You are on page 1of 14

Bab 5

Teori Pembelajaran serta Kesannya dalam


Reka bentuk Aplikasi Multimedia
Pendidikan


Apabila membincangkan mengenai peranan reka bentuk instruksi dalam
menghasilkan suatu pembelajaran yang lebih berkesan, ianya amat berkait
rapat dengan teori-teori pembelajaran. Ini memandangkan strategi atau
kaedah pengajaran yang terdapat di dalam sesuatu reka bentuk instruksi
biasanya adalah berdasarkan kepada teori-teori ini. Bednar, et al. (1992)
menyokong pernyataan ini dengan menyatakan bahawa proses mereka
bentuk dan membangunkan sesuatu bahan pembelajaran sama ada yang
berbentuk konvensional ataupun yang memanfaatkan teknologi moden dan
terkini seharusnya berasaskan kepada teori-teori pembelajaran. Menurut
mereka lagi, sesuatu bahan pembelajaran yang efektif hanya akan berjaya
dihasilkan sekiranya seseorang pereka bentuk telah mengambil kira asas
dalam teori pembelajaran di dalam reka bentuknya.

Teori Pembelajaran Sepintas Lalu

Teori pembelajaran secara amnya merupakan satu teori yang memfokuskan
kepada penerangan dan penjelasan bagaimana proses pembelajaran itu
Multimedia dalam Pendidikan
2
berlaku di dalam diri seseorang. Dengan lain perkataan ia menjelaskan
bagaimana proses sesuatu perubahan tingkah laku itu boleh berlaku di dalam
diri seseorang. Teori pembelajaran juga menyediakan asas bagi strategi
umum yang boleh digunakan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Ini
dilaksanakan dengan menyediakan pengalaman pembelajaran yang
bersesuaian dengan keperluan pelajar (Wagner, 1994). Terdapat pelbagai
teori pembelajaran yang ada, bermula daripada teori tingkah laku
(behavorisma) kepada teori pemprosesan maklumat atau teori kognitif dan
seterusnya teori faham binaan (konstruktivisme) dan teori neurosains.

Mengikut fahaman ahli psikologi teori behaviorisme, pembelajaran
merupakan satu proses perubahan tingkah laku yang berlaku pada seseorang.
Ada juga yang berpendapat bahawa pembelajaran merupakan keupayaan
seseorang untuk berubah dari tidak boleh melakukan sesuatu perbuatan
kepada boleh melakukannya. Pembelajaran juga boleh dikatakan sebagai
satu keputusan daripada pengalaman atau interaksi dengan persekitaran yang
akan meningkatkan tahap ketahanan seseorang dalam menempuh kehidupan.

Teori kognitif pula merupakan antara teori yang paling banyak
membincangkan mengenai bagaimana seseorang individu itu belajar dan
apakah yang berlaku sebenarnya di dalam minda semasa melalui proses
pembelajaran. Teori ini seterusnya berkembang kepada teori konstruktivisme
apabila suasana pembelajaran dan isu persekitaran pelajar turut diambil kira
dengan lebih mendalam. Kebanyakan teori-teori pembelajaran kognitif
terkini mendakwa bahawa pembelajaran dikatakan berlaku bukan semata-
mata menerusi proses menerima maklumat sahaja tetapi sebaliknya menerusi
proses menterjemah, mengguna dan memperkembangkan semula maklumat
yang diperolehi secara berkesan. Pembelajaran berkesan juga dikatakan amat
bergantung kepada proses dalaman yang berlaku di dalam diri pelajar
(Resnick, 1989).

Apabila terdapatnya perubahan perspektif mengenai proses
pembelajaran daripada teori behaviorisme kepada teori kognitif dan
seterusnya teori konstruktivisme, ramai penyelidik mula berminat terhadap
proses kognitif serta kesannya terhadap pembinaan pengetahuan. Ramai ahli
psikologi yang berpegang kepada teori kognitif dan konstruktivisme percaya
bahawa proses pembelajaran tidak boleh dipisahkan daripada aktiviti
pembelajaran dan konteks di mana ianya perlu atau boleh digunakan semasa
menyelesaikan sesuatu masalah dalam kehidupan sebenar (Bednar et al.,
1992)

