You are on page 1of 12

Tajuk : Ceritakan suasana temasya Hari Sukan sekolah kamu.

Pada hari Ahad yang lepas,sekolah saya telah mengadakan temasya sukan tahunan.Sukan
tahunan tersebut diadakan di padang sekolah saya yang luas itu.
Sebelum sukan diadakan,semua guru dan murid sibuk membuat persiapan.Padang
dihiasi dengan panji-panji dan belon-belon yang berwarna-warni.Beberapa buah khemah
didirikan di tepi padang.Para peserta sukan berlatih dengan bersungguh -sungguh pada
setiap hari.
Pada hari sukan,semua murid dan guru hadir awal ke sekolah.Para peserta sukan
berkumpul di padang.Pengerusi PIBG sekolah merasmikan sukan tersebut.Pelbagai
persembahan diadakan seperti pancaragam,yoyo cina,tarian dan sebagainya.Persembahan
murid sungguh menarik.Para penonton memberikan tepukan yang gemuruh.Perbarisan
peserta sukan juga diadakan.
Tujuan diadakan sukan adalah untuk mencungkil bakat dan menyihatkan
badan.Pelbagai acara sukan diadakan seperti lompat tinggi,lompat jauh,lumba lari,tarik tali
dan sebagainya.Acara lari berganti-ganti menjadi acara kemuncak hari sukan.Para peserta
berlari dengan pantas menuju ke garisan penamat.Para penonton bersorak untuk memberi
sokongan kepada peserta pasukan masing-masing.Suasana di padang riuh-rendah dan
meriah.
Acara sukan berakhir pada pukul 12.00 tengah hari.Rumah Merah telah muncul
sebagai juara.Kit Seng telah terpilih sebagai olahragawan manakala Siti Fatimah dipilih
sebagai olahragawati.Guru Besar menyampaikan piala kepada para pemenang.Beliau
mengucapkan tahniah kepada murid yang berjaya dan menasihati murid yang tidak berjaya
supaya tidak berputus asa.
Selepas majlis penyampaian hadiah tamat,murid-murid pulang ke rumah dengan
gembiranya walaupun kelihatan letih.









Laporan Temasya Sukan Ke-10 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang

Pada 14 Mac 2010, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan termasya sukan
yang ke-10. Termasya sukan ini diadakan di padang sekolah bermula pada pukul 8.30 pagi.

Sehari sebelum temasya itu dimulakan, kerja-kerja membuat persiapan terakhir telah
dilaksanakan. Khemah-khemah didirikan dan dihias dengan cantik. Beberapa orang pekerja
sekolah, guru dan murid berganding bahu meyiapkan kerja-kerja tersebut. Papan mencatat
markah rumah-rumah sukan diletakkan di tengah-tengah padang. Manakala, bendera rumah
sukan, bendera Negeri Pahang dan Jalur Gemilang dikibarkan di bahagian depan astaka.

Keadaan cuaca pada pagi temasya sukan itu sangat baik. Pada pukul 8.00 pagi, semua
hadirin termasuk ibu bapa mula memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan di sebelah
astaka. Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh yang tiba kira-kira pukul 8.10 pagi
disambut oleh Guru Besar sekolah iaitu Encik Awang Satip bin Mat Salleh serta Pengerusi
PIBG. Acara dimulakan dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil
bahagian. Pegawai Pendidikan Daerah menerima tabik hormat dan seterusnya merasmikan
sukan tersebut.

Selepas upacara perasmian dilakukan, acara sukan pun dilangsungkan. Acara-acara yang
dijalankan berjalan lancar dan teratur. Acara sukan berhenti untuk rehat pada pukul 10.00
pagi dan disambung semula setengah jam kemudian. Acara lari 4 X 100 meter menjadi
acara kemuncak sukan pada hari itu. Kira-kira pukul 11.30 pagi, semua acara tamat.
Seterusnya, acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pula dijalankan. Hadiah
disampaikan oleh Tuan Pegawai Pendidikan Daerah dengan diiringi oleh Tuan Guru Besar.

Pasukan yang menjadi juara pada kejohanan sukan ke-10 ini ialah pasukan Rumah Kuning.
Temasya sukan ini tamat kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari. Sebelum bersurai, semua
hadirin dijemput untuk menikmati jamuan yang disediakan di kantin.


