You are on page 1of 6

1

BERUK

Pukul lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu Sunan masuk
ke dalam darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh murid-murid
bangun. Masing-masing bangun, tapi sama seperti berbaris tadi. Malas. Cikgu
Sunan tidak ambil pusing hal itu.

Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang lain.
Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling
belakang. Dia terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati murid itu
dengan pandangan tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya.

Semakin lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura
mencari sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang basah dengan air
embun. Alias! Mari sini! Cikgu Sunan memanggil murid yang datang lambat itu
dengan bengis.

Murid yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian melangkah
perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti akan menerima
habuan. Dan kawan-kawan yang lain pun sudah menduga yang Alias akan
menerima habuan. Begitu selalunya.

Berdiri di situ! perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya menunjuk ke tepi
meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam. Alias berdiri di tepi
meja dengan hati yang berdetap-detap. Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat
menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia
datang lambat.

Tapi kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan bercakap
benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.

Mari dekat sini, Lias! perintah Cikgu Sunan apabila dia selesai menulis soalan.
Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid yang bernama Alias ini
mendekat sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang
bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris
oleh duri lorong denai yang dilaluinya.

Cikgu Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian
muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah empat dulu lagi. Alias
tidak berani memanggung kepala apabila Cikgu Sunan memerhatinya tanpa
berkata sepatah pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya
memintal-mintal kaki seluarnya yang lusuh itu.

Kenapa kau datang lambat? Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias tidak
menjawab. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena
habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah
berdasarkan sebab-sebab sama ada rumahnya jauh atau aral yang lain. Tapi
kerana dia datang lambat.
2


Hei beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat? Cikgu Sunan hampir -hampir
memekik.

Alias diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan beruk kepadanya bukanlah sekali
itu sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang. Di sekolah dia sudah masyhur
dengan panggilan beruk sebab dia membela seekor beruk.

Pandang sini! sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias dengan
pembaris panjang. Alias memanggung kepala. Saya tanya kepada kau datang
lambat?

Dengan suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab, Beruk beruk
saya putus rantai, cikgu!.

Haaa, kalau dah putus apa yang kau buat?. Cikgu Sunan bertanya keras. Memang
dia tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.

Saya cari, cikgu!.

Dah jumpa?.

Alias angguk. Tersenyum.

Sebab itu kau datang lambat?

Angguk juga.

Kau lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun macam
beruk. Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.

Saya sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya! kata Alias dengan jujur.

Marah Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan hatinya.
Dia menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai seekor semut.

Kau nak main-mainkan saya, ya? Cikgu Sunan menahan marah. Matanya
bersinar-sinar.

Tidak cikgu, saya

Sudahlah! Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu penampar
kuat hinggap di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang. Tapi tidak
mengangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya
merah.

Dengan langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan diam
membisu. Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.

Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk
3

macam dia! Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang lain. Murid-
muridnya diam membisu. Sekal i-sekala mereka berpaling melihat Alias yang
malang itu. Tapi pada Alias macam tidak ada apa-apa yang terjadi. Kalau tadi dia
asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun
di kelopak matanya ada air yang bertakung.

Tiga hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas desus murid-
murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah berhenti. Dengan tiba-
tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Dia terasa macam ada
suatu dosa yang telah dilakukannya terhadap Alias.

Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi undang-
undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah ponteng bukan sekali
dua. Apabila ditanya cuma beruknya saja yang menjadi alasan. Mana hati tidak
geram. Tapi apabila dia mendapat tahu bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya
tidak dapat dikawal lagi. Dia berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias
supaya belajar semula hingga tamat. Dia menyesal.

Tengah hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia
meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke rumah Alias yang terletak
sejauh empat kilometer itu. Dia tidak memberitahu guru besar. Biarlah hal itu dia
selesai sendiri.

Untuk sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan ter paksa melalui lorong sempit yang
boleh dikatakan denai. Di kiri kanan lorong itu banyak pokok keman malu dan
senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang lalu-lalang.

Kampung tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas
juga di hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak datang selalu ke
sekolah. Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu tidak datang ke sekolah. Sekali
lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak
diselidik lebih dulu. Akhirnya sampai juga Cikgu Sunan. Dia terpaksa
menyeberangi sebatang titi melintasi sebuah parit yang selebar tiga meter.

Alias tidak ada. Berkali -kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap saja. Tiba-tiba
seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu menjemput Cikgu Sunan
naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi berkali -kali pula orang tua itu
menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan mengalah apabila orang tua itu
memberitahu yang dirinya lumpuh, tidak dapat turun.

Sekali lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya kesulitan Alias
berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang ganas itu.

Alias ke mana mak cik? tanya Cikgu Sunan.

Entah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah
kelapa di hujung kampung.

Dia panjat pokok kelapa?
4


Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik lumpuh,
terang ibu Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat buku-buku Alias.
Dindingnya tembus di sana sini. Tidak ada apa yang boleh dinamakan perhiasan.
Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung jantan.

Dah lama mak cik lumpuh? tanyanya.

Dah hampir setahun, terang orang tua itu lagi.

Cikgu Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk. Rasa
simpati kepada Alias semakin tebal.

Saya datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?.

Entahlah. Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit.

Cikgu Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia termenung itu
tiba-tiba dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu. Alias membimbit dua
biji kelapa.

Haa, itu pun dia dah balik, kata Cikgu Sunan dengan tersenyum. Orang tua itu
menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan anaknya dengan
pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak terdaya. Begitulah kerjanya
setiap hari sejak bapaknya meninggal, kata orang tua itu dengan sedih.

Alias yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika apabila melihat
ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak percaya orang itu ialah Cikgu
Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar, segera dia melepaskan buah kelapa
yang dipegangnya. Beruknya diletakkan ke tanah dan dia terus meluru
mendapatkan Cikgu Sunan. Dia senyum girang. Bersalam tangan.

Beruk yang ditinggalkannya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh bunyinya,
kerana orang yang berada di muka pintu rumah tuannya itu belum pernah
dilihatnya.

Dia lama cikgu sampai ? tanya Alias.

Baru sekejap, jawab Cikgu Sunan.

Keramahan Alias sungguh mengejut Cikgu Sunan. Beruk yang ditinggalkan oleh
Alias di halaman rumahnya itu melompat-melompat dengan suara garang. Alias
menempik beberapa kali supaya diam, tapi beruk itu tetap melompat juga. Dia
tidak kenal orang itu guru kepada tuannya.

Cikgu Sunan terpandang telinga kanan Alias. Telinga itu merah dan bengkak
nampaknya. Dari lubangnya meleleh benda putih.

Dekat sini Alias, kata Cikgu Sunan dengan lembut.
5


Alias mendengar kata-kata itu berlainan sekali dengan perintahnya semasa
sekolah. Kata-kata itu macam, kata-kata orang yang menyayanginya. Dia
mendekatkan kepalanya kepada Cikgu Sunan.

Senget sedikit kepala kau. Cikgu Sunan berkata lagi. Alias menyengetkan
kepalanya. Cikgu Sunan memegang kepala Alias dan menekannya sedikit untuk
memastikan telinga Alias yang sakit itu. Tapi dengan tiba-tiba beruk yang sedang
marah-marah dan melompat-lompat di halaman tadi, melompat naik lalu
menggigit tangan Cikgu Sunan. Beruk itu menyangka orang itu akan menyakiti
tuannya.

Cikgu Sunan mengadu sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut. Suasana
menjadi kelam-kabut. Alias menempik beberapa kali supaya beruk berlalu. Tapi
tempiknya tidak diendahkan oleh beruknya. Beruk itu terus menyerang Cikgu
Sunan. Demi untuk menyelamatkan Cikgu Sunan, Alias mencapai sebatang lembing
yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa, lalu dengan sekuat-kuat
hatinya dia meradak lembing itu ke perut beruknya. Cuma itulah saja yang boleh
menyelamatkan gurunya.

Beruk yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai. Sebelum
menghembus nafasnya yang terakhir, mata hitamnya memandang kepada Alias
dengan sayu. Kelopak mata yang berbulu itu tergenang air jernih.

Alias terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Sunan menahan
darah di lengannya dengan sapu tangan. Tapi darah yang keluar di lengannya
tidaklah sama dengan darah beruk yang telah diradak lembing tadi.

Suasana sepi. Cikgu Sunan memandang Alias, Alias memandang beruknya bagai
satu mimpi. Dan ibu tua itu memandang anaknya dengan satu tafsiran yang asing.

Alias tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air matanya
berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk kesayangannya. Dia bangun
lambat-lambat. Matanya memandang ibunya. Ibu tua itu tetap membisu. Dia
tersedu-sedu.

Terima kasih Alias. Tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Sunan berkata. Darah di
lengannya masih juga keluar.

Cikgu sakitkah? tanya Alias antara sedu-sedannya.

Tak mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Lias. kata Cikgu Sunan, lalu turun
dari rumah itu.

Cikgu

saya minta maaf, kata Alias sebaik saja Ckgu Sunan memijak tangga bawah.

Tak apa. tapi kau mau ke sekolah lagi?
6


Alias duduk. Kaku. Sedih.

Lebih baik kau ke sekolah, hingga darjah enam Cikgu Sunan memberi nasihat.

Saya tidak dapat ke sekolah lagi Cikgu. Tiba-tiba Alias menjawab sayu.

Kenapa?

Beruk Saya mencari makan dengan beruk itu cikgu.

Dada Cikgu Sunan bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Alias benar -benar
menusuk hatinya. Barulah dia tahu, bahawa beruk itu pada Alias merupakan tali
perhubungan nyawanya selama ini.

Dia melangkah pulang dengan dada yang sebak. Tapi Alias yang terpaku di ambang
pintu lebih pilu lagi.

Azizi Hj Abdullah
Dewan Bahasa, Disember 1970.


TUGASAN:

Setelah anda selesai membaca cerita in:

1. Berikan respon anda mengenai maksud yang tersirat yang boleh dipelajari
dari intisari cerpen Beruk ini?

2. Pengajaran yang boleh dipelajari untuk anda sebagai seorang guru.





Dr BAHARUDI N BIN YAACOB
IPG KAMPUS SULTAN ABDUL HALIM
19 OGOS 2014.