Teori Pembelajaran serta Kesannya dalam Reka bentuk Aplikasi
3
Berdasarkan perhubungan di antara pembelajaran dan teori
pembelajaran, dapatlah dilihat betapa pentingnya bagi para pendidik atau
pereka bentuk instruksi untuk mendalami serta mengikuti perkembangan
teori-teori pembelajaran yang utama. Ini bagi membolehkan mereka
merancang atau melaksanakan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran
dengan lebih berkesan dan menepati keperluan pelajar dan juga keperluan
semasa. Teori pembelajaran juga perlu diberi perhatian di dalam proses
menyedia atau membangunkan bahan atau media pembelajaran itu sendiri.
Sesuatu bahan pembelajaran akan lebih berkesan dan berkualiti khususnya
dari aspek kualiti pembelajaran sekiranya proses bagaimana seseorang
pelajar itu belajar diambil kira. Pembangunan bahan pengajaran dan
pembelajaran yang berasaskan teknologi terkini seperti perisian kursus
multimedia atau pun halaman web juga sewajarnya turut mengambil kira
peranan teori pembelajaran di dalam proses pembangunannya. Pendapat ini
disokong oleh Clark (1998) yang menyatakan bahawa keberkesanan sesuatu
proses pembelajaran tidak bergantung sepenuhnya kepada jenis media yang
digunakan. Ia sebenarnya bergantung kepada kaedah pembelajaran yang
dipilih dan diaplikasikan menerusi media tersebut dan kaedah pembelajaran
di sini amat berkait rapat dengan teori pembelajaran yang menyokongnya.

Perhubungan di antara Teori Pembelajaran dengan
Reka bentuk Aplikasi Multimedia

Di dalam mereka bentuk bahan atau media pembelajaran, pelbagai aspek
perlu diambil kira agar ianya menepati keperluan pelajar serta mampu
memenuhi kehendak pembelajaran. Memandangkan bahan pembelajaran
yang akan dibina merupakan suatu sumber yang akan digunakan di dalam
proses pengajaran dan pembelajaran, maka penggunaan teori pembelajaran
sebagai panduan dalam mereka bentuk bahan tersebut perlu diambil kira
dengan mendalam. Proses mereka bentuk bahan pembelajaran berasaskan
teknologi terkini seperti perisian multimedia ataupun halaman web juga tidak
terlepas dari peraturan ini.

Pada peringkat permulaan, penggunaan komputer dalam membantu
proses pengajaran dan pembelajaran adalah berdasarkan kepada teori-teori
pembelajaran yang dikeluarkan oleh ahli-ahli psikologi behaviorisme seperti
B.F. Skinner dan Pavlov. Pada masa itu komputer digunakan untuk
membekalkan satu proses pembelajaran yang berbentuk latih tubi ke atas isi
pelajaran yang telah dipelajari oleh pelajar sebelum ini. Bentuk pembelajaran
latih tubi ini adalah berdasarkan konsep perkaitan antara stimulus dan
respons yang hangat diperjuangkan oleh ahli-ahli psikologi teori
Multimedia dalam Pendidikan
4
behaviorisme. Interaksi berbentuk stimulus-respons iaitu antara di pelajar
dan teknologi merupakan satu paradigma yang dominan pada peringkat
permulaan (Becker dan Hativa, 1994). Dengan lain perkataan, pembinaan
perisian multimedia atau halaman web pembelajaran pada peringkat awal
adalah lebih memfokuskan kepada perhubungan antara stimulus dan respons
untuk memastikan sesuatu proses pembelajaran itu berlaku.

Kebanyakan media pembelajaran yang berorientasikan pendekatan
tradisi juga hanya memberikan penekanan kepada fakta ingat-balik
berbanding dengan penggunaan media tersebut untuk membentuk kemahiran
berfikir pada aras yang lebih tinggi seperti penyelesaian masalah, pemikiran
kritis dan pemikiran kritikal. Penggunaan komputer untuk kebanyakan mata
pelajaran adalah bagi tujuan pemulihan dan pengayaan dan bukannya sebagai
satu cara di mana pelajar boleh menggunakannya untuk berfikir dan
mencapai pembelajaran dan pemahaman yang lebih berkualiti (Abtar Kaur,
1999).

Peredaran masa seterusnya memperlihatkan bahawa ahli-ahli psikologi
pada masa kini tidak lagi begitu memandang serius tentang proses
pengajaran yang hanya mengambil kira hubungan antara stimulus dan
respons sahaja. Mereka turut mempertekankan kepada kemampuan teknologi
itu sendiri dalam menjadikan proses pembelajaran sebagai satu
tanggungjawab kepada pelajar dan bukannya lagi menjadi tanggungjawab
kepada pendidik sahaja. Mereka mengatakan bahawa penglibatan pelajar
dalam proses pembelajaran perlu dipertingkatkan agar kemahiran-kemahiran
kognitif aras tinggi dapat dibentuk (Becker dan Hativa, 1994). Pernyataan ini
disokong oleh Ryan (1991) yang menyatakan bahawa kaedah
mengintegrasikan teknologi komputer ke dalam persekitaran pembelajaran
agar ianya mampu dimanfaatkan secara optima serta meningkatkan kualiti
pembelajaran merupakan satu cabaran kepada para pendidik masa kini.

