You are on page 1of 15

1

PENDAHULUAN
Negara kita Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang sedang pesat
membangun. Kejayaannya bukan sekadar menangani isu-isu tempatan, bahkan ia turut terlibat
dalam menangani permasalahan yang menimpa dan dialami oleh masyarakat antarabangsa.
Malaysia turut dikenali sebagai sebuah Negara Islam yang unik. Penduduknya berbilang
bangsa dan kaum serta mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang berbeza. Majoriti
terbesar warganya terdiri dari kaum Melayu beragama Islam. Bumi Malaysia adalah tanah asal
tempat tumpah darah mereka.
Dahulu, negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Tanah Melayu mendapat kemerdekaan
pada tahun 1957. Pada tahun 1966, namanya ditukar kepada Malaysia. Beberapa jenis flora
dan fauna di bumi subur beriklim tropika ini sukar ditemui di tempat lain. Hasil komoditinya
menjadi idaman banyak pihak. Malaysia terkenal sebagai negara pengeluar bahan-bahan
mentah yang bernilai tinggi. Kedudukannya juga sangat strategik dalam lingkaran laluan
dagangan antarabangsa.
Walaupun rakyatnya berbilang etnik dan bangsa, tetapi mereka dapat hidup rukun dan damai,
tidak seperti penduduk di negara-negara lain yang tidak sunyi dengan perbalahan, pertikaian
dan permusuhan sedangkan mereka terdiri dari bangsa, keturunan dan kepercayaan yang
sama.
Kehidupan rakyat negara ini pernah diuji. Keharmonian hidup mereka tidak bertahan lama
kerana dicemburui banyak pihak. Beberapa kawasannya telah diserang dan dijajah oleh
pelbagai kuasa seperti Portugis, Belanda, Siam, Jepun, dan Inggeris. Segala bentuk, rupa dan
rasa keperitan dan kesukaran telah dilalui oleh ramai pemastautin tempatan apabila mereka
cuba menentang penjajahan asing demi memelihara tanah air tercinta. Begitu juga semasa
mereka berada di bawah cengkaman kuasa asing.
Banyak usaha dilakukan untuk mengembalikan semula kehidupan tanpa tekanan pihak luar
yang rakus kuasa dan benda lantaran tamak haloba untuk mengaut kekayaan dan mengikis
hasil negara. Beberapa kemudahan disediakan oleh kuasa asing yang kononnya untuk
membangunkan negara agar boleh dinikmati oleh anak-anak pribumi, tetapi sebenarnya
hanyalah helah penjajah. Penjajah sanggup membawa biji-biji benih pokok getah untuk ditanam
di sini kerana buminya subur dan sesuai. Pelbagai alat dan kelengkapan canggih ketika itu
dibawa masuk untuk memudahkan kerja-kerja mencari dan menggali khazanah galian seperti
bijih timah, besi, arang batu, emas dan sebagainya. Mereka meredah segala ceruk negara
untuk mencari dan mengaut kekayaan yang sangat tinggi nilainya. Mereka membina lingkaran
pengangkutan darat, laut dan udara untuk memindah dan memunggah kekayaan perut negara
ini ke tempat mereka. Kilang-kilang dibina untuk mengumpul, memproses, memilih dan
membawa keluar hasil komoditi terbaik, sementara yang tinggal hanyalah sisa-sisanya sahaja.
Mereka membawa masuk buruh-buruh asing dari pelbagai negara terutama dari China dan
India untuk mendapatkan hasil dengan lebih cepat tanpa mementingkan bermacam masalah
yang akan memberi kesan kepada kehidupan, perpaduan dan keharmonian penduduk
tempatan.
Semangat untuk mendapatkan kemerdekaan tidak luntur dalam jiwa bangsa Melayu walaupun
terpaksa menghadapi rintangan pihak penjajah dan orang tempatan sendiri. Orang-orang
Melayu yang dipimpin oleh Yang Mulia Tunku Abd. Rahman Putra Al Haj tidak jemu-jemu
mencari jalan terbaik dan rela bekerjasama dengan kaum-kaum lain untuk mencapai

2

kemerdekaan. Hasilnya pada tanggal 31 Ogos 1957, Bapa Kemerdekaan kita telah
melaungkan kalimah keramat MERDEKA dan diulang suara oleh rakyat dari pelbagai bangsa
dan keturunan dengan penuh kesyukuran. Bendera Union Jack diturunkan dan berkibar
megah Jalur Gemilang kemegahan rakyat jelata. Tanah Melayu mula diiktiraf sebagai sebuah
negara yang merdeka dan mempunyai sistem pemerintahan dan perlembagaannya yang
tersendiri.
Banyak perkara telah difikir dan pelbagai usaha dilaksanakan untuk mengisi kemerdekaan dan
memajukan bumi tercinta setelah sekian lama ditadbir oleh penjajah. Bermacam-macam
rintangan dan gerakan untuk menggugat keharmonian, keamanan dan perpaduan antara kaum
dapat ditangani oleh barisan pimpinan negara. Namun begitu terjadi beberapa peristiwa yang
tidak diingini kerana masih ada niat dan usaha jahat pihak tertentu yang enggan memberi
kerjasama untuk membendungnya. Jesteru, maka perpaduan kaum dan integrasi nasional
adalah isu dan agenda utama pemimpin dan seluruh warga negara Malaysia.
DEFINISI:
Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara
sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama
secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh
masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan
banggakan negara.
Integrasi dirujuk kepada proses penyatuan masyarakat berbilang kaum, daerah dan wilayah
tempat tinggal, budaya, adat resam, cara hidup, latar belakang, kepercayaan dan pegangan
agama yang berlainan untuk menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan nilai murni
masyarakat sejagat demi mencapai tujuan dan kepentingan bersama secara adil dan saksama.
MASALAH PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL.
Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu
perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020
yang berbunyi Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat
yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum,
berasaskan persamaan hak dan keadilan
Cabaran ini berkait dengan cabaran ke lima yang berbunyi Mewujudkan masyarakat liberal dan
bertolak ansur dengan rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan
kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka
kepada negara. Cabaran ini berkait pula dengan cabaran ke tujuh iaitu untuk Mewujudkan
masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang iaitu sistem sosial yang lebih mementingkan
masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada individu tertentu
sahaja.
HALANGAN DAN KESUKARAN UNTUK PERPADUAN DAN INTEGRASI.
Terdapat beberapa faktor sejarah yang menyulitkan proses pencapaian perpaduan di Malaysia.
Di antaranya ialah;

3

Agama dan kebudayaan: Setiap kumpulan etnik mempunyai agama dan kebudayaan
yang berlainan. Setiap kaum pula mempunyai adat resam, bahasa, kesenian, budaya
dan sistem nilai yang berbeza. Masing-masing kurang mengenali dan memahami dan
seringkali menganggap mereka sahaja yang terbaik. Sikap ini menguatkan perasaan
buruk sangka yang menghalang pergaulan baik antara pelbagai kaum.
Dasar Penjajah British: Penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang
menjarakkan kumpulan-kumpulan etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka
sendiri.. Penjajah sengaja menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum
yang tertentu. Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka
negatif yang kukuh antara rakyat tempatan yang berbilang etnik.
Sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan: Laporan Razak
menyebut bahawa tiada satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu di mana
setiap etnik lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan
bahasa ibunda masingmasing. Kurikulum yang digunakan juga tidak sama. Ada pula
yang berpusat ke negara nenek moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang
sama. Keadaan ini melebarluaskan lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan
yang berlainan dan menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat di
samping mewujudkan keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa mempedulikan
pembentukan warga negara yang beridentitikan satu negara.
Amalan ekonomi yang berlainan: Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang
tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang
pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan
etnik yang berlainan jenis dan ras serta mengakibatkan perpaduan negara terancam.
Perbezaan politik mengikut bangsa, kaum dan etnik: Kewujudan persatuan politik,
sosial dan ekonomi berdasarkan bangsa, kaum dan etnik tertentu telah
memmperkuatkan identiti sesuatu kumpulan dan menimbulkan perasaan syak
wasangka kerana setiap kumpulan hanya memperjuangkan hak dan kepentingan
kumpulan tertentu sahaja. Parti-parti politik yang berasaskan kepada suku kaum juga
memainkan pelbagai isu sensitif seperti bahasa, budaya, ekonomi dan hak
keistimewaan sehingga memburukkan lagi masalah perpaduan.
Pendudukan Jepun: Kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu menambah jurang
permusuhan antara orang Melayu dan orang Cina. Sebilangan besar tentera anti Jepun
terdiri dari orang-orang Cina, sementara ramai pula orang Melayu yang diambil oleh
tentera Jepun untuk menjadi askar dan polis. Keadaan ini menjadikan menjejaskan
persefahaman dan menimbulkan perasaan kurang senang antara masyarakat Melayu
dan Cina.
KAEDAH DAN LANGKAH YANG TELAH DIAMBIL OLEH PIHAK KERAJAAN DALAM
MENYUBURKAN INTEGRASI DAN PERPADUAN DI MALAYSIA
PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969
Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi
menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum
dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang
sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah
menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti
parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin parti
pembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam

4

kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah
13 Mei 1969.
Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagai
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan
keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna
serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum.
Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang
perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat
pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan.
Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk
menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi
Baru.
Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah
bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara
pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan
keadaan yang tidak diingini.
Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perpaduan Negara
Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah
dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan
warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke
arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan
rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian
dan kemakmuran masyarakat dan negara
Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu
dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan
penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem
peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang
dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.
Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat
berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan
perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan
suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran
Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan
Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam
sifatsifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling menghormati
sesama manusia.
Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah

5

Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang
Amat Berhormat Dato Seri Abdullah Bin Haj Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri
pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.
Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau
menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun
Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan
tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000
yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun
Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya
golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan
yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan..
USAHA YANG BOLEH DIJALANKAN DI PERINGKAT MASYARAKAT SETEMPAT Program
Pemuafakatan Masyarakat
Program pemuwafakatan antara masyarakat setempat boleh diadakan melalui program-
program ilmiah seperti ceramah motivasi, aktiviti keagamaan, Makan Beradab, gotong royong,
majlis perkahwinan dan sebagainya.
Hari Keluarga dan Sukan Rakyat
Program yang melibatkan seluruh ahli masyarakat boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan
melibatkan semua peserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan
tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih
sayang dalam kalangan seluruh warga masyarakat.
Acara kebudayaan dan kesenian-
Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat boleh diadakan seperti permainan
tradisi, boria, dikir barat, persembahan kebudayaan setiap kaum di Malaysia dan lain-lain lagi
yang disertai oleh anggota masyarakat. Selain dapat berhibur, semua yang terlibat dapat
memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan.
Majlis Sambutan Hari Raya, Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali-
Setiap kali menjelang hari perayaan, masyarakat melalui pertubuhan atau organisasi seperti
JKKK atau NGO mengatur program yang melibatkan seluruh warga masyarakat. Beraneka jenis
makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperolehi dari pelbagai pihak
disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan,
disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan
perpaduan rakyat berbilang kaum dalam komuniti tempatan.
Aktiviti Riadah -
Seterusnya, kerajaan perlu menggalakkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam
pelbagai program yang dianjur pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Belia
Malaysia, Jabatan Agama Islam, Rakan Muda, INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang
boleh dijalankan ialah senamrobik, mencari harta karun, larian, Perarakan Sambutan Maulidur
Rasul dan Maal Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Setiap ahli masyarakat dapat

6

berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat
memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat menghormati sesama
masyarakat.
KAEDAH DAN LANGKAH YANG BOLEH DI AMBIL DI PERINGKAT SEKOLAH Sekolah
Penyayang
Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep Sekolahku
Syurgaku dan Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi dengan penyertaan bersama
ibubapa pelajar melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan
pelajar yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan
menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan
hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibubapa para pelajar.
Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar Melayu,
namun mereka berasal dari daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari Sabah dan
Sarawak. Program RIMUP secara kelompok turut diadakan di mana pelajar-pelajar dari sekolah
ini terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolahsekolah lain yang,
mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat sekolah dan kelompok
dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan warga sekolah dalam program
ini adalah sangat baik. Ia membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan
mesra seterusnya menyumbang kepada perpaduan dan integrasi rakyat yang lebih erat.
Penyertaan Dalam Kokurikulum
Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam persatuan, permainan dan pakaian
seragam. Penyertaan aktif dalam kokurikulum dan pembabitan mereka dalam perkhemahan,
persembahan dan pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan mereka kepada
situasi yang berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin tetrtentu semasa mengikuti
program-program yang dijalankan. Pemilihan ahli jawatankuasa dilakukan secara demokrasi
dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih dari pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi
secara sihat serta mematuhi peraturan dan disiplin yang ditentukan. Hasil dari penglibatan
pelajar secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan adalah sangat memuaskan terutama dalam
usaha untuk membentuk dan membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah masyarakat
yang berdisiplin, berharmoni bersatu padu dan berintegrasi.
Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan
Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulangtahun
kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan
kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan,
Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan
PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan
dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan,
tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran Jalur
Gemilang, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah,
pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik
kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di

7

peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan
program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa
Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan
kehidupan bersatupadu dan kestabilan negara.
Lawatan dan ziarah di peringkat sekolah
Sekolah menggalakan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat bersejarah,
Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara,
Rumahrumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan
kanakkanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara
diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti perbincangan, gotong royong,
persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan dari
program lawatan dan ziarah ini sangat bermakna dan memberi kesedaran kepada pelajar peri
pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat
berbilang kaum dan keturunan.
Perkhemahan Bina Insan bagi pelajar sekolah
Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan
sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan
sebagainya. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri,
kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang
dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat
maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat
kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai.
PENUTUP:
Kejelekitan perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai
tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak,
kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan
penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip rukun
negara.
Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi
jitu dilaksanakan di negara ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan
kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang,
penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi
dalaman sekolah dan di luar sekolah mahupun seluruh anggota masyarakat yang juga warga
negara Malaysia dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan rakyat
yang bersatu padu secara kolektif serta jalinan perhubungan yang baik dan mesra yang
diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip
Rukun Negara Malaysia.
Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi
menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun
terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih
dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan

8

bersifat pro aktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional
akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.
SENARAI RUJUKAN;
1. Sejarah Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd
2. Malaysia Kita, Institut Tadbiran Awam Negara, JPN, 1991
3. Malaysia Kita, International law book Services, 2007.
4. Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan, KPM, 2005.
5. Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, Mohd. Thajudin Abd. Muthalib, East View, 1997.
6. Pengajian Am Kertas 900/1, Prof Madya Dr. Cheu Hock Tong, Pustaka Sarjana, 2001.
7. Negara Kita, INTAN, Kuala Lumpur, 1986.
8. Perlembagaan Persekutuan, Pindaan 1987, Jabatan Percetakan Kerajaan, Kuala
Lumpur, 1988.
9. Mengenal Perlembagaan Malaysia, Tun Mohammad Suffian Hashim, DBP, 1984.


MAR
18

ISU PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA - Dr Rahmat Ghazali
Usaha kerajaan untuk mewujudkan sistem amaran konflik perkauman sebagaimana yang
dicanangkan tahun lalu mengheret beberapa persepsi terhadap pencapaian negara dalam
usaha menyemarakkan perpaduan kaum. Antara persoalan yang terbangkit ialah sejauh
manakah usaha kerajaan selama ini berhasil untuk memakmurkan perpaduan kaum, dan
apakah pencapaian usaha perpaduan kaum selama ini amat lemah sehingga kerajaan
memerlukan suatu sistem indikator bagi mengesan konflik perkauman.

Pada junktur sejarah, usaha serius Malaysia ke arah perpaduan kaum dilihat mula bercambah
setelah tercetusnya tragedi 13 Mei apabila Majlis Perpaduan Negara dan selaras dengan itu
Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan. Namun saya lihat bahawa bibit-bibit usaha ke arah
yang sama juga telah dibenihkan dalam Perlembagaan Kemerdekaan 1957 lagi. Dalam konteks
ini klausa-klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada penggunaan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, peruntukan pelaksanaan sekolah jenis kebangsaan dan
penggunaan bahasa kaum minoriti, telahpun dimaktubkan melalui Artikel 152 dan 153, yang
seringkali kita rujuk sebagai kontrak sosial antara pemimpin-pemimpin parti pelbagai etnik
yang dominan di Malaysia.

Sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh kajian Furnival (1956), negara-negara Dunia Ketiga
pascamerdeka amat teruk dikacaubilaukan oleh penjajah dengan polisi pecah dan perintah.
Polisi sedemikian juga amat lumayan diamalkan oleh pihak British ke atas datuk nenek kita
dahulu sebelum merdeka kerana pendekatan sedemikian menguntungkan pihak penjajah. Bagi
Furnival falsafah sedemikian telah mewujudkan dan mengukuhkan pluralisme atau suatu
bentuk masyarakat berbilang kaum yang they mix but do not combine atau dalam bahasa
ibunda, mereka bercampur tetapi tidak bersatu. Bagi Furnival falsafah pluralisme sedemikian
lebih banyak mendatangkan bencana kepada kestabilan sosial dan politik negara. Menurut Dr
Candra Muzaffar, masyarakat kita lebih cenderung kepada hubungan fungsional daripada

9

hubungan empatetik. Makudnya kita sekadar berhubungan di pejabat, di pasar dan di tempat
kerja, tetapi kita tidak mahu berkongsi masalah yang melampaui sempadan-sempadan
persekitaran tersebut.

Sebaliknya kita juga sedar bahawa perpaduan kaum adalah pemboleh ubah penting dalam
menentukan kestabilan politik, sosial, malah ekonomi. Perpaduan kaum itu menuntut hubungan
empatetik sebagaimana disarankan oleh Dr Chandra. Mana-mana kerajaan jua pastinya
berusaha untuk menentukan elemen-elemen penting perpaduan kaum ini digarap supaya
pembangunan sosial, ekonomi dan infrastruktur dapat dicapai. Konsep masyarakat majmuk
sebagaimana yang dilihat oleh Furnival, memperakui dan membenarkan keperbedaan nilai,
norma, budaya dan adat resam sesuatu kaum minoriti. Malah dalam konteks Malaysia, kerajaan
amat prihatin dan kaya timbang rasa sehingga toleransi dalam konsep pluralisme itu, tanpa
disedari, sedikit-sebanyak telah menjadi peyumbang kepada benih-benih perkauman sesama
kita.

Pada suatu ektrim tertentu saya melihat bahawa usaha jitu kerajaan untuk memakmurkan dan
menyuburkan perpaduan kaum melalui program perpaduan kaum antara masyarakat berbilang
etnik telah banyak terganggu dan kadangkala terbantut pada kadar yang tidak sanggup kita
perakui. Tanpa niat mencabar Perlembagaan, melalui falsafah yang didokong oleh Artikel 152
(memberi hak kepenggunaan bahasa minoriti), saya melihat seakan-akan wujud konflik dengan
falsafah yang didokong oleh Artikel 153 (menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi).

Saya juga terlihat Artikel 152 telah menyuburkan kewujudan sekolah-sekolah monoetnik, dan
media massa monoetnik yang memberikan tumpuan kepada etnik-etnik yang diperwakilkan
melalui bahasa ibunda masing-masing. Malah kita lihat papan tanda iklan kedai-kedai di mana-
mana bandar di Malaysia lebih mengutamakan bahasa ibunda masing-masing daripada
mengangkat falsafah Artikel 153.

Dalam persekitaran yang keterasingan sedemikian saya lihat aliran dan hala tuju perpaduan
kaum tidak menggalakkan pertembungan budaya yang dibawa oleh sistem sekolah monoetknik,
dan begitu juga media massa monoetnik. Hal ini menjadi semakin rumit apabila institusi politik
kita juga di lihat tertegak atas falsafah monoetnik yang turut memakmurkan konsep pluralisme
Furnival.

Profesor Hamdan Adnan, bekas Pesuruhjaya Suhakam, pernah mencatatkan bahawa daripada
tahun 1945 hingga 1969 sejumlah dua puluh dua insiden pergeseran etnik telah berlaku,
dengan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai insiden yang paling dahsyat. Saya gusar dan sangsi jika
statistik sedemikian menurun kerana kadangkala diri kita sendiri seringkali menutup sebelah
mata untuk mendedahkan secara serius isu-isu sedemikian. Misalnya Malaysia tidak sunyi
daripada peristiwa yang condong kepada perbalahan etnik seperti peristiwa penentangan Dong
Jiao Zhong terhadap dasar kementeraian pendidikan pada tahun 1987 yang membawa kepada
pelaksanaan Operasi Lalang, yang menurut beberapa pemerhati politik, hampir sahaja
mengulangi peristiwa 13 Mei. Perbalahan pengurusan sebuah kuil Hindu dan masjid di
Kampung Rawa, Pulau Pinang pada tahun 1998, tragedi Kampung Medan pada tahun 2001,
peristiwa pergaduhan etnik antara peserta PLKN, dan isu mahasiswa UM (malah di semua
universiti di Malaysia secara amnya) yang tidak mesra dalam bentuk hubungan silang-etnik,
mungkin mengundang kita untuk sama-sama memikirkan tentang kejayaan dasar dan modus
operandi perpaduan kaum negara.

Mungkin juga pada suatu ekstrim yang lain, peristiwa-peristiwa berkenaan hanya sekadar kes-
kes terpinggir yang tidak harus dilihat sebagai perbalahan etnik tetapi sebaliknya hanyalah

10

perbalahan dua pihak yang boleh saja berlaku dalam kandang intraetnik itu sendiri, dan bukan
sekadar dalam persepsi silang-etnik. Sebagaimana lunaknya peribahasa Melayu yang
mengatakan bahawa sedangkan lidah lagi tergigit apatah lagi situasi iklim kepelbagaian etnik
di Malaysia yang bersandar kepada perbezaan bahasa, budaya dan agama sebagai komponen
sensitif yang menuntut toleransi tinggi sesama kita.

Walau bagaimanapun kita tidak boleh memandang ringan pada perkembangan hubungan
ethnik kontemporari sebagaimana terpancar daripada usaha kerajaan untuk menubuhkan
sistem amaran konflik perkauman yang akan berpusat di Putrajaya. Nampaknya dengan
tertubuhnya sistem sedemikian, kerajaan telah mencari pendekatan adhoc iaitu mencegah
perbalahan etnik daripada mencambahkan dan menyuburkan benih-benih hubungan mesra
antara kaum. Mungkin persepsi saya salah, kerana sebenarnya kerajaan mengutamakan
kedua-duanya sekali.

Meninjau realiti politik dan sosial di Malaysia, saya melihat bahawa terdapat elemen-elemen
pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam hal membina perpaduan kaum, agak berbeza
dengan pendekatan yang dianggap sebagai arus perdana di Barat. Pendekatan yang
digunakan oleh kepimpinan Malaysia dalam beberapa aspek berada dalam ekstrim yang
bersongsangan berbanding dengan teori perpaduan kaum yang disarankan oleh pemikir-
pemikir Barat dan yang diamalkan di sebelah sana.

Amerika dan beberapa negara Eropah seperti Britain dan Perancis misalnya menggunakan
konsep melting pot atau acuan pelebur dalam pendekatan mereka untuk menyatukan
pelbagai etnik minoriti, etnik peribumi, dan etnik dominan dalam negara. Dalam proses
peleburan itu budaya etnik minoriti terlebur, tercerna, teradun malah sesetengahnya tersirna
dalam budaya majoriti yang dominan. Namun di Malaysia kita lihat konsep acuan pelebur itu
tidak wujud, sebaliknya yang wujud ialah konsep salad bowl atau mangkuk sayur-mayur yang
tidak meleburkan mana-mana unsur etnik tetapi mempersatukan kepelbagaian warna kulit dan
budaya dalam satu persekitaran ynag sama.

Dalam konteks yang sama di Britain, sama ada mereka bersetuju atau tidak, juga telah berlaku
proses asimilasi budaya yang kadangkala terpaksa mengorbankan malah melenyapkan bahasa
dan budaya nenek moyang golongan minoriti tertentu.

Bagi sesetengah budayawan, yang menolak model asimilasi, mereka melihat pendekatan ini
sebagai satu bentuk penjajahan dalaman kerana dalam proses ini berlaku eksploitasi golongan
majoriti terhadap golongan minoriti. Namun dalam banyak contoh di sebelah Barat, golongan
majoriti itu adalah juga merupakan pihak pemerintah yang melaksanakan dasar
memperlemahkan budaya dan bahasa minoriti atas nama perpaduan kaum. Dalam konteks ini,
banyak kerajaan Barat yang mempertegaskan penggunaan bahasa rasmi sebagai satu-satunya
bahasa komunikasi tanpa sebarang kompromi, baik dalam urusan perkhidmatan awam,
pendidikan asas di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Demi mewujudkan perpaduan
kaum, ada kerajaan yang mengharamkan penggunaan dan pengajaran bahasa ibunda
golongan minoriti sehingga ke tahap menguatkuasakan hukuman ke atas para pelajar yang
berkomunikasi antara mereka dalam bahasa minoriti di dalam kawasan dan persekitaran
sekolah. Kerajaan Perancis misalnya telah hampir mengharamkan terus penggunaan bahasa
Breton, kerajaan British mengharamkan bahasa Welsh dan kerajaan Scotland telah
melenyapkan bahasa Gaelic di bumi Scotland. Berbeda dengan Malaysia, kebanyakan kerajaan
Barat menolak sama sekali kewujudan sekolah-sekolah monoetnik dan media massa
monoetnik.


11

Dalam konteks perpaduan kaum, Malaysia juga menghadapi banyak masalah kerana
kepercayaan dan perbezaan agama tidak memungkinkan proses asimilasi berlaku. Asimilasi
dalam konteks budaya juga tidak berjalan lancar kerana setiap kaum melihat bahawa budaya
dan tamadun bangsa mereka masing-masing lebih dominan daripada yang lain. Orang-orang
India melihat keagungan tamadun Indus yang bermula pada 2500 S.M. lebih agung daripada
tamadun Melayu yang mereka lihat hanya bermula pada kira-kira lima ratus tahun dahulu (jika
Kesultanan Melaka menjadi tanda aras). Kaum Cina pula melihat ketamadunan China yang
bermula kira-kira 2000 S.M. di Peking jauh lebih hebat daripada tamadun Melayu. Banyaklah
elemen-elemen ketamadunan ini yang boleh mereka rasionalkan untuk menyokong
kelangsungan budaya mereka masing-masing.

Dengan perkiraan sebegini kadangkala saya lihat bahawa kerajaan juga menjadi serba salah
dalam hal menentukan halatuju kebudayaan nasional. Misalnya, pada tahun 1982, Tun
Mahathir pernah menyatakan bahawa Budaya Melayu harus menjadi ciri-ciri utama budaya
nasional, supaya diterima dan diamalkan oleh semua kaum. Malah terdapat juga yang mahukan
budaya Melayu dijadikan satu-satunya elemen budaya nasional (dipetik daripada Munro-Kua
1996). Walau bagaimanapun pada tahun 1995, Tun Mahathir dengan jelas menyatakan bahawa
konsep perpaduan kaum tidak lagi bertunjangkan kepada konsep yang berasaskan budaya
Melayu. Menurut Tun, Bangsa Malaysia membawa maksud rakyat yang dikenali sebagai
membawa identiti Malaysia, menuturkan bahasa Melayu dan meluhurkan Perlembagaan. Untuk
merialisasikan bangsa Malaysia, rakyat harus mula menerima kewujudan masing-masing
seada-adanya, tanpa mengira kaum dan agama (dipetik daripada Francis Loh Kok Wah dan
Khoo Boo Teik 2002). Ertinya rakyat Malaysia harus dilihat sebagai Melayu, Cina dan India
sebagimana terpancar melalui amalan budaya masing-masing. Konsep ini condong kepada
konsep pluralisme Furnival.

Namun pendirian kerajaan yang sedemikian terhadap perpaduan kaum seperti berdiri atas
platform yang berbeza pula jika dilihat pada matlamat yang didokong oleh Wawasan 2020,
kerana ia diangkat sebagai suatu Bangsa Malaysia tanpa melihat perbedaan warna kulit dan
amalan budaya. Secara idealnya tidak akan wujud lagi Melayu, Cina atau India jika Wawasan
2020 direalisasikan. Konsep ini condong pula kepada konsep asimilasi.

Jelaslah bahawa di Malaysia pendekatan asimilasi dirujuk semula kerana saya kira pendekatan
inilah dilihat sebagai yang terbaik untuk membina perpaduan kaum yang utuh dan tulen,
sekurang-kurangnya dalam konteks peleburan bahasa ibunda etnik minoriti. Pendekatan
sedemikian telah lama dibuktikan terbaik bagi Malaysia, misalnya dalam konteks golongan
Baba Nyonya di Melaka dan juga di Pulau Pinang, golongan India peranakan atau Mami di
Pulau Pinang, dan Arab Peranakan telah meleburkan sehingga mengorbankan bahasa nenek
moyang mereka. Malah di kalangan golongan Baba Nyonya tercipta bahasa kreol mereka
yang tersendiri yang pastinya terbina daripada improvisasi bahasa ibunda golongan majoriti
Melayu yang lebih dominan.

Amat jelas juga kita lihat bahawa budaya golongan minoriti dalam konteks asimilasi sosial
teradun dalam acuan budaya Melayu meskipun secara halusnya terdapat perbezaan di sana-
sini. Namun, jika budaya nasional Malaysia boleh diterjemahkan sebagai budaya etnik peribumi
Melayu sebagai asasnya, maka saya lihat bahawa budaya Baba Nyonya, India Peranakan dan
Arab Peranakan ini telah menjelmakan satu proses perpaduan kaum yang utuh dan tulen.

Namun realitinya dalam konteks kontemporari, dasar perpaduan kaum Kerajaan Malaysia amat
mesra dan bertoleransi terhadap bahasa etnik minoriti. Penggunaan bahasa etnik minoriti tidak
pernah dikenakan hukuman malah tidak pernah dilarang digunakan di mana-mana sekolah di

12

Malaysia, meskipun di sekolah-sekolah kebangsaan. Malah diwujudkan pula sekolah-sekolah
jenis kebangsaan dengan memberikan hak mutlak kepada etnik minoriti untuk menggunakan
bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengajaran.

Dengan ekstrim pendekatan pluralisme atau konsep mangkuk sayur-mayur seperti di Malaysia
kita lihat bahawa dalam situasi tertentu bahasa rasmi menjadi bahasa rojak, malah
dicampuradukkan pula dengan bahasa Inggeris mungkin untuk menyuntik ciri-ciri lenggok
komunikasi antarabangsa. Bahasa Melayu lisan telor Cina dan telor India menjadi tegar
diamalkan bukan sahaja apabila golongan ini berkomunikasi sesama mereka, malah disokong
dan disuburkan oleh golongan Melayu sendiri ketika berkomunikasi dengan kaum India dan
Cina.

Saya percaya bahawa untuk menjaga martabat bahasa rasmi, penggunaannya mesti juga
terlaksana dalam situasi yang tidak formal, bukan sekadar dalam kandang situasi yang rasmi
dan formal sahaja. Hanya golongan yang amat sensitif dan insaf sahaja yang beria-ia berjuang
untuk mempertahankan gaya dan hukum-hukum tatabahasa bahasa rasmi negara, tetapi
malangnya golongan ini seperti Tan Sri Profesor Ameritus Dr Awang Had Salleh, Tan Sri
Profesor Dr Ismail Hussien, Profesor Dr Nik Safiah Karim, Dr Awang Sariyan, Dr Chandra
Muzaffar, YB Dr Rais Yatim, dan SN A Samad Said, (sekadar menyebut beberapa nama) sudah
seperti kehilangan golongan pelapis. Adakah ini suatu kepincangan dalam proses perpaduan
kaum yang dicita-citakan Malaysia atau ia suatu kelebihan dan kekuatan pendekatan mangkuk
sayur-mayur Malaysia?

Akhir-akhir ini pula, kita lihat DBP mahu dinobatkan secara legitimasinya sebagai polis bahasa.
Saya tidak tahu bagaimana polis ini akan melaksanakan tanggungjawabnya apabila melihat di
kebanyakan bandar di Malaysia, papan-papan iklan seringkali mengabaikan penggunaan dan
pengutamaan bahasa Melayu. Malah bahasa rojak yang haru-biru dan celaru sudah menjadi
identiti yang tegar di papan-papan tanda kedai. Namun pada sudut yang amat jauh dalam hati
kecil ini, saya optimistik bahawa DBP akan berjaya walaupun terpaksa mengambil masa yang
panjang yang penuh onak dan duri, dan sekali gus menyuburkan perpaduan kaum. Saya juga
yakin bahawa kejayaan tersebut haruslah dimulakan dengan semangat kecintaan yang tinggi
setiap rakyat terhadap negara ini.


Integrasi antara kaum merupakan isu yang amat diberi perhatian oleh pihak
kerajaan ketika menggubal dasar pendidikan selepas negara mencapai
kemerdekaannya. Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah
menggariskan dengan jelas dasar yang berkaitan dengan nilai-nilai integrasi antara
kaum ini. Faktor utama yang menjadi tunjang ke arah pembentukan sistem pendidikan
negara selepas mencapai kemerdekaannya ialah perpaduan. Oleh hal yang demikian,
matlamat pendidikan KBSR di sekolah rendah untuk memastikan perkembangan murid
secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, jasmani, emosi,bakat, akhlak, nilai-nilai
estetika dan sosial selaras dengan falsafah dan dasar pendidikan negara iaitu untuk
membangunkan negara dan menyemai perpaduan kaum yang kukuh serta integrasi
nasional melalui sistem pendidikan yang tersusun dan bersistematik.

13

Isu integrasi nasional merupakan salah satu daripada cabaran penting dalam
negara kita. Oleh hal yang demikian, cara yang paling berkesan untuk menanganinya
adalah melalui peranan guru di sekolah. Integrasi nasional merupakan satu proses
penyatuan antara kumpulan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, status
sosial dan budaya untuk membentuk satu entiti yang mempunyai pegangan norma,
sistem nilai serta mengamalkan kehidupan bersama. Penyatuan ini pada akhirnya akan
mewujudkan perkongsian persefahaman dan pemikiran antara kaum di sesebuah
negara. Integrasi nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan
masyarakat di setiap negeri di Malaysia khususnya antara negeri-negeri di
Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang bertujuan membentuk satu
bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan
PerlembagaanPersekutuan dan Rukun Negara.
Usaha membentuk satu bangsa Malaysia amat mencabar kerana selepas
kemerdekaan, masalah perkauman tetap merupakan satu isu yang serius dan perlu
diambil perhatian. Malaysia yang terdiri daripada penduduk berbilang kaum pernah
menghadapi masalah dan konflik kaum, khasnya peristiwa 13 Mei 1969. Walaupun
hampir lima puluh lima tahun Malaysia merdeka, penduduk berbilang kaum masih
melalui pelbagai liku peristiwa pasang surut, pahit dan manis. Namun begitu, rakyat
dengan latar belakang budaya, agama, bahasa dan asal keturunan yang berbeza akan
terus bergerak maju mengharungi pelbagai cabaran dan halangan dalam perhubungan
sosial bagi mewujudkan persekitaran yang harmoni,damai dan selamat.
Antara peristiwa yang tercetusnya ketegangan kaum adalah peristiwa 13 Mei
1969 dan peristiwa Kampung Medan yang berlaku 12 Mac 2001. Dalam pada itu, wujud
juga prasangka, amalan diskriminasi dan sikap prejudis dalam kalangan kumpulan etnik
yang boleh mencetuskan rasa tidak senang dalam kumpulan etnik tertentu. Tambahan
pula, isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan dan integrasi nasional yang sentiasa
menjadi topik hangat adalah tindakan kerajaan membantu kaum bumiputera dalam
bidang sosioekonomi dilihat sebagai diskriminasi oleh kaum-kaum lain. Topik lain iaitu
kurangnya sensitiviti dan toleransi terhadap agama-agama lain, kurangnya semangat
patriotisme dalam kalangan masyarakat, peningkatan kes-kes gejala sosial yang dapat
menjejaskan proses integrasi, pembangunan ekonomi yang tidak seimbang, fahaman
politik yang melampau dan peranan media massa yang mensensasikan isu-isu
perpaduan.
Justeru, banyak usaha telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan
yang memerintah dan pihak sekolah untuk memupuk integrasi nasional dan seterusnya
membentuk satu bangsa Malaysia. Usaha Malaysia untuk membentuk negara bangsa
telah dinyatakan dalam wawasan 2020. Menjelang tahun 2020, Malaysia harus menjadi
Negara yang bersatu padu, mempunyai masyarakat yang berkeyakinan, nilai moral dan
etika yang kukuh, hidup secara demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil
serta mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang berdaya saing.
Pembinaan negara bangsa amat penting bagi sebuah Negara yang berbilang
kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina negara bangsa bergantung
kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Pembinaan negara bangsa menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era

14

globalisasi yang membuka peluang kepada pengaliran secara bebas dan pantas bukan
sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai dan kepercayaan tanpa
batasan memberikan cabaran kepada negara kita yang berusaha membentuk satu
identiti terunggul untuk masyarakat kita.
Guru sememangnya dianggap sebagai pembina negara bangsa kerana gurulah
yang dapat membangunkan modal insane dan memastikan pembentukan jati diri murid
yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama
dan nilai sejagat seterusnya menjadi warganegara glokal yang mampu bersaing dengan
dunia luar. Guru dengan kecekapannya melalui system pendidikan berupaya membina
sebuah negara bangsa yang berjaya. Guru harus menggalakkan pengguanaan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan menjadikan bahasa ini sebagai
bahasa perpaduan. Guru bukan sahaja harus berusaha menanam rasa cinta kepada
bahasa Malaysia dalam diri murid-murid tetapi turut juga mencintai bahasa tersebut.
Dalam usaha memantapkan perpaduan dan integrasi nasional, KPM telah
memperkenalkan Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP). Rancangan ini
bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, guru dan murid serta warga
sekolah dalam aktiviti sekolah. Rasional aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah bertujuan
untuk mewujudkan sikap kerjasama, tolong menolong, mewujudkan suasana muhibbah
dan hormat-menghormati, melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid
pelbagai kaum di sekolah dan berkongsi kemudahan peralatan, tenaga dan kepakaran
untuk menjayakan kegiatan khas secara bersama-sama. Selain itu, semangat
patriotisme secara berterusan dalam kalangan pelajar dapat dipupuk oleh para guru
melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena bulan kemerdekaan misalnya. Semua
aktiviti yang dianjurkan bertujuan menanam rasa cinta kepada Negara, memupuk
semangat perpaduan dan semangat hormat menghormati serta peka terhadap
sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dalam kalangan pelajar. Di samping itu,
penerapan sikap dan nilai-nilai yang murni dapat mencapai perpaduan negara dan
integrasi nasional dalam kalangan pelajar yang berbilang bangsa.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB
DatoSri Mohd Najib Tun Abdul Razak merupakan konsep yang selari dengan apa jua
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-prinsip Rukun Negara.
Menurut penjelasan YAB DatoSri Mohd Najib, konsep 1 Malaysia adalah seperti
berikut:
kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia ( one people)
dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan krhrndak semua kumpulan etnik
dalam negara kita.
Ini bermaksud rakyat pelbagai kaum dan agama harus berfikir melepasi
sempadan kaum masing-masing, bukan bertindak atas kepentingan kaum sendiri serta
kepimpinan Negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua
kaum dan etnik di Malaysia. Konsep 1 Malaysia membawa aspirasi dan harapan untuk
mengeratkan hubungan antara kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin
perpaduan yang erat. Konsep ini merupakan pemangkin untuk mewujudkan dan
membina sebuah Negara bangsa yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan
dalam kalangan rakyat Malaysia. Antara nilai asas yang terdapat dalam semangat

15

perpaduan terdiri daripada perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling
mempercayai antara kaum.

You might also like