mahu membantu orang
Baling yang menderita kesempitan hidup akibat kejatuhan teruk harga getah pada
akhir tahun 1974.
Cerita mati kebuluran itu telah menggemparkan negara berikutan dengan tunjuk
perasaan pelajar-pelajar institusi pelajaran tinggi di Kuala Lumpur yang diketuai oleh
Anwar Ibrahim dari ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) diikuti dengan tunjuk
perasaan penoreh-penoreh getah di Baling sendiri dihadapan Menteri Perusahaan
Utama Datuk Musa Hitam.

Apabila seorang pensyarah Universiti Malaya Profesor Zainol Abidin Wahid turut
percaya kepada cerita ini, maka Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu,
Mazlan Nordin (Tan Sri) telah mengarahkan saya untuk ke Baling bagi menjalankan
siasatan.

Di Baling saya mendapati bahwa bukan sahaja ramai orang mempercayai cerita ini
tetapi pengganas komunis dalam hutan juga turut percaya sehingga mereka berani
keluar dengan beruniform dan bersenjata untuk memberikan bantuan perubatan
kepada orang kampung kerana mereka percaya orang kampung yang sedang
menderita pasti akan menyambut mereka dengan baik.

Sebagai pemberita saya kira saya cukup bernasib baik pada hari itu kerana
mendapat berita eksklusif di luar jangkaan, komunis keluar dari hutan tahun 1974
ketika negara berada dalam aman damai dan ketika orang ramai menyangka
gerakan pengganas komunis telah tamat di Malaysia.

Sebelum saya ke Baling, pelajar- pelajar Universiti Malaya dan institusi pengajian
tinggi lain telah mengadakan tunjuk perasaan secara haram di Padang Kelab Sultan
Sulaiman Kampung Baru dan juga di kawasan Masjid Negara Kuala Lumpur bagi
menyatakan simpati terhadap penoreh getah di Baling yang menghadapi kejatuhan
harga getah. Mereka mendakwa ada penoreh yang mati kebuluran.

Polis terpaksa bertindak menahan kepala tunjuk perasaan itu, Anwar Ibrahim dan
Idris Sanusi pada 14 Disember 1974 di bawah ISA.

"Bukan kerana dia pemimpin ABIM tetapi kerana menghasut pelajar- pelajar
mengadakan demonstrasi haram," kata satu kenyataan polis.

Dalam tunjuk perasaan itu pelajar pelajar telah membaling batu dan memaki hamun
polis sebagai anjing dan barua kerajaan.

Menteri Pelajaran ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah mencabar pemimpin-
pemimpin pelajar supaya memberikan nama orang yang didakwa sebagai mati lapar
dan Perdana Menteri Tun Abdul Razak mensifatkannya sebagai cerita dusta.

Setiba saya di Baling pada 17 Disember 1974, saya telah menemui Penolong
Pegawai Daerah Baling Abdul Rahim Ahmad dan secara kebetulan apabila beliau

1
membawa saya ke Rumah Rehat Baling untuk makan tengah hari, saya telah dapat
berjumpa serentak semua orang yang ingin saya temui kerana mereka berada di situ
iaitu Pegawai Polis Daerah Baling Raja Ahmad bin Raja Badiozaman dan tiga
orang doktor dari Hospital Baling iaitu Penolong Pegawai Perubatan Dr. Tan Ah
Hock, Dr. Muthusamy dan Dr. Indrani.

Ketiga tiga doktor itu menafikan adanya kes kematian kerana kelaparan seperti yang
digemparkan oleh pelajar pelajar di Kuala Lumpur.

"Saya, Dr.Muthusamy dan Dr. Indrani tidak menemui kes begini sejak November
lalu tetapi di kampung- kampung di sini memang rara rata orang miskin,"kata Dr. Ah
Hock.

Beliau seterusnya memberitahu, "Untuk seseorang mati kebuluran akan mengambil
masa beberapa bulan dan dalam proses menemui kematiannya dia hanya akan
tinggal tulang dan kulit sahaja.

"Mustahil hal ini boleh berlaku di Malaysia, tidak mungkin jika seseorang itu berada
dalam keadaan kebuluran tidak diketahui oleh jiran sebelah atau sekampung
dengannya yang akan membantunya atau melaporkan kepada pihak berkuasa,"
kata Dr Ah Hock.

Bagaimanapun saya tidak berpuas hati dengan kenyataan ini dan saya telah
meminta pertolongan Ketua Pemuda UMNO Baling masa itu Hussein Mohd Zain
untuk membawa saya ke kawasan paling miskin di Baling untuk mencari mendapat
bukti orang mati kebuluran dan juga untuk melihat sendiri penderitaan rakyat akibat
penurunan harga getah ke paras paling rendah sehingga ke 15 sen sahaja sekati
dari paras harga biasa antara 25 sen hingga 60 sen sekati.

