Bahan ini disusun dan diolah dari kitab rumi yang asalnya dipetik dari sebuah kitab jawi dengan gaya bahasa lama. Saya mengemukakannya dalam bentuk yang lebih moden dan mudah untuk tatapan anda. Moga bermanfaat.
12 Syarat Sah Menjadi Makmum: 1.Berniat makmum-dengan berjemaah atau mengikut imam 2.Berada bersama imam di satu tempat 3.Makmum mengikut imam pada perbuatan sunat (yang sekiranya makmum menyanggahi imam ia adalah perbuatan keji dalam solat) 4.Makmum tidak ketinggalan dari imam sebanyak 2 rukun perbuatan 5.Makmum bertakbiratul Ihram kemudian dari imam 6.Makmum menganggap solat imam sebagai sah 7.Solat imam tidak diulangi 8.Imam tidak menjadi makmum kepada orang lain 9.Imam lebih kedudukan/ martabat dari makmum 10.Tumit makmum di belakang tumit imam 11.Makmum tahu perpindahan rukun perbuatan imam 12.Solat makmum sama perbuatannya dengan perbuatan solat imam
Huraian: Perkara pertama: Berniat makmum-dengan berjemaah atau mengikut imam Disyaratkan mengikut pada takbiratul Ihram pada solat yg disyarat berjemaah seperti solat Jumaat, solat yang diulang, solat Jamak Taqdim kerana hujan bagi orang yang bermukim. Jika tidak, solat tidak sah. Begitu juga imam, berniat imam ketika takbiratul Ihram. Jika solat tidak disyaratkan berjemaah, makmum/ imam boleh niat berjemaah selepas Takbiratul Ihram. Solat kedua-duanya 2 sah, tetapi makruh bagi makmum, tidak makruh bagi imam, tetapi fadilat berjemaah didapati setakat berniat imam sahaja. Makmum yang tidak berniat mengikut imam, sedangkan perbuatan solatnya seperti menanti perbuatan imam dengan kadar lama, batal solatnya. Melainkan ia menanti sekejap atau secara kebetulan.
Perkara kedua: Berada bersama imam di satu tempat Ada 4 situasi: i) Sama-sama di dalam masjid ii) Imam dalam masjid, makmum luar masjid iii) Imam luar masjid, makmum dalam masjid iv) Imam dan makmum di luar masjid-surau, madrasah, musolla, rumah, padang dll
i) Sama-sama dalam masjid (walaupun jarak makmum-imam lebih 300 hasta, dihalang dinding, makmum di atas, imam di bawah atau sebaliknya dengan syarat ada laluan/ tangga menujunya) Makmum sah mengikut imam dengan 2 syarat. 1.Makmum mengetahui perpindahan rukun perbuatan imam, sama ada dengan melihat, mendengar suara, atau suara muballigh atau melihat perbuatan makmum lain. 2.Makmum tidak berada dalam bilik yang pintunya dipaku. Tidak mengapa jika sekadar diselak, dikunci. ii) Imam dalam masjid, makmum luar masjid dengan syarat jarak kedudukan makmum (pertama luar masjid) tidak melebihi 300 hasta. Kiraan permulaan jarak dari tepi masjid, bukan dari imam, kerana masjid sebagai tempat solat iii) Imam luar masjid, makmum dalam masjid dengan syarat sama seperti di atas. iv) Imam dan makmum di luar masjid-surau, madrasah, musolla, rumah, padang dll 2 syarat: 1. jarak kedudukan makmum-imam atau jarak dari saf hadapan dengan imam tidak melebihi 300 hasta. 3 2. tiada dinding menghalang antara makmum dan imam walaupun nampak imam, atau dinding tidak menghalang laluan tetapi tidak kelihatan seperti tabir. Ia berlainan dari dinding yang mempunyai pintu, dibuka ketika solat.