Laporan disediakan oleh, 16 Mac 2010


..............................................................
(Nur Rafhanah Izzah binti Ahmad Zaidee)






FAEDAH MENYERTAI AKTIVITI KOKURIKULUM
Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di
sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan
dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum mendatangkan banyak
faedah.

Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti
kokurikulum, kita tiada masa untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang hantu.Secara
tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya,
jika kita aktif dalam bidang sukan, kita akan berlatih setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum
dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.

Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai
jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa.
Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan
aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal
yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri.
Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya.
Contohnya, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada
peraturan perkhemahan, bersukan dan sebagainya.


Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan
kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan
lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk
bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan
mengeratkan hubungan sesamakita.

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila kita menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak
sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu
bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh
itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.











SOALAN : Tulis sebuah karangan tentang " Cara Menggunakan Masa dengan Berfaedah"



Pelbagai istilah tentang masa yang kita dengar atau lihat. Antaranya ialah "Masa itu Emas",
"Masa ialah Kehidupan" dan sebagainya. Ini menunjukkan masa sangat penting dalam kehidupan kita
kerana masa yang berlalu tidak dapat diganti. Oleh itu, kita harus bijak mengurus masa supaya tidak
membazir begitu sahaja.
Masa dapat digunakan dengan berfaedah apabila kita memenuhinya dengan melakukan hobi
yang bermanfaat. Contohnya, bersukan, melancong, berekreasi, mengumpul setem dan sebagainya.
Jika kita gunakan masa dengan hobi yang bermanfaat akan dapat memberikan kepuasan kepada
kita.
Selain itu, kita dapat gunakan masa yang terluang dengan menziarahi sanak saudara, datuk
dan nenek serta teman-teman. Selain dapat bersiar-siar, kita akan dapat mengeratkan hubungan
kekeluargaan dan persahabatan.
Aktiviti yang paling bermanfaat untuk mengisi masa lapang ialah membaca. Pelbagai bahan
bacaan dapat dibaca seperti buku rujukan, surat khabar, novel, majalah, jurnal dan sebagainya. Kita
dapat mencedok ilmu dan maklumat sebanyak mungkin daripada bahan bacaan ini.
Di samping itu, kita dapat menggunakan masa yang terluang dengan membantu ibu bapa
membuat kerja-kerja rumah. Kita perlu faham situasi ibu bapa kita yang seharian penat bekerja. Oleh
itu, jika kita membantu mereka mengemas rumah, menyapu sampah dan sebagainya, kita secara
tidak langsung dapat meringankan beban mereka. Kita juga akan dapat mengeratkan hubungan
kekeluargaan.

Kesimpulannya, kita sebagai manusia sewajarnya mendisiplinkan diri supaya tidak membuang
masa begitu sahaja kerana masa sangat berharga. Oleh itu, uruslah masa dengan bijak.

Faedah Bersukan
Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita.
Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti sukan.Hal ini
kerana melalui bersukan banyak faedah yang kita peroleh.

Salah satu daripada faedahnya ialah dapat menyihatkan tubuh badan.Apabila kita berakreasi
seperti berbasikal,bermain badminton dan sebagainya,badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku
pembakaran lemak dalam tubuh kita.Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak
berasa lesu ketika belajar di dalam kelas.

Seterusnya, melalui bersukan kita dapat mengeratkan hubungan dan menambah kenalan.
Kita dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira umur, bangsa mahupun agama.
Kebiasaannya, ketika kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu yang
berada di kawasan itu. Hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat
dipupuk.

Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti mengisi masa lapang secara bermanfaat.Sesi
latihan permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu lapang.Kesibukan kita menyertai
sesi latihan dan beriadah dapat menghidarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial.

Di samping itu, dengan bersukan kita dapat mengharumkan nama sekolah.Sekiranya kita
berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah,daerah, negeri mahupun
negara.Apabila kita berjaya memenangi mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya
mengharumkan nama sekolah.Nama kita juga kian dikenali dan rezeki makin bertambah.

Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan.Marilah kita bersama-sama
menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia masyarakat yang cerdas dan cergas.

SOALAN : Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada kita.
Tulis karangan tentang cara-cara menjaga kesihatan diri.

Semua orang perlu menjaga kesihatan mereka sendiri supaya mereka dalam keadaan yang sihat dalam hidup
mereka. Ada banyak cara untuk memastikan kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.

Cara yang laing mudah ialah seseorang itu perlu menjaga kebersihan diri. Aktiviti mandi dan memakain pakaian
yang bersih serta memastikan kawasan sekeliling rumah bersih merupakan langkah yang paling praktikal untuk
dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Selain itu, pemakanan yang seimbang amat penting terutama makanan yang berzat. Makanan segera perlulah
dijauhkan tetapi air hendaklah diambil dalam kuantiti yang banyak dalam sehari untuk menjamin kesihatan yang
baik.

Malah, aktiviti bersenam juga mampu mengekalkan kadar kesihatan yang baik. Senaman memastikan peluh
dikeluarkan bersama-sama toksik badan yang mampu memberikan seseorang itu tahap imunisasi yang tinggi
terhadap sebarang serangan penyakit.

Seseorang itu juga perlulah bertemu dengan doktor mengikut jadual berkala. Pemeriksaan yang berjadual
sebegini mampu mengesan penyakit ketika di peringkat awal lalu mudah menyembuhkannya dan nasihat doktor
hendaklah dipatuhi selalu.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tanggung jawab yang harus dilaksanakan dengan penuh
amanah. Kesihatan yang baik bukan sahaja menijmatkan kos perubatan seseorang itu tetapi memberikan satu
kehidupan yang penuh ceria kepada diri dan keluarga.


Berita-Sempena Bulan Kemerdekaan
Sempena Bulan Kemerdekaan, sekolah kamu telah menganjurkan beberapa aktiviti yang menarik. Sebagai
wartawan majalah sekolah, kamu dikehendaki menulis berita tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

RAWANG, Jumaat-Sekolah Kebangsaan Taman Desa telah menganjurkan sambutan Bulan Kemederkaan
pada bulan Ogos lalu.

Tujuan Bulan Kemerdekaan ini diadakan adalah untuk menyemai sikap patriotik dalam kalangan murid-
murid. Di samping itu, dapat memberi pendedahan kepada murid-murid tentang sejarah kemerdekaan
negara. Murid-murid juga dapat dipupuk amalan bersyukur dan menghargai kemajuan yang dicapai oleh
negara.

Pada 15 Ogos, upacara perasmian sambutan bulan berkenaan telah dilakukan oleh Puan Guru Besar.
Beliau mengingatkan murid-murid supaya berasa bersyukur dapat tinggal di negara yang aman. Kemudian
persembahan deklamasi sajak dan koir bertemakan kemerdekaan.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang bualan kemerdekaan ialah pertandingan pidota,
pertandingan menulis esei, pertandingan menulis poster dan pameran sejarah kemerdekaan. Setiap kelas
tahap dua telah menghantar peserta bagi pertandingan yang diadakan. Penyertaan murid-murid begitu
menggalakkan terutama bagi pertandingan melukis poster dan menulis esei.

Pada acara penutup pada 16 September, Puan Guru Besar telah menyampaikan hadiah kepada para
pemenang pertandingan. Hadiah yang disampaikan berupa trofi dan sijil penghargaan. Sebelum bersurai,
semua murid diminta melaungkan kalimah “Merdeka” dengan penuh bersemangat.

Diharapkan melalui program sebegini, semangat sayang akan negara sentiasa subur dan berkekalan di jiwa
setiap murid. Semangat patriotisme ini amat penting bagi murid-murid yang akan menjadi generasi pelapis
negara.

Syarahan : Pentingnya Anak-anak Menghormati Ibu
Bapa
SOALAN : Kamu akan menyertai pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan
yang diberikan ialah "Pentingnya anak-anak menghormati ibu bapa".
Tulis syarahan itu selengkapnya.

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar, barisan hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasih sekalian.Selamat sejahtera saya ucapkan.
Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk "Pentingnya
anak-anak menghormati ibu bapa".

Hadirin sekalian,

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Merekalah orang yang banyak
berjasa kepada kita. Mereka mencurahkan kasih sayang sejak kita di dalam kandungan lagi. Oleh itu,
menghormati mereka dengan sepenuh hati merupakan salah satu cara kita membalas jasa-jasa
mereka.

Anak-anak perlu sedar bahawa ibu bapa banyak berkorban wang ringgit untuk menyara dan
memenuhi keperluan kita. Namun, mereka sekali-kali tidak pernah merungut tentang kos untuk
membesarkan kita selama ini. Betapa zalimnya jika kita tidak menghargai jasa dan pengorbanan
yang dicurahkan oleh mereka kepada kita.

