You are on page 1of 10

Pengenalan

Berdasarkan statistik, jelas ditunjukkan bahawa Malaysia mempunyai ciri-ciri


kepelbagaian kaum yang kompleks dengan setiap kaum mempunyai kebudayaannya
yang tersendiri. Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan pula wujudnya budaya
universal yang dikongsi oleh setiap kaum bagi melambangkan keperibadian
Malaysia. Sifat masyarakat Malaysia yang multikultural merupakan suatu hakikat
yang wujud dalam masyarakat moden pada hari ini sehingga memerlukan setiap ahli
masyarakat mengambil langkah untuk saling mengenali dan menyesuaikan diri
antara satu sama lain. Dalam hal ini, prinsip kemajmukan dalam masyarakat perlu
ditanam dalam diri setiap individu sejak dari kecil demi mengekalkan keharmonian
dan saling menghormati antara kaum yang akhirnya membolehkan keamanan
negara mampu dikekalkan sepanjang masa.
Kita harus sedar bahawa setiap individu adalah unik dan berbeza daripada
yang lain hasil lingkungan budaya etnik atau jenis masyarakat serta petempatan
tempat tinggal masing-masing. Kesedaran tentang kepelbagaian budaya yang
dibawa oleh pelajar dapat membantu guru menyediakan persekitaran pembelajaran
yang berkesan. Budaya hidup yang dibawa oleh pelajar ke dalam bilik darjah
mempengaruhi iklim dan budaya bilik darjah. Seterusnya ia membawa implikasi yang
amat kuat dalam pembentukan peribadi sosial dan intelek pelajar. Dalam konteks
pendidikan di Malaysia, aspek kebudayaan dan masyarakat perlu dititik beratkan
kerana pelajar secara realitinya hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum,
agama dan budaya.
Tanpa pendidikan yang bercorak kepelbagaian budaya, pelajar tidak akan
mengenali jati diri masyarakat. Hal ini demikian kerana budaya merupakan
sebahagian daripada warisan yang diperturunkan dan dipelajari daripada nenek
moyang dan akan diperturunkan pula kepada generasi akan datang. Kesimpulannya,
pendudukan masyarakat majmuk di negara ini telah mempengaruhi proses
pengajaran dan pembelajaran dari segi aspek bangsa, struktur masyarakat, kelas
sosial, kepercayaan, bahasa, dan adat resam. Kita dapat menyatakan bahawa
bangsa merupakan suatu kelompok manusia yang dianggap memiliki identiti
bersama, yang bersatu pada satu wilayah dan mempunyai keterikatan dengan
wilayah tersebut. Oleh itu, jelaslah bahawasanya kita semua tidak boleh
meminggirkan mana-mana pihak sama ada kaum Cina ataupun India walaupun pada
dasarnya majoriti penduduk di Negara ini adalah kaum Melayu. Maka, kepelbagaian
sosial ini telah memberikan implikasi kepada gaya pembelajaran, kepimpinan dan
komunikasi guru dalam bilik darjah.










1.0 Kepelbagaian Budaya Mempengaruhi Gaya Pembelajaran Dalam Bilik
Darjah
Sebagai seorang guru, adalah penting untuk mengetahui dan ambil peduli
akan siapa sebenarnya pelajar-pelajar atau komuniti di dalam sesebuah kelas. Guru
juga perlu meneliti akan pendekatan yang bersesuaian yang dibawa oleh setiap
pelajar, bakat serta minat mereka ke dalam situasi pembelajaran. Sewajarnya guru
perlu mengetahui bahawa setiap individu pelajar adalah berbeza dari aspek budaya,
latar belakang keluarga, dan tahap sosioekonomi yang mana sedikit sebanyak
memberi kesan kepada gaya dan corak pembelajaran mereka. Setelah guru mampu
memahami serta mengenali setiap jenis pelajar di dalam kelas, impaknya pelajar
boleh mencapai kejayaan daripada hasil pembelajaran mereka di sekolah.
Oleh yang demikian pemahaman yang mendalam akan kepelbagaian pelajar
yang wujud sekarang bukan hanya dilihat dari segi tahap pembelajaran mereka
bahkan juga pemerhatian yang teliti perlu diberikan kepada budaya, etnik, bangsa,
agama, latar belakang keluarga, sosioekonomi dan terutama sekali kepada gaya
pembelajaran setiap daripada mereka dengan menitikberatkan kepada minat, bakat,
pengalaman serta kemahiran yang diperoleh dalam membantu pelajar mencapai
hasil pembelajaran. Pemilihan gaya pembelajaran adalah dibentuk oleh budaya yang
disumbangkan melalui cara kita memperoleh, memproses dan menggunakan
maklumat. Budaya dimaksudkan di sini merujuk tentang apa-apa yang menjadi
kebiasaannya kepada kumpulan, yakni apa-apa yang kebiasaannya dikongsi
bersama oleh sekumpulan manusia melalui tingkah laku pembelajaran yang serupa
dalam persekitaran tertentu. Oleh itu, gaya pembelajaran mempunyai dimensi
sosialisasi melalui interaksi dengan keluarga, rakan-rakan dan yang lain-lain dalam
komuniti.