Penoreh

Kehidupan para penoreh getah di sini benar benar tertekan kerana harga barangan
keperluan meningkat dan harga sekati getah turun hingga kepingkat lebih rendah
dari harga sekati gula iaitu 25 sen (sekati getah 15 sen).

Maka apabila pelajar-pelajar dari Kuala Lumpur masuk ke kampung kampung di
Baling dan ke daerah yang berhampiran Sik dan Jeniang menghasut penduduk
melancarkan "mogok lapar" bagi membantah penurunan harga getah, secara
sepontan lebih 10,000 orang telah keluar berhimpun di hadapan Pejabat Daerah
Baling yang berhampiran dengan Masjid Baling sempena kedatangan Menteri
Perusahaan Utama Musa Hitam yang diutuskan khas oleh Tun Abdul Razak bagi
menyelesaikan masalah penurunan harga getah itu.

Mereka mengadakan tunjuk perasaan hingga merempuh pintu pagar Pejabat
Daerah Baling dan menurunkan bendera negeri Kedah dari tiang bendera di
hadapan pejabat itu dan menaikan seberkas ubi kayu yang diikat pada tali bendera.
Sesetengah mereka membawa parang dan cangkul.

Dua orang yang turut serta dalam tunjuk perasaan itu ketika usia mereka masih
muda telah menceritakan semula pengalaman mereka apabila saya temui di Baling
baru baru ini. Mereka ialah Roslan Ahmad dan Pegawai Jasa Baling (Jabatan Hal
Ehwal Khas) Haji Mohd Othman Mohd Noor.

2
"Ketibaan Musa dengan helikopter telah mereka sambut dengan jeritan Musang
Hitam! Musang Hitam!." kata Roslan.

Beberapa orang penunjuk perasaan yang membawa parang dan cangkul telah
ditahan oleh polis.

Setibanya dengan helikopter di kawasan tunjuk perasaan itu, Musa telah
mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Pegawai Daerah, pegawai pegawai
kerajaan,penghulu dan juga pegawai polis.

Musa tidak mempedulikan nasihat mereka supaya jangan bertemu dengan penunjuk
perasaan sebaliknya beliau berjalan seorang diri ke arah orang ramai tanpa diiringi
oleh polis sambil mengangkat tangan kepada mereka. Ini menyebabkan teriakan
"musang hitam" semakin kendur.

Musa berjaya menenangkan suasana dan menyuraikan tunjuk perasaan itu apabila
dalam ucapannya beliau menyampaikan jaminan Tun Abdul Razak bahawa harga
getah akan dinaikan serta merta.

Disamping itu beliau juga memberitahu penunjuk perasaan yang ditahan akan
dibebaskan segera dan kenderaan akan disediakan bagi menghantar pulang
penunjuk-penunjuk perasaan yang telah berjalan kaki begitu jauh untuk menyertai
perhimpunan di Baling, antara mereka ialah penoreh getah dari Sik dan Jeniang.

Saya meninjau ke Baling selepas peristiwa tunjuk perasaan itu.Cerita kesusahan
hidup yang saya dengar di Kampung Weng Dalam dan juga di Kampung Tanjong
Pari amat menyedihkan. Penoreh-penoreh getah di kampung ini turun rumah pada
pukul lima pagi untuk menoreh hingga pukul 11 pagi dengan hanya mendapat kira
kira lima puluh sen sahaja sehari.

Mereka terpaksa membuat kerja-kerja lain untuk menambahkan pendapatan tetapi
peluang kerja sangat terbatas masa itu kecuali memancing ikan,mencari kayu api
atau mengutip akhbar lama dan botol untuk dijual. Ada juga yang bercucuk tanam di
tanah pinggiran sungai tetapi tidak mendatangkan hasil segera.

Saya mendengar cerita anak anak yang dipukul oleh tuan tanah kerana mencuri
rambutan di kebun mereka untuk dimakan kerana kelaparan.

Beberapa orang di Kampung Pari berjalan kaki empat lima jam untuk masuk ke
hutan mencari bijih yang mendatangkan hasil hanya antara RM 50 hingga RM 60
sahaja untuk hidup beberapa hari dan kemudian masuk ke hutan lagi.

Penolong Pegawai Daerah Baling Abdul Rahim Ahmad memberitahu, kesempitan
hidup menyebabkan orang kampung menjadi lebih rajin, berkerja keras dan lebih
kreatif.

Dia bertanya kepada saya, "Apakah orang Melayu malas sekiranya mereka sanggup
menunggu berjam-jam memancing untuk mendapat seekor ikan. Yang perlu ialah
mereka disalurkan kepada kerja yang lebih produktif."

Meninjau

3
Saya telah meninjau hampir seluruh kawasan paling miskin termasuk mereka yang
tidak bertanah yang tinggal di kawasan tanah pinggir tepi sungai menuju ke Tanjong
Pari tetapi tidak juga menemui orang mati kebuluran sebaliknya saya diberitahu oleh
Hussein Mohd Zain yang memandu saya bahawa pengganas komunis telah keluar
di Batu 8 Weng baru-baru ini.

Hussein bercerita hal ini secara bersahaja tetapi bagi saya ini adalah suatu berita
besar yang memerlukan pengesahan segera dan ada kena mengena dengan
kemiskinan di Baling.

Ketika negara berada dalam keadaan aman damai setelah lebih sepuluh tahun
darurat diisytiharkan tamat maka kehadiran pengganas komunis di tengah-tengah
masyarakat kampung adalah luar biasa.

Saya seperti tidak percaya terus bertanya kepada Hussein, benarkah? Benar,
katanya dan membawa saya menemui sendiri salah seorang dari orang kampung di
Batu 8 Weng yang turut dalam pertemuan dengan pengganas komunis itu.

Berita ini seterusnya telah disahkan oleh Pegawai Polis Daerah Baling, Raja
Ahmad Raja Badiozaman yang agak terkejut kerana saya telah mengetahuinya. "Di
mana saudara tahu," tanya beliau ketika saya datang ke rumahnya lewat petang
untuk mendapatkan pengesahan.

"Orang kampung di Weng beritahu," kata saya. Beliau menjemput saya naik ke
rumahnya, menjamu laksa dan mengesahkannya.

Menurut beliau lebih 20 orang pengganas komunis telah keluar dari hutan dengan
beruniform dan bersenjata, membawa kamera, alat perakam dan memberikan ubat-
ubatan kepada orang kampung. Ini menjadi berita eksklusif Utusan Melayu yang
menggemparkan tanah air.

Kira-kira 18 tahun sebelum itu Baling telah mencatitkan sejarah apabila Setiausaha
Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan dua orang kanannya Rashid
Maidin dan Chen Tien telah keluar dari hutan untuk mengadakan rundingan bagi
mencari perdamaian dengan Ketua Menteri Malaya Tunku Abdul Rahman Putra
tetapi perundingan itu gagal.

Nyatalah kebijaksanaan pemimpin-pemimpin pelajar mengekploitasi cerita mati
kebuluran itu tidak sahaja menyakinkan rakyat biasa tetapi sampai kepada
pengganas komunis yang masih berjuang di dalam hutan. Tetapi saya dimaklumkan
oleh penduduk penduduk setempat bahawa pada masa itu ramai ejen- ejen komunis
yang tinggal dalam bandar Baling.

Keadaan kemiskinan di Baling masa itu telah diburukkan lagi oleh kerana pegawai-
pegawai kerajaan dan agensi agensi kerajaan yang bertanggungjawab tidak
berperanan dengan berkesan untuk mengubah system sosial di kalangan
masyarakat setempat dan tidak sensitif kepada keadaan sekitar yang memerlukan
perhatian dan tindakan segera.

Saya mencatatkan dalam siri tinjauan saya yang disiarkan oleh selama tiga hari
berturut-turut dari 5 hingga 7 Januari 1975 bahawa, "Keyakinan terhadap sesuatu

4
kerja hanya dapat ditanam di kalangan orang kampung sekiranya mereka telah
melihat hasilnya. Jika tidak mereka akan kembali kepada cara hidup tradisi.

"Saya sama sekali tidak melihat keadaan kemiskinan di Baling dengan perasaan
putus asa dan kecewa kerana saya menyedari akan kesanggupan besar yang ada
pada negara baik dari segi kewangan, tenaga dan jentera kerajaan sendiri untuk
mengatasinya."

Baling sekarang bukan lagi merupakan daerah termiskin di negeri Kedah sebaliknya
telah banyak berubah menjadi sebuah daerah yang pesat membangun , penuh
dengan bangunan-bangunan baru, pejabat kerajaan dan kedai perniagaan yang
beraneka dengan persekitarannya yang indah. Ia juga terkenal dengan tempat
percutian air panas Ulu Legong.

Bagaimanapun yang tetap tidak berubah ialah bekas pemimpin pelajar yang
memimpin tunjuk perasaan pelajar lebih 30 tahun dahulu. Walaupun realiti negara
telah berubah, kerajaan telah menukarkan anak petani nelayan dan orang kampung
menjadi orang terpelajar, profesional, ahli perniagaan dan sebagainya tetapi dia
masih berada di jalan-jalan raya untuk kerja yang sama dengan menggunakan
pelbagai isu rakyat yang real, rekaan dan juga imiginasi.

Beliau memang mempunyai kepakaran dan kecekapan mengeksploitasi isu yang
kecil menjadi besar, yang hitam menjadi putih , kekarutan menjadi kebenaran malah
berjaya menutup kehinaan dan dosa dari satu pementasan ke satu pementasan.

ZAINUDDIN MAIDIN ialah bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.

Mingguan Malaysia, Ahad 11 Oktober 2009

5