KARANGAN - FAKTA - KEPENTINGAN KOMPUTER

Komputer sangat penting bagi murid-murid. Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk,
“Kepentingan Komputer Kepada Murid-murid”.

KEPENTINGAN KOMPUTER
‘Sebuah Rumah Sebuah Komputer,’ begitulah ungkapan yang dilaungkan oleh kerajaan
negara kita. Mengapakah komputer sangat penting? Bolehkah komputer membantu kita
terutamanya murid-murid dalam pelajaran?
Sebenarnya komputer memang banyak mendatangkan kesan yang baik jika digunakan
dengan jalan yang betul. Perisian yang ada dalam komputer dapat membantu murid-murid dalam
pelajaran. Segala tugasan dapat diselesaikan dengan mudah dan berkualiti.
Bagi murid-murid yang melayari internet, dunia mereka hanya di hujung jari. Segala
maklumat dan perkara-perkara yang berlaku di dunia akan dapat diketahui dengan segera dan
mudah. Ini membantu mereka mengikuti perkembangan semasa di dalam dan luar negara.
Dengan mempelajari komputer, hubungan silaturahim dapat dieratkan. Kita boleh
berhubung antara satu sama yang lain melalui komputer terutamannya rakan kita yang berada di
luar negara. Kaedah ini mudah dan menjimatkan kos.
Selain itu, komputer boleh dijadikan alat hiburan ringan. Apabila kita mengalami tekanan
atau kerunsingan, komputer boleh membantu kita menenangkan fikiran. Kita juga boleh bermain
permainan yang terdapat di dalamnya.
Oleh yang demikian, murid-murid digalakkan mempelajari dan menguasai bidang komputer.
Hasrat kerajaan yang ingin menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 dapat direalisasikan
dengan ilmu pengetahuan yang lebih mudah diakses menggunakan komputer. oleh itu, di peringkat
sekolah lagi pendedahan tentang kemahiran menggunakan komputer perlu dilatih untuk persediaan
menghadapi dunia teknologi.