1.

0 Pengenalan
Negara Malaysia memberikan penekanan berat terhadap pendidikan kerana percaya
bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai visi negara untuk
memperoleh status sebagai sebuah negara yang membangun dari segi pembangunan
ekonomi, sosial dan kerohanian, moral dan etika ke arah membentuk satu masyarakat yang
bersatu padu, demokratik, liberal dan dinamik . Ini juga merupakan misi pendidikan untuk
membentuk sistem pendidikan bermutu dan bertaraf dunia demi merealisasikan potensi
individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara Malaysia ( Akta Pendidikan 1996,
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2011)
Bagi mencapai matlamat yang dinyatakan, tentulah terdapat banyak isu dan cabaran
yang perlu dilalui dan ditempuhi oleh golongan pendidik. Dalam hal ini, isu serta cabaran ini
adalah perlu diambil berat dan tidak dipandang sebelah mata. Guru khususnya perlu
berdisiplin dan bermotivasi dalam menghadapi setiap cabaran . Secara terperinci, antara isu
dan cabaran yang kerap kali timbul dan dibincangkan ialah integrasi nasional,
pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan UNESCO, globalisasi dalam pendidikan,
kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi
dan juga gejala sosial.
2.0 Sinopsis
Isu yang menarik perhatian pengulas ialah globalisasi dan cabaran pendidikan di
Malaysia. Globalisasi menurut Kamus Dewan edidsi keempat (2007) ialah satu proses yang
membolehkan sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan, dsb) disebarkan atau diperluas ke
peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia, terutama dengan adanya kemudahan sistem
komunikasi, dasar terbuka dsb. Hal ini menjelaskan bagaimana proses ini memberi cabaran
kepada pendidikan di negara kita. Artikel yang menjadi pilihan pengulas ialah hasil karya
Habib Mat Som dan Megat Ahmad Kamaluddin Megat Daud di dalam Jurnal Masalah
Pendidikan, 31(1) yang bertajuk Globalisasi dan Cabaran Pendidikan di Malaysia.
Secara ringkasnya, artikel ini menyatakan beberapa isu yang berhubungkait dengan
cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pendidikan di Malaysia sebagai kesan globalisasi. Isu-
isu yang dibincangkan ialah berkaitan dengan pertamanya, pembelajaran berterusan,
kedua, inovasi dalam pelaksanaan kurikulum, ketiga, pengurusan pendidikan, keempat,
pembentukan jati diri, dan yang terakhir iaitu cabaran kelima ialah perkembangan
profesionalisme guru.
Selaras dengan perkembangan dunia pada masa kini, Malaysia yang juga
sebahagian daripada komuniti kehidupan global turut tidak lepas dari menghadapi kemelut
sosial yang sedang melanda dunia. Maklumat yang dapat diakses tanpa kawalan melalui
dunia maya mengakibatkan masyarakat memperoleh hiburan tanpa sempadan dan
menjadikan gejala negatif yang dominan di luar batasan moral masyarakat setempat sukar
ditapis.
Hal ini bermakna cabaran kehidupan dunia global dan dunia tanpa sempadan ini
akan terus memberi impak secara langsung terhadap kehidupan pelajar dalam
perkampungan global ini. Fenomena ini mencetuskan kebimbangan terhadap generasi
pelajar pada masa kini. Perkara ini telah mendorong para perancang kurikulum menyemak
kembali keberkesanan kurikulum sekolah sebagai persediaan untuk menghadapi
perubahan-perubahan akibat pengaruh globalisasi tersebut.
Trend globalisasi mencetuskan pelbagai cabaran dalam pelaksanaan pendidikan di
Malaysia sebagai tindak balas kepada keterbukaan idea mengenai keperluan pendidikan
dalam meningkatkan kualiti hidup. Antara cabaran tersebut ialah dari segi; keperluan
terhadap pembelajaran berterusan, penggunaan teknologi telekomunikasi dan maklumat,
pengurusan pendidikan, pembentukan jati diri pelajar dan kualiti guru.
Dalam cabaran pertama iaitu pembelajaran berterusan, penulis artikel ini telah
mengetengahkan perbincangan pihak UNESCO berkaitan keperluan perubahan dalam
bidang pendidikan dalam era globalisasi . UNESCO mencadangkan supaya pemikiran
digerakkan ke arah melakukan rombakan dalam cara-cara membangunkan potensi sumber
manusia melalui tata cara pendidikan secara formal dan tidak formal.
Manakala bagi cabaran kedua pula, ianya membincangkan mengenai inovasi dalam
pelaksanaan kurikulum. Perkembangan teknologi maklumat pada masa kini mengakibatkan
kecairan sempadan nasional yang telah melahirkan paradigma baru kepada semua
organisasi termasuk institusi pendidikan. Sistem pendidikan negara telah mengalami
transformasi yang radikal bermula tahun 1990-an sebagai reaksi kepada perubahan global
ini. Selain perkembangan teknologi, kurikulum negara ini juga telah disemak dan diberi nilai
tambah supaya ianya releven dan berupaya menyediakan pelajar agar mereka dapat
menyesuaikan diri dalam perubahan dunia global ini.
Cabaran ketiga pula memfokuskan keapada pengurusan pendidikan. Beberapa
inovasi telah dilaksanakan dalam pengurusan pendidikan di Malaysia terutama di peringkat
sekolah bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan pendidikan. Dengan itu,
beberapa perisian baru telah diaplikasikan yang dikenali sebagai Pengurusan Makumat
Sekolah.
Seterusnya, pembentukan jati diri dalam kalangan pelajar menjadi topik yang
dihuraikan dalam cabaran keempat. Isu-isu perlakuan negatif pelajar kini semakin
membimbangkan . Malaysia mengalami cabaran hebat dalam merealisasikan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang inginkan pelajar seimbang dan harmonis dari segi intelek,
jasmani, rohani dan emosi. Hal ini diakibatkan oleh kebanjiran pengaruh budaya kuning
daripada luar yang meracuni pemikiran golongan pelajar pada masa kini. Bagi meletakkan
pelajar di atas landasan moral yang betul, beberapa aspek perlu diteliti. Aspek-aspek berikut
ialah keperibadian guru, budaya sekolah dan aktiviti kurikulum.
Terakhirnya, cabaran kelima menekankan perkembangan profesionalisme guru.
Bahagian ini membincangkan ciri-ciri yang perlu dimiliki guru bagi memastikan
perkembangan pendidikan dapat dilaksanakan dengan berkesan di sekolah.
3.0 Ulasan Kritis
Globalisasi merujuk kepada proses penyingkiran batasan atau sekatan kerajaan mengenai
pergerakan antara negara supaya mewujudkan suatu ekonomi dunia yang terbuka tanpa
sempadan. (Scholte, 2000:16). Maksud yang lebih jelas ialah globalisasi menuntut semua
negara dan masyarakat berada pada satu taraf yang sama tanpa mengira bangsa, agama
status dan latar belakang bagi membolehkan mereka bersaing secara adil dalam semua
bidang.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) berhasrat untuk mencapai lima
keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaaan sistem pendidikan Malaysia
secara keseluruhan iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan (Ekshibit 7).
Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang disuarakan oleh
peserta Dialog Nasional Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan berprestasi tinggi juga
menetapkan teras yang sama yang perlu dicapai. Tindakan bagi merealisasikan lima teras
berkenaan adalah penting, dan tidak ada inisiatif dalam teras berkenaan yang boleh
dilaksanakan secara berasingan, malah perlu disepadukan dan digerakkan secara bersama.
(Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, 2012)
Salah satu inspirasi dalam PPPM ialah kualiti. Kualiti seperti yang dinyatakan dalam
PPPM ialah semua kanak-kanak akan berpeluang mendapatkan pendidikan cemerlang
berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia dan setanding dengan sistem
pendidikan antarabangsa. Sistem pendidikan di Malaysia menetapkan aspirasi untuk
meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa
mengikut pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang (TIMSS
dan PISA menguji Bacaan, Matematik dan Sains sahaja). Pentaksiran tambahan yang
menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan
apabila dimensi itu diterima di peringkat antarabangsa. (Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025, 2012)
Dalam artikel yang dikaji, pengulas mendapati aspirasi ini merupakan perkara yang
paling banyak disentuh oleh penulis artikel ini. Perkembangan dunia global masa kini
memerlukan pelajar bersaing dalam menyesuaikan diri dan menghadapi cabaran yang
pelbagai. Oleh itu, amat penting bagi negara ini mempertingkat kualiti pendidikan di
Malaysia bagi memboleh pelajar bersiap sedia menempuhi cabaran terkini. Seperti yang
telah dinyatakan di dalam artikel, telah banyak usaha-usaha yang dilakukan bagi
memastikan pelajar mendapat pendidikan yang bersesuaian. Tambahan pula, sistem
pendidikan Malaysia telahpun mengalami transformasi bermula tahun 90-an. Perubahan
kurikulum terutama dari segi strategi pelaksaan pengajaran dan pembelajaran telah
diperkenalkan seperti penubuhan Sekolah Bestari, Projek Sekolah Net, Projek Smart Lab
dan Projek Sekolah Vista.
Kesemua projek ini adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan dengan
menggunakan medium teknologi maklumat. Hal ini bagi mempersiapkan pelajar dengan
perkembangan teknologi semasa bagi membolehkan mereka setaraf dengan pelajar-pelajar
dari negara maju yang lain. Projek Sekolah Vista contohnya merupakan satu perisian
aplikasi bagi pengurusan bilik darjah untuk pengajaran dan pembelajaran. Ini bagi
membolehkan guru menguruskan bilik darjah dengan berkesan dan memberi peluang
kepada pelajar untuk berkomunikasi secara elektronik dengan rakan dan guru.
Dalam artikel hasil tulisan Abdul Said Ambotang , beliau menyatakan industri
pendidikan negara juga berhadapan dengan cabaran dalam menguruskan pendidikan di
sekolah. Seiring dengan era digital yang semakin menular, negara telah melancarkan
Sekolah Bestari. Pengurusan pendidikan juga telah mengalami transformasi yang agak
radikal dalam perkembangan dunia global terutama dari segi penggunaan teknologi
telekomunikasi dan perkomputeran. Pengurusan sekolah lebih tertumpu kepada aspek
teknologi dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini telah mendorong
pihak sekolah untuk menyediakan kemudahan ICT yang mencukupi dan mempunyai
pelbagai capaian seperti internet, kamera digital, pengimbas dan aplikasi Microsoft Office.
Kemudahan ini secara tidak langsung memudahkan guru dan pelajar untuk belajar membina
carta, melakukan persembahan multimedia, menyiapkan lembaran kerja, menyisipkan data
dan sebagainya. Namun demikian, perlu disedari program pembestarian sekolah
memerlukan guru yang profesional, bersahsiah baik, bermotivasi, kreatif dan inovatif,
menguasai kaedah pengajaran dan berkemahiran dalam bidang ICT untuk mencapai
matlamat penubuhan sekolah bestari.
Pada masa yang sama, kurikulum di Malaysia juga turut menekankan penggunaan
Bahasa Inggeris. Hal ini adalah bagi memudahkan pelajar menghadapi persekitaran global
terutama berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi di mana bahasa Inggeris
adalah penting untuk dikuasai bagi mengakses maklumat dan ilmu dalam kedua-dua bidang
tersebut. Bahasa-bahasa antarabangsa lain yang turut diperkenalkan adalah seperti
bahasa Arab, Perancis, Jepun, Jerman dan lain-lain diperkenalkan bertujuan untuk
menjadikan pelajar sebagai “global player”.
Perkara ini adalah selari dengan yang ditulis oleh Noriati A. Rashid, di dalam
bukunya, Guru dan Cabaran Semasa yang menyatakan bahawa kemahiran berbahasa
dalam pelbagai bahasa dapat mengatasi batasan untuk berkhidmat di mana-mana pelosok
dunia.
Pengulas turut tertarik dengan cabaran pertama yang diperkatakan oleh penulis
artikel berkenaan. Cabaran tersebut ialah keperluan pembelajaran berterusan. UNESCO
telah mencadangkan untuk memperbanyakkan institusi latihan dan pendidikan bagi orang
dewasa yang sudah mempunyai kerjaya untuk membangun dan mengembangkan potensi
sumber manusia bagi membolehkannya member sumbangan lebih bermakna kepada
pembangunan negara dan juga perkembangan individu sendiri. (Hussien Ahmad, 2001)
PPPM manyatakan di dalam aspirasinya, akses, bahawa setiap kanak-kanak di
Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka
mencapai potensi masing-masing. Kementerian perlu memastikan kadar akses sejagat
dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas
(Tingkatan 5) menjelang tahun 2020.
