Ucapan ialah kata-kata yang mengandungi isi bagi melahirkan berbagai-bagai

harapan dan perasaan kepada khalayak tertentu. Ucapan ini disampaikan dalam
upacara-upacara tertentu seperti majlis rasmi atau sambutan istimewa. Ucapan
memerlukan kemahiran dalam aspek-aspek pertuturan dan ekspresi yang berkesan.
Individu yang memberikan ucapan juga hendaklah dapat menguasai perhatian
hadirin supaya mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap perkara
yang diucapkan.
1. Berdasarkan kenyataan di atas, anda diminta untuk menyediakan sebuah
teks ucapan Pegawai Pendidikan Daerah bersempena majlis perasmian
sukan olahraga peringkat sekolah. Sediakan teks tersebut dengan membuat
rujukan yang sesuai.
Teks Ucapan

Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan.

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT
kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam
majlis yang penuh bersejarah dan amat bermakna ini. Pertamanya bagi pihak
pejabat pendidikan daerah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana
mengalu-alukan kehadiran kehadiran saya. , YDP dan AJK PIBG, ibu bapa atau
penjaga murid-murid, guru-guru dan murid-murid ke hari Sukan dan Olahraga
Tahunan Sekolah Kebangsaan Seri Dusun pada hari ini. Tahniah saya ucapkan
kepada semua yang telah bertungkus lumus sejak bulan Januari lagi bermula
dengan acara Merentas Desa, Sukan Tara , acara-acara sebelum sukan dan
kesemuanya itu memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Dalam masa yang
sama guru-guru tidak pernah melekakan kepentingan akademik.Sesungguhnya
kepentingan sukan sama utama dengan kepentingan akademik.Kepada para pelajar
tahniah saya ucapkan atas kegigihan mengambil bahagian demi semangat
berpasukan.
Sesungguhnya majlis pada hari ini merupakan acara tahunan dalam takwim
persekolahan sebagai salah satu daripada program kemuncak kecemerlangan
sekolah ini yang menjadi tradisi kita untuk menzahirkan pengiktirafan kepada anak-
anak kita yang berjaya dalam bidang sukan. Hari ini merupakan kemuncak kepada
usaha yang telah kita lakukan untuk menuai hasil yang selalu kita impikan iaitu
kecemerlangan dalam bidang sukan. Hari yang indah ini merupakan titik tolak
permulaan untuk kemajuan sukan di sekolah kita dan melahirkan atlet dalam
kalangan pelajar sendiri.
Aktiviti sukan sama ada sukan permainan atau sukan olahraga cukup penting
kepada rakyat dan negara selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang
mana satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sukan merupakan sesuatu
yang penting dalam membentuk generasi anak muda bangsa yang merupakan
pewaris nusa negara satu hari nanti. Tatkala semua pihak menumpukan perhatian
kepada pembangunan dan pembaharuan dalam system pendidikan, aspek sukan
tidak boleh dilupakan. Hal ini demikian, sukan adalah sebahagian daripada kita dan
kita perlu seimbangkan antara akademik dan sukan. Sebaiknya kita perlulah
cemerlang dari kedua-dua aspek akademik mahupun sukan kerana kedua-duanya
saling berkaitan antara satu sama lain.
Secara umumnya, sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran
atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara
pertangingan, hiburan atau untuk suka-suka bagi mengisi lapang atau untuk
beriadah. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia
dan Sukan telah berkolaborasi dan mengambil langkah penting dalam
membangunkan aspek sukan di peringkat sekolah dengan memperkenalkan dasar 1
Murid 1 Sukan. Program ini bertujuan untuk melahirkan murid yang cerdas dari segi
fizikal dan mental dan kerajaan menyedari bahawa sukan adalah arena yang
mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Banyak kejayaan
yang mampu dicapai menerusi bidang sukan dengan keazaman dan usaha yang
berterusan . Bak kata pepatah „usaha tangga kejayaan‟.
Hadirin yang dihormati,
Sukan memberi banyak nilai tambah dan faedah kepada diri kita.
Pertamanya, sukan mampu meningkatkan disiplin dalam kalangan murid-murid. Hal
ini kerana mereka yang berjaya dalam bidang sukan haruslah mempunyai disiplin
yang tinggi dan dapat mengawal diri dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Sebagai contoh, seseorang pemain haruslah menepati masa sewaktu latihan, rajin