Perkara ketiga: Makmum mengikut imam pada perbuatan sunat (yang sekiranya makmum menyanggahi imam, ia adalah perbuatan keji dalam solat)
Sunat-sunat yang keji apabila makmum menyalahi imam ialah seperti sujud tilawah, tasyahhud awal, qunut dan sujud sahwi.
a) Sujud Tilawah Makmum mesti mengikut imam-sama ada melakukannya atau meninggalkannya. Sekiranya makmum tidak mengikut perbuatan imam, solatnya batal.
b)Tasyahhud awal Makmum mesti mengikut imam jika imam melakukannya. Jika imam duduk untuk tasyahhud kemudian meninggalkannya, makmum boleh membaca tasyahhud. Jika imam meninggalkan tasyahhud, makmum tidak boleh tasyahhud.
c) Qunut Makmum tidak wajib mengikut imam, sama ada melakukannya atau meninggalkannya. Sekiranya imam baca qunut, makmum boleh meninggalkannya. Begitu juga sebaliknya, dengan syarat sempat bersama imam dalam sujud pertama. Jika makmum membaca qunut sedangkan imam tidak, makmum sempat bersama imam ketika duduk antara dua sujud, hukumnya makruh. Jika imam sujud kedua, sedangkan makmum masih membaca qunut (iaitu belum turun sujud), batal solat makmum.
d) Sujud sahwi 4 Makmum wajib mengikut jika imam melakukannya. Jika imam meninggalkannya, makmum boleh sujud sahwi selepas imam memberi salam.
Perkara keempat: Makmum tidak ketinggalan dari imam sebanyak 2 rukun perbuatan (atau mendahului imam dengan 2 rukun perbuatan)
Jika makmum terlambat satu rukun perbuatan dari imam, hukumnya makruh. Jika makmum mendahului satu rukun perbuatan dari imam, hukumnya haram. (Solat tidak batal)
Sekiranya makmum muafiq, tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihah, imam rukuk. Makmum boleh meneruskan bacaan Fatihah sehingga imam mendahuluinya 3 rukun panjang (rukuk, sujud pertama, sujud kedua). Iktidal dan duduk antara dua sujud dikira rukun pendek.
Perkara kelima: Makmum bertakbiratul Ihram kemudian dari imam Iaitu imam selesai menyebut ra pada Allahu akbar
Perkara keenam: Makmum menganggap solat imam sebagai sah Iaitu makmum mengikut imam dalam keadaan imam meyakini solatnya sah.
Perkara ketujuh: Solat imam tidak diulangi Contohnya imam solat dengan tayammum kerana tiada air sedangkan ia bukannya musafir, atau imam solat dengan tayammum yang ada najis di bawah balutan lukanya dll, maka solat imam perlu diulangi.
Perkara kelapan: Imam tidak menjadi makmum kepada orang lain 5 Sekiranya imam memberi salam, makmum bangun bagi menambah rakaat yangbelum cukup, maka boleh berimamkannya.
Perkara kesembilan: Imam lebih kedudukan/ martabat dari makmum
Perempuan tidak boleh menjadi imam kepada lelaki, Ummi (tidak pandai membaca dengan baik) tidak boleh menjadi imam kepada qari.
Perkara kesepuluh: Tumit makmum di belakang tumit imam
Sekiranya tumit makmum sama dengan tumit imam, hukumnya makruh.
Sama ada dilihat, didengar imam atau gerakan makmum disaf belakang imam atau suara orang yang menguatkan suara untuk menyampaikan perpindahan imam.
Perkara keduabelas: Solat makmum sama perbuatannya dengan perbuatan solat imam Maksudnya pada perbuatan sahaja, tidak disyaratkan pada niat. Oleh itu, tidak sah makmum solat Zohor berimamkan yang solat jenazah atau gerhana dan sebaliknya. Jika yang solat Zohor berimamkan yang sunat, atau solat tunai berimamkan yang qada, atau yang banyak bilangan rakaat berimamkan yang sedikit bilangan rakaat atau sebaliknya, sah solat semuanya.
Beberapa masalah: 6 1.Jika yang solat banyak bilangan rakaatnya (cth Zohor) berimamkan yang sedikit bilangan rakaatnya (cth Subuh, Maghrib), hukumnya seperti makmum masbuk iaitu disempurnakan bilangan rakaat selepas imam memberi salam. 2.Jika imam solat Subuh, membaca Qunut, maka afdhal bagi makmum mengikut imam. 3.Begitu juga jika imam membaca tasyahhud akhir pada solat Maghrib dan makmum solat Zohor, afdhal bagi makmum mengikut imam. Makmum boleh mufaraqah dari imam semasa imam baca qunut pada solat Subuh atau tasyahhud akhir pada solat Maghrib. Kelebihan berjemaah tidak hilang dari makmum kerana mufaraqah tersebut dibuat bagi memelihara aturan solatnya.
4.Jika makmum sedikit bilangan rakaat solatnya (cth Subuh) berimamkan kepada yang banyak bilangan rakaat (cth Zohor), harus bagi makmum mufaraqah sebaik sahaja cukup bilangan rakaatnya dan imam bangun kepada qiam rakaat ketiga Atau Harus makmum mengikut imam, iaitu ketika imam tasyahhud awal, ia adalah tahiyyat akhir bagi makmum. Ketika ini, afdhal bagi makmum menanti imam untuk memberi salam bersama-sama dengan imam. Jika imam tidak duduk untuk tasyahhud awal, makmum tidak boleh menanti di dalam tasyahhudnya. Oleh itu wajib bagi makmum niat mufaraqah ketika itu. Jika tidak batal solatnya
5.Jika makmum solat maghrib berimamkan yang solat zohor, wajib bagi makmum mufaraqah ketika imam bangun untuk qiam pada rakaat ke-4. Ketika ini makmum tidak boleh menanti imam untuk memberi salam bersamanya, kerana menanti imam ketika itu menyebabkan makmum melakukan pekerjaan yang tidak dibuat oleh imam iaitu tahiyyat awal bagi imam.
7
Tertib solat berjemaah yang afdhal
1. Solat berjemaah-paling kurang seorang imam dan seorang makmum. Afdhal solat berjemaah dari solat bersendirian walaupun tidak khusyuk solat berjemaah berbanding solat bersendirian.
2. Tertib-Jumaat kerana disyarat berjemaah, subuh Jumaat, subuh lain, Isyak, Asar, Zohor, Maghrib.
3. Afdhal solat berjemaah berkait dengan tempat: 3 masjid- Masjidilharam, Masjid Nabi, MasjidilAqsa, masjid yang diyakini halal sumber binaan dan tempat.
4. Jika berlaku keadaan solat di masjid tidak dapat berjemaah iaitu berseorangan, sedangkan solat di rumah dapat berjemaah, maka afdhal solat berjemaah, kerana perkara yang berkait dengan ibadat iaitu berjemaah lebih afdhal dari yg bergantung dengan tempat iaitu masjid.
5. Solat berjemaah yang ramai lebih afdhal dari yang sedikit, melainkan jika imamnya bidah dan kumpulan sedikit itu tidak bidah
6. Berjemaah dalam kumpulan sedikit yang didengar bacaan Fatihah dan surah imam lebih afdhal dari berjemaah yang tidak dapat didengar bacaan Fatihah dan surah imam
7. Mereka yang lebih utama menjadi imam adalah pemerintah, imam dilantik, yang alim fiqh, qari, warak, lebih awal Islamnya, keturunan baik, suci pakaian, suci badan, baik pekerjaannya, elok suaranya, elok rupanya. 8
8. Jika makmum mufaraqah dari imam kerana ada keuzuran, fadhilat berjemaahnya tidak luput, sama ada keuzuran diri makmum atau imam. Contohnya imam meninggalkan tahiyat awal, qunut atau dipanjangkan bacaannya lebih dari sekurang- kurang afdhal sedangkan makmum tidak berupaya atau keadaan makmum yang perlu disegerakan solatnya.
9. Kadang-kadang wajib bagi makmum berniat mufaraqah, iaitu apabila berlakunya keadaan yang menjadikan solat imam batal, sedangkan makmum mengetahui imamnya batal. Jika tidak berniat mufaraqah, batal solat makmum.
4 Perkara yang didapati oleh makmum ketika berjemaah: 1. Mendapat fadhilat berjemaah 2. mendapat Jumaat 3. mendapat fadhilat Takbiratul Ihram bersama imam 4. mendapat rakaat
Huraian:
1.Mendapat fadhilat berjemaah Makmum mendapat pahala berjemaah jika sempat Takbiratul Ihram sebelum imam memberi salam pertama, walaupun makmum tidak sempat duduk bersama imam. Ini kerana makmum sempat berjemaah dalam satu rukun bersama imam iaitu Takbiratul Ihram. Namun dari segi fadhilat, tidak sama dengan mereka yang sempat berjemaah dari awal.