Bennet (1990) menyatakan bahawa gaya pembelajaran melibatkan
perwatakan kognitif, efektif dan psikologi yang membolehkan kita secara individu
mengerti dan berinteraksi dengan suasana persekitaran pembelajaran kita. Menurut
beliau faktor-faktor kebiasaan dalam budaya akan mempengaruhi perlakuan gaya
pembelajaran dan terdapat beberapa gaya dalam budaya yang berbeza.
Antaranya ialah cara kanak-kanak dibesarkan. Kebiasaannya, masyarakat
yang lebih autoriti dalam cara kanak-kanak dibesarkan akan lebih sensitif.
Contohnya, bertendensi untuk lebih peka dalam konteks yang spesifik atau situasi.
Kanak-kanak dalam masyarakat tersebut akan lebih terarah untuk bekerjasama
dengan yang lain untuk mencapai objektif bersama, membantu yang lain dan lebih
sensitif kepada pendapat dan perasaan orang lain. Keduanya adalah persekitaran
masyarakat tinggi ataupun lebih rigid strukturnya. Mereka meletakkan tekanan
kepada kanak-kanak untuk bertindak secara tekal dan juga mempunyai tendensi
untuk memupuk sensitiviti terhadap perspektif. Budaya yang mempunyai konseptual
yang tinggi meletakkan nilai ke atas keluarga, latar belakang, status keprofesionalan
dan sosioekonomi mencernakan tahap keindividualan. Kanak-kanak yang
dibesarkan dalam persekitaran begini akan memperkembangkan sensitiviti kepada
masyarakat dan memberi kesan tatacara mereka berinteraksi dengan orang lain.
Seterusnya ialah persekitaran ekologi. Cara hidup bandar yang mahukan
setiap individunya sensitif terhadap keadaan sekeliling mereka demi kehidupan
mereka sendiri lebih terarah untuk membangunkan persepsi yang peka. Sebagai
hasilnya, visual mereka, auditori dan taktile-kinestatik modaliti berkemungkinan
dibangunkan dengan lebih berkesan. Tradisi celik huruf juga merupakan salah satu
faktor yang mempengaruhi gaya pembelajaran. Masyarakat yang tidak mempunyai
tradisi tulisan, bertendensi untuk menekankan pengalaman langsung dan modelnya
sebagai pedagogi pilihan. Sebagai hasilnya, alih masyarakat ini tidak akan
meletakkan kepentingan menulis teks sebagai cara pembelajaran tetapi lebih gemar
kepada bercerita. Individu-individu ini berkemungkinan mengalami ketidakupayaan
untuk melakukan tugasan sebegini pada bila-bila masa.
Kesimpulannya, kepelbagaian yang wujud antara pelajar perlu dikaji difahami
dengan sebaiknya dalam membantu untuk memahami gaya pembelajaran dan di
selitkan dengan latar belakang budaya setiap orang pelajar dalam menentukan
strategi pengajaran yang lebih berkesan. Justeru itu adalah penting bagi guru
memahami serta mengetahui gaya pembelajaran pelajar yang wujud di dalam
sesebuah kelas.
1.1 Kepelbagaian Budaya Mempengaruhi Kepimpinan dan Komunikasi Guru
dalam Pengurusan Bilik Darjah
Dalam sebuah sekolah, bilik darjah merupakan tempat yang terpenting dalam
membentuk sahsiah dan pengetahuan pelajar. Bilik darjah merupakan tempat yang
paling sesuai untuk penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah yang
mempunyai suasana yang tenteram dan selesa serta ditambah dengan pelbagai
bahan pengajaran atau bahan bantu mengajar akan memberi kesan yang mendalam
kepada penerimaan pelajar terhadap pengajaran guru. Oleh itu, para guru
memainkan peranan yang penting dalam membina dan mewujudkan persekitaran
bilik darjah yang kondusif.
