You are on page 1of 3

Transformasi Baru Kuala Lumpur-Singapura

Tuesday, 26 May 2009 01:28 -

Hubungan Kuala Lumpur-Singapura, yang selama ini sering berdepan pelbagai hambatan
ekoran isu yang sebahagiannya boleh disifatkan sebagai ‘duri dalam daging’, kini melalui
transformasi baru selepas kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke republik berkenaan.

Lawatan sulung Najib ke Singapura Khamis dan Jumaat lalu, selepas menjawat jawatan
Perdana Menteri awal April lalu, membawa dan membuka harapan baru dalam hubungan dua
negara berjiran ini ke arah membentuk kerjasama lebih erat.

Dalam pertemuan empat mata kira-kira 45 minit dengan rakan sejawatannya dari Singapura,
Lee Hsein Loong dan disusuli mesyuarat anggota delegasi kedua-dua negara juga kira-kira 45
minit, pelbagai isu yang menjadi hambatan dibincang untuk dirungkai.

Malah dalam tempoh 90 minit itu juga, kedua-dua negara pada dasarnya mencapai persetujuan
bersama dalam banyak hal - pembinaan jambatan ketiga, mewujudkan kawasan atau pusat
kesihatan besar di Iskandar Malaysia, serta pengwujudan kawasan pembangunan
bercampur-campur merangkumi kawasan perindustrian, penempatan dan komersial di Iskandar
Malaysia, yang kesemuanya akan diteliti dan dikaji lebih lanjut.

Kedua-dua negara turut bersetuju berusaha menyelesaikan isu legasi yang sekian lama
tertunggak termasuk 'points of agreement' (POA); manakala Malaysia mahu kekerapan
penerbangan terutama penerbangan kos murah kedua-dua negara ditambah, dan Singapura
pula mahu membuka pejabat konsulat di Johor Bahru.

Persetujuan dalam banyak perkara ini berupa permulaan yang memberi harapan lebih besar
dalam peningkatan hubungan dua hala, terutama dalam usaha merintis pelaksanaan POA yang
dipersetujui 18 tahun lalu, yang selama ini menjadi kekangan dalam hubungan
Malaysia-Singapura.

Matlamat yang dicari dalam pelaksanaan POA ialah mewujudkan ‘situasi


menang-menang’ bagi kedua-dua belah pihak, dengan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman
akan melakukan intepretasi bagi pelaksanaan POA dan di pihak Singapura oleh Menteri
Luarnya, George Yeo.

POA itu adalah berkaitan pembangunan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad di republik
terbabit, yang ditandatangani pada November 1990 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun
Daim Zainuddin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Selain itu, isu legasi atau tertunggak pula membabitkan isu bekalan air mentah Malaysia ke
Singapura dan pengeluaran caruman dari Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) oleh pekerja
dari Semenanjung Malaysia.

Penyelesaian kepada POA ini sememangnya sukar yang dapat dilihat sendiri kerana sejak
ditandatangani 18 tahun lalu, pelaksanaannya menghadapi jalan buntu. Kesukaran
penyelesaiannya diakui Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura, dengan masing-masing
menyatakan jika ia sesuatu yang mudah, sudah tentu sudah lama dapat diselesaikan.

1/3
Transformasi Baru Kuala Lumpur-Singapura
Tuesday, 26 May 2009 01:28 -

Dalam hal ini Najib berkata: “Ini sesuatu yang kita (Najib dan Hsein Loong) warisi... ia sudah
berlarutan 18 tahun, satu tempoh yang terlalu lama. Tidak wajar ia tidak diselesaikan, kita tidak
boleh tunggu 18 tahun lagi untuk menyelesaikannya... ini menjadi kekangan kepada
peningkatan hubungan Malaysia-Singapura.”

Namun, kesediaan Najib dan Lee berbincang mengenainya memperlihatkan kesungguhan


kedua-dua pemimpin untuk mempertingkatkan lagi hubungan, dan juga berupa permulaan baik
yang membawa sinar baru ke arah penyelesaiannya.

Harapan supaya hubungan kedua-dua negara bergerak ke depan secara lebih produktif dan
membina, diperkuatkan dengan cadangan oleh Najib supaya jambatan baru di timur Johor
dibina sebagai laluan penghubung ketiga antara kedua-dua negara, iaitu selepas jambatan
sedia ada di Tambak Johor dan antara Tanjung Pelepas dan Tuas, di Singapura.