berlatih, tidak merokok dan mendengar arahan jurulatihnya. Segala perkara ini
mampu membentuk disiplin seseorang murid tersebut.
Seterusnya salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat
membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini
lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional
dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa
mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut.
Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan
fizikal dan mental. Begitulah juga dengan para pelajar sekalian. Di sini saya ingin
tekankan kepada anak-anak pelajar bahawa kita perlulah bersukan kerana dengan
bersukan mampu menyihatkan tubuh badan dan ini amat penting untuk penumpuan
anak-anak dalam sesi pembelajaran. Kegiatan sukan merupakan langkah awal
seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti,
penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Penyakit-penyakit
seperti inilah yang seharusnya para pelajar elakkan sejak dari usia muda lagi. Guru-
guru juga perlulah bersukan bersama-sama dengan pelajar.
Saya berpendapat sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk
mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian
kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk
meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan
dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia
kerana muafakat. Hubungan guru dengan pelajar dapat dieratkan dengan wujudnya
aktiviti seperti hari ini. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah
pasukan yang kuat. Para pelajar juga dapat memupuk nilai-nilai perpaduan seperti
bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan sekolah dan pasukan
melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang
sukan. Justeru, saya yakin dengan wujudnya kegiatan sukan seperti hari sukan
sekolah amatlah baik dan dapat mendidik pelajar dan guru-guru bekerjasama dan
bersatu padu serta mengeratkan hubungan.
Sebagai Pegawai Pendidikan Daerah, saya mahu ibu bapa dan para guru
sedar bahawa penglibatan anak-anak pelajar dalam aktiviti sukan atau kokurikulum
amatlah penting dalam konteks pendidikan hari ini kerana sukan mampu
mewujudkan keseimbangan dalam pencapaian akademik mereka pada masa akan
datang. Ibu bapa mampu memberi dorongan kepada anak-anak mereka dengan
hadir ke hari sukan dan memberi sokongan penuh kepada aktiviti sekolah seperti
yang dapat dilihat hari ini. Hal ini dapat memberi semangat kepada anak-anak
pelajar untuk menunjukkan kebolehan mereka dalam bidang sukan. Ibu bapa juga
mampu menunjukkan sokongan mereka dengan menyediakan ruang dan peluang
kepada anak-anak mereka menceburi bidang sukan dan menjadikan sukan sebagai
matlamat hidup mereka. Guru-guru juga mampu mendorong anak-anak murid
dengan menjadi tulang belakang kepada kejayaan mereka. Guru mampu untuk
melatih anak-anak murid mereka untuk menguasai sesuatu sukan dan mendorong
mereka untuk mencapai tahap yang tertinggi seperti mewakili daerah atau negeri.
Akhir kalam, sukan merupakan sesuatu elemen yang penting daripada
kehidupan. Sukan juga merupakan satu industri. Dunia yang semakin mencabar ini
telah menjadikan bidang sukan sebagai satu bidang kerjaya yang amat menarik. Kita
bukan sahaja bersukan untuk menyihatkan badan tetapi jika bakat yang ada dapat
dipupuk ke peringkat yang lebih tinggi tidak mustahil pada satu hari nanti ada di
kalangan anak-anak pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Dusun akan menjadikan
bidang sukan ini sebagai satu kerjaya pilihan dan mengharumkan nama negara di
peringkat antarabangsa. Kepada ibu bapa sekali lagi saya mengharapkan tuan-tuan
dan puan-puan memberikan semangat dan sokongan kepada anak-anak untuk
bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum kerana potensi dan keterlibatan pelajar
dalam bidang kokurikulum akan membantu pelajar mencipta kecemerlangan di
bidang kurikulum.Saya dengan suka citanya merasmikan Hari Sukan dan Olahraga
Peringkat Sekolah Kebangsaan Seri Dusun bagi tahun 2013. Semoga aktiviti seperti
hari ini dapat diteruskan pada masa akan datang. „Majulah Sukan Untuk Negara‟

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful