You are on page 1of 3

Penulisan Reflektif

Sejauh Mana Penggunaan Teknologi Mampu Meningkatkan Keberkesanan Proses


Pengajaran Dan Pembelajaran
Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) telah memberikan
banyak impak positif kepada pelbagai bidang perindustrian termasuklah dunia pendidikan.
Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menjadikan penggunaan pelbagai bahan
bantu mengajar seperti komputer riba, cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan
pembelajaran dan pelbagai bahan bantu mengajar sama ada berbentuk peralatan mahupun
perisian bagi membantu merangsang kecenderungan murid terhadap sesuatu topik
pembelajaran. Terdapat beberapa kajian membuktikan bahawa penggunaan teknologi mampu
meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat menjadikan
lebih menarik dan berkesan. Pengaplikasian alat seperti powerpoint, flash, video, visual dan
audio dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif. Secara semulajadinya, kanak-
kanak minat terhadap teknologi khususnya bahan-bahan yang bergerak. Oleh itu, murid-murid
akan menumpukan perhatian sepanjang sesi pengajaran berlangsung jika guru bijak memilih
dan mengaplikasikan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru
perlu mengambil kira pengetahuan sedia ada murid sebelum memilih bahan bantu mengajar
supaya pelajar dapat mengadaptasikan isi pelajaran dengan berkesan.
Dalam kajian yang dilakukan oleh Baharudin (2005), mendapati bahawa penggunaan
teknologi dalam bilik darjah harus diberi keutamaan bagi menghasilkan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Penggunaan alat berteknologi seperti komputer dalam proses
pengajaran dan pembelajaran adalah alternatif yang produktif dalam proses perpindahan
maklumat dan kemahiran. Selain itu, akses guru dan pelajar dapat ditingkatkan melalui
penggunaan komputer. Hal ini kerana penggunaan teknologi dapat meningkatkan penyerapan
maklumat kerana ia melibatkan media grafik bergambar, video dan sistem pemprosesan
maklumat yang pantas dan teratur. Kelebihan ini dapat mengurangkan had masa dan ruang.
Dengan ini, guru dapat memastikan murid-murid mencapai objektif pengajaran yang ditetapkan.
Sementelahan itu, penggunaan teknologi mampu mempelbagaikan penyampaian dan
pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia di samping bahan
pengajaran yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan
menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu
mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan internet dapat
menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan murid-murid untuk meneroka, mencari
bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui portal-portal pendidikan yang
disediakan sama ada portal tempatan atau luar, guru dan murid-murid dapat memanfaatkan
sebaik mungkin.
Penggunaan teknologi sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam
perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru boleh mengambil peluang daripada keupayaan ini
untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini digunakan untuk
membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan
berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio, video
dan animasi. Teknologi multimedia dan juga internet menyediakan satu kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang berlainan daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional. Melalui
penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran, murid-murid dapat
menguasai isi pelajaran mengikut kaedah pembelajaran yang mereka minati dan gemari.
Bukan itu sahaja, penggunaan teknologi membolehkan murid mencuba atau melaksana
eksperimen yang sukar, terlalu mahal, mustahil atau bahaya untuk dilaksanakan dengan cara
biasa serta juga dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi mereka. Murid-murid dapat
merangsang kreativiti dan pemikiran melalui pendekatan teknologi maklumat dan komunikasi.
Pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan dunia Sains dan teknologi diterapkan ke dalam
mata pelajaran di peringkat tadika dan prasekolah. Hal ini dilakukan supaya dapat menjana idea
baru mengikut kreativiti dan tahap pemikiran kanak-kanak.
Di samping itu, penggunaan teknologi boleh digunakan untuk pengayaan bagi murid
yang agak cerdik berbanding dengan rakan-rakan lain supaya mereka tidak berasa bosan dalam
kelas dengan memberikan mereka aktiviti yang lebih mencabar minda. Guru perlu memahami
bahawa tidak semua murid memiliki tahap kecerdasan atau keupayaan yang sama dalam
sesebuah bilik darjah. Oleh itu, guru harus merancang aktiviti pengajaran dengan mengambil
kira setiap murid dalam bilik darjah supaya semua murid mencapai objektif pengajaran yang
ditetapkan. Contohnya, murid cemerlang perlu diberi aktiviti yang mencabar agar mereka tidak
berasa bosan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti yang mencabar boleh
dilaksanakan dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh itu, murid-murid
cerdik menumpukan perhatian dan perasaan ingin tahu dalam diri murid tersebut dapat
diwujudkan sepanjang sesi pengajaran berlangsung.
Kesimpulannya, kemajuan dan perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi
maklumat perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan masyarakat dan generasi yang
berilmu pengetahuan dan bijak dalam mentadbir negara pada masa akan datang. Walaupun
ada pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi pada
peringkat awal adalah kurang perlu ekoran daripada ketidaksediaan para pelajar menerimanya,
namun pandangan seperti ini perlu diperbetulkan agar semua pihak sama ada ibu bapa,
penjaga, guru dan masyarakat secara keseluruhannya perlu melihat kepentingan penguasaan
kemahiran ini pada masa akan datang.

You might also like