Beberapa Masalah: 1. Jika makmum masbuk, selepas Takbiratul Ihram, tiba-tiba imam memberi salam, sedangkan makmum belum sempat duduk bersama imam. Oleh itu makmum tidak boleh duduk bersama imam kerana duduknya imam di saat itu dikira diluar solat. Maka makmum tidak boleh mengikut imamnya iaitu 9 duduk bersama imam. Jika makmum duduk juga, batal solatnya. Jika lupa atau jahil, tidak batal tetapi wajib bangun dengan segera jika ingat (dalam masalah lupa) atau tahu (dalam masalah jahil), kemudian sunat sujud sahwi.
2. Jika makmum masbuk, imam masih membaca tasyahhud dan belum memberi salam, wajib bagi makmum duduk bersama imam. Jika tidak, batal solat.
3. Jika seorang baru datang untuk solat berjemaah ketika imam selesai rukuk pada rakaat akhir, sunat baginya menanti salam imam untuk mendirikan solat berjemaah yang baru untuk mendapat pahala berjemaah yang lebih sempurna. Itupun jika masa masih panjang. Jika masa hampir habis, sunat berjemaah terus bersama imam yang ada. Menurut Ibn Hajar, sunat menunggu untuk berjemah yang baru itu selama tidak luput fadhilat awal waktu atau waktu ikhtiar Jika luput kedua-dua waktu itu kerana menantikan kedatangan jemaah baru, maka lebih baik berjemaah dengan yang asal.
2. Mendapat Jumaat Dikira mendapat Jumaat selepas dapat rakaat bagi makmum bersama imam walaupun pada rukuk rakaat kedua. Apabila makmum mendapat rakaat, hendaklah ia tambah satu rakaat lagi setelah selesai imam memberi salam. Sunat bagi makmum menguatkan bacaan Fatihah dan surah pada rakaat keduanya.
Makmum masbuk yang tidak sempat mendapat Jumaat kerana tidak dapat rakaat bersama imam wajib juga berniat Jumaat, dan solat disudahkan dengan Zohor (iaitu 4 rakaat). Ada pendapat berkata harus dengan niat Zohor terus.
3. Mendapat fadhilat Takbiratul Ihram bersama imam Bagi makmum yang sempat bertakbir mengiringi Takbiratul Ihram imam, dikira dapat fadhilat Takbiratul Ihram dengan 2 syarat: 10 Makmum berada di belakang imam ketika imam Takbiratul Ihram Makmum terus mengiringi Takbiratul Ihram sebaik sahaja imam selesai takbir.
Masalah: 1.Sunat bagi makmum tidak berlari ke tempat berjemaah walaupun takut luput fadhilat Takbiratul Ihram bersama imam. Ini berbeza dengan Jumaat, wajib bersegera sekadar kemampuan. 2. Sunat bagi imam atau yang solat bersendirian menunggu mereka yang hendak berjemaah bersamanya. Tempat menanti ialah semasa rukuk di rakaat akhir atau tasyahhud akhir kerana Allah dan tidak dalam masa yang lama. 3. Sunat bagi imam menunggu makmum di dalam sujud kedua (dalam masalah makmum muafiq ketinggalan dari imam dengan sebab ia menghabiskan bacaan fatihah) 4. Sunat imam meringankan solat dengan melakukan sunat abadh dan haiah iaitu sekurang-kurang afdhal dan jangan sampai had terlebih akmal, melainkan makmum redha (iaitu dengan berlafaz, dan tidak memadai dengan diam seperti yang difahami oleh Sheikh Ramli dan Ibn Hajar) 5. Makruh memulakan solat sunat selepas Iqamah dibuat. Jika seseorang solat sunat, tiba-tiba Iqamah dibuat, hendaklah disempurnakan solatnya. Ini dibuat selama mana tidak takut luput berjemaah Jika takut luput berjemaah, sunat bagi makmum memberhentikan solatnya dan meneruskan berjemaah bersama imam.
4. Mendapat Rakaat Bagi makmum masbuk yang sempat rukuk bersama imam, dikira mendapat rakaat dengan 3 syarat: i. Makmum sempat Takbiratul Ihram dengan sempurna sedangkan imam masih dalam rukuk. ii. Makmum sempat rukuk bersama imam dengan sempat Tomakninah. 11 iii. Rukuk bagi makmum yang dikira sah berhubung dengan rukuk imam yang dikira sah iaitu semasa imam rukuk, tidak ada apa-apa keadaan yang membatalkan solat imam seperti berhadas atau kena najis.
Masalah:
1. Makmum masbuk yang sempat rukuk bersama imam dengan dapat tamakninah, tiba-tiba imamnya berhadas. Makmum dikira dapat rakaat kerana dapat tamakninah rukuknya bersama imam. Sebaliknya makmum yang rukuk tidak sempat tamakninah, tiba-tiba imam berhadas, maka makmum tidak mendapat rakaat tersebut.
Demikian juga makmum tidak dapat rakaat jika syak-adakah ia mendapat tamakninah rukuk bersama imam atau tidak. Makmum perlu menambah satu rakaat kerana rukuk tidak dikira dapat rakaat, kemudian makmum sujud sahwi kerana syakitu berlaku melarat selepas imam memberi salam, dan syak seperti ini dikira luar tanggungan imam.
2. Jika seseorang ingin solat pada waktu yang hampir habis, tiba-tiba ada seorang yang sedang solat dalam keadaan rukuk. Kalau ia berjemaah dengannya, dapat satu rakaat solatnya dalam waktu. Kalau tidak berjemaah, tidak dapat solat dalam waktu walaupun satu rakaat. Maka ketika itu wajib ia berjemaah untuk mendapat rakaat di dalam waktunya walaupun satu rakaat, dan solatnya menjadi solat tunai walaupun sebahagian rakaat lain diluar waktu, kerana ia mendapat rakaat, sekurang-kurangnya satu rakaat di dalam waktu.
Perkara-perkara sunat yang dilakukan oleh makmum bersama imam
12 Makmum masbuk disunatkan takbir intiqalat ketika sama-sama berpindah dengan imam walaupun bukan tempat baginya. Misalnya ia masuk berjemaah ketika imam iktidal. Imam turun untuk sujud. Makmum sama-sama turun sujud dengan bertakbir walaupun turun itu bukan tempat bagi makmum.
Makmum masbuk disunatkan angkat tangan kerana mengikut imam seperti ia sama-sama bangun dengan imam ketika imam bangun dari tasyahhud awal. Sementara makmum masbuk tidak disunatkan mengikut imam pada keadaan duduk, seperti imam duduk tawarruk pada tahiyat akhir. Maka makmum yang belum bertahiyat akhir, sunat duduk iftirash.
Masalah:
Wajib bagi makmum masbuk bangun selepas imam memberi salam kedua. Oleh itu, haram bagi makmum itu masih duduk. Jika ia masih duduk bukan pada tempatnya, batal solatnya.
Jika makmum duduk selepas imam memberi salam kedua dan kebetulan tempat tasyahhud awal baginya, maka harus bagi makmum duduk walaupun lama masanya. Contohnya: imam pada rakaat ke-3 pada solatnya 4 rakaat. Makmum baru masuk berjemaah ketika itu Ertinya semasa imam tahiyat akhir, tempat itu ialah tempat tahiyat awal bagi makmum.
HUKUM MASBUQ DAN MUAFIQ
Setiap makmum yang berjemaah, fardhu atau sunat, tidak terlepas sama ada keadaannya masbuq atau muafiq. Definisi: Muafiq- makmum yang bersama imam iaitu makmum sempat menghabiskan bacaan Fatihahnya ketika ia qiam bersama imam. Hukum: dimaafkan kepada makmum muafiq ketinggalan dari imam sebanyak 3 rukun panjang sekiranya berlaku keadaan 13 yang mengharuskan ketinggalan tersebut. Contohnya: imam rukuk, sujud pertama dan sujud kedua. Justru, kiranya makmum tidak menyelesaikan bacaan Fatihahnya sebaik sahaja imam berpindah ke rukun ke-4 baginya, maka makmum mesti membuat pilihan antara mufaraqah atau mengikut imam tersebut.
Definisi Masbuq- makmum yang didahului oleh imam iaitu makmum yang tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihahnya atau langsung tidak sempat membacanya. Ia qiam bersama imam atau ia mula berjemaah semasa imam sedang rukuk atau hampir rukuk.