Berdasarkan cabaran tersebut, bentuk pengajaran yang berpusatkan
pelajar serta pendekatan yang dicadangkan oleh teori konstruktivisme
menjadi pegangan yang utama dalam mereka bentuk bahan pembelajaran
mahupun menentukan proses pembelajaran pada masa kini termasuklah di
dalam pembangunan perisian multimedia pendidikan dan juga halaman web
pembelajaran. Teori kognitif fleksibel, iaitu salah satu cabang di dalam teori
konstruktivisme pula merupakan antara pilihan yang semakin mendapat
tempat bagi menangani persekitaran pembelajaran bagi domain ilmu yang
kompleks (Spiro et al., 1991).

Teori Pembelajaran serta Kesannya dalam Reka bentuk Aplikasi
5
Implikasi Teori-teori Pembelajaran dalam Reka
bentuk Perisian Multimedia Pendidikan

Berikutnya dibincangkan sebahagian daripada teori-teori pembelajaran
utama yang memberikan implikasi yang besar dalam proses mereka bentuk
sesebuah perisian kursus multimedia khususnya bagi tujuan pendidikan.

Teori Tingkahlaku (Behaviorisma)

Teori Tingkahlaku atau Behaviorisme merupakan antara teori pembelajaran
yang tertua sekali di dalam dunia pendidikan. Di antara ahli-ahli psikologi
yang tergolong di dalam teori ini ialah Skinner, Pavlov, Watson, Thorndike
dan Bandura. Menurut ahli-ahli psikologi teori tingkahlaku, pembelajaran
dikatakan berlaku apabila terdapat perubahan tingkahlaku dalam diri
seseorang. Perubahan tingkahlaku yang dimaksudkan di sini ialah perubahan
tingkahlaku daripada tidak tahu melakukan sesuatu perkara kepada tahu
melakukannya. Pengertian pembelajaran oleh ahli psikologi teori tingkahlaku
ini memberikan implikasi yang mendalam ke atas penulisan objektif
pengajaran yang dibuat oleh guru di mana penggunaan perkataan yang boleh
melambangkan perubahan tingkahlaku yang boleh diukur mesti digunakan di
dalam penulisan objektif. Pengertian ini juga turut mempengaruhi penulisan
objektif perisian multimedia kerana kaedah penulisan objektif bagi sesuatu
persediaan mengajar adalah lebih kurang sama dengan penulisan objektif
sesuatu perisian multimedia.

Skinner telah memperkenalkan kaedah pengajaran terancang dalam
kerangka Rangsangan-Tindakbalas atau Stimulus-Respons. Menurut beliau
setiap rangsangan (R) yang diberi ke atas seseorang akan menyebabkan
orang tersebut akan menghasilkan tindakbalas (T) ke atas rangsangan yang
diberi. Beliau berpendapat pembelajaran sebenar boleh berlaku dalam
kerangka R-T. Dengan itu guru yang mengajar seharusnya memberi
sebanyak mungkin rangsangan kepada pelajar, agar pelajar memberikan
tindakbalas ke atas rangsangan-rangsangan yang diberikan. Sekiranya ini
dapat dilakukan, pembelajaran akan berlaku di kalangan pelajar tersebut.

Konsep Pengajaran Terancang yang diperkenalkan oleh Skinner ini
boleh diaplikasikan di dalam proses mereka bentuk sesuatu perisian
multimedia khususnya yang akan digunakan bagi tujuan pendidikan. Strategi
pengajaran yang berbentuk latih tubi boleh digunakan untuk mencerminkan
konsep pengajaran terancang ini. Di samping itu, penyampaian isi pelajaran
dalam kerangka Soalan-Jawapan juga boleh dilaksanakan. Secara ringkasnya
Multimedia dalam Pendidikan
6
bentuk penyampaian isi pelajaran anda akan kelihatan seperti rajah
berikutnya :

Isi pelajaran 1 Soalan 1 Jawapan 1


Rangsangan Rangsangan Maklumbalas

Rajah 5.1 : Konsep pengajaran terancang oleh Skinner

Ahli psikologi teori tingkahlaku juga mempertekankan kepentingan konsep
pemberian respons yang positif dan negatif ke atas tindakbalas yang diberi
oleh pelajar di dalam proses pembelajaran. Menurut mereka respons positif
yang diberi ke atas tindakbalas yang dikehendaki boleh mengukuhkan lagi
kefahaman pelajar serta membolehkan penghasilan tindakbalas yang sama
berlaku berulang kali.