Kepimpinan adalah satu proses mempengaruhi kegiatan manusia yang
berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab mereka yang mana keterlibatan mereka
adalah secara suka rela dan berusaha ke arah keberkesanan dan pencapaian
matlamat organisasi. Sungguhpun demikian, apabila kepimpinan dibincangkan
daripada perspektif pendidikan, sering kali kepimpinan dikaitkan dengan peranan
kepimpinan guru di sekolah dan bilik darjah. Hook dan Vass (2000) mendefinisikan
peranan kepimpinan guru bilik darjah sebagai satu kemahiran di mana guru
menggunakan gaya kepimpinan untuk keterampilan dirinya dan berkomunikasi
dengan yang lain. Selain dari itu, kemahiran ini adalah satu kebolehan untuk
mengaitkan perkara yang berlaku sehari-hari dengan interaksi dua pihak. Kemahiran
ini juga merupakan kebolehan guru untuk menyampaikan visi kepada murid-murid
dan dapat meyakinkan serta mempengaruhi mereka.
Proses pengajaran dan pembelajaran secara normal berlaku di dalam bilik
darjah yang mana murid-murid yang mengikuti pengajaran merupakan responden
dan guru berperanan sebagai pemimpin. Pembelajaran yang bermakna selalu
dikaitkan dengan kualiti peranan kepimpinan guru sama ada berjaya mendorong;
bertindak sebagai penunjuk; dan berkebolehan mempengaruhi murid untuk berusaha
mencapai sesuatu objektif umpamanya objektif pembelajaran. Pelaksanaannya
dapat dijayakan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah
dengan merujuk kepada usaha yang digerakkan ke arah pencapaian hasil
pembelajaran mengikut topik yang diajar. Kejayaan guru sebagai pemimpin akan
terserlah dalam keupayaannya membuat perubahan di dalam bilik darjah menerusi
kolaborasi bersama murid-murid ke arah pencapaian matlamat pengajaran dan
pembelajaran. Peranan kepimpinan guru juga dikaitkan dengan orang yang
berkebolehan merancang, memberi arahan, mengawal perjalanan proses dan
membentuk strategi bagi mencapai matlamat. Oleh itu, pemimpin harus
berkebolehan dan berupaya mengubah penaakulan tingkah laku atau sikap
subordinat bagi mendorong ke arah pencapaian matlamat.
Setiap orang guru perlu mahir dalam berkomunikasi, khususnya dalam bilik
darjah. Sekiranya guru tidak faham serta mahir dalam berkomunikasi dengan murid-
murid semasa mengajar sudah pasti sukar bagi seseorang guru itu untuk menjadikan
pengajarannya berkesan dan bermutu. Dengan komunikasi yang berkesan guru
akan dapat menyampaikan isi pelajaran, ilmu pengetahuan, idea, maklumat, tunjuk
ajar serta nasihat kepada murid-murid dengan baik dan tepat tanpa menimbulkan
sebarang kekeliruan, kekaburan dan salah faham.
Kegagalan guru berkomunikasi dengan berkesan bukan sahaja akan
menyebabkan murid-murid menjadi kecewa, malah lebih buruk lagi ialah objektif
yang dirancang bagi sesuatu sesi pengajaran itu tidak akan tercapai, serta sesi
pengajaran pembelajaran menjadi hambar dan membosankan. Guru seharusnya
mengajar tanpa membezakan bangsa murid yang berkenaan. Contohnya, guru
hanya menumpu murid kaum Melayu dan meminggirkan murid kaum India di dalam
kelas. Guru harus mengajar tanpa mengelompokkan murid mengikut kaum tertentu
dalam satu kumpulan sahaja. Sebaliknya, setiap murid dari kaum yang berlainan dan
jantina yang berbeza ditempatkan dalam satu kumpulan yang sama supaya peluang
untuk mereka berinteraksi terbuka luas. Selain itu, perpaduan dapat diwujudkan
apabila mereka melakukan aktiviti pembelajaran secara bersama.
Dalam konteks untuk membina persekitaran bilik darjah yang mesra budaya
ini, murid disarankan mewujudkan hubungan etnik yang harmoni. Oleh itu, murid
harus menambah pengetahuan mereka mengenai agama atau adat etnik yang lain.
Jadi peranan sebagai seorang guru, mereka hendaklah mendedahkan pemikiran
murid-murid ini supaya berfokus kepada hubungan etnik di Malaysia dari segi
sejarah, latar belakang ekonomi dan politik serta aspek penting yang lain. Contohnya
untuk kaum India, kita sudah sedia maklum bahawa sejarah, latar belakang ekonomi
mereka ini bermula di peringkat bawah dalam sistem ekonomi kita. Oleh itu,
pemahaman murid-murid dari kaum lain amat penting agar tidak menimbulkan
perasaan memandang rendah terhadap murid-murid kaum India. Guru juga boleh
mengambil peluang dalam menjayakan pembinaan persekitaran bilik darjah yang
mesra budaya ini dengan memilih tajuk pembelajaran yang berkaitan kepelbagaian
budaya masyarakat di Malaysia. Sebagai contoh topik berkaitan dengan perayaan di
Malaysia. Secara tidak langsung, murid-murid yang pelbagai etnik ini akan
berinteraksi dan berbincang tentang perayaan tersebut. Pada masa yang sama,
penerapan nilai-nilai murni dan budaya dari etnik yang berlainan dapat diserapkan
dalam objektif pembelajaran.