Hadirin sekalian,

Ibu bapa telah memberikan pendidikan agama, akhlak dan sahsiah kepada kita. Mereka juga
menjalankan tanggungjawab mereka dengan memberikan kita pendidikan yang sempurna.Balaslah
jasa mereka, apatah lagi apabila kita sudah berjaya menggapai cita-cita.

Selain itu, ibu bapa juga merupakan insan yang paling rapat dengan kita. Sekiranya kita
mempunyai masalah, mereka akan berusaha mencari jalan penyelesaiannya.Oleh itu, sayangilah
mereka kerana ibu bapa tiada galang gantinya di dunia ini.

Oleh yang demikian, kita perlulah sentiasa menghormati ibu bapa. Sebagai anak, kita perlu
mencari keberkatan di dunia dan akhirat. Semuanya dapat diperoleh apabila kita mendapat restu
daripada ibu bapa kita. Marilah kita bersama-sama menghormati ibu bapa kita.

Sekian, terima kasih.


SOALAN : Anak yang baik akan sentiasa membalas jasa ibu bapanya. Berikan pendapat kamu,
cara-cara yang patut dilakukan untuk membalas jasa kedua-dua orang tua kita.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setiap insan sudah pastinya mempunyai ibu bapa. Sesudah sembilan bulan dikandung ibu,
dengan izin Allah, kitapun dilahirkan. Sesudah lahir, kita dijaga dengan penuh kasih sayang, bagai
menatang minyak yang penuh.
Sebagai anak, kita sewajarnya membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita. Pelbagai cara boleh
kita lakukan untuk membalas jasa mereka. Antaranya, kita perlu belajar bersungguh-sungguh.
Kejayaan yang cemerlang dalam UPSR sudah tentu mampu menggembirakan ibu bapa kita.
Sesungguhnya setiap ibu bapa inginkan anaknya berjaya dalam pelajaran kerana pelajaran boleh
menentukan masa depan kita.
Kita juga sebagai anak yang baik sewajarnya mempamerkan tingkah laku yang mulia.
Apabila bertutur dengan ibu bapa, elakkan bercakap kasar. Segala nasihat mereka perli didengar
dengan teliti dan diikuti sebagai pedoman hidup. Kita janganlah menyinggung perasaan mereka
dengan tingkah laku kita yang boleh menyebabkan hati mereka sakit, bagai dihiris dengan sembilu.
Kita juga haruslah bersikap tangan terbuka membantu mereka. Seharian mereka bekerja
untuk mencari nafkah menanggung kita sekeluarga. Dengan sikap kita yang suka membantu ibu
bapa, sudah pastinya akan meringankan beban mereka yang sudah penat bekerja. Kita boleh
membantu mereka mengemas rumah, memasak, menyiram pokok bunga dan sebagainya.
Sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa menyediakan keperluan asas kepada kita.
Namun, sebagai anak yang baik, kita janganlah mendesak mereka memenuhi apa yang kita inginkan.
Contohnya, kita mendesak mereka membeli komputer, pakaian yang mahal-mahal dan sebagainya.
Kita janganlah membandingkan kemampuan ibu bapa kita dengan kemampuan orang lain. Kita
sepatutnya perlu ukur baju dibadan sendiri, agar kita tidak dianggap seperti kacang lupakan kulit.
Sesungguhnya, pengorbanan ibu bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Segala perit
jerih mereka membesarkan kita seharusnya dihargai. Oleh itu, kita perlu sedaya upaya berusaha
untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka.

Fakta: Cara-cara Menggembirakan Ibu Bapa
Ibu bapa merupakan orang yang banyak berjasa kepada kita. Tulis karangan cara-cara kamu
menggembirakan ibu bapa.


Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam sesebuah keluarga. Tanpa mereka, kita
tidak akan lahir ke dunia ini. Merekalah yang memberikan kita kasih sayang yang sejati hingga
sanggup berkorban harta dan nyawa demi kebahagiaan kita. Oleh sebab itu, wajarlah kita
sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati mereka.

Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berakhlak mulia. Akhlak mulia akan
menyebabkan seseorang itu mentaati perintah agama, menghormati orang lain,
bertanggunjawab, berdisplin dan sebagainya. Anak-anak yang berakhlak mulia juga akan
sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Hal yang demikian, sudah tentu akan
menggembirakan hati ibu bapa.

