You are on page 1of 2

Nilai Tudung Wanita

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia
menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri
wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian
longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala
hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan
berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang
berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita. Kerana wanita yang bermaruah
tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum.

Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.
Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk
mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia. Menyentuh berkenaan
pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya,
sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita
mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat
bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah
hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Tidak lengkap dan sempurna. Malah menambahkan FITNAH !!

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak
lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya.
Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah
atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut
direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok
di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni
dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah
dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk
mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja
menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu
pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak
berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.
Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang
tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka
terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin
membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik
dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada
kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak
merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita
tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang
kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila
boleh memakai tudung? Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang.
Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada
orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung
yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-
macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar
seperti zina, khalwat dan sebagainya. Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang
yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun
tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan
bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak
bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk
masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam
Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan
Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah
betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain.

Tudung di Luar dan Dalam

Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah
Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian. Kalau kita
menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa,
kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam
itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik
tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah
kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang
perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.
Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita
Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah.

Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap
berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak
menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup
aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa
bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu
ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah
tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.
Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal
sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang
lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang
sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai
seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.

Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang
menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam.
Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really
beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai
wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen
pengembang agama melalui pakaian.

Sumber: Darul Nu'man

Dicetak oleh :