You are on page 1of 9

Andai ku mampu ubah segalanya Posted 09 September 2008 - 06:49 PM

"Adam!," "Adam! Tunggulah!," "Apa lagi? Tolonglah. Jangan campur hal aku boleh tak?," "Baik kau masuk kelas. Kalau tak aku report kat Cikgu Hussein," Adam menoleh. "Ada aku kisah? Reportlah. Aku tak hairan pun. Dia nak buat apa kat aku? Nak rotan aku? Aku tak heran. Nak maki aku? Aku tak kisah. Nak gantung sekolah aku? Nak buang sekolah? Lagi aku suka. Kau jangan menyibuklah perempuan. Kau ingat , kau pengawas, kuasa kau besar sangat ke? Nak marah-marah aku? Nak tengkingtengking aku? Aku tak heran!,"Adam menjerit kuat. Membuat Syuhada tersentap. "Adam! Kau ni, tak sedar-sedar ke? STPM dah dekat sangat. Kau pula, asyik memonteng saja. Sedarlah sikit," "Hey! Perempuan. Ada aku kacau kau tak? Tak ada kan? So, kau jangan nak masuk campur urusan aku. Aku tak suka. Kalau kau nak report kat Cikgu bodoh perasan bagus tu, silakan. Aku tak halang. Pergilah. Jangan pedulikan aku," marah Adam dengan wajah yang memerah. Syuhada membalas renungan itu. Dia tidak akan mengalah. Tidak akan. Adam melangkah laju ke arah pagar sekolah. "Aku jumpa nenek kau,"Syuhada menjerit agak kuat. Jeritan yang membuat langkah Adam terhenti serta merta. Segera dia berpaling dengan wajah yang menyinga. Perempuan ni, memang penyibuk! "Kau ni kan..,"geram suaranya sambil jari telunjuknya menunding ke muka Syuhada. "Adam!,"satu jeritan kuat dari belakang membuat dia menoleh. Muka Cikgu Hussein bagai singa lapar melangkah laju ke arahnya. Tanpa banyak bicara, kepala Adam ditunjal, membuat lelaki itu sedikit terdorong ke belakang. Syuhada kaku melihat. Adam pula tunduk menahan marah yang menggila. "Kau ingat kau dah hebat sangat ke? Dengan perempuan pun kau nak ajak bertumbuk ya? Nak jadi samseng ya? Kalau dah rasa diri tu samseng sangat, berhenti sekolah. Jangan nak menyusahkan semua orang kat sekolah ni," bagai halilintar suara Cikgu Hussein, guru disiplin yang berhati beku itu menjerit. Membuat telinga Adam berdesing. Syuhada dapat melihat Adam mengenggam kuat jemarinya sendiri. Barangkali mencari sekelumit kesabaran menanggapi kemarahan Cikgu Hussein. "Kau dengar tak? Aku dah lama sabar dengan kau ni, tahu tak?! Ini, apa kes pula ni? Nak memonteng?!," "Cikgu..," "Awak diam Syuhada. Saya bercakap dengan Adam!," "Hah! Sudahlah! Pergi jahanamlah dengan tengking kau! Pergi jahanamlah dengan marah kau! Aku dah bosanlah! Bosan! Dan, kau, Syuhada! Jangan masuk campur urusan aku!,"tiba-tiba Adam menjerit sama. Berlalu pergi meninggalkan Cikgu

Hussein yang terdiam. Barangkali tergamam apabila ditengking pelajar sendiri. Syuhada turut diam. Rasa bersalah dengan salah faham yang berlaku. Tidak sepatutnya Cikgu Hussein memarahi Adam tanpa usul periksa.

