You are on page 1of 4

APAKAH ITU TAMADUN

OBJEKTIF

Di akhir unit ini anda akan:

1. mengetahui pentakrifan tamadun secara menyeluruh
2. mengetahui ciri-ciri tamadun serta elemen-elemen asas dalam pembentukan
sesebuah tamadun
3. mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi kemunculan, kejayaan dan
keruntuhan tamadun

KERANGKA

1. Definisi tamadun
2. Elemen-elemen asas pembentukan tamadun
3. Ciri-ciri tamadun yang utama
4. Faktor-faktor yang mempengaruhi kemunculan dan keruntuhan tamadun
5. Kesimpulan

1. DEFINISI TAMADUN

• Berasal daripada perkataan Arab yang bererti kehalusan budi bahasa dan kesopanan
tingkah laku.
• Berpunca dari kata kerja “maddana” yang bererti memperhalus budi bahasa dan
memperelok tingkah laku.
• Juga membawa erti membuka bandar.
• Terbit pula perkataan “madinah” yang bermaksud bandar dan juga “madani” iaitu
orang yang berkelakuan seperti orang bandar yang bersifat halus dalam budi bahasa
dan beradab sopan dalam tingkah laku.
• Kesimpulannya, istilah “tamadun” boleh ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian
dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran dan penciptaan yang baik,
halus, sopan santun bagi pembentukan peribadi, akhlak, tingkah laku serta budi
bahasa yang mulia bagi individu dan juga sesuatu kelompok manusia yang
membentuk sesebuah masyarakat atau negara bangsa. Ringkasnya, tamadun boleh
dilihat sebagai pencapaian satu bentuk budaya tinggi.

2. ELEMEN-ELEMEN ASAS PEMBENTUKAN TAMADUN

• Penempatan manusia di satu atau beberapa pusat bandar yang strategik.
• Hayat penghidupan stabil yang panjang.
• Wujud organisasi dan institusi sosial dalam bidang politik, ekonomi, sosialisasi dan
pendidikan yang teratur dan sistematik.
• Adanya satu bahasa atau bebarapa bahasa serumpun dengan sistem tulisan
tersendiri yang menjadi perantaraan komunikasi, perakaman, penyampaian dan
pewaris khazanah ilmunya.
• Adanya undang-undang yang teratur dan berwibawa untuk mengawal perlakuan dan
tindak tanduk anggota masyarakatnya.
• Lahir dan berkembangnya daya kekreatifan seperti seni, sastera, falsafah dan lain-
lain juga meningkatnya penciptaan sains dan teknologi.

3. CIRI-CIRI TAMADUN

• Mengikut pendapat Lucien Goldmann, unsur utama yang menjadi pembeza antara
sesebuah dengan tamadun yang lain ialah pandangan semesta (world
view/weltanschauung).

• Berdasarkan konsep pandangan semesta, tamadun manusia secara tipologi dapat
dibahagikan kepada empat ciri yang utama :

i. tamadun materialistik
ii. tamadun intelektual
iii. tamadun mistik
iv. tamadun berasaskan wahyu

• Namun dalam perkembangan sesebuah tamadun, terdapat tahap-tahap
peningkatannya yang boleh diukur berdasarkan dua asas utama iaitu;

a) pencapaian fizikal ; boleh dilihat dari segi penubuhan sebuah kerajaan atau
empayar yang luas melalui penggabungan beberapa pusat perbandaran yang
berdekatan, peluasan sempadan atau melalui penaklukan.

b) pencapaian intelektual ; boleh diliaht dari segi penemuan fikiran yang baru ataupun
penemuan, penyuburan dan penafsiran kembali fikiran yang lama yang membuahkan
sistem falsafah, pemikiran, sains dan teknologi.

4. FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEMUNCULAN DAN
KERUNTUHAN TAMADUN

• Secara keseluruhannya, faktor-faktor yang dilihat mendorong kepada kemunculan
sesebuah tamadun adalah seperti berikut;

1. Kelahiran sesebuah tamadun kebanyakannya disebabkan oleh
kedudukannya yang strategik yang boleh mewujudkan penempatan
masyarakat dan juga mudah untuk memperolehi sumber-sumber semulajadi
bagi menampung kehidupan masyarakatnya. Contoh; kemunculan Tamadun
China di Lembah Huang-He dan Yong Tse, Tamadun India di Lembah Ganges,
Tamadun Mesia di Lembah Nil dan Melaka di Selat Melaka.

2. Ransangan daripada keagamaan dan kerohanian kerana amalan daripada
ajaran-ajaran agama mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai
kehidupan yang tulus dan murni. Ini secara tidak langsung telah menjadikan
manusia menuju kepada kehidupan yang bertamadun. Kemunculan Tamadun
Islam umpamanya telah dipengaruhi oleh ransangan nilai-nilai murni
berdasarkan cara hidup Islam yang sempurna.

