You are on page 1of 5

CIRI PERBEZAAN MALAYAN UNION DAN PERSEKUTUAN TANAH

MELAYU

3.0 SEJARAH MALAYAN UNION (1946) DAN PENGGUBALAN PERLEMBAGAAN


PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (1948)
Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu bermula dengan usaha awal pihak
British merancang menjadikan Negeri-negeri Melayu sebagai ‘jajahan Takluk (Koloni)
Britain’ sebaik sahaja Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia ke II, melalui rancangan
pembentukan Malayan Union.

3.1 Penubuhan Malayan Union


Pada 10 Oktober 1945 kerajaan Inggeris mengemukakan Kertas Putih untuk melaksanakan
satu sistem pentadbiran baru yang dikenali sebagai Kesatuan Malayan di Tanah Melayu. Sir
Harold Mac Michael dilantik untuk mendapatkan persetujuan raja-raja Melayu.
Bagaimanapun perancangan British sebenarnya telah dibuat seawal 1942 apabila British
menubuhkan “Unit Perancangan Tanah Melayu” di United Kingdom. Unit perancangan
tersebut dinamakan sebagai Malayan Planning Unit (MPU) dan diketuai oleh Mejar General
Ralp Hone Hone (Asnarulkhadi Abu Saman dan Jayum A.Jawan 1997: 50;
http://ms.wikipedia.org/wiki/Malayan_Union). Pada bulan Januari 1946 kerajaan Inggeris
meluluskan perlembagaan Malayan Union. Malayan Union mencadangkan penggabungan
Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan dengan
Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis;
dan Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) manakala Singapura menjadi tanah jajahan
berasingan (Ja’afar Onn 2007: 1).

Antara sebab Malayan Union diperkenalkan adalah seperti berikut (Mardiana Nordin dan
Hasnah Hussiin 2005:51-52, Zaid Ahmad et.al 2006: 50):
1. untuk memelihara kepentingan Inggeris di Tanah Melayu
2. untuk membentuk pentadbiran yang sistematik di Tanah Melayu dengan menyeragamkan
pentadbiran di bawah Malayan Union
3. untuk menjimatkan kos pentadbiran di negeri-negeri Melayu
4. untuk menyediakan penduduk Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri.
5. British menyimpan perasaan anti-Melayu kerana orang Melayu memberi kerjasama dengan
Jepun sebelum ini. Malayan Union dianggap dapat mengurang dan mengawal kuasa orang
Melayu.

3.1.1 Penentangan Terhadap Malayan Union


Penentangan yang hebat daripada orang Melayu menyebabkan Malayan Union kemudiannya
dibubarkan dan ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

3.1.2 Penubuhan UMNO


Kongres Melayu Se-Malaya yang dipengerusikan oleh Datuk Onn Ja’far telah mengadakan
mesyuarat tergempar untuk mengadakan tunjuk perasaan di seluruh bandar utama seperti di
Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Alor Star. Kongres ini juga seterusnya mengisytiharkan
penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk memelihara kepentingan
orang Melayu pada 11 Mei 1946. Kongres juga mengisytiharkan perjanjian-perjanjian Sir
Harold Mac Michael adalah tidak sah dan mendesak Malayan Union dimansuhkan.

4.0 CIRI-CIRI PERBEZAAN MALAYAN UNION 1946 DAN PERLEMBAGAAN


PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948
Terdapat perbezaan yang jelas antara Malayan Union dengan Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu. Berikut adalah ciri-ciri yang terdapat pada keduanya.

4.1 Ciri-ciri Malayan Union


Antara ciri-ciri yang dicadangkan dalam Malayan Union ialah (Mardiana Nordin dan Hasnah
Hussiin 2005:52; Asnarulkhadi Abu Saman dan Jayum A.Jawan 1997: 51; Zaid Ahmad et.al
2006: 47-48):