"Doktor," Syuhada menoleh. Kenangan berlalu pergi. "Ya. Ada apa?," "Patient katil 5 nak jumpa Doktor," "Nak jumpa saya? Kenapa?," Jururawat pelatih di hadapannya cuma menggeleng. Syuhada mengangguk perlahan. Hari pertama dia bertugas di sini, sudah ada pesakit yang ingin bertemu dengannya? Aneh. Dia memandang sekitar ruang wad. Entah kenapa berada di sini, membuat dia tiba-tiba teringatkan Adam. Lelaki itu menghilang bertahun- tahun lamanya. Entah ke mana, dia pun tidak tahu. Lelaki itu hilang bersama marah yang menggunung padanya. Kalaulah dia dapat berjumpa dengan Adam dan jelaskan segala-galanya. **** Syuhada berdiri di tepi katil nombor 5. Semalam dia tidak sempat berjumpa dengan pesakit ini kerana ada panggilan kecemasan. Seorang bayi yang tidak berdosa menghembuskan nafas terakhir di hadapannya semalam. Sungguh memilukan dia menatap wajah bersih bayi yang menanggung dosa ibu atau barangkali bapanya. Menderita HIV positif sebaik dia mengenal dunia. Apalah salah bayi itu? Dia mengeluh perlahan. Membuang rasa sebak yang bertenggek di hati. Walau bertahun dia menjadi doktor, rasa sebak yang hadir bila berdepan dengan kes sebegitu tidak dapat dia elak. "Selamat pagi," Syuhada menyapa pesakit yang sedang membelakanginya itu. Pesakit itu menoleh dan Syuhada mengerutkan kening memandang wajah cengkung di hadapannya. Dia kenal lelaki ini. "Su,"lelaki itu bersuara pilu. Tidak! Dia kenal suara itu. "Adam?,"soalnya separuh meneka. Lelaki itu tersenyum sedikit. Namun, senyuman itu tidak dapat membasuh sejuta kedukaan yang terpancar jelas di wajahnya. "Adam?,"sekali lagi Syuhada bersuara sambil terduduk di kerusi di sebelah katil Adam. Apa Adam buat di wad ini? Wad yang memang khas untuk penderita HIV/Aids. Tidak! Tidak mungkin. "Kau apa khabar, Su?," Syuhada menatap wajah Adam yang cengkung. Berbezanya lelaki ini hari ini. "Kenapa? Kenapa sampai macam ni, Adam?,"soal Syuhada seperti tidak dapat menerima kenyataan yang dia sedang berdepan dengan Adam. Memang dia ingin

berjumpa dengan lelaki ini. Tetapi, bukan dalam situasi begini. Bertahun-tahun dia menunggu saat ini. Dan, ternyata apabila saat ini akhirnya menjelma, dia menjadi lebih sedih dari sebelumnya. "Kau sepatutnya sudah dapat jangka akan bertemu aku di sini," "Aku cari kau. Aku tunggu kau," "Untuk apa, Su? Apa yang kau harapkan dari manusia tidak berguna seperti aku?," "Kau hukum diri kau sendiri. Kau terlalu mengikut kata hati. Kau pendendam," "Ya, aku tahu. Dan, aku dah dapat natijah dari sikap aku dulu. Aku terlalu mengikut kata hati. Betul kata kau. Aku pendendam. Juga betul kata kau. Tapi, kau tetap pentingkan aku. Tetap sabar merayu aku agar berubah. Kau sama dengan nenek aku. Tak tahu kenapa,sejak akhir-akhir ini, aku asyik teringatkan kau. Rupa-rupanya sebab kau sebenarnya berada terlalu hampir denganku,"Adam bersuara perlahan. Syuhada tunduk. Kemudian dia mengangkat muka perlahan. Sedikit tersentap melihat ada air mata yang mengalir laju di pipi Adam. Kenapa lelaki ini menangis? "Adam? Kenapa ni?," "Aku dah musnah Su. Aku kehilangan satu demi satu insan yang aku sayang," "Kenapa kau cakap macam tu?," "Aku rindu anak aku Su. Dia dah tak ada.,"Adam bersuara sebak sambil menyapu air mata yang menitis lagi. Syuhada terpaku. "Anak? Tak ada? Maksud kau?," "Dia pergi semalam. Kalaulah aku tidak ada penyakit ini, anak aku takkan mati Su. Sepatutnya aku bagi dia kebahagiaan. Sepatutnya aku bagi dia kasih sayang. Tapi, aku bagi dia penyakit maut. Aku