Ibu bapa juga tentu gembira apabila mendapati anak-anak mereka belajar bersungguh-
sungguh. Anak-anak yang rajin belajar kebiasaannya akan mendapat keputusan yang cemerlang
dalam pelajaran. Oleh itu, kita mestilah rajin belajar agar ibu bapa kita gembira serta
memperoleh masa depan yang lebih cerah.

Di samping itu, kita juga haruslah membantu mereka. Kita boleh membantu mereka
dengan melakukan kerja-kerja yang sesuai seperti mendidik adik, mengemas rumah dan
sebagainya. Dengan itu, kita dapat meringankan beban mereka dan ini tentu menggembirakan
hati mereka.

Selain itu, Ibu bapa juga tentu gembira jika anak-anak menghormati mereka. Bercakap
dengan sopan, bersalaman dan mencium tangan, mendengar teguran dan nasihat,
mengucapkan salam dan senyum semasa berhadapan dengan mereka antara contoh kita
menghormati ibu bapa. Amalkan sikap ini agar ibu bapa kita sentiasa gembira bersama anak-
anak.

Kesimpulannya, sebagai seorang anak sudah pasti kita ingin melihat ibu bapa kita
sentiasa gembira. Justeru, sentiasalah berazam dan berusaha untuk menggembirakan hati
kedua-dua ibu bapa agar hidup kita lebih diberkati.

Faedah Menabung
Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka menabung
perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada kita.
Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab
itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan
makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang diberi ibubapa dapat disimpan ke dalam tabung.

Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh digunakan
untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu,
wang simpanan juga membantu kita membeli barang-barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa
pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.

Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit wang itu
juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini juga boleh digunakan jika
ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru kita tidak perlu meminta-minta kepada
orang lain.

Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam
bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh digunakan
untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan selesa dan tidak
menyusahkan orang lain.

Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, 'ingat
sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari sekarang kerana
'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Karangan Fakta: Faedah Membaca
Membaca jambatan ilmu. Ibu bapa haruslah memupuk minat membaca di kalangan anak-
anak sejak dari kecil lagi. Terdapat pelbagai bahan bacaan yang sesuai dibaca seperti surat khabar,
majalah, buku cerita, komik dan lain-lain lagi. Bahan-bahan ini boleh didapati di perpustakaan
ataupun membelinya di kedai buku.

Membaca dapat memberikan pelbagai faedah kepada kita. Antaranya membaca dapat
menambah ilmu pengetahuan. Dengan membaca buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang seperti
bidang sejarah, ekonomi, perubatan dan sebagainya, menjadikan kita pelajar yang berpengetahuan
luas dan otak cair. Secara tidak langsung akan membantu kita menjadi pelajar yang cemerlang dan
menjadi kebanggaan ibu bapa serta guru-guru.

Dengan membaca juga kita akan dapat mengetahui isu-isu semasa. Apabila kita membaca
surat khabar, kita akan tahu berita semasa di dalam dan di luar negara. Contohnya berita tentang
gempa bumi di Jepun, peperangan di Palestin, Banjir di Johor dan sebagainya.

Di samping itu, membaca juga dapat menghiburkan kita. Apabila kita berasa penat setelah
menelaah pelajaran, kita boleh membaca buku-buku yang boleh menghiburkan kita seperti komik,
majalah dan lain-lain lagi. Dengan itu, kita dapat menghilangkan rasa penat.

Seterusnya, membaca dapat mengisi masa lapang kita. Kita dapat mengelakkan diri kita
daripada bergaul dengan kacang hantu atau kutu embun. Secara tidak langsung, kita tidak akan
terjebak dengan gejala sosial seperti melepak, bergaduh, vandalisme dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, membaca amat penting kepada para pelajar. Oleh itu, kita haruslah tanamkan sikap
suka membaca pada setiap masa. Rakyat yang suka membaca adalah rakyat yang berilmu.

