Memperkasa Sistem Pendidikan Bagi Menangani Masalah Sosial

Friday, 22 May 2009 00:34

Permasalahan sosial yang sedang meruncing kini seharusnya mendapat perhatian semua
pihak yang cintakan negara ini dan mereka yang mahu menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara maju contoh. Samada secara sedar atau tidak, peningkatan kes-kes yang
dikategorikan sebagai gejala sosial kini berada pada tahap yang agak membimbangkan,
malah mungkin juga “mencemaskan”. Ini dapat dibuktikan melalui pendedahan dan
laporan harian media massa mengenai peningkatan kes-kes berkenaan. Setiap hari kita
akan mendengar atau membaca berita serta liputan mengenai kes-kes gejala sosial
Sudah sampai masanya kita sebagai rakyat Malaysia melihat usaha membendung dan
menyelesaikan masalah ini sebagai suatu agenda yang perlu diberi keutamaan. Selain
perlunya meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan
yang dilakukan, kita tidak seharusnya mengabaikan peranan pendidikan bagi membantu
membendung gejala berkenaan daripada berleluasa. Malah rakyat seluruhnya perlu
mempunyai kesedaran bahawa gejala ini adalah permasalahan kita bersama, bukan
semata-mata permasalahan kerajaan atau kaum keluarga pesalah-pesalah yang terlibat
dengan tindakan-tindakan ganas itu.
Apa yang dimaksudkan sebagai tindakan bersama, adalah perlunya kerjasama semua
pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk bersama-sama membenteras perlakuan salah
laku atau gejala sosial ini daripada terus menjadi barah yang akan melumpuhkan sistem
bermasyarakat di negara ini. Dengan lain perkataan, kita sama sekali tidak boleh
membenarkan keadaan ini berlangsung sewenang-wenangnya di atas nama gaya hidup
masyarakat maju. Kita harus menetapkan agenda bahawa kemajuan kita bukanlah
menyamai kemajuan di Barat.
Masalah sosial adalah suatu tindakan yang merangkumi pelbagai perlakuan negatif
masyarakat yang tidak membawa kekuatan serta keuntungan kepada sesebuah negara,
samada kepada struktur sosial, politik mahupun sistem ekonomi negara berkenaan.
Perlakuan yang menyimpang daripada nilai dan norma masyarakat mengundang
kerisauan dalam masyarakat berkenaan kerana ia boleh memecahkan struktur nilai yang
dipegang oleh sebahagian besar komuniti tersebut.
Banyak kajian telah dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai gejala sosial ini. Satu kajian
yang dilakukan oleh Amaludin Abd. Rahman dan Khadijah Alawi merumuskan bahawa
terdapat sekurang-kurangnya 28 jenis masalah sosial yang dihadapi oleh golongan remaja
masa kini. Masalah berkenaan dapat diperincikan melalui senarai berikut :

Bil.

Masalah Sosial

Bil.

Masalah Sosial

Bil.

Masalah Sosial
1 Merokok 2 Tonton video lucah 3 Tonton filem lucah
4 Mencuri 5 Lari dari rumah 6 Minum arak
7 Putus cinta 8 Pil khayal 9 Berjudi
10
Simpan gambar
lucah
11
Hubungan jenis luar
nikah
12
Peras ugut
13 Pecah rumah 14 Hisap dadah 15 Rogol
16 Samun 17 Rasuah 18 Maksiat
19 Bercerai 20 Jenayah bunuh 21 Seks rambang
22 Bohjan 23 Homoseks 24 Bohsia
25 Lesbian 26 Pelacur/Dilacur 27 Gugur anak
28 Buang anak
Kajian berkenaan juga mendapati bahawa penglibatan remaja dalam masalah sosial
sangat berkait rapat dengan latar belakang dan cara hidup mereka dalam keluarga. Walau
bagaimanapun terdapat faktor-faktor lain yang menentukan remaja terjebak dalam
kegiatan ini. Antaranya ialah faktor psikologi individu itu sendiri serta pengaruh
persekitaran.
Tarikan yang kuat terhadap pergaulan bebas dan pengaruh rakan sebaya dikenal pasti
menjadi sebab utama remaja mudah melanggar nilai dan norma masyarakat. Keadaan ini
sangat berkait rapat dengan pengaruh emosi yang sangat mudah meresapi jiwa remaja,
iaitu mahukan melakukan sesuatu yang menyeronokkan, mencabar dan memberi
kepuasan diri.
Akibat daripada suasana dan persekitaran hidup yang sentiasa menyuburkan budaya
keseronokan dan kesenangan, maka lahirlah generasi yang dangkal pemikiran dan gagal
memanfaatkan kekuatan jasad, akal dan rohani yang ada pada mereka. Akibatnya, sering
kita perhatikan apabila mereka dilanda kekecewaan atau dugaan seperti putus cinta,
konflik diri ataupun tekanan pelajaran, mereka akan begitu mudah mencari penyelesaian
yang sebenarnya bukan jawapan kepada permasalahan yang dihadapi. Maka
bertambahlah kes membunuh diri, dadah, arak, lari dari rumah dan zina, kononnya
sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
Dalam tempoh pembangunan yang semakin pesat serta persaingan yang bersifat
global, anak muda atau remaja kini semakin diorientasi dengan kemewahan. Kesannya
mereka kurang berminat dengan program-program pemantapan jati diri serta pengukuhan
peribadi mereka dalam menghadapi cabaran. Ini seterusnya mengakibatkan mereka gagal
mencari jalan penyelesaian yang kreatif dan berhikmah terhadap cabaran dan dugaan
yang mendatang.
Kajian Amaludin dan Khadijah juga mendapati bahawa sejarah keluarga adalah antara
faktor yang ketara dalam menyumbang kepada peningkatan masalah sosial . Bilangan kes
perceraian ibu bapa misalnya, dan kurangnya kemahiran dalam mendidik memberikan
kesan negatif ke atas perkembangan syaksiah dan mentaliti anak-anak. Mereka terasa
terpinggir, terabai dan jauh daripada kasih sayang.
Keengganan sebahagian pasangan mendalami ilmu kemahiran keibubapaan (parenting)
adalah suatu tindakan yang merugikan. Pendedahan yang terhad ini menyebabkan kaedah
mengurus hal ehwal keluarga menjadi kurang mantap dan kucar-kacir. Selain itu, akibat
kurangnya tumpuan terhadap aspek pembangunan keluarga sebagai salah satu aspek
penting pembangunan modal insan, telah menyebabkan berlakunya kes-kes keganasan
rumah tangga. Melalui data di bawah, kita dapati bahawa negeri-negeri yang mempunyi
tahap kemajuan ekonomi lebih pesat mencatatkan kes keganasan rumah tangga yang
tinggi. Ini termasuklah di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Negeri 2001 2002 2003 20041
Perlis 27 39 32 27
Kedah 179 177 179 114
Pulau Pinang 431 269 231 137
Perak 185 135 123 56
Selangor 855 942 805 421
Kuala Lumpur 162 131 96 53
Negeri Sembilan 318 242 301 131
Melaka 56 67 68 37
Johor 379 187 234 227
Pahang 161 202 188 99
Terengganu 29 10 9 12
Kelantan 36 47 19 14
Sabah 86 85 69 55
Sarawak 203 222 201 114
J umlah 3107 2755 2555 1497
Jadual 1 : Kes Keganasan Rumah Tangga Mengikut Negeri, sehingga Jun 2004
Sumber : Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman
Persekitaran masyarakat amat bermakna bagi perkembangan fizikal, mental dan rohani
seorang remaja. Suasana yang tidak soleh memudahkan nafsu remaja terangsang untuk
bertindak seperti rakan-rakan sekumpulannya. Peranan media juga amat kuat dalam
mempengaruhi pembentukan minda remaja yang sihat. Aksi yang ganas dan kurang
bermoral boleh didapati dengan mudah melalui VCD, video, majalah dan televisyen.
Kesan sampingan aktiviti-aktiviti ini ialah pengikisan nilai-nilai murni dan adab
masyarakat. Lama kelamaan nilai-nilai berkenaan digantikan dengan nilai-nilai Barat
yang berbeza daripada masyarakat Timur.
Di samping itu program televisyen yang tidak ditapis dengan berhati-hati oleh pihak
berwajib terutama pada siaran televisyen berbayar (kabel) akan mendedahkan golongan
muda dan remaja belasan tahun kepada tabiat buruk dan amalan berisiko tinggi seperti
gejala pergaulan bebas, penagihan dadah atau seks bebas. Menurut satu kajian lagi yang
dilakukan oleh Norliah Kudus dan Mahadi Hassan merumuskan, ruangan di media yang
membincangkan soal seks dan hubungan suami isteri secara terbuka mendedahkan anak-
anak kepada mesej seks yang belum sampai masanya untuk mereka ketahui. Biarpun
secara purata kes-kes rogol yang dicatatkan menurun sehingga tahun 2004, ini tidak
bermakna bahawa kita harus leka untuk terus membenterasnya.
Negeri 2001 2002 2003 2004
Perlis 10 13 11 6
Kedah 123 132 119 70
Pulau Pinang 75 73 70 53
Perak 79 100 118 61
Selangor 269 253 280 162
Kuala Lumpur 97 120 77 54
Negeri Sembilan 82 62 69 45
Melaka 43 57 67 55
Johor 234 235 312 162
Pahang 79 79 70 61
Terengganu 48 45 38 30
Kelantan 74 70 66 39
Sabah 94 115 111 64
Sarawak 79 77 71 46
J umlah 1386 1431 1479 908
Jadual 2 : Kes Rogol Mengikut Negeri, sehingga Jun 2004
Sumber : Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman
Perkembangan negara yang pesat sejak tahun 1980-an telah memberi manfaat yang
sangat besar kepada masyarakat Malaysia. Limpahan pembangunan ini turut membawa
perubahan ke atas cara hidup keluarga dan pembangunan sosial. Kualiti hidup semakin
baik dan rakyat Malaysia boleh merasai jangka hayat yang lebih panjang. Perangkaan
Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2004 yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencatatkan pertumbuhan penduduk
Malaysia dari 13.88 juta pada tahun 1980 kepada 25.58 juta pada tahun 2004.
Pertambanhan penduduk ini dijangka meningkat kepada 28.9 juta pada 2010 dengan
kadar purata pertumbuhan 2.2 peratus setahun (Fatimah Saad, 2005). Kumpulan umur 15-
64 tahun membentuk 62.9 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia diikuti 0-14
tahun (32.9 peratus) dan berumur 65 tahun dan lebih (4.2 peratus). Manakala penduduk
bandar semakin meningkat dari 34.2 peratus (1980) kepada 62.8 peratus (2004).
Pertambahan ini adalah disebabkan pelbagai faktor seperti perbandaran, peluang
pekerjaan dan tahap pendidikan yang lebih baik.
1980 1991 2000 2004
Penduduk Pertengahan
Tahun1
juta
13.88 18.55 23.27 25.58
Kumpulan Umur
0-14 % 39.9 37.2 33.3 32.9
15-64 % 56.5 59.2 62.8 62.9
64 dan lebih % 3.6 3.6 3.9 4.2
Penduduk Bandar % 34.2 50.7 62.0 62.8
Penduduk Luar Bandar % 65.8 49.3 38.0 37.2
Jadual 3 : Ringkasan Perangkaan Penduduk. Anggaran penduduk tahun 2003 dan 2004
adalah berdasarkan kepada data Banci Penduduk dan Perumahan 2000 yang telah
disesuaikan kadar-kadar kurang penghitungan. Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia

Pembangunan pesat bandar-bandar di Malaysia telah melebarkan kawasan penempatan.
Kemungkinan 15 tahun yang akan datang penduduk di bandar akan meningkat lebih
banyak kesan daripada dasar kerajaan yang hendak menjadikan Malaysia sebagai negara
maju pada tahun 2020. Perubahan ini sedang berlaku sedikit demi sedikit dari utara
hingga ke selatan dan timur Malaysia. Kawasan bandar ini telah mengubah corak
tradisional masyarakat kampung kepada metropolitan yang memberi kesan terhadap
pengaruh politik, pembangunan fizial dan pengenalan sosial. Contoh yang mudah ialah
struktur rumah di bandar sangat berbeza dengan kampung iaitu pembinaan rumah sangat
rapat dan tidak ada ruangan yang mencukupi untuk interaksi sosial di kalangan keluarga
di luar rumah.
Perkembangan perbandaran turut mengambil tempat dalam perubahan struktur ekonomi
dan menjadi punca terhadap perubahan sikap dan sistem nilai. Amalan agama masih kuat
di kawasan luar bandar dan boleh dilihat kerana masyarakatnya berpegang kuat pada nilai
dan tradisi sedia ada. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak banyak membawa makna
kepada kehidupan bandar kerana nilai dan sikap yang telah berubah. Pertumbuhan
ekonomi menyebabkan kebergantungan terhadap keperluan mencari wang diutamakan
walaupun terpaksa mengorbankan nilai dan budaya sebelumnya.
Langkah utama mengatasi masalah sosial di Malaysia ialah sentiasa menambahbaik
sistem pendidikan supaya menjadikan nilai sebagai teras. Seorang pakar pendidikan,
Musgrave (1978) dalam bukunya The Moral Curriculum : A Sociological Analysis
menegaskan agenda penting pendidikan dalam sesebuah negara haruslah merangkumi
usaha membangunkan aspek-aspek moral individu dan masyarakat.
Manakala seorang pengkaji pendidikan dan kemasyarakatan Lickona turut bersetuju
bahawa penekanan tradisional pendidikan ialah mencorakkan perkembangan dan
pembentukan watak seseorang bagi melahirkan individu yang baik.
Sekolah adalah institusi penting dalam pembentukan nilai kerana para pelajar
menghabiskan masa selama enam hingga lapan jam sehari di situ. Para pelajar tanpa
mengira agama, bangsa dan latar belakang mempelajari nilai-nilai baru setiap hari dalam
aktiviti yang dilakukan bersama. Mereka belajar tentang peraturan, menghormati, kasih
sayang, etika dan kerjasama melalui silibus pendidikan yang dibentuk secara berhati-hati,
diajar oleh guru yang terlatih dan melalui proses komunikasi setiap hari. Perkara pokok
dalam pembentukan nilai ini ialah pendidikan nilai tidak boleh dihalang oleh sesiapa
sahaja walaupun ia cuba berbuat demikian. Sebaliknya nilai ini perlu didedahkan dengan
sebaik-baiknya.
Kepentingan pendidikan dan persekolahan sebagai institusi sosial yang membentuk nilai
disokong kuat oleh Narol (1983) yang mengemukakan Teori Moral Order. Beliau
menganggap masalah sosial yang berlaku boleh diatasi jika wujud moral order atau
tatacara moral yang mempengaruhi situasi dan mendasari segala masalah sosial manusia.
Oleh itu institusi sekolah berperanan menegakkan moral order ini khususnya golongan
remaja. Sekolah sebagai institusi pendidikan formal merupakan agen yang
bertanggungjawab memindahkan nilai-nilai masyarakat kepada kanak-kanak dan generasi
muda.
Kekuatan dan kehebatan sesuatu masyarakat dan negara banyak bergantung kepada
perubahan nilai yang berlaku. Mahu ataupun tidak, pendidikan adalah faktor utama bagi
membina dan menanam nilai-nilai positif yang akan mendorong kepada kemajuan sosial
negara. Pendidikan yang dilihat sebagai agen perubahan sosial wajar berkembang selari
dengan perubahan ekonomi, politik dan teknologi semasa supaya nilai-nilai yang sedia
ada boleh ikut selari dengan perubahan-perubahan tersebut.
Golongan muda harus didedahkan dengan nilai-nilai yang baik dan diterima oleh
masyarakat sejak kecil lagi. Walaupun keluarga adalah penentu masa depan anak-anak,
dengan peningkatan masalah sosial hari ini yang melibatkan remaja, timbul persoalan
sama ada keluarga mempunyai cukup kekuatan bagi membentuk adab dan akhlak yang
mulia pada anak-anak. Di sinilah peranan kerajaan yang harus bertanggungjawab
mengatasi masalah sosial ini melalui pendidikan formal, penguatkuasaan dan pemulihan.
Sebagai sebuah negara yang sedang meningkat maju, Malaysia harus bijak menyusun
pembangunan dan pemodenan supaya masalah sosial ini tidak akan mengganggu
kesejahteraan dan kebahagian masyarakat keseluruhannya.