1. Ia terdiri daripada sembilan buah negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka disatukan di
bawah pemerintahan Gabenor British. Gabenor ini dibantu oleh Majlis Mesyuarat
Persekutuan dan Majlis Undangan Persekutuan.
2. Malayan Union diketuai oleh seorang Gabenor yang diberi kuasa penuh terhadap
perkhidmatan awam. Beliau dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan dan Majlis
Kerja.
3. Kuasa raja-raja Melayu dihapuskan dan baginda diberikan peranan sebagai penasihat
Gabenor dan Ketua Majlis Penasihat Melayu. Sultan hanya sebagai satu gelaran dan mereka
hanya bersuara dalam soal yang menyentuh agam Islam dan adat resam Melayu.
4. Kerakyatan adalah berdasarkan prinsip jus soli iaitu kerakyatan Tanah Melayu diberikan
kepada:
a. Orang asing yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di Tanah Melayu atau
Singapura selama 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942 akan diberi
kerakyatan
b. Semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu selepas penubuhan Malayan Union. Kanak-
kanak yang berumur bawah 18 tahun yang ibu bapanya warganegara turut diberi kerakyatan.
5. Kerakyatan melalui permohonan diberikan kepada golongan berikut:
a. Mereka yang bermastautin selama lima tahun daripada lapan tahun terdahulu semasa
permohonan dibuat
b. Berkelakuan baik dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu
c. Mengangkat sumpah taat setia dan berjanji untuk kekal bermastautin di Malayan Union
atau Singapura.
6. Singapura tidak dimasukkan ke dalam Malayan Union tetapi dikekalkan sebagai tanah
jajahan Inggeris dengan mempunyai Gabenor dan Majlis Mesyuarat Undangan yang
berasingan.
Kesimpulannya, cadangan pembentukkan Malayan Union ini jelas merugikan masyarakat
Melayu terutama dari segi kerakyatan melalui prinsip jus soli. Malayan Union kemudiannya
mendapat tentang hebat daripada orang Melayu dan sebahagian kecil sahaja dari orang bukan
Melayu. Antara sebab-sebab penentangan ialah (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin
2005:52-53):
a. Kehilangan kedaulatan raja-raja
b. Pemberian kewarganegaraan secara jus soli. Ia akan menjejaskan majoriti orang Melayu
yang akhirnya menjejaskan ekonomi dan politik mereka serta hak istimewa Melayu juga
terancam.
c. Malayan Union digubal tanpa meminta pandangan orang Melayu
d. Cara Sir Harold Mac Michael mendapatkan tanda tangan raja-raja Melayu tidak disukai.
Beliau dikatakan menggunakan kekasaran dan paksaan.

4.2 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948


Malayan Union kemudiannya mendapat tentangan hebat orang Melayu daripada seluruh
Tanah Melayu bermula dari Johor hingga ke utara tanah air. Respon daripada penubuhan
Malayan Union ini juga UMNO kemudiannya ditubuhkan pada 11 Mei 1946, bukan sahaja
menentang Malayan Union tetapi juga berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Namun pihak
British tetap isytiharkan Malayan Union pada 11 April 1946 namun dipulaukan oleh orang
Melayu. Melihat kepada penentangan yang hebat itu Inggeris akhirnya membubarkan
Malayan Union kerana yakin tanpa sokongan orang Melayu ia tidak akan berjaya. Malayan
Union kemudiannya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
4.2.1 Penubuhan Jawatankuasa Kerja 1946
Bulan Julai 1946 kerajaan British telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja untuk
menggubal perlembagaan baru bagi menggantikan Perlembagaan Malayan Union. Antara ciri
jawatankuasa ini ialah:
a. terdiri daripada 4 wakil raja-raja Melayu, 2 wakil UMNO dan 6 pegawai British
b. Jawatankuasa ini bertanggung jawab merangka sebuah perlembagaan baru yang boleh
diterima oleh orang Melayu
c. British menubuhkan pula Jawatankuasa Perundingan pada Disember 1947- terdiri daripada
orang Eropah, Cina dan India, tujuannya untuk dapatkan orang bukan Melayu mengenai
perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

4.2.2 Ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan


Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Februari 1948. Antara ciri-ciri Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu 1948 ialah (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin 2005: 54-55;
Zaid Ahmad et.al 2006: 50-51):

1. Sembilan buah negeri Melayu serta Pulau Pinang dan Melaka terlibat di dalam
Persekutuan. Namun Singapura kekalkan dibawah jajahan British.
2. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu akan diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan
dibantu oleh Majlis Undangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuan.
3. Majlis Mesyuarat Persekutuan akan dianggotai oleh 17 ahli iaitu 7 ahli majlis rasmi, 7 ahli
tidak rasmi dan 3 ahli ex-officio.
4. Majlis Undangan Persekutuan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi yang terdiri
daripada:
a. 14 ahli rasmi
b. 9 orang Yang Dipertua Majlis Undangan Negeri
c. 2 wakil Majlis Mesyuarat Negeri Melaka dan Pulau Pinang
d. 50 ahli tidak rasmi yang mewakili kaum-kaum asing
5. Sultan-sultan diberi semula hak dan kuasa memerintah tetapi dengan nasihat Majlis
Mesyuarat Negeri dan Majlis Undangan Negeri.
6. Syarat kewarganegaraan diketatkan iaitu seseorg pemohon mestilah lahir di Tanah Melayu
dan telah bermastautin selama 8 – 12 tahun. Seorang pemohon asing mestilah bermastautin
selama 15 tahun . Umur minimum bagi kedua-dua situasi tersebut adalah 18 tahun dan
mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang baik.
7. Orang Melayu diberi hak keistimewaan sebagai kaum bumiputera dan mempunyai
perwakilan terbesar dalam Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
8. Jawatan Menteri Besar diwujudkan untuk menggantikan jawatan residen British dan kuasa
kerajaan negeri diperluaskan meliputi kewangan, kesihatan dan kerajaan tempatan.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan 1948 ini, kedaulatan raja-raja Melayu dipertahankan