faedah mengikuti kelas tambahan.
Kelas tambahan bermaksud kelas pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan
di luar waktu persekolahan atau ketima musim cuti sekolah.Ketika ini, kelas tambahan
seakan-akan menjadi suatu kewajipan bagi mana-mana sekolah. Pihak ibu bapa pula
beranggapan kelas tambahan ini perlu bagi meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak.
Kelas tambahan ini biasanya menjadi pilihan utama ibu bapa kerana kelas ini
boleh diikuti oleh murid-murid secara percuma. Ini secara tidak langsung dapat
menjimatkan kos perbelanjaan ibu bapa. Tambahan pula, tenaga pengajarnya pula terdiri
daripada guru-guru sekolah itu sendiri.
Selain itu, kelebihan kelas tambahan ialah guru boleh memberikan banyak latihan
tambahan yang boleh meningkatkan keupayaan murid itu untuk menjawab soalan.
Kaedah ini juga dikenali sebagai latih tubi yang turut memberikan satu pengalaman
kepada murid untuk menghadapi realiti peperiksaan sebenarnya. Pengalaman menjawab
yang dialami dalam kelas tambahan berupaya memberikan satu keyakinan kepada murid
tersebut dalam menghadapi peperiksaan pula.
Di samping itu, kelas tambahan yang dijalankan biasanya memberikan lebih
kefahaman kepada murid-murid. Murid-murid yang lemah akan diberikan lebih tumpuan
kerana kelas ini tidak menekankan silibus. Oleh itu, kelas tambahan banyak membantu
murid-murid sederhana dan lemah untuk menguasai kemahiran dalam sesuatu mata
pelajaran.
Malah, kelas tambahan juga memastikan murid-murid memanfaatkan masa
dengan aktiviti yang berfaedah. Kelas tambahan yang diadakan selepas waktu sekolah
biasa menyukarkan murid-murid untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang
hantu. Ini dapat menghalang mereka terbabit dalam gejala yang tidak sihat seperti
melepak dan menghabiskan masa menonton televisyen.
Kesimpulannya, Kelas tambahan banyak menberikan manfaat. Oleh itu, ibu bapa
harus menggalakkan anak-anak mengikuti kelas tambahan untuk memastikan masa
depan mereka cerah.


SOALAN : Murid-murid digalakkan pergi ke perpustakaan. Berikan pandapat kamu tentang
faedah-faedah yang diperoleh jika seseorang itu memanfaatkan perpustakaan.


Perpustakan adalah gedung ilmu.Di perpustakaan terdapat banyak buku yang boleh dibaca
seperti seperti buku cerita, novel, majalah, jurnal, dan lain-lain lagi. Di negara kita, perpustakaan
awam terdapat di mana-mana sahaja untuk kemudahan orang ramai membaca. Ini kerana dengan
membaca, pengetahuan murid-murid semakin bertambah dan ini tentu membantu murid-murid dalam
pelajaran. Perpustakaan banyak memberi faedah kepada kita.

Sebagai murid, kita dapat mengisi masa lapang dengan memanfaatkan perpustakaan.
Mereka yang selalu ke perpustakaan akan dapat mengelakkan diri daripada bergaul dengan kacang
hantu. Ini secara tidak langsung akan terhindar daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat
seperti melepak, merokok dan lain-lain lagi. Dengan itu, murid-murid akan berjaya dalam pelajaran
dan masa depan mereka akan lebih cerah.

Selain itu, perpustakaan adalah tempat membentuk disiplin diri. Perpustakaan mempunyai
peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi seperti larangan membuat bising, memulangkan buku
mengikut tarikh, menyusun semula buku di raknya dan seumpamanya lagi. Justeru, murid-murid
dapat berlatih mendisplinkan diri di perpustakaan dan ini diharap akan menjadi amalan dalam
kehidupan mereka.


Di samping itu, sekiranya kita memanfaatkan perpustakaan, kita juga dapat menjimatkan
wang ibu bapa murid-murid. Murid-murid tidak perlu membeli semua buku kerana sesetengah buku
boleh dipinjam di perpustakaan. Oleh itu, wang yang mahu digunakan untuk membeli buku-buku
tersebut bolehlah disimpan di dalam tabung. atau membeli barang keperluan yang lain.

Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, kita perlu
memanfaatkna perpustakaan yang disediakan demi kemajuan kita dalam pelajaran. Tambahan
pula, murid-murid juga dapat menghilangkan rasa bosan setelah penat belajar dengan membaca
buku-buku tertentu di perpustakaan seperti komik, majalah dan sebagainya.

Tajuk:

Kamu telah mengikuti Program Motivasi UPSR yang dianjurkan oleh sekolah kamu.
Ceritakan pengalaman kamu semasa mengikuti program tersebut. (2005)

Tahun ini merupakan tahun yang tersibuk dan terpenting untuk aku dan rakan-rakan yang
berada di tahun enam. Kami akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang
hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Kesedaran untuk melipat gandakan usaha dalam mencapai kecemerlangan mula wujud
sedikit demi sedikit dalam hati aku dan rakan-rakan. Malah, pihak sekolah juga banyak membantu
kami dengan mengadakan berbagai kursus dan bengkel motivasi. Pada hari Sabtu yang lepas, pihak
sekolah telah mengadakan Program Motivasi UPSR yang pertama di sekolahku.

Program itu diadakan di dewan sekolah bermula pada jam tujuh setengah pagi sehingga
sebelas malam. Guru-guru sekolahku serta beberapa orang guru pakar daripada sekolah lain turut
terlibat dalam program tersebut. Aktiviti pengenalan serta ceramah motivasi menjadi acara pembuka
program itu diikuti dengan ceramah subjek serta teknik menjawab soalan.

Semua peserta diberi ruang untuk berehat sekitar jam dua belas setengah. Aku dan rakan-
rakan menikmati makan tengah hari kami yang disediakan oleh pihak sekolah serta solat Zuhur
berjemaah di surau sekolah berimamkan Ustaz Adib. Setelah berehat lebih kurang dua jam, kami
kembali semula ke dewan sekolah untuk mengikuti acara seterusnya iaitu tugasan dalam kumpulan
dan aktiviti riadah.

Setiap aktiviti yang dijalankan baik secara individu mahu pun berkumpulan mengajar kami
untuk berdikari, semangat setia kawan, bekerja dalam kumpulan, tolong-menolong, bertolak ansur
dan paling penting berfikir secara kreatif. Tip-tip yang diberikan oleh pakar-pakar subjek sangat
membantu dan berguna untuk kami.

Selepas solat maghrib berjemaah, kami bersama-sama berkumpul di surau mendengar
ceramah keagaamaan daripada seorang penceramah luar yang dijemput khas. Tersentuh hatiku
mendengar setiap apa yang diperkatakan. Kemudian, kami menunaikan solat hajat selepas solat
Isyak. Ketika itulah, ramai di antara rakan-rakanku termasuk juga diriku teresak-esak menangis.
Perasaan sesal timbul kerana sedar telah banyak masa yang aku sia-siakan. Pada malam itu, aku
nekad untuk tidak akan mensia-siakan waktu yang berbaki ini.

Tepat jam sebelas malam, majlis penutup yang diadakan di dewan sekolah diakhiri dengan
lafaz Bismillah dan ikrar Aku Janji kami pelajar-pelajar tahun enam untuk berusaha bersungguh-
sungguh menaikkan nama sekolah ke peringkat yang terbaik. Di dalam hati aku, sudah tersemai
benih harapan dan tekad. Aku berharap program ini akan menjadikan aku lebih yakin untuk
menghadapi UPSR nanti.
Persatuan Tunas Kadet Remaja,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan.

________________________________________________________________________________

Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan. 05 MAC 2010

Tuan,

Memohon Mengadakan Perkhemahan Tahunan

Sukacita dimaklumkan perkara di atas adalah dirujuki.

2. Ahli Jawatankuasa Persatuan Kadet Remaja sekolah akan mengadakan aktiviti perkhemahan
tahunan. Perhemahan ini akan diadakan pada cuti pertengahan penggal yang akan datang selama tiga
hari, dua malam iaitu pada 28 Mei hingga 30 Mei 2010

3. Kami bercadang untuk mengadakan perkhemahan ini di Hutan Reakriasi Ulu Bendul, Negeri
Sembilan. Tempat ini dipilih kerana mempunyai persekitaran yang mencabar kepada para ahli .

4. Tujuan perkhemahan ini diadakan adalah sebagai aktiviti tahunan pertubuhan ini. Selain itu,
perkhemahan ini diadakan untuk memberikan pengalaman di samping dapat memupuk nilai-nilai
murni di kalangan murid seperti berdisiplin, bekerjasama dan sebagainya.

5. Sebanyak 30 orang ahli akan menyertai perkhemahan ini. Mereka terdiri daripada murid tahun
empat hingga tahun enam. Selain itu, empat orang guru penasihat akan turut serta dalam perkhemahan
ini.

Besarlah harapan kami agar permohonan ini dapat dipertimbangkan. Kerjasama daripada pihak tuan
didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,


…………………………………
(DARSAN BIN ALIMAN)
Setiausaha Persatuan Tunas Kadet Remaja
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan.