You are on page 1of 7

Soalan :

Kekuatan sesuatu masyarakat dan negara pada umumnya banyak bergantung kepada
perubahan nilai yang berlaku. Angin perubahan yang berlaku dalam konteks global dan
dalam konteks negara Malaysia boleh menghakis nilai-nilai yang perlu dipertahankan dan
juga memerlukan masyarakat mengadaptasikan nilai-nilai baru dalam menangani cabaran
dan tuntutan perubahan.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan pernyataan ini? Mengapa?

Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara di Asia Tenggara yang mengalami proses
permodenan dan pembangunan yang amat pesat. Proses ini dipesatkan lagi dengan
percambahan pengetahuan dunia baru yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan baik
dari segi jasmani, rohani dan intelek. Anjakan perubahan yang membawa Malaysia daripada
sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian seterusnya sebagai sebuah negara
ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge-based economy). Hal ini menyediakan lebih
banyak peluang bagi masyarakat dari negara asing untuk ke Malaysia bagi tujuan
pembelajaran, pelaburan, hiburan dan pelbagai lagi. Ini secara tidak langsung telah
membawa masuk pelbagai budaya asing serta nilai-nilai baru ke dalam masyarakat
Malaysia seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dari aspek
kebudayaan. Walaupun begitu, ada di antara budaya dan nilai-nilai yang dibawa masuk
adalah tidak sesuai dan amat bertentangan dengan adat resam masyarakat Malaysia. Ini
menimbulkan persoalan samada perubahan yang dialami ini memerlukan masyarakat
Malaysia untuk mengadaptasikan budaya serta nilai-nilai asing ke dalam kehidupan
seharian mereka.

Adaptasi Perubahan Nilai Untuk Kesejahteraan Masyarakat dan Negara
Pada pendapat penulis, penulis amat bersetuju bahawa masyarakat Malaysia perlu
mengadaptasikan nilai-nilai baru dalam menangani cabaran dan tuntutan perubahan masa
kini. Ini adalah penting kemajuan dan kejayaan sesuatu negara amat bergantung kepada
keberkesanan masyarakatnya untuk menerima dan mengasimilasikan nilai-nilai baru yang
saban hari kian berkembang. Hal ini dirumitkan lagi dengan desakan globalisasi serta
tuntutan dari masyarakat antarabangsa supaya perubahan demi perubahan dilaksanakan
atas dasar kemajuan dan hak samarata. Oleh itu, penulis akan cuba untuk merungkai
persoalan ini dengan mengutarakan beberapa dimensi perbincangan.
Pertamanya, Malaysia, sebagai sebuah kuasa besar di rantau Asia Tenggara, perlu
sentiasa bersedia untuk menerima perubahan bagi menghadapi cabaran di peringkat global.
Tanpa persediaan yang baik, sebarang perubahan dan penambahbaikan tidak dapat
diasimilasikan dengan sempurna ke dalam sistem negara seterusnya akan menggagalkan
hasrat Malaysia untuk terus gah di peringkat global (Zurina dan Sino 2007). Antara
perubahan yang dimaksudkan adalah penggunaan Bahasa Inggerus bagi meningkatkan lagi
pemahaman dan keupayaan masyarakat Malaysia, amnya, untuk menguasai ilmu
pengetahuan dengan lebih global. Antara contohnya adalah pengenalan polisi Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang pernah
diperkenalkan pada tahun 2003 sebelum dimansuhkan semula pada tahun 2012. Walaupun
PPSMI berjaya memperolehi sebilangan besar penyokong, namun ia tidak mendapat
sambutan yang begitu menggalakkan daripada kumpulan majoriti rakyat Malaysia.
Antara sebab utamanya adalah PPSMI dilihat seolah-olah mengabaikan kedudukan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan Malaysia, Perkara 152. Ia juga dilihat sebagai mencemarkan budaya bangsa
Melayu yang begitu sinonim dengan bangsa majoriti di Malaysia. Selain itu, ia juga dianggap
oleh sebilangan besar masyarakat Melayu, khususnya, sebagai suatu bentuk
neoimperialism iaitu penjajahan bentuk baru oleh pihak luar yang kononnya berusaha untuk
menjatuhkan bangsa Malaysia. Namun begitu, pada hakikatnya, polisi PPSMI yang
merupakan implementasi buah fikiran oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan untuk
memacu Malaysia ke hadapan seterusnya berdepan dengan cabaran globalisasi dengan
lebih kompetetif sepertimana yang dilaksanakan di India dan Singapura. Disebabkan
serangan dan tentangan yang hebat terhadap polisi PPSMI, maka perlaksanaannya
terpaksa dihentikan. Sekiranya program ini mampu diteruskan untuk jangka masa yang lebih
lama, mungkin lebih banyak pembaharuan pemikiran dan pendekatan pembelajaran dapat
dilihat seterusnya membuktikan bahawa pendekatan PPSMI adalah mungkin lebih baik.
Di samping itu, kekuatan sesuatu tamadun dan peradaban amat bergantung kepada
kesediaan mereka untuk mengadaptasi budaya luar ke dalam kehidupan masyarakat
tempatan. Apabila sesuatu tamadun itu gagal menyediakan ruang yang secukupnya untuk
proses asimilasi yang sihat, maka salah satu budaya tersebut akan terhapus dan memberi
lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Oleh itu, bagi mengelakkan kemudharatan
yang lebih teruk, salah satu pihak ataupun kedua-duanya prlu bersedia untuk menerima
budaya dari pihak yang lain ke dalam masyarakat mereka. Sebagai contohnya, di awal
kedatangan pihak British ke Tanah Melayu sekitar tahun 1800, kaum Cina dan India turut
dibawa masuk bagi usaha untuk meningkatkan lagi produktiviti ekonomi pada waktu itu.
Penghijrahan kaum Cina dan India ke Tanah melayu pada zaman itu turut membawa masuk
adat dan tradisi mereka yang tersendiri yang sememangnya berbeza dengan adat resam
masyarakat Melayu yang amat dipengaruhi oleh ajaran Islam. Kemudian, sekitar tahun
1950-an yang menyaksikan proses kemerdekaan Tanah Melayu yang diketuai oleh Tunku
Abdul Rahman, salah satu syarat yang diletakkan oleh pihak British adalah supaya bangsa
Cina dan India diberikan taraf kewarganegaraan yang sah dalam Persekutuan Tanah
Melayu. Hal ini turut dipersetujui oleh wakil-wakil bangsa Melayu melalui kontrak sosial dan
seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian
budaya.
Hal ini hanya dapat dilaksanakan apabila bangsa Melayu pada ketika itu bersedia
untuk menerima dan mengadaptasikan nilai-nilai baru dengan lebih terbuka (Mohd Yusof
1991). Andai kata bangsa Melayu tidak menerima syarat tersebut, tidak mustahil Malaysia
masih berada di bawah jajahan British seterusnya membantutkan usaha untuk
membangunkan serta memajukan negara ini. Ini terbukti dengan peristiwa hitam 13 Mei
1969 yang berlaku akibat daripada persalahfahaman yang wujud di antara bangsa Melayu
dan Cina yang berpunca daripada isu perkauman yang diapi-apikan oleh pihak-pihak
tertentu (Ongkili 1985). Perkara ini sudah tentu dapat dielakkan sekiranya mereka lebih
bertoleransi akan perbezaan budaya yang wujud dan menghiraukan api provokasi yang
dilaga-lagakan semasa kempen pilihanraya sekitar tahun 1969. Ini hanya akan berjaya
dilakukan sekiranya mereka bersedia untuk mengasimilasi budaya yang berbeza ke dalam
kehidupan seharian mereka tanpa berpandangan prejudis (Sen 2007).
Seterusnya, angin perubahan yang berlaku di peringkat global dan tempatan
mungkin membawa nilai-nilai positif dan tidak seharusnya didiskriminasikan sebagai
keburukan semata-mata. Keadaan berat sebelah ini dapat dilihat dengan lebih ketara
apabila nilai-nilai baru ini didakwa sebagai nilai yang berpaksikan unsur kebaratan. Ini
merupakan satu tanggapan yang salah kerana pada hakikatnya, tidak semua nilai-nilai
kebaratan itu adalah negatif (Edwards 2009). Sebaliknya, nilai-nilai ini haruslah dilihat
dengan perspektif yang lebih neutral bagi mengelakkan sebarang tanggapan yang berat
sebelah yang seterusnya menutup sebarang peluang asimilasi dan adaptasi budaya serta
nilai yang lebih besar. Sebagai contohnya, masyarakat Malaysia yang penuh dengan adab
ketimuran amat mementingkan nilai kehormatan antara satu sama lain. Hal ini dapat dilihat
melalui panggilan hormat yang diberikan melalui hubungan yang wujud antara golongan
muda dengan mereka yang lebih berumur seperti nenek, ayah, ibu atau along. Perkara yang
sama turut dapat dilihat dengan ketara melalui hubungan di antara kumpulan sokongan
dengan golongan elit atau pemerintah.
Antara nilai-nilai Barat yang harus disokong adalah idea berkenaan hak samarata
antara insan yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan yang fundamental
sepertimana yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Sejagat Bangsa-bangsa Bersatu
(UDHR), Semua insan dilahirkan bebas dan samarata dari segi kehormatan dan hak. Hal
ini meliputi semua insan tanpa mengira perbezaan bangsa, warna kulit, jantina dan
keupayaan. Hakikat yang menyedihkan apabila suatu ketika dahulu, sebilangan besar
masyarakat Malaysia gagal untuk menyediakan peluang yang adil kepada golongan orang
kelainan upaya (OKU). Namun demikian, dengan pendedahan yang dijalankan baik di
peringkat global mahupun tempatan, masyarakat Malaysia kini menerima masyarakat OKU
dengan hati yang lebih terbuka. Ini dibuktikan dengan kewujudan prasarana yang khusus
untuk mereka.
Selain itu, hak kebebasan bersuara, yang berasal dari interpretasi budaya Barat
melalui Englands Bill of Rights 1689, juga merupakan salah satu nilai asing yang kini
diterima seterusnya membuktikan bahawa proses pengadaptasian nilai-nilai baru adalah
penting bagi menangani cabaran dan tuntutan perubahan. Pada awal pengenalan hak
kebebasan bersuara di negara-negara Asia, ia mendapat tentangan yang hebat kerana
didakwa melawan norma-norma yang sudah sebati dengan masyarakat Asia. Ini kerana
adab-adab ketimuran mengajar masyarakatnya untuk menghormati golongan elit yang
mempunyai pangkat dan kuasa seperti kumpulan pemerintah dan korporat. Oleh itu,
menurut kebiasaan masyarakat Timur, sebarang tindakan yang menjurus kepada konflik
dengan golongan elit dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan dan ini menyebabkan
kumpulan sokongan tidak mendapat hak yang sewajarnya (Shaharuddin 1988; Che Ibrahim
2008). Namun begitu, dengan pengenalan hak kebebasan bersuara, lebih banyak peluang
untuk pembaharuan dan penambahbaikan dapat disediakan oleh golongan elit menerusi
perkongsian maklumat, pendapat serta maklum balas yang lebih telus.

Kesimpulan
Oleh itu, sesuatu masyarakat dan negara itu perlulah bersikap lebih terbuka dan
mengurangkan rasa prejudis terhadap sebarang perubahan nilai yang berlaku. Ini adalah
penting kerana di zaman yang serba canggih ini, proses pemindahan maklumat berlaku
dengan sangat cepat dan pesat. Secara tidak langsung, keadaan ini memerlukan
masyarakat untuk sentiasa bersedia bagi menghadapi cabaran yang kian mencabar
terutamanya dari aspek intelektual. Sebagai contohnya, di saat masyarakat Malaysia masih
tercari-cari identiti sendiri, masyarakat luar sudah membina sebuah sistem kerajaan yang
lebih stabil dengan identiti mereka yang istimewa. Bagi mengelakkan masyarakat Malaysia
untuk lebih ketinggalan, kita harus bersedia untuk menerima sebarang perbezaan nilai-nilai
asing yang bersifat global walaupun mungkin berbeza dengan budaya tempatan
(Muhammad Afifi 2013).


Rujukan
Che Ibrahim Salleh. (2008). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Serdang: Universiti Putra
Malaysia.
Edwards, M. (2009). Civil Society. Cambridge: Polity.
Mohd. Yusof Hassan. (1991). Dunia Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Afifi Abdul Razak. (2013). Peranan Antarabangsa Malaysia Kian Mencabar.
Utusan Online. Diambil daripada www.utusan.com.my.
Ongkili, J. P. (1985). Nation-building in Malaysia 1946-1974. Singapore: Oxford University
Press.
Sen, A. (2007). Identity and Violence: The Illusion of Destiny (Issues of Our Time). New
York: W. W. Norton & Company.
Shaharuddin bin Maaruf. (1988). Malay Ideas on Development: From Feudal Lord to
Capitalist. New York: Times Books International.
Zurina Mahadi dan Sino, H. (2007). Hubungan Nilai Masyarakat dan Pembangunan: Satu
Analisa. Jurnal Pengajian Umum Bil. 8, 77-94.

You might also like