10.

83 peratus murid tercicir ISNIN, 10 OKTOBER 2011 17:48 MS FISAB KUALA LUMPUR - Dari tahun 2006 hingga 2010 kira-kira 10.83 peratus keciciran murid di peringkat sekolah rendah dan menengah yang mengikuti sistem persekolahan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dicatatkan. “Bilangan keciciran pelajar sekolah menengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 9.42 peratus berbanding sekolah rendah kira-kira 1.41 peratus, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong. Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak semua murid tersebut tercicir terus daripada mengikuti sistem persekolahan, sebaliknya sebahagian besar mereka meneruskan pelajaran di sekolah swasta, sekolah agama rakyat, Sekolah Menengah Persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan madrasah. “Pada Jun tahun lalu, kira-kira 140,000 murid di peringkat sekolah rendah dan menengah belajar di sekolah swasta.” Wee Ka Siong berkata, jumlah itu tidak mengambil kira pendaftaran di sekolah rendah dan menengah agama negeri yang mempunyai 56,000 murid, manakala terdapat lebih kurang 36,000 murid di sekolah agama rakyat. “Namun, kita tidak nafikan memang terdapat murid dalam jumlah yang terlalu kecil meninggalkan dunia pendidikan serta-merta kerana tidak berminat terhadap pelajaran, masalah kesihatan dan memasuki alam pekerjaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang ingin mengetahui jumlah pelajar tercicir dalam tempoh lima tahun lalu. Beliau berkata, KPM telah menguatkuasakan pendidikan wajib di peringkat sekolah rendah yang mula dilaksanakan sejak 2003. “Jika ada ibu bapa yang didapati tidak menghantar anak-anak ke sekolah rendah, mereka akan dikenakan hukuman penjara dan kita tidak akan berkompromi dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini; berlainan bagi sekolah menegah yang mana tiada sebarang tindakan undangundang dikenakan terhadap ibu bapa yang melakukan kesalahan demikian.” Sehubungan itu, beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri dalam Bajet 2012 berhubung pemansuhan yuran di semua sekolah rendah dan menengah kerajaan yang merupakan satu langkah untuk mengatasi masalah keciciran. “Kita turut menjalankan kajian berkaitan keciciran murid dalam sistem pendidikan negara untuk menyediakan data murid yang tercicir dari sistem pendidikan negara. Ia dijangka siap pada akhir tahun hadapan.” Selain itu, katanya, Jawatankuasa Penyiasatan Murid Cicir (JPMC) juga ditubuhkan di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan KPM untuk membuat siasatan ke atas masalah keciciran murid ini.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful