You are on page 1of 3

Apakah sebenarnya kemahiran berfikir aras tinggi itu?

Secara umum terdapat dua jenis kemahiran berfikir iaitu kemahiran berfikir aras
rendah yang tidak memerlukan pemikiran yang luas dan mendalam. Sebagai contoh
kemahiran ini hanya memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau
maklumat yang disampaikan oleh guru kepada mereka. Kemudian meluahkannya
semula sekiranya terdapat soalan yang memerlukan jawapan mereka.

Sementara itu, kemahiran berfikir aras tinggi melibatkan kemahiran intelek yang
tinggi. Kemahiran ini memerlukan seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan
dengan menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan,
menyelesaikan masalah dan membuat perancangan. Secara mudahnya murid
mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses dalam minda dan akhirnya
dikeluarkan semula dalam berbagai bentuk. Kemahiran berfikir ini juga dikatakan
sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.

Memiliki kemahiran ini murid bebas untuk membanding, membeza, menyusun
atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pendapat dan
pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan maka murid boleh
memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat daripada beberapa
sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan
merekacipta di kalangan murid.

Kemahiran berfikir aras tinggi ini mempunyai kelebihan lain iaitu dapat
meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan
dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai.
Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya
sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuhkan pembelajaran
dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.

Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi di kalangan murid maka peranan guru
sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah
didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan
perguruan di maktab atau universiti suatu ketika dahulu.
Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka
supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka.
Dalam proses pendidikan terdapat lima peringkat bagaimana kemahiran ini dapat
disampaikan kepada murid secara terancang iaitu melalui set induksi, penggunaan
bahan asas atau bahan bantu mengajar, aras soalan atau teknik menyoal, aktiviti atau
gerak kerja dan latihan bertulis.
Dalam set induksi kebiasaannya sebelum memulakan sesuatu pengajaran guru akan
menjelaskan tentang tajuk pengajarannya, matlamat dan apakah yang akan difahami
selepas pengajarannya. Set induksi yang berkesan akan membolehkan murid bersedia
mengikuti pengajaran guru dan merupakan langkah permulaan dalam proses
berfikirnya.
Penggunaan bahan asas atau bahan bantu mengajar yang sesuai dengan tajuk
pengajaran akan membolehkan murid memahami dengan lebih jelas sesuatu istilah dan
konsep. Malah ia akan menjadikan pengajaran guru lebih mudah diikuti dan
menyeronokkan.
Melihatkan suasana pembelajaran yang berjalan dengan lancar maka guru hendaklah
mengambil kesempatan dengan mengemukakan berbagai soalan kepada muridnya
bermula dalam bentuk tahap yang rendah dan berkembang kepada soalan yang
bertahap tinggi.
Ketika ini murid banyak menggunakan kemahiran berfikir mereka dalam menjawab
soalan-soalan yang berbagai bentuk. Dalam masa sama, guru akan dapat menilai sama
ada murid memahami pengajarannya.
Selanjutnya aktiviti atau gerak kerja pembelajaran akan dapat memperkukuhkan lagi
pengajaran guru. Aktiviti seperti teka silang kata, kuiz, syarahan, bahas, lakonan, kerja
berkumpulan, menyediakan projek dan gerak kerja di luar bilik darjah akan
memantapkan lagi kefahaman murid. Sudah tentu murid akan membuat perbincangan,
merujuk dan mencari maklumat dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.
Akhirnya proses pembelajaran menjadi lebih mantap apabila murid melakukan latihan
bertulis. Melalui kemahiran berfikir aras tinggi murid akan dapat menulis dengan
mengeluarkan pelbagai pendapat secara kreatif dan mungkin juga terdapat idea-idea
baru. Di sinilah peluang kepada guru untuk memberi komen, galakan dan tunjuk ajar
agar murid menjadi lebih produktif dan berdaya maju.
Sesungguhnya peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta yang diumumkan oleh
Perdana Menteri akan digunakan untuk meningkatkan lagi kemahiran berfikir aras tinggi
dalam kalangan guru. Diharap langkah ini akan menaikkan prestasi negara khususnya
dalam persaingan peringkat antarabangsa terutama dalam pentaksiran PISA yang
dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.
Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kata-
kata aluan laporan awal Pelan tersebut - Dalam usaha kita untuk bersaing dengan
negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan
generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta
berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121229/re_01/Kemahiran-berfikir-
dalam-pendidikan#ixzz2zfu9nv3L
Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like