Perkara ini boleh dipanjangkan kepada masyarakat negara ini yang lebih berusia
bagi memastikan mereka turut sama memperoleh kesamarataan dalam memperoleh
peluang melanjutkan pelajaran. Pada pendapat pengulas, hal ini sebenarnya turut
menguntungkan negara kerana masyarakat dapat mempersiapkan diri dengan ilmu dan
kemahiran yang perlu dikuasai bagi menghasilkan produk berkualiti sesuai dengan peraliran
semasa yang mana menuntut kecekapan dan kesiap siagaan yang tinggi dalam berhadapan
dengan pelbagai kemungkinan era globalisasi kini.
Seterusnya, PPPM turut meletakkan kecekapan sebagai satu inspiranya. Sistem
pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun peningkatan
keberhasilan murid masih tidak setanding dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam
sistem. Walaupun Kerajaan akan terus mengekalkan tahap pelaburan masa kini,
Kementerian berhasrat untuk memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap
peruntukan semasa. (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, 2012)
Bagi mempertingkatkan kecekapan murid dalam menguasai ilmu, guru terlebih
dahulu perlulah mempersiapkan diri mereka. Pengulas merasakan hal ini adalah berkaitan
dengan perkembangan profesionalisme guru. Satu perbahasan relevan tentang globalisasi
ialah pengkajian mengenai kesan globalisasi terhadap perkembangan profesionalisme
keguruan. Usaha yang dilihat menerusi cabaran globalisasi dalam perkembangan
profesionalisme keguruan ialah dapat meningkatkan kualiti guru sama ada dari segi
kelayakan akademik, kepakaran dalam pengajaran, kualiti professional dan kualiti personal
atau kepimpinan guru dalam organisasi sekolah dan masyarakat, meluaskan pengetahuan
guru bersifat global, kemahiran ICT dan interaksi global membolehkan guru meluaskan
konsep pembelajaran mengatasi halangan bilik darjah dan birokrasi sekolah, meluaskan
peluang kepada guru perkhidmatan dan guru-guru dalam latihan dari segi pendidikan guru
dan peningkatan taraf profesionalisme dan sebagainya.
Pada masa yang sama, ianya adalah perlu untuk meluaskan peluang kepada guru
dalam perkhidmatan dan guru dalam latihan dari aspek pendidikan guru dan peningkatan
taraf profesionalisme. Ini dilihat menerusi adanya peluang melanjutkan pelajaran dalam
bidang-bidang yang ditawarkan bagi memantapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam
sesuatu tempoh yang telah ditetapkan mampu meningkatkan lagi taraf profesionalisme
keguruan.
4.0 Penutup
Kesimpulannya, artikel ini telah membincangkan secara mendalam berkaitan cabaran yang
dihadapi akibat daripada globalisasi sejagat. Adalah penting bagi negara ini menyahut
cabaran yang diasak dari seluruh pelusuk dunia dan terus bergerak selari dengan negara-
negara lain bagi memastikan penduduk negara ini berada pada landasan yang sama.
Oleh itu,satu perancangan yang lebih baik boleh dilakukan dengan mengkaji krisis
pendidikan global yang mana ianya mendedahkan guru dengan pengetahuan yang berlaku
di negara-negara lain. Kebanyakan negara membangun mengalami kesan negatif
globalisasi bagi membangun dan memajukan bidang pendidikan.
Aspirasi-aspirasi yang telah dinyatakan oleh PPPM ini mampu meningkatkan tahap
pendidikan Malaysia dan merintangi cabaran globalisasi ini sekiranya semua masyarakat
melibatkan diri dalam mencapai hasrat-hasrat tersebut. Masyarakat haruslah melihat jauh ke
hadapan dengan pandangan paradigma yang baru agar lonjakan pendidikan negara terus
bergerak maju.