bunuh dia..,"dalam esakan Adam meluahkan apa yang terbuku di hati. Dia perlukan seseorang untuk melepaskan segala seksaan yang ditanggung. Bertahun-tahun dia menangung segalanya keseorangan. Semenjak dia tinggalkan Syuhada, satu-satunya insan yang sudi menjadi pendengar setiap kisah dukanya. Juga satu-satunya wanita yang dia cintai Semenjak wanita yang dikahwini hanya kerana ada benihnya di rahim perempuan itu, pergi meninggalkannya untuk selama-lamanya sebaik Daniel mengenal dunia ini. "Daniel?,"solaku putus-putus. Adam mengangguk. Oh Tidak! Daniel Adam yang ku pangku semalam rupa-rupanya milik Adam yang aku kenal ini. Air mata menitis perlahan. Terbayang wajah comel bayi lelaki berusia dua tahun itu. Sepatutnya anak sekecil itu girang melayan dunianya sendiri, bukan hidup sengsara berdepan dengan maut. Dan semalam, penderitaan anak kecil itu berakhir sudah. "Aku rindu Daniel.. Su?," "Tuhan lebih sayangkan dia, Adam. Kau kena redha,"Syuhada bersuara setenang mungkin. Namun, dalam suara yang tenang itu, air mata laju merembes di birai mata. Kenapa jalan sebegini yang kau pilih, Adam? Padahal dulu, kau sudah berjanji akan tinggalkan segalanya dan mulakan hidup yang baru. Selepas menabur janji yang membahagiakan itu, lelaki ini terus hilang dari hidupnya. Sangkanya cuma satu, Adam marah melihat kemesraan dia dengan Faizal. Adam salah sangka dan pergi bersama salah sangka itu. "Aku bersalah..,"

"Jangan salahkan diri sendiri, Adam. Kau musnah kerana kau tak sudah-sudah menyalahkan diri kau atas semua yang terjadi. Atas apa yang terjadi pada mak kau. Pada ayah kau. Juga pada nenek kau. Cukup-cukuplah tu," Adam diam. Termenung melayan air matanya yang tidak mahu berlalu pergi. Air mata pilu yang membasuh sejuta penyesalan yang tidak berkesudahan. **** "Nenek.. apa perempuan ni buat kat sini? Adam tak suka dia datang sini," "Adam.. tak elok cakap macam tu. Syuhada datang elok-elok. Kenapa nak marah marah dia?," Adam merengus sambil membanting pintu sekuat hati. "Adam!,"suara nenek sedikit meninggi. Mendengar suara itu, dia berpatah semula. "Apa yang kau nak korek dari nenek aku hah?! Nak jaja cerita keluarga aku? Nak jadi spy Cikgu Syok Sendiri tu?," Syuhada terkebil-kebil menanggapi kemarahannya. "Kau berambus dari rumah aku. Berambus!,"tengkingnya membuat Syuhada tersentak. "Adam! Nenek tak pernah ajar kau jadi biadap macam ni!," "Dia datang cuma nak tahu kepincangan keluarga kita nek," "Aku datang sebab aku nak tolong kau. Kau marahlah aku. Kau tengkinglah aku. Kau buatlah apa yang kau suka. Aku tak akan mengalah. Aku akan tetap tolong kau,"Syuhada bersuara berani. Adam merenung tajam sepasang mata yang redup itu. Dan mata itu cukup berani menentang renungannya yang penuh kebencian. Dia tidak faham kenapa gadis ini terlalu degil. Sudah pelbagai cara dia gunakan untuk buat gadis ini mengalah. Namun, semakin dia memberontak semakin kuat pula keazaman gadis ini. Sudahnya dia terduduk di bangku di halaman rumahnya. "Kenapa kau degil sangat?,"soalnya akhirnya. Dan, dia melihat segaris senyuman kemenangan di wajah Syuhada yang manis itu. Senyuman yang membuka kemuliaan gadis itu untuk menyelami kesengsaraan yang dia alami. "Jauh termenung," Adam berpaling. Syuhada tersenyum dI tepi katil. Nampak sungguh manis dan bergaya gadis itu di dalam uniform doktornya. Dia gembira gadis ini menjadi seorang insan yang berjaya. Namun, di sebalik kegembiraan itu ada terselit sedikit bimbang. Bimbang dengan kedegilan Syuhada yang seperti akan berulang lagi. Dia mengukir senyum yang layu. "Dah fikirkan?," Adam diam. Sudah menjangka soalan itu bakal keluar dari mulut Syuhada. "Aku malu. Lagipun aku tak mahu menyusahkan sesiapa lagi. Biarlah aku habiskan sisa hidup aku di sini," "Kau tak tahu macam mana keadaan nenek. Dia tunggu kepulangan kau. Sama seperti aku menunggu kau," "Untuk apa aku pulang? Untuk menyusahkan dia lagi? Aku tak mahu Su, keadaan aku macam ni, aku tak akan mampu bahagiakan nenek,"

"Tapi, kau boleh hapuskan rindunya yang bertahun itu. Setiap saat dia menanti kepulangan kau. Rendang daging setiap tahun terhidang di meja bila hari raya. Sebab tak nak kau hampa kalau-kalau kau pulang tiba-tiba makanan kegemaran kau tu, tak ada. Aku kasihan tengok dia, Adam. Pulanglah. Dia sudah tak ada sesiapa lagi. Dia cuma ada kau," "Aku malu. Aku tak nak susahkan dia lagi," "Pulanglah ke kampung Adam. Nenek kau memang sedang tunggu. Aku dah ceritakan semuanya pada dia. Dia nak jumpa kau. Dia nak jaga kau," Air mata Adam menitis tiba-tiba. Sayu mendengar cerita Syuhada tentang nenek kesayangannya. Dia silap. Dia silap kerana terlalu menurut rasa amarah. Kerana terlalu menurut rasa kecewa. Dia menjadi seorang yang gagal. Dan kegagalannya memalapkan hidup neneknya juga. Kalaulah dia menggunakan akalnya dulu, pasti saat ini dia mampu limpahkan sejuta kebahagiaan pada perempuan tua itu. Membalas limpahan kasih sayang yang tidak pernah surut padanya. Dia marahkan sikap tidak bertanggungjawab ayahnya, dia marahkan ibunya yang tidak pernah mangambil berat tentangnya. Dia marah dengan hidupnya yang tidak pernah mengecap setitik bahagia sebagai seorang anak. Dia menjadi anak terbiar. Ayahnya leka di meja judi. Mabuk dan pulang dengan jerit pekik. Sedikit tidak kena, pasti berbirat tubuh ibu dan tubuhnya menjadi mangsa tali pinggang lusuh ayahnya yang keparat. Ibunya pula terus di buai keseronokan dalam mencari duit yang tidak tahu akan status halal haramnya. Dia tahu ibunya rela dalam terpaksa. Sikap ayah yang mengubah ibu jadi begitu. Menjadi pelayan di kelab malam di bandar. Cukup buruk reputasi keluarganya di mata masyarakat. Membuat dia menjadi canggung berdepan dengan teman-teman sekolah. Kata-kata penghinaan membuat dia suka memberontak. Kawan-kawan yang tidak jemu menjirus api kemarahan membuat dia menjadi pelajar bermasalah di mata guru disiplin. Dan, sikap Cikgu Hussein yang suka menghukum tanpa mengambil tahu siapa yang salah ,siapa yang betul lebih memburukkan keadaan. Dia benar-benar liar selepas itu. "Adam..," Adam tersentak. Kenangan berlalu pergi. Dia pandang wajah Syuhada. Gadis inilah yang telah mengubahnya. Tidak jemu mendekatinya. Menasihatinya. Memberi semangat padanya. Perhatian yang membibitkan rasa sayang di hatinya. Namun, saat dia boleh lupakan segala kepahitan yang dia lalui. Saat dia menemui semangat untuk menjalani kehidupan yang baru bersama azam yang baru, penghinaan dan kata-kata amaran daripada ayah Syuhada menyentap segalanya. Terlalu kecewa dia dengan kata-kata orang tua itu. "Kau jangan gangu anak aku. Aku tak suka Syuhada rapat dengan kau. Dia budak baik. Tak layak berkawan dengan budak hisap dadah macam kau. Bapak kaki judi. Kaki mabuk. Mak jadi pelayan jantan. Kau pula dengan perangai setan. Aku nak kau jauhkan diri dari anak aku. Aku tak tahu apa kau dah buat pada dia, sampai dia jadi macam ni. Yang aku tahu, mulai saat ini, bayang kau pun aku tak nak ada dekat dengan anak aku. Kalau boleh berambus dari kampung ni. Faham!," Dia pejamkan mata. Mana mungkin dia lupakan kata-kata dari ayah gadis yang amat dia sayang itu. Cukup terguris hatinya. Dengan rasa kecewa, dia membawa diri dan

membiarkan kata hati menguasai dirinya. Terus hanyut di dalam hidup yang tidak ada masa depan. Menjadi hamba dadah selama bertahun-tahun, sehinggalah dia ada Daniel. Sehinggalah akhirnya dia kehilangan Daniel dan dia terlantar di sini. "Adam. Janganlah fikir lagi. Pulanglah jumpa nenek," Adam terus membisu. Melayan perasaan bersama rasa bersalah yang tidak bertepi. Bersama rasa menyesal yang amat dalam, sehingga dia sendiri tidak menemui dasar noktah penyesalan itu. **** "Kenapa kau degil sangat? Kenapa kau tak pernah berputus asa nak dekat dengan aku? Muka tembok ya?,"soalan itu pernah dia lontarkan dalam nada separuh bergurau setelah dia terpaksa mengalah pada kedegilan seorang Syuhada. "Mungkin sebab kau ni, lelaki bertuah," Pendek sahaja jawapan yang gadis itu berikan bersama senyum keramat yang membuat hari harinya menjadi cerah. Mungkin betul kata Syuhada. Dia seorang yang bertuah. Dan, permintaan tidak masuk akal dari gadis itu, benar-benar membuat dia yakin, sebenarnya dia memang sangat bertuah. Cuma dia lewat untuk menghargai apa yang dianugerahkan padanya. Permintaan Syuhada kali ini, benarbenar gila. "Kita kahwin?," Dia ternganga mendengar cadangan dari seulas bibir yang manis itu. Syuhada menentang matanya menunggu jawapan. Dia tunduk. Kalah pada renungan Syuhada yang amat yakin. Yang amat berani. Dan seperti selalu, gadis ini cukup nekad. "Kau gila Su," "Terserah kau nak cakap apa. Bertahun-tahun aku tunggu kau. Aku cintakan kau. Cinta yang tak pernah berkubur di hati ini," "Sejak bila?," "Sejak keras kepala kau tak pernah hilang untuk dengar setiap nasihat aku. Sejak aku lihat begitu banyak penderitaan yang kau pendam sendirian. Sejak aku lihat kasih sayang kau yang tak berbelah bagi pada nenek. Dan sejak kau sudi tersenyum berkongsi rasa dengan aku," "Tapi, akhirnya aku tetap kecewakan kau. Kecewakan nenek," "Lupakan semuanya. Kita kahwin dan aku akan jaga kau," "Aku, penghidap HIV positif. Dan sekarang aku menderita Aids. Kau jangan mainmain Su," "Setiap apa yang aku cakap selama ni, ada ke yang aku main-main?," "Itulah yang membuat aku takut. Kau seorang yang nekad. Dan, nekad kau kali ni, menakutkan aku. Aku tak akan biarkan kau musnahkan masa depan kau sematamata kerana aku yang memang sudah tidak punya masa depan ni. Kau berhak mendapat lelaki yang lebih baik. Aku tak layak langsung untuk kau," "Aku mahu jaga kau Adam. Aku mahu hidup dengan kau. Kau tak tahu betapa sepinya hidup aku bertahun-tahun bila kau tidak ada bersama aku. Aku rindu saat kita bersama,"

"Kau gila, Su," "Cinta tak pernah gila. Cinta cuma perlukan sedikit pengorbanan," "Ayah kau tak akan terima aku," "Aku yang hendak berkahwin. Tak mungkin dia boleh halang. Dia pernah pisahkan kita sekali. Aku tak akan biarkan semua tu berulang lagi," "Maksud kau?," "Ayah aku terlepas cakap bila aku beritahu aku nak kahwin dengan kau. Aku tak sangka, rupa-rupanya kau hilang kerana ayah aku. Kerana penghinaannya. Dia perlu tebus kesilapannya pada kau. Dia telah padamkan semua semangat kau untuk menjadi manusia. Kan?," "Itu bukan alasan untuk kau musnahkan masa depan kau. Aku tak akan setuju," "Kau tahu aku tak akan pernah mengalah," Adam mengeluh panjang. Terasa perit di dadanya. Perlahan dia bersandar ke katil. Batuk-batuk kecil sedikit mengganggu lamunannya. Dua hari Syuhada tidak muncul di hadapannya. Entah kenapa dia berasa lega bila gadis itu tidak muncul. Mungkin kerana dia takut dia akan kalah lagi pada Syuhada. Dia tidak mahu kalah kali ini. Kalau dia kalah, bermakna Syuhada akan musnah. Dia tidak mahu Syuhada menjadi isterinya walau cintanya menggunung untuk gadis itu. Saat ini, bukan lagi saat untuk dia menikmati kemanisan bercinta. Dia, cuma insan tidak berguna yang bakal mengharungi hari-hari terakhir sebelum dijemput ke alam yang kekal abadi. Dalam melayan batuknya, dia terpandang wajah Syuhada. Wajah itu nampak murung. Kenapa? Langkah gadis itu pun, sedikit lemah. Tercegat di hadapannya tanpa suara. "Kenapa Su?,"soalnya perlahan. Syuhada nampak sedikit terganggu dengan soalan itu. Berdehem perlahan sambil melabuhkan punggung ke kerusi. "Ayah kau," Adam diam. Sudah lama dia tidak mendengar perkataan itu. Malah dia sudah lupa pada perkataan itu. "Ayah kau, Adam," "Kenapa dengan dia?,"soal Adam kaku. "Dia dah tak ada. Dia diserang sakit jantung. Kau tak nak pulang uruskan jenazah dia? Nenek kau cakap dia nak uruskan pengebumian jenazah ayah kau. Pulanglah ya," "Dia bukan ayah aku. Dia pembunuh ibuku,"Adam bersuara tanpa perasaan. Syuhada menatap wajah lelaki itu. Masih ada sisa dendam di hati lelaki ini. "Dia sudah pun mendapat hukuman atas perbuatannya. Sudah bertahun-tahun dia di penjara. Lupakanlah perkara yang sudah berlalu tu. Walau macam mana pun, dia tetap ayah kau. Satu-satunya anak nenek kau. Kasihan nenek menghadapi semua ini sendirian. Kalau kau ada, dia pasti lebih kuat. Kita balik ya?," "Aku tak boleh lupa apa yang dia buat pada mak aku. Apa salah mak aku sampai dia sanggup tikam mak aku berbelas kali? Berbelas kali, Su. Aku .. aku.. tak boleh lupa Su," tiba-tiba air mata menitis laju membasahi pipinya. Sukar untuk dia lupakan apa yang telah ayahnya lakukan dalam keadaan mabuk, bertahun-tahun yang lepas. Tidak dapat dia lupakan juga jeritan ibunya menahan kesakitan dan dia meraung kuat saat nyawa terpisah dari badan ibunya. Memeluk erat mayat ibunya yang kaku.

Bapanya telah berjaya menambah satu lagi gelaran padanya. Anak Pembunuh! "Kau belajar memaafkan. Itu saja yang boleh buat kau tenang," Adam diam sambil mengesat air mata dengan hujung selimutnya. Tidak ada kenangan manis rupa-rupanya di dalam hidupnya. Kalau ada pun cuma sedikit. Syuhada, nenek dan Daniel. Itu sahaja kenangan manisnya. Dan, semuanya cuma muncul untuk seketika. Hilang kerana kekhilafan dirinya. Salah siapa? Dia menangis lagi. Salah dirinya sendiri. Andai dia dapat melawan perasaannnya yang memberontak dan menggunakan akal yang dianugerahkan Ilahi, pasti dia boleh hidup bahagia bersama Syuhada saat ini. Membahagiakan nenek yang sudah tua. Dan mendengar hilai tawa anak anak kecil seperti Daniel. Tetapi.. "Aku bodoh Su! Kenapa jalan ini yang aku pilih? Kenapa?," Syuhada diam sambil menahan air mata dari menitis. Sayu melihat keadaan Adam. **** Wajah tua itu basah dengan air mata. Memeluk tubuh kurus satu-satunya cucu yang amat dia rindui. Syuhada tunduk sambil menyapu air mata yang turut sama membanjiri pipi. Adam tersesak-esak di bahu nenek tua itu. Sekali lagi dia kalah pada Syuhada. Sekali lagi Syuhada mampu melembutkan hatinya. "Kau ke mana cu? Kau tak ingat nenek ke?,"suara itu seperti belati yang hatinya. "Maafkan Adam nek. Adam malu nak jumpa nenek. Adam takut nenek jadi bahan cemuh orang nanti," "Nenek dah lali dengan cemuh