Ahli psikologi tingkahlaku juga menitikberatkan pemberian motivasi di
dalam pengajaran di mana mereka berpendapat motivasi dapat
mempertingkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran. Skinner mengambil
kira motivasi sebagai satu unsur yang penting di dalam pembelajaran.
Walaupun motivasi yang difokuskan oleh Skinner kebanyakannya berbentuk
kebendaan, tetapi beliau tidak menafikan kehadiran motivasi dari segi bukan
kebendaan.

Sebenarnya motivasi itu sendiri terbahagi kepada dua jenis iaitu
motivasi luaran (motivasi ekstrinsik) dan motivasi dalaman (motivasi
intrinsik). Motivasi ekstrinsik merupakan ganjaran yang berbentuk
kebendaan seperti hadiah yang akan diberi kepada pelajar yang memberikan
tindakbalas yang diingini manakala motivasi intrinsik merupakan ganjaran
yang bukan berbentuk kebendaan seperti kata-kata perangsang, pujian dan
nasihat. Dari segi kekuatan, motivasi intrinsik memberikan kesan yang
berterusan di dalam diri pelajar manakala motivasi ekstrinsik adalah
sebaliknya.

Memandangkan motivasi intrinsik memberikan kesan yang berterusan,
maka adalah baik sekiranya sesuatu pembelajaran itu diselitkan dengan
motivasi jenis ini agar pelajar sentiasa berminat untuk belajar. Motivasi
intrinsik ini juga boleh dikaitkan dengan keperluan dalaman pelajar di mana
pelajar yang tahu akan kepentingan ilmu di dalam hidup akan rajin belajar
jika dibandingkan dengan pelajar yang tidak tahu (atau buat-buat tidak tahu).

Teori Pembelajaran serta Kesannya dalam Reka bentuk Aplikasi
7
Di dalam pembinaan perisian atau aplikasi multimedia pendidikan,
motivasi yang biasanya menjadi perhatian ialah motivasi jenis intrinsik.
Pemberian motivasi jenis ini biasanya digunakan di bahagian latihan untuk
mempertingkatkan minat pelajar terhadap topik yang diajar. Contoh pujian
yang boleh kita gunakan ialah:

Syabas! Jawapan yang anda beri tepat sekali. Anda memang telah
menumpukan perhatian pada isi pelajaran yang di ajar. Teruskan Usaha
Anda.

Dalam memberi pujian, sesuatu perisian yang baik tidak hanya
memberi pujian kepada jawapan yang betul sahaja. Bagi jawapan yang salah,
respons negatif yang diberi mestilah berbentuk positif sedikit agar pelajar
tidak merasa putus asa untuk mencuba menjawab soalan yang lain. Contoh
respons negatif yang berbentuk positif:

Maaf, jawapan yang anda berikan tidak tepat. Jangan putus asa. Cuba
lagi. Yakin boleh.

Janganlah anda menggunakan respons negatif yang boleh menjatuhkan
maruah seseorang seperti:

Bodoh. Jawapan anda macam kanak-kanak tidak cukup umur .

Ini adalah kerana, respons negatif yang diberi boleh digunakan sebagai
motivasi untuk menaikkan semangat pelajar agar berusaha dengan lebih
gigih lagi.

Teori tingkah laku merupakan pilihan ramai pereka bentuk aplikasi
multimedia pendidikan suatu masa dahulu (dan masih digunakan sehingga ke
hari ini). Salah satu kelebihan penggunaan teori ini ialah kebolehannya di
dalam menangani pembelajaran peringkat asas dan juga bagi tujuan
pembangunan kemahiran. Walau bagaimanapun, peredaran masa
memperlihatkan bahawa teori tingkahlaku juga mempunyai pelbagai
kelemahan. Ini disebabkan beberapa faktor seperti sifat semulajadi teori itu
sendiri yang terlalu menekankan kepada kuasa atau peranan pendidik
berbanding pelajar. Apabila prinsip ini digunakan di dalam sesebuah perisian
multimedia, peranan pendidik diserahkan kepada perisian multimedia yang
dibangunkan dan meninggalkan para pelajar tanpa kuasa kawalan terhadap
perisian tersebut yang secukupnya. Ini menyebabkan para pelajar mudah
merasa bosan dan kurang motivasi untuk meneruskan pembelajaran menerusi
penggunaan perisian tersebut. Selain dari itu, kurangnya perhatian yang
Multimedia dalam Pendidikan
8
diberikan kepada peranan pelajar juga menyebabkan perisian yang
menjadikan teori ini sebagai tulang belakang sering kali gagal menangani
kepelbagaian pelajar yang sedia wujud. Perisian yang sedemikian juga gagal
menangani keadaan pelajar yang datangnya dari pelbagai aras pengetahuan,
gaya pembelajaran dan latarbelakang pendidikan.

