You are on page 1of 2

400,000 pengakap sukarelawan bencana alam

KOTA BHARU 13 Sept. - Kira-kira 400,000 anggota pengakap di seluruh negara akan digerakkan
sebagai sukarelawan semasa bencana alam terutama ketika banjir yang dijangka melanda Pantai
Timur tidak lama lagi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, pihaknya
telah menjalinkan kerjasama dengan persatuan tersebut bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, sebelum ini anggota pengakap ingin membantu ketika bencana alam melanda
bagaimanapun mereka tidak mengetahui cara-caranya.
Menurutnya, agensi pengurusan bencana yang ada sememangnya sangat memerlukan bantuan
sukarelawan seperti Pengakap yang mempunyai lebih 400,000 keanggotaan di seluruh negara.
"Anggota pengakap ini boleh kita letakkan di pusat pemindahan bagi urusan membantu yang lain
termasuk khidmat kaunseling," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bengkel dan
Seminar Pengurusan Bencana Alam Peringkat Kebangsaan Persekutuan Pengakap Malaysia 2013 di
Kem Kijang, di sini hari ini.
Lebih 100 pemimpin pengakap, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Kementerian
Kesihatan menyertai kursus selama tiga hari yang berakhir esok itu.
Wan Mohd. Nor berkata, negara sememangnya memerlukan ramai sukarelawan ketika bencana
alam seperti banjir berlaku.
"Pengurusan bencana bukan hanya melibatkan sebuah agensi, kita sangat mengalu-alukan
penyertaan mana-mana pihak yang ingin membantu dalam pengurusan bencana khususnya banjir
kerana merupakan kawasan bencana yang sangat luas," katanya.
"Khidmat mereka di pusat penempatan banjir umpamanya sangat diperlukan kerana masing-masing
boleh berperanan memberikan khidmat bakti yang sangat diperlukan mangsa," katanya.
Menyentuh banjir yang bakal melanda Pantai Timur pada penghujung tahun ini, Wan Mohd. Nor
berkata, jabatan itu kini sudah memulakan persiapan menghadapi bencana berkenaan.
Sementara itu, Awang Zainie berkata, anggota pengakap buat pertama kalinya sudah bersedia untuk
menjadi sukarelawan dalam sebarang bencana.
"Anggota kita sudah mempunyai pengetahuan mengenai aspek pengurusan bencana dan kita juga
mempunyai kelengkapan aset dan jumlah keanggotaan yang ramai untuk membantu," katanya.
Beliau berkata, sebelum ini anggota pengakap tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi
tentang aspek pengurusan bencana dan berharap kursus dan seminar yang sama akan diadakan
secara berkala kepada anggotanya

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130914/dn_15/400000-
pengakap-sukarelawan-bencana-alam#ixzz306NRH152
Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like