Oleh itu makmum masbuq tidak boleh ketinggalan dari imam sampai 3 rukun panjang. Bahkan ia hendaklah membaca Fatihah sekadar yang dapat. Apabila imam rukuk, ia hendaklah rukuk. Fatihah yang tidak sempat dihabiskan ditanggung oleh imam. Demikian juga, makmum masbuq yang mula berjemaah semasa imam sedang rukuk, ia terus rukuk tanpa membaca apa-apa. Apabila sempat rukuk bersama imam serta tamakninah, maka dikira makmum tersebut mendapat rakaat itu.
Masalah berhubung dengan makmum muafiq: 1. Makmum muafiq tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihah kerana tabiat lambat membaca, dimaafkan tertinggal dari imam walaupun sehingga 3 rukun panjang. Jika bacaan fatihah tidak dapat dihabiskan sehingga imam berpindah ke rukun ke-4, makmum perlu membuat pilihan di antara mufaraqah atau mengikut imam. Jika ia mengikut imam, rakaat tersebut tidak dikira dan makmum mesti menambah satu rakaat selepas imam memberi salam.
Makmum muafiq yang lambat bacaannya kerana was-was, tidak dimaafkan ketinggalan dari imam 3 rukun panjang, bahkan ia hendaklah menyempurnakan bacaannya sebelum 14 imam turun untuk sujud. Jika tidak sempat menghabiskan bacaannya, hendaklah ia berniat mufaraqah. Jika tidak berniat mufaraqah sebelum imam turun sujud, dan sebaik imam turun sujud, batal solat makmum. (Makmum muafiq yang was-was dihukumkan seperti orang yang sengaja melambatkan bacaan Fatihahnya. Oleh itu tidak dimaafkan ketinggalan dari imam sebanyak 3 rukun panjang.)
2. Makmum muafiq yang syak ia membaca Fatihah atau tidak, dan belum lagi rukuk sedangkan imamnya sudah rukuk. Maka makmum berkenaan wajib membaca Fatihah dan dimaafkan ketinggalan dari imam 3 rukun panjang. Jika makmum berkenaan belum selesai bacaan Fatihahnya sedangkan imam berpindah ke rukun ke-4 baginya, maka makmum berkenaan ketika itu membuat pilihan di antara mufaraqah atau terus mengikut imam. Jika makmum tidak membuat pilihan, apabila sampai sahaja imam kepada rukun ke-4, batal solatnya.
3. Makmum muafiq yang syak membaca Fatihah atau tidak, kemudian rukuk bersama imam. Maka hukumnya makmum tersebut tidak boleh kembali untuk membaca Fatihah, bahkan wajib ia terus mengikut imam. Apabila imam selesai memberi salam, wajib ia menambahkan satu rakaat lagi.
4. Makmum muafiq yang lupa membaca Fatihah semasa ia qiam bersama imam, dan terus lupa sehingga imam rukuk, sedangkan makmum masih belum rukuk. Kemudian baru teringat, maka wajib makmum membaca Fatihah dan tidak boleh ia rukuk bersama imam dan dimaafkan ia ketinggalan 3 rukun panjang dari imam.
5. Makmum muafiq yang syak membaca Fatihah atau tidak semasa ia sudah rukuk, sedangkan imamnya belum rukuk. Maka makmum itu wajib bangun semula membaca Fatihah dan dimaafkan ketinggalan dari imam walaupun 3 rukun panjang.
15 6. Makmum muafiq yang tidak sempat membaca Fatihah kerana membaca bacaan sunat selepas Takbiratul Ihram seperti doa Iftitah. Imam rukuk dan makmum tidak sempat membaca Fatihah atau menghabiskannya. Maka ia dimaafkan ketinggalan 3 rukun panjang dari imam.
7. Makmum muafiq yang menunggu saktah dari imam (iaitu ia mendengar bacaan fatihah imamnya bertujuan mendapat pahala sunat, dan bercadang membaca Fatihah apabila imam membaca surah kemudiannya) tetapi sebaik sahaja imam selesai membaca Fatihah, i. ia terus rukuk tanpa membaca apa-apa surah. Justru, makmum tidak sempat membaca Fatihah. atau ii. dibaca surah terlalu pendek sehingga makmum tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihah.
Maka hukum makmum begini dalam 2 masalah di atas ialah ia wajib membaca Fatihah dan dimaafkan ia ketinggalan dari imam sehingga 3 rukun panjang
8. Makmum muafiq tertidur di tengah solat pada tasyahhud awal dengan tetap punggungnya di tempat duduk, berterusan tidur, lalu ditinggal oleh imam sehingga imam turun untuk rukuk. Barulah makmum terjaga dari tidurnya. Masalah ini terdapat perselisihan di antara ulama: i. Sheikh Ibn Hajar berkata: Makmum ini seperti orang yang masbuk (iaitu tidak boleh ketinggalan dari imam sebanyak 3 rukun panjang. Bahkan ia hendaklah membaca Fatihah sekadar yang dapat dan terus rukuk bersama imam. Jika ia sempat rukuk serta ada tomakninahnya, maka dikira dapat rakaat tersebut. ii. Sheikh Ramli berkata: Makmum tersebut seperti makmum muafiq (iaitu dimaaf ketinggalan 3 rukun panjang dari imam)
16 9. Makmum muafiq yang ketinggalan dari imam. Apabila imam bertakbir untuk qiam, disangka imam duduk utk tasyahhud awal. Lalu ia duduk bertasyahhud. Ia mendengar imam bertakbir untuk rukuk, disangkanya bangun dari tasyahhud awal. Selepas itu baru makmum sedar bahawa takbir imam tadi untuk rukuk. Ada berlaku khilaf:
i. Sheikh Ibn Hajar berkata: Makmum ini seperti orang yang masbuk (iaitu tidak boleh ketinggalan dari imam sebanyak 3 rukun panjang. Bahkan ia hendaklah membaca Fatihah sekadar yang dapat dan terus rukuk bersama imam. Jika ia sempat rukuk serta ada tomakninahnya, maka dikira dapat rakaat tersebut. ii. Sheikh Ramli berkata: Makmum tersebut seperti makmum muafiq (iaitu dimaaf ketinggalan 3 rukun panjang dari imam)- sama dengan di atas
10. Makmum muafiq yang sama-sama membaca tasyahhud awal bersama imam. Apabila imam berdiri dari tasyahhud awal, makmum masih membaca tasyahhud awal. Apabila makmum berdiri dari tasyahhud awal, didapati imam sudah rukuk atau hampir hendak rukuk. Berlaku khilaf di antara Ibn Hajar dan Ramli:
i. i. Sheikh Ibn Hajar berkata: Makmum ini tidak termasuk dalam kalangan muafiq (iaitu tidak boleh ketinggalan dari imam sebanyak 3 rukun panjang kerana dikira sebagai sengaja meninggalkan bacaan Fatihah. Bahkan ia hendaklah membaca Fatihah, dan jika dapat disempurnakan Fatihahnya, kemudian sempat rukuk bersama imam serta Tomakninah, maka dapat rakaat. Jika ia tidak sempat rukuk serta tomakninah, maka hendaklah ia mufaraqah sebelum imam turun sujud. Dan setelah mufaraqah dari imam, hendaklah ia melakukan aturan solat dengan berseorangan. Jika tidak mufaraqah, batal solat makmum. 17 ii. Sheikh Ramli berkata: Makmum tersebut seperti makmum muafiq (iaitu dimaaf ketinggalan 3 rukun panjang dari imam)- sama dengan di atas
Masalah berhubung dengan makmum masbuq:
1. Makmum masbuq tidak sempat membaca Fatihah kerana imam hampir rukuk atau sudah rukuk. Wajib bagi makmum rukuk bersama imam. Sekiranya dapat rukuk bersama imam serta tomakninah, maka dikira dapat rakaat. Fatihah yang tidak sempat dibaca, ditanggung oleh imam.
2. Makmum masbuq tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihah kerana imam rukuk, maka wajib ia rukuk bersama imam, walaupun tabiatnya membaca dengan lambat. Ia berbeza dengan makmum muafiq yang bertabiat lambat membaca Fatihah, maka wajib ia membaca Fatihah walaupun ditinggalkan oleh imam sehingga 3 rukun panjang. Sebahagian Fatihah makmum yang belum dibaca ditanggung oleh imam.