Menerusi pendekatan teori tingkahlaku, pengguna sesebuah perisian
multimedia juga tidak mempunyai kuasa kawalan secukupnya terhadap
penggunaan media-media yang digunakan dalam proses penyampaian
maklumat. Perkara yang sama berlaku terhadap isi kandungan atau maklumat
yang ingin dicapai menerusi penggunaan perisian multimedia tersebut.
Semuanya telah ditetapkan oleh pereka bentuk atau pembangun perisian
multimedia tersebut dan pelajar terpaksa mengikut laluan atau arahan yang
telah disediakan untuk mereka.

Teori Pemprosesan Maklumat (Information Processing)

Teori Pemprosesan Maklumat atau Teori Kognitif berkembang dengan
pesatnya bermula dari tahun 1970 yang mana fokus utama ianya ialah
mengenai bagaimana proses pembelajaran itu berlaku. Ahli-ahli teori ini
lebih menitikberatkan proses bagaimana sesuatu kaedah pembelajaran itu
berinteraksi dengan aktiviti-aktiviti yang berlaku di dalam mental individu.
Dengan yang demikian, mereka mencadangkan agar kaedah pembelajaran
yang berpusatkan pelajar dan kaedah simulasi perlu dipraktikkan dengan
lebih lagi di dalam proses pembelajaran (Clark, 1998). Salah satu konsep
yang menjadi topik perbincangan utama ahli-ahli teori pemprosesan
maklumat ialah pengelasan ingatan

Teori pemprosesan maklumat telah mengelaskan ingatan kepada tiga
bahagian utama iaitu:

i. Ingatan jangka masa panjang
ii. Ingatan jangka masa pendek
iii. Ingatan deria atau sensor

Pengelasan ingatan seperti yang dinyatakan turut dipertekankan oleh
Baddeley (1990) di dalam bukunya yang bertajuk Human Memory: Theory
and Practice. Ingatan jangka masa panjang merupakan ruang ingatan di
mana semua kenangan atau maklumat yang lama disimpan manakala ingatan
jangka masa pendek merupakan ruang di mana maklumat diproses sebelum
ianya memasuki ruangan ingatan jangka masa panjang. Ingatan deria atau
Teori Pembelajaran serta Kesannya dalam Reka bentuk Aplikasi
9
sensory memory pula merupakan bahagian ingatan yang berkaitan dengan
segala bentuk input atau penerimaan maklumat dari deria manusia.

Mengikut George Miller (1956), dalam satu masa, ingatan jangka masa
pendek seseorang manusia boleh mengingati 7 campur tolak 2 (7 + 2)
maklumat dalam satu masa. Konsep ini dikenali sebagai Magical number
7 oleh Miller. Maksudnya di sini, dalam satu masa ingatan jangka masa
pendek manusia boleh mengingati 5 hingga 9 perkara. Perkara di sini
merujuk kepada nombor, perkataan, langkah-langkah dan juga objek. Secara
tidak langsung ini boleh dikaitkan dengan perkara yang wujud dalam
kehidupan kita di mana kalau kita lihat, nombor telefon dan nombor kad
pengenalan kita adalah dalam julat 6 hingga 8 nombor. Penetapan nombor ini
telah secara tidak langsung adalah merupakan pengaplikasian konsep Miller
ini.

Di dalam proses mereka bentuk sebuah perisian multimedia yang
berbentuk pembelajaran, seharusnya konsep Miller ini digunakan dalam
proses penyampaian maklumat kepada pelajar. Seharusnya perisian
multimedia pendidikan hanya memaparkan tidak lebih dari sembilan
maklumat atau perkara dalam satu masa. Ini bermakna, sekiranya perisian
multimedia ingin mengajar pelajar tentang sesuatu konsep, bilangan konsep
yang boleh diajar dalam satu masa ialah tidak lebih dari 9 konsep. Ini adalah
untuk memastikan konsep-konsep yang disampaikan itu dapat dienkod oleh
otak manusia dan seterusnya disimpan dalam ruangan ingatan jangka masa
panjang.