orang. Nenek tak kisah. Nenek cuma nak Adam ada dengan nenek. Kita dah tak ada sesiapa Dam. Cuma tinggal kita berdua saja," Adam leraikan pelukan yang erat. Memandang sekeliling halaman rumah yang sudah bertahun-tahun dia tingglkan. Tiada apa yang berubah. "Adam.. berehatlah. Kau penat tu. Tolong uruskan pengkebumian ayah kau tadi. Pergilah rehat,"Syuhada bersuara memberi arahan. Sedikit risau melihat keadaan Adam yang lelah. Batuk lelaki itu juga sudah semakin menjadi-jadi. Dalam keadan yang lemah, Adam berkeras mahu menghantar jenazah bapanya sehingga ke liang lahad. "Betul kata Su tu. Pergilah naik atas. Rehat," Adam menggeleng perlahan. "Ada sesuatu yang aku nak cakap dengan kau,"ujarnya sambil menikam wajah Syuhada dengan renungannya yang redup. Syuhada mengerutkan kening. Menunggu bicara yang bakal keluar dari mulutnya. "Aku sayangkan kau. Kau sahabat aku. Kau kekasih kau. Sejujurnya, dari dulu aku memang sentiasa mencintai kau. Hingga akhir hayat aku, perasaan itu tak akan berubah. Tapi, aku bukan manusia kejam yang sanggup nak musnahkan masa depan orang yang aku sayang," "Maksud kau?," "Kita tak akan kahwin," "Aku tak akan mengalah. Kau pun tahu kan?," "Aku tahu kau akan mengalah pada aku kali. Mungkin untuk kali pertama dan terakhir. Tapi, aku pasti kau akan mengalah. Syuhada merenung wajah Adam tidak berkelip. Berdebar untuk mendengar kata-

kata Adam yang seterusnya. Dan, nenek tua itu menjadi pemerhati bicara mereka berdua. "Apa kau nak buat?,"soal Syuhada lambat-lambat. "Pilihan untuk kau pilih," "Apa dia?," "Kita akan kahwin, tapi, aku tak akan berada di sini, bersama nenek. Kalau kau lupakan niat kau tu, aku akan berada di sini sehingga ke nafas terakhirku. Bersama dengan nenek. Pilihan di tangan kau," Syuhada terduduk. Sampai hati Adam memberi kata putus yang memedihkan itu dia memandang wajah tua nenek Adam yang terlalu mengharapkan kepulangan cucunya itu. Kenapa pilihan itu yang Adam berikan? "Kau kejam," "Aku akan lebih kejam kalau aku ikut kata kau sekali lagi. Tempat kau bukan bersama dengan orang seperti aku," "Aku berhak tentukan apa yang aku inginkan dalam hidup aku," "Kau boleh tentukan apa yang kau mahu sekarang. Kahwin dengan aku. Atau melihat nenek gembira," Syuhada pandang wajah tua itu sekali lagi. Sudah pasti dia tidak sanggup melihat wanita tua ini kehilangan Adam lagi. Tapi, dia juga ingin memiliki lelaki itu. Ingin memiliki cinta Adam. Ingin menjaga Adam. Ingin menebus kesilapan yang ayahnya lakukan pada Adam. Ingin bersama Adam sehingga ke akhir nyawa lelaki itu. Pilu menyucuk dasar hati. Sampai hati Adam menolak dengan cara yang tidak dapat dia tewaskan lagi. Betul kata Adam. Kali ini dia kalah. Buat pertama kali Adam menang. Buat pertama kali juga dia kalah. Tanpa dipinta, air mata mengalir di pipinya. Dia mencari bahu nenek dan menghamburkan tangisannya di situ. "Mungkin betul tindakan Adam tu cu," "Sampai hati dia buat saya macam ni, nek. Bertahun saya tunggu untuk bersama dengan dia," Air mata lelaki Adam sekali lagi menitis membasahi pipi mendengar rintihan gadis kesayangannya. "Kemenangan aku kali ni.. Kekalahan kau kali ni.. semuanya demi cinta aku pada kau. Kau yang kata cinta memerlukan pengorbanan kan? Mungkin inilah pengorbanan itu," Syuhada tersedu lagi. Dia tidak sanggup menghadapi pengorbanan seperti ini. Dia bakal kehilangan lelaki ini sekali lagi.Tanpa sempat dia noktahkan dengan satu ikatan yang suci. Sampai hati Adam TAMAT.

You might also like