3. Makmum boleh menjadi muafiq pada rakaat pertama. Kemudian menjadi masbuq pada rakaat kedua kerana tertinggal dari imam dengan sebab terlambat dalam menunaikan aturan solat. Justru, sebaik sahaja ia bangkit untuk qiam, didapati imam rukuk atau hampir rukuk, maka makmum tersebut menjadi masbuq. Maka, jika ia sempat qiam dengan sempurna, kemudian terus rukuk serta tomakninah bersama imam, maka dapat rakaat baginya dan dimaaf ia meninggalkan bacaan Fatihahnya.
4. Makmum masbuq rukuk selepas imam iktidal, atau ia rukuk bersama imam tetapi tidak sempat tomakninah. Oleh itu 18 makmum tidak dapat rakaat tersebut dan wajib menambah satu rakaat selepas imam memberi salam.
5. Makmum masbuq yang membaca bacaan sunat (doa Iftitah) selepas Takbiratul Ihram. Tiba-tiba imam rukuk sedangkan makmum belum membaca Fatihah. Maka makmum wajib membaca ayat Fatihah sekadar ayat yang dibaca pada bacaan sunat. Makmum menggunakan ijtihad dengan zan. Selepas itu ia rukuk bersama imam serta tomakninah dan mendapat rakaat.
6. Ada imam yang terlalu pantas gerakan atau bacaannya. Justru makmum ketinggalan dari imam, misalnya makmum bangkit dari sujud dan didapati imam telah rukuk. Makmum tidak sempat membaca Fatihah. Oleh itu makmum wajib rukuk bersama imam kerana ia dikira makmum masbuk. Jika sempat rukuk bersama imam serta tomakninah, dikira dapat rakaat. Begitulah hukumnya pada setiap rakaat.
7. Makmum masbuq tidak membaca Fatihah selepas Takbiratul Ihram sehingga imam rukuk. Hukumnya wajib bagi makmum membaca ayat Fatihah sekadar masa yang ia diam. Selepas itu terus rukuk bersama imam. Jika sempat rukuk bersama imam serta tomakninah, dikira dapat rakaat. Jika tak sempat, tiada rakaat dan tambah satu rakaat selepas imam beri salam.
Masalah: Makmum masbuk ketinggalan dari imam kerana hendak menyelesaikan bacaan Fatihahnya. Apabila imam bangkit dari rukuk, wajib bagi makmum mufaraqah (mengikut pandangan Ibn Hajar, Sharbaini, Ramli) dan tidak wajib mufaraqah (mengikut Zakaria Ansari) bahkan diberi pilihan di antara mufaraqah atau terus mengikut imam iaitu sujud bersama imam dengan meninggalkan rukuk itu.
Hukum Makmum Masbuq Pada Solat Jumaat: Jika ia sempat rukuk bersama imam serta tomakninah, maka dikira mendapat Jumaat. Oleh itu ia dikehendaki menambah 19 satu rakaat lagi selepas imam memberi salam, dan sunat ia membaca dengan nyaring pada bacaan Fatihah dan surah kerana dikira mendapat rakaat Jumaat padanya. Masalah ini berbeza jika ia sempat berjemaah selepas imamnya rukuk pada rakaat kedua seperti ia datang berjemaah semasa imam berada pada tasyahhud atau iktidal, atau ia sempat rukuk bersama imam tetapi tiada tomakninah. Maka makmum tidak mendapat Jumaat kerana dikira tidak dapat rakaat bersama imam. Oleh itu, makmum hendaklah menyudahkan solatnya dengan Zohor. Bacaan Fatihah dan surah pada dua rakaat pertama baginya hendaklah diperlahankan kerana dikira solat Zohor baginya. Bagi makmum yang masbuq solat Jumaat, tidak sempat mengikut imam semasa imam rukuk pada rakaat kedua, maka ada perselisihan pendapat dalam berniat Jumaat atau Zohor. Ada di antara ulama berpendapat berniat Jumaat tapi perlaksanaannya solat Zohor dan ada ulama berpendapat terus sahaja berniat Zohor.
Bagi makmum masbuq yang mendapat rakaat bersama imam, maka dikira mendapat Jumaat dan apabila orang lain berimam dengannya selepas ia mendapat rakaat, maka dikira mendapat jumaat juga. Begitulah sehingga masuk waktu Asar, barulah dikira habis Jumaat pada hari itu.
Susunan: alfaqir ila rabbihi: niknasri@hotmail.com Kemaman, Terengganu. 3 RabiulAwwal 1426 12 April 2005