Ringkasnya, sesebuah perisian multimedia pendidikan yang dihasilkan
berdasarkan prinsip-prinsip teori pemproses maklumat akan mengambil kira
tahap kemampuan seseorang pelajar untuk menerima maklumat yang
disediakan. Ini bermakna, kuantiti maklumat yang akan disampaikan dalam
satu masa akan dikawal agar ianya tidak melebihi muatan ingatan jangka
masa pendek seseorang individu.

Teori Faham Binaan (Konstruktivisma)

Teori faham binaan atau konstruktivisme merupakan satu falsafah
pembelajaran yang yang berpegang kepada kepercayaan berikut:

Melalui pengalaman yang ada, pelajar akan membina kefahaman masing-
masing mengenai perkara yang berlaku di dalam kehidupan.

Multimedia dalam Pendidikan
10
Menurut ahli-ahli teori konstruktivisme, setiap manusia akan menjana
prinsip-prinsip kefahaman masing-masing di dalam minda yang dikenali
sebagai model minda (mental models) mengikut pengalaman sedia ada.
Dengan yang demikian, pembelajaran menurut mereka merupakan proses
mengubahsuai model minda supaya ianya dapat disesuaikan dengan
pengalaman baru yang akan diterima.

Berikut merupakan beberapa prinsip pembelajaran yang dipertekankan
di dalam teori konstruktivisme:

Pembelajaran merupakan suatu proses mencari makna. Dengan itu
pembelajaran haruslah dimulakan dengan isu-isu sekitaran yang
maknanya akan dicari oleh pelajar secara aktif.
Mencari makna tentang sesuatu perkara memerlukan kefahaman yang
menyeluruh dan juga kefahaman bahagian-bahagian yang tertentu.
Kefahaman mengenai bahagian-bahagian yang tertentu yang
dimaksudkan di sini mestilah difahami dalam konteks yang menyeluruh
juga. Dengan itu pembelajaran seharusnya memfokuskan kepada konsep-
konsep yang utama dan bukannya sebagai fakta-fakta yang terasing.
Untuk mengajar dengan baik, guru atau bahan pembelajaran yang
disediakan seharusnya memahami dahulu model minda yang dipunyai
oleh seseorang pelajar.
Tujuan pembelajaran adalah untuk individu membina kefahaman masing-
masing mengenai sesuatu perkara. Ianya bukanlah merupakan proses
menghafal jawapan-jawapan yang betul daripada konsep-konsep yang
sedia ada.

Beberapa prinsip teori konstruktivisme yang boleh diaplikasikan di
dalam pembinaan perisian multimedia pendidikan boleh diringkaskan seperti
yang berikutnya:

Pengajaran mestilah melibatkan aspek pengalaman dan persekitaran yang
boleh menggalakkan pelajar bersedia untuk belajar
Pengajaran mesti distrukturkan supaya ianya boleh diterima oleh pelajar
Pengajaran hendaklah direka untuk memudahkan ekstrapolasi dan/atau
mengisi ruang kosong (menjangkau maklumat yang diberi) yang sedia
ada di dalam diri pelajar.

Di dalam pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk
konstruktivisme, penggunaan masalah-masalah yang berlaku dalam
kehidupan seharian di dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah
Teori Pembelajaran serta Kesannya dalam Reka bentuk Aplikasi
11
digalakkan. Di samping itu penekanan ke atas pencapahan pemikiran juga
harus dipraktikkan. Pelajar seharusnya dibimbing oleh guru atau bahan
pembelajaran yang disediakan ke arah memahami sesuatu konsep dari
pelbagai perspektif agar pemikiran mereka akan berkembang dan dinamik.
Konsep ini mudah untuk disediakan di dalam persekitaran pembelajaran
yang memanfaatkan penggunaan teknologi seperti multimedia dan juga
halaman web.

Teori konstruktivisme juga menyediakan panduan dan juga prinsip
yang perlu diberi perhatian semasa membangunkan persekitaran
pembelajaran berasaskan penggunaan teknologi. Salah satu panduan utama
yang ditetapkan ialah menyediakan persekitaran pembelajaran yang bersifat
autentik serta disampaikan dalam konteks yang bermakna (Brown et al.,
1989; Cognition and Technology Group at Vanderbilt, 1992). Dalam hal ini,
pelajar akan dipandu untuk terlibat secara aktif di dalam persekitaran
pembelajaran yang disediakan bagi menyelesaikan permasalahan yang
disediakan.

Pembangunan perisian multimedia pendidikan yang berpegang
kepada prinsip-prinsip dari teori konstruktivisme juga seharusnya tidak
melibatkan pengetahuan ataupun kecerdasan yang memandu serta
menstrukturkan proses pembelajaran Sebaliknya, situasi serta kemudahan
lain perlu disediakan bagi merangsang pelajar menggunakan potensi kognitif
mereka secara lebih optima (Scardamalia et al., 1989). Satu lagi pengaruh
teori konstruktivisme di dalam pembangunan perisian multimedia
pendidikan ialah ianya sewajarnya mampu memenuhi keperluan
pembelajaran secara individu di samping menyediakan aktiviti sosial. Ini
bermakna, persekitaran pembelajaran yang disediakan sewajarnya turut
menawarkan kemudahan bagi menggalakkan aktiviti sosial berlaku seperti
kemudahan e-mel, forum perbincangan, perkongsian bijak secara elektronik
dan sebagainya. Ini secara tidak langsung membolehkan pelajar bekerja
secara kooperatif serta berkongsi idea di samping mencabar pemikiran
masing-masing menerusi aktiviti perbincangan.

Perisian multimedia pendidikan yang direka bentuk menggunakan teori
konstruktivisme juga boleh memanfaatkan penggunaan teknologi multimedia
sepenuhnya. Bahan pembelajaran boleh disediakan dalam bentuk yang
menggalakkan para pelajar membentuk pengetahuan mereka sendiri dan
bukannya ditetapkan oleh pereka bentuk perisian atau bahan pembelajaran
tersebut. Teori konstruktivisme juga menekankan kepada proses
pembelajaran aktif di kalangan pelajar. Ini dapat disediakan menerusi
penggunaan konsep hipermedia di dalam perisian multimedia pendidikan.
Multimedia dalam Pendidikan
12
Reka bentuk perisian yang menggalakkan pelajar meneroka bagi mencari
maklumat yang disediakan sedikit sebanyak akan menyebabkan
pembelajaran aktif dapat diwujudkan.

Teori Neurosains

Neurosains merupakan satu bidang kajian mengenai sistem saraf yang ada di
dalam otak manusia. Ianya juga mengkaji mengenai kesedaran dan kepekaan
otak dari segi asas biologi, persepsi, ingatan dan kaitannya dengan
pembelajaran. Bagi teori neurosains, sistem saraf dan otak merupakan asas
fizikal bagi proses pembelajaran manusia. Neurosains dapat membuat
perkaitan di antara pemerhatian terhadap proses kognitif yang berlaku di
dalam otak dengan tingkahlaku fizikal yang akan terhasil. Dengan kata lain,
setiap maklumat yang diproses oleh otak akan mengaktifkan kawasan-
kawasan yang tertentu sahaja di dalam otak. Teori ini masih baru tetapi ianya
sedang berkembang dengan pesatnya walaupun sering diselang-selikan
dengan pelbagai kontroversi. Berikut merupakan di antara beberapa
penemuan yang diperolehi oleh teori neurosains:

i. Otak terbahagi kepada tiga struktur yang besar iaitu :
Otak reptilia : mengawal fungsi-fungsi asas deria motor
Otak mamalia atau otak limbik : mengawal emosi, ingatan
dan ritma biologikal (biorythms)
Neokortek atau otak berfikir : mengawal proses penaakulan,
bahasa, kepintaran dan kognitif

ii. Otak bukanlah seperti komputer. Struktur ikatan saraf otak
sebenarnya adalah longgar, fleksibel, bersarang seperti sarang
labah-labah, sentiasa bertindih dan berulang. Dengan itu adalah
mustahil sekiranya otak itu dianggap seperti sistem komputer
yang linear. Otak sebenarnya merupakan satu sistem yang
tersusun dan berfungsi secara kendiri.

iii. Otak sentiasa berubah apabila ia digunakan dan proses ini berlaku
sepanjang hidup manusia. Penumpuan minda mengubahsuai
struktur fizikal otak manusia. Saraf otak dihubungkan oleh
cabangan yang dikenali sebagai dendrite. Terdapat lebih kurang
10 juta neuron/saraf di dalam otak manusia. Neuron-neuron yang
berkaitan dihubungkan di antara satu sama lain dalam pelbagai
corak. Apabila otak digunakan, sebahagian dari corak ikatan
antara neuron-neuron akan menjadi kuat. Pembentukan dan
pengukuhan ikatan neuron-neuron di dalam otak merupakan
Teori Pembelajaran serta Kesannya dalam Reka bentuk Aplikasi
13
proses sebenar yang menggambarkan bagaimana ingatan dibina di
dalam otak.

Apabila seseorang guru atau pereka bentuk aplikasi multimedia pendidikan
mengambil kira teori neurosains dalam proses pengajaran atau pun
pembangunan perisian, maka mereka perlulah menyediakan strategi yang
memfokuskan kepada pengalaman sebenar yang berlaku di dalam kehidupan
manusia. Stategi atau pendekatan pengajaran yang disediakan itu juga
haruslah mengintegrasikan idea-idea yang lebih menyeluruh. Selain dari itu,
mereka juga perlu menggunakan kaedah pengajaran yang mampu
menggalakkan aktiviti pemikiran yang kompleks dan pembentukan minda di
kalangan pelajar.

Memandangkan teori neurosains ini menggambarkan otak sebagai
neuron-neuron yang menyerupai rhizome yang bercabang-cabang, maka
pengaplikasian konsep peta minda atau peta konsep di dalam perisian
multimedia merupakan satu contoh aplikasi neurosains dalam pembelajaran.
Dalam erti kata lain, penyampaian maklumat di dalam sesebuah perisian
multimedia pendidikan yang menggunakan teori neurosains seharusnya tidak
disampaikan secara linear. Sebaliknya peta minda atau peta konsep boleh
digunakan bagi tujuan tersebut. Kajian juga mendapati bahawa proses
pengajaran yang menggunakan peta minda atau peta konsep yang
mempunyai imej-imej yang berkaitan adalah lebih berkesan dari penggunaan
teks semata-mata. Ini dapat dibuktikan menerusi konsep yang dihuraikan di
dalam Dual-code theory di mana otak akan mengekod imej dahulu dan
kemudiannya teks. Pengekodan imej akan menyediakan satu ruangan yang
khas untuk pengekodan teks di dalam otak. Apabila ini berlaku, maka proses
pengekodan teks akan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.

Selain dari menggunakan pendekatan peta minda atau peta konsep,
penggunaan kaedah pengajaran yang dapat mengaitkan isi pelajaran yang
diajar dengan isi pelajaran yang lain merupakan satu contoh pengaplikasian
teori neurosains dalam pembangunan aplikasi multimedia pendidikan. Ini
dapat dilakukan dengan menyediakan pautan-pautan yang membolehkan isi
pelajaran sokongan dicapai bila-bila masa yang diperlukan oleh pelajar.
Kemudahan komunikasi seperti Internet juga boleh dimanfaatkan bagi
membolehkan para pelajar mencapai lebih banyak maklumat berkaitan yang
diperlukan. Perkaitan isi-isi tersebut seterusnya akan membantu otak
membentuk ikatan-ikatan neuron yang tertentu di dalam otak. Apabila ini
terjadi, maka maklumat yang diproses akan dapat disimpan di ruangan
ingatan di dalam otak.

Multimedia dalam Pendidikan
14
Penutup

Proses mereka bentuk sesebuah perisian atau aplikasi multimedia pendidikan
bukanlah merupakan satu proses yang mudah dan dapat dilaksanakan dalam
masa yang singkat. Ianya melibatkan pelbagai aktiviti penyelidikan yang
perlu dijalankan agar perisian yang dibina dapat menepati keperluan
kumpulan sasaran pelajar. Pengetahuan tentang teori-teori pembelajaran dan
cara mengaplikasikannya dalam mereka bentuk sesuatu perisian perlu
dikuasai terlebih dahulu. Dengan itu adalah wajar sekiranya guru dan ahli-
ahli psikologi pembelajaran terlibat sama dalam proses pembinaan perisian
selain dari ahli-ahli teknologi. Dengan lain perkataan, para pendidik dan
ahli-ahli psikologi seharusnya berganding bahu dengan ahli-ahli teknologi
dalam proses pembinaan perisian agar perisian yang terhasil akan lebih
berkualiti dan sesuai untuk kegunaan para pelajar. Tapi sayangnya perkara
ini selalunya sukar untuk direalisasikan kerana terdapatnya kumpulan-
kumpulan individu yang mengambil kesempatan untuk meraut keuntungan
dengan mengeluarkan sesuatu perisian pembelajaran yang tidak mengambil
kira teori pembelajaran dan bagaimana pembelajaran itu berlaku. Yang
menjadi mangsa adalah para pelajar yang menggunakannya. Dengan yang
demikian, para pendidik seharusnya sedar akan tanggungjawab mereka untuk
menerajui atau sama-sama terlibat dalam proses pembangunan aplikasi
multimedia pendidikan.



Sumber :

Tajuk Buku : Multimedia dalam Pendidikan
Penulis : Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir (UTM)
Tahun Terbit : 2003
Laman web : http://e-media.iwarp.com

Penerbit : PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Laman web : http://www.pts.com.my

You might also like