Cadangan pembinaan jambatan ketiga di Pengerang atau Desaru itu, berupa langkah jangka
panjang dan sederhana bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara, disambut baik
oleh Lee dan kedua-dua pemimpin bersetuju supaya sebuah jawatankuasa bersama
menjalankan kajian lanjut mengenainya.

Pembinaan jambatan itu, pastinya akan menjadi pemangkin kemajuan Pengerang dan Desaru
serta kawasan sekitarnya yang mempunyai potensi besar untuk maju.

Begitu pun, pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, buat masa ini tidak akan
menjadi kenyataan. Isu pembinaan jambatan itu pernah mewujudkan ketegangan hubungan
kedua-dua negara pada masa lalu, dengan Malaysia ketika itu membina jambatan di sebelah
Johor sehinggalah Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkannya
pada 2006.

“Saya tidak mahu melalui perjalanan sama dan berdepan masalah seperti sebelum ini...
berakhir dengan masalah atau kekecewaan,” kata Najib.

Justeru, melalui perbincangan antara Najib dan Lee tempoh hari, Tambak Johor yang sedia
ada, buat masa ini akan tetap kekal tetapi akan melalui proses penambahbaikan dan
pembesaran, seperti menambah laluan kenderaan, laluan keretapi atau membina Transit Aliran
Ringan (LRT).

“Pada masa ini tidak ada cadangan membina jambatan lurus atau bengkok menggantikan
Tambak Johor. Kita perlu faham untuk membina jambatan baru di situ memerlukan persetujuan
dan kerjasama Singapura.

“Saya berpendapat sukar bagi mereka membuat justifikasi membina jambatan baru
menggantikan Tambak Johor tetapi mereka mahu membesarkannya seperti membina LRT,”
kata Najib.

Kuala Lumpur dan Singapura turut memberi komitmen dalam menjadikan Iskandar Malaysia di
Johor sebagai model atau 'show case' peningkatan hubungan dua hala, dengan dua projek

2/3
Transformasi Baru Kuala Lumpur-Singapura
Tuesday, 26 May 2009 01:28 -

bersifat ikonik akan menjadi mercu tanda hubungan itu.

Dalam hubungan ini, Najib mencadangkan supaya diwujudkan kawasan atau Pusat Kesihatan
yang merangkumi rawatan perubatan homeopati dan spa untuk kemudahan rakyat kedua-dua
negara serta rakyat negara lain yang berkunjung.

Lee pula mencadangkan idea itu diperluaskan dengan diwujudkan sebuah bandar baru melalui
pembangunan bercampur merangkumi kawasan penempatan, komersial dan perindustrian,
yang mengambil kira kemungkinan beberapa pelabur di Singapura dipindahkan ke Iskandar
Malaysia.

Perkara ini akan dikaji dan diteliti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed
Yakcop dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di pihak Malaysia, manakala di
pihak Singapura pula oleh Menteri Pembangunan Negara Singapura, Mah Bow Tan dan
Menteri Pengangkutan, Raymond Lim.

Sebagai satu isyarat kepada pengukuhan hubungan dua negara berjiran ini, Malaysia turut
bersetuju untuk Singapura membuka sebuah pejabat konsulat di Johor Bahru bagi memberi
keselesaan kepada rakyat negara itu sekiranya berdepan masalah ketika di Johor Bahru,
dengan merujukya kepada pejabat konsulat itu.

“Ia tidak merugikan Malaysia... ia adalah isyarat bahawa Malaysia inginkan Singapura lebih
yakin dan lebih selesa dalam membuat urusan di Malaysia,” katanya.

Kedua-dua negara juga akan mempertingkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan, dan
Lee menghargai tindakan anggota keselamatan Malaysia yang berjaya memberkas pemimpin
Jemaah Malaysia (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, baru-baru ini di Johor selepas pemimpin
JI itu melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road, Singapura 27 Februari lalu.

Bermula daripada lawatan sulung Najib ke Singapura ini selepas memegang jawatan Perdana
Menteri, hubungan kedua-dua negara jelas menggambarkan transformasi, dengan Singapura
menamakan sejenis bunga anggerik kacukan 'Dendrobium' sebagai 'Dendrobium Najib
Rosmah' sempena lawatan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke Taman Anggerik,
Kebun Bunga Singapura.

Lee turut mengundang Najib untuk 'retreat' di Singapura tahun ini. - Berita Harian

3/3