walaupun tiada lagi kuasa mutlak. Malah syarat kewarganegaraan juga diperketatkan bagi
menjaga hak keistimewaan orang Melayu. Dengan pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu
pada 1 Februari 1948 ini British kemudiannya menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerja
Persekutuan dengan tujuan memberi latihan dan pengalaman kepada rakyat tempatan kepada
sistem demokrasi dan berkerajaan sendiri. Dalam usaha merintis kemerdekaan, pilihan raya
bandaran kemudiannya dilaksanakan bagi memberi pengalaman kepada sistem dan
perjalanan pilihan raya. UMMNO, MCA dan MIC kemudiannya bergabung membentuk
Perikatan.

5.0 KEMERDEKAAN NEGARA DAN PERPADUAN MASYARAKAT

Perlembagaan Persekutuan yang terbentuk pada 1948 sebenarnya telah menjadi titik tolak
kepada perpaduan antara kaum di Malaysia. Syarat utama pihak Inggeris untuk memberi
kemerdekaan kepada Tanah Melayu ialah tiga kaum utama (Melayu, Cina dan India) mesti
menunjukkan kemuafakatan yang tinggi serta boleh bekerja sama dalam mentadbir negara.
Syarat ini telah dipenuhi oleh Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) apabila parti Perikatan
telah berjaya memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan
raya Umum yang pertama pada 1955. Ia kemudiannya merintis kepada perbincangan dua
belah pihak antara British dan Tanah Melayu (melalui Perikatan) yang dikenali sebagai
Rundingan London.

Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan 1956 seperti yang termaktub dalam Perjanjian London
telah diberi tanggung jawab untuk menggubal semula Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu 1948. Perlembagaan Persekutuan 1957 kemudiannya dipersetujui dan antara lain
menyatakan Ketua Negara adalah Yang Di Pertuan Agung yang akan dilantik dari sembilan
buah negeri, manakala Ketua Kerajaan adalah Perdana Menteri yang dilantik dari parti yang
mempunyai jumlah terbesar di Dewan Rakyat.

Sepanjang 50 tahun kemerdekaan negara, para pemimpin terdahulu hingga kini sering
menekankan pentingnya menjaga sensitiviti antara kaum dan sentiasa menghormati
permuafakatan yang telah dibuat semasa merdeka dahulu iaitu unsur-unsur tradisi dalam
perlembagaan atau kontrak sosial.

6.0 RUMUSAN

Pembentukan Malayan Union ternyata menjadi pembangkit semangat yang lebih kental serta
kesungguhan yang padu terutama di kalangan orang Melayu untuk menentang penjajah dan
akhirnya menuntut kemerdekaan. Malayan Union yang banyak merugikan orang Melayu
serta menjejaskan kedaulatan raja-raja Melayu akhirnya berjaya dibatalkan dengan
penentangan yang hebat sehingga menyebabkan British menubuhkan Persekutuan Tanah
Melayu dan membentuk perlembagaan baru yang diisytiharkan pada 1948. Menjelang
kemerdekaan 1957, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dirangka semula pada 1957
melalui Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada 1956. Melalui perbincangan dalam
Suruhanjaya Reid ini yang mengambil kira pandangan orang Melayu dan bukan Melayu yang
akhirnya permuafakatan dibentuk atau dipersetujui yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.
Melalui permuafakatan Kontrak Sosial ini, hak orang Melayu dijamin dalam Perlembagaan.
Ia berkaitan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera (dalam ekonomi dan pendidikan),
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai bahasa rasmi dan kedaulatan raja-
raja Melayu dilindungi melalui perlembagaan.

Permuafakatan inilah yang kemudiannya menjadi tulang belakang kepada hubungan antara
kaum di Malaysia dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara kaum.

Malayan Union dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah dua entiti yang sangat
ketara berbeza, berdasarkan ciri-ciri yang telah dijelaskan. Malayan Union jelas menunjukkan
usaha British untuk mengawal kuasa orang Melayu dan cuba untuk mengenepikan kedaulatan
orang Melayu yang diketahui memang suatu institusi yang sangat dihormati dan penting bagi
orang Melayu. Perpaduan yang di tunjukkan oleh orang Melayu ketika itu di bawah pimpinan
Datuk Onn Ja’afar berjaya memelihara hak Melayu. Kekuatan orang Melayu pada ketika itu
berjaya menggugat Inggeris sehingga mereka terpaksa memansuhkan Malayan Union dan
bersetuju menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan terbentuklah perlembagaannya.
Posted by Puan NHK at 1:17 PM
Labels: Isu

You might also like