Kesimpulannya, kepimpinan dan komunikasi guru dalam pembinaan
persekitaran bilik darjah yang mesra budaya ini amat penting dalam sistem
pendidikan kerana terdapatnya kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia ini.
Jadi, guru harus memainkan peranan mereka untuk memastikan persekitaran bilik
darjah yang mereka mengajar supaya proses pengajaran dan pembelajaran akan
menjadi bermakna kepada murid-murid.








Refleksi
Saya Priyatharisini Gunasilan dari Unit j-13 telah berjaya menyempurnakan
tugasan yang diberi dalam mata pelajaran EDU 3106 Budaya dan Pembelajaran.
Tajuk tugasan yang diberi pada kali ini ialah kepelbagaian budaya. Tugasan ini
merupakan satu tugasan kumpulan. Ahli kumpulan kami telah membahagikan tajuk
tugasan kepada bahagian kecil. Oleh itu, saya telah membuat salah satu topik
daripada ketiga-tiga tajuk iaitu kepelbagaian budaya mempengaruhi gaya
pembelajaran, kepimpinan dan komunikasi guru dalam bilik darjah.
Dalam kerja kursus ini berfokus kepada isu-isu kepelbagaian budaya dan
gaya pembelajaran di dalam bilik darjah. Saya juga perlu menghuraikan kemahiran
komunikasi dan kepimpinan yang digunakan oleh guru dalam mengajar murid-murid
kepelbagaian kelompok bagi mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra
budaya. Ini tidak dapat dinafikan bahawa kerja kursus ini adalah sangat menarik
perhatian saya. Dengan ini, saya mendapat peluang untuk mengkaji isu-isu
kepelbagaian budaya serta kemahiran komunikasi yang perlu dikuasai oleh guru.
Saya juga berharap saya dapat memahami lebih banyak maklumat tentang budaya
dan pembelajaran supaya dapat menggunakannya pada pelajar-pelajar masa depan.
Semasa menerima kerja kursus ini, En. Mustafa telah memberi penerangan
yang sangat jelas kepada saya. Dengan itu, saya dapat mencari pelbagai sumber
maklumat dari perpustakaan, Internet serta buku. Selepas berbincang dengan ahli-
ahli kumpulan saya dapat menyiapkan tajuk tugasan saya dengan sempurna.
Dengan ini saya dapat mengukuhkan nilai bekerjasama bersama-sama rakan saya.
Walaupun mendapat pelbagai faedah namun saya juga menghadapi sedikit kesulitan
semasa mencari bahan-bahan untuk menyiapkan tugasan. Hal ini kerana,
kebanyakan buku telah diambil oleh rakan lain untuk tugasan ini. Walaupun begitu,
saya dapat juga menyempurnakan tajuk tugasan dengan bimbingan pensyarah serta
ahli kumpulan saya.
Selain itu, kami juga telah mengadakan pameran berkaitan dengan budaya
India. Dua kelas telah menggabung dan telah melaksanakan tugasan yang berkaitan
dengan pameran tersebut. Kami perlu mencari bahan dan informasi berkaitan
dengan bahasa, artifak, alat muzik, adat resam dan budaya serta sejarah budaya
India. Pameran tersebut bukan sahaja memberi faedah kepada kami tetapi juga
kaum lain untuk mengetahui maklumat selanjutnya tentang budaya India. Selain
budaya India kami juga dapat mengenali budaya lain seperti Melayu, Cina, Kadazan,
dan Melanau dengan melawati pondok kawan-kawan yang lain. Hal ini kerana setiap
kumpulan dapat tajuk yang berbeza berkaitan dengan budaya.
Di samping itu, kami juga mengadakan pertandingan forum di antara kelas
yang bertajuk Ketaksamaan peluang pendidikan. Seramai empat orang telah
mengambil bahagian dalam forum tersebut. Mereka berbincang tentang
ketaksamaan peluang pendidikan dari segi kelas sosial, jantina, kumpulan minoriti,
murid berkeperluan khas dan isu-isu berkaitan dengan ketaksamaan peluang
pendidikan. Kami dapat mempelajari cara mengadakan sesuatu forum serta
bagaimana panel dan pengerusinya akan berbincang semasa forum tersebut.
Secara ringkasnya, tajuk kepelbagaian budaya dalam EDU3106 amat
berfaedah kepada saya pergi ke sekolah pada masa hadapan untuk menghadapi
cabaran dengan baik.
Sekian, terima kasih