3. Penghayatan yang tinggi kepada moral dan nilai murni memandangkan
masyarakat yang menghayati nilai-nilai murni sudah pasti mendorong kepada
sifat kecintaan kepada ilmu dan nilai-nilai positif yang lain seperti kreativiti,
ketekunan, kerajinan, berdisiplin dan sebagainya. Pemimpinnya juga
mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti tidak rasuah,
berhemat, bertanggung jawab dan jujur yang seterusnya mendorong
rakyatnya berganding bahu untuk membangunkan negara. Umpamanya; Plato
dan Aristotle dalam Tamadun Yunani, kung Fu-Tze dalam Tamadun China,
Kautilya dalam Tamadun India serta al-Farabi, al-Mawardi, al-Ghazali dan Ibn
Khaldun dalam Tamadun Islam.

4. Kesengsaraan hidup. Situasi kehidupan yang dibelenggu keperitan dan
kesengsaraan menggalakan masyarakatnya bekerjasama menggembling
tenaga untuk melepaskan diri mereka daripada belenggu tersebut. Ini
akhirnya menjadikan sesebuah masyarakat itu lebih berdisiplin dan kreatif
dalam membangunkan kehidupan mereka. Umpamanya kebangkitan Jepun
seringkali dikaitkan dengan penderitaan masyarakatnya selepas kekalahan
mereka dalam Perang Dunia Kedua.

5. Interaksi antara tamadun. Sikap ingin mewujudkan saling berinteraksi
dengan tamadun-tamadun lain merupakan ransangan kepada kehidupan
bertamadun. Ini kerana sikap toleransi kepada sumbangan tamadun-tamadun
yang lain menggambarkan sikap terbuka untuk menerima nilai-nilai yang baik
daripada tamadun-tamadun tersebut dan seterusnya membantu kepada
kemunculan tamadun baru. Tamadun Islam umpamanya menerima sumber-
sumber ilmu daripada Tamadun China, India, Parsi dan sebagainya.

• Bagaimanapun, setiap tamadun dalam sejarah manusia mengalami zaman
kemerosotan masing-masing. Menurut pendapat Ibn Khaldun, kemerosotan sesebuah
tamadun adalah disebabkan oleh putaran sejarah. Pada awalnya, ia berjaya kerana
mengamalkan nilai-nilai murni tetapi selepas mencapai kejayaan, nilai-nilai tersebut
merosot kerana limpahan kemewahan dan penyelewengan.

• Tetapi ada juga sarjana yang berpendapat bahawa sesebuah tamadun merosot
bukanlah disebabkan oleh hukum sejarah. Kemerosotan boleh dielakkan sekiranya
mereka belajar dari sejarah dengan mengekalkan nilai-nilai yang baik.

• Berdasarkan kepada sejarah, sesebuah tamadun merosot disebabkan oleh faktor-
faktor berikut;

1. Wujudnya jurang perbezaan yang ketara antara yang miskin
dan kaya.

2. Berleluasanya penindasan dan kezaliman sehingga hak-hak asasi manusia
diketepikan.

3. Keruntuhan moral dan nilai dalam masyarakat terutama di
kalangan pemimpin.

4. Wujud sikap tertutup dan tidak mahu menerima perubahan terutamanya
dari segi sains dan teknologi, struktur politik, ekonomi dan sosial. Ini kerana
sikap tertutup ini menghalang kepada peningkatan daya kreativiti dan
seterusnya menyebabkan masyarakat tersebut hidup dalam kemunduran.
Tamadun Islam Uthmaniyyah misalnya, runtuh kerana sikap tertutup mereka
yang tidak mahu menerima perubahan teknologi dan sosial.
5. Berlakunya malapetaka atau bencana alam yang menyebabkan kerosakan
besar-besaran. Bagaimanapun, faktor ini adalah diluar kemampuan manusia
untuk menghalangnya daripada terjadi.

5. KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, setiap tamadun mempunyai ciri-ciri asasnya yang
utama dan ciri-ciri tersebutlah menjadi jati diri bagi sesebuah tamadun. Ada
tamadun yang dikaitkan dengan bangsa, ada tamadun yang dikaitkan dengan
agama dan ada tamadun yang dikaitkan dengan budaya. Satu hal yang
penting ialah dalam memperkatakan perkembangan sesebuah tamadun, kita
tidak dapat lari daripada membicarakan proses interaksi antara tamadun atau
peradaban. Ia merupakan satu proses yang lumrah dalam mana-mana
tamadun di dunia ini sebagaimana pendapat seorang sarjana Jepun, Nyozaken
Hasegawa;

“without contact, fusion, inheritence and transmission of various different
cultures, civilization would undergo no development.”