You are on page 1of 11

N0 1 Analisakancorakperluasanpengaruhkomunis di salahsebuahnegara di Asia Tenggara

kecuali Malaysia.

1.0

PENGENALAN

Republik Indonesia merujuk kepada sebuah gugusan pulau-pulau yang terletak di antara
tanah besar Asia Tenggara dan Australia serta antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.
Indonesia bersempadankan negara seperti Malaysia, Timur Leste, Singapura, dan Filipina.
Dengan lebih 13 600 pulau, Indonesia merupakan negara kepulauan terbesar di dunia.1
Gelaran Kepulauan Rempah-rempah telah menyebabkan banyak kuasa Eropah mengintai
peluang untuk menguasai Indonesia. Keperluan mendapatkan rempah ratus adalah untuk
dijadikan bahan pengawet dan pemanas. Negara-negara Eropah melihat rempah ratus yang
diimport dari Indonesia seperti cengkih, lada, buah pala, serta bunga pala adalah paling
berkualiti dan berharga.2 Selain Portugis, Belanda merupakan antara kuasa barat yang
berjaya menguasai Indonesia.
Kemunculan Belanda sebagai satu kuasa yang terkuat di antara negara-negara
Eropah seperti British dan Portugis telah menyebabkan Indonesia menjadi salah sebuah
daripada tanah jajahan mereka. Belanda dilihat berjaya menguasai Indonesia selama
hampir 350 tahun. Pada abad ke-17 dan abad ke-18, Hindia-Timur tidak dikuasai secara
langsung oleh Belanda tetapi oleh sebuah syarikat perdagangan iaitu Syarikat Hindia Timur
Belanda (VOC) yang beribu pejabat di Jakarta. Matlamat utama Syarikat Hindia Timur
Belanda adalah untuk mempertahankan hak monopoli terhadap perdagangan rempah
mereka di Nusantara. Krisis dalaman dan luaran yang berlaku telah menyebabkan Syarikat
Hindia Timur Belanda menjadi muflis pada akhir abad ke-18. Pemilikan ke atas VOC
kemudiannya telah diambil alih pemerintah Belanda pada tahun 1816 yang membawa
kepada penguasaan secara langsung ke atas Indonesia.
Penjajahan Belanda ke atas Indonesia telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada
masyarakat ekoran daripada beberapa dasar yang diperkenalkan. Perang Napoleon dan
isolasi yang disebabkan Stelsel Kontinental mengakibatkan Belanda mengalami kesulitan
ekonomi yang amat teruk. Oleh itu, sebagai langkah penyelesaian sistem tanam paksa atau
Cultuur Stelsel telah diperkenalkan oleh Van den Bosch. Menurut sistem tersebut, penduduk
1

Colin Brown, (2003). A Short History of Indonesia. Australia: Allen & Unwin, hlm. 5.

Satrio Wahono, (2005). Sejarah Indonesia Modern 1200-2004. Jakarta: PT Serambi Ilmu
Semesta, hlm. 62.

desa diwajibkan untuk menyediakan satu per lima atau lebih daripada tanah mereka untuk
ditanami komoditi eksport khususnya kopi, tebu, teh, dan nila. Penduduk desa yang tidak
memiliki tanah pula harus bekerja selama 75 hari dalam setahun pada kebun-kebun milik
pemerintah seperti pajak. Dalam kata lain, seluruh wilayah pertanian wajib untuk ditanami
dengan tanaman laku eksport dah hasilnya akan diserahkan kepada pemerintah Belanda.3
Pelaksanaan sistem tersebut nyata mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda kepada
Belanda. Walau bagaimanapun, rakyat Indonesia yang terpaksa menderita kerana mereka
semakin miskin ekoran sebahagian tanah dan tenaga harus disumbangkan secara percuma
kepada Belanda. Malah, hukuman keras juga akan dikenakan kepada mereka yang ingkar
kepada arahan tersebut. Dasar Belanda yang dilihat menindas masyarakat Indonesia telah
menyebabkan munculnya gerakan-gerakan tertentu sebagai tanda protes. Parti Komunis
Indonesia (PKI) merupakan salah satu platform alternatif hasil gagasan rakyat Indonesia
untuk menentang penjajah Belanda. Kemunculan parti tersebut telah mencetuskan
beberapa peristiwa penting yang memberi pengaruh kepada perkembangan politik
Indonesia seperti pemberontakan menentang Belanda pada November 1926, dan Peristiwa
Madium 1948.

2.0

KEMUNCULAN PARTI KOMUNIS INDONESIA (PKI)

Istilah Komunisme berasal daripada bahasa Latin Comunis yang bermaksud milik
bersama. Istilah ini telah diperkenalkan oleh Karl Marx dan Lenin. Idea mengenai ideologi
komunis buat pertama kali diungkap Karl Marx dalam satu tulisannya bersama Preddrick
Engels pada tahun 1848 yang berjudul Manifesto Komunis. Penulisan tersebut
berdasarkan kepada pengamatan mereka terhadap situasi Eropah Barat pada ketika itu
yang sedang mengalami perubahan ketara daripada pertanian kepada industri.4 Proses
transisi tersebut telah menyebabkan kuasa-kuasa Eropah bertukar menjadi lebih agresif
dalam usaha untuk memenuhi keperluan mereka. Salah satu daripadanya adalah melalui
pengenalan sistem ekonomi kapitalisme. Sistem ini dilihat memberikan kesan yang
mendalam kepada kuasa-kuasa besar, tetapi penderitaan kepada kuasa-kuasa kecil.
Maka, komunisme diperkenalkan untuk menentang sistem kapitalisme secara besarbesaran.5 Dalam kata lain, komunisme merupakan satu bentuk fahaman politik di mana

Marwati Djoened Poesponegoro, Nugroho Notosusanto, (1992). Sejarah Nasional Indonesia


IV. Jakarta: PT Balai Pustaka, hlm. 352.
4

Saleh Asad Djamhari, (2009). Komunisme di Indonesia. Jakarta: Pusjarah TNI, hlm. 5.

Mark Sandle, (2012). Communism. United Kingdom: Pearson Education Limited, hlm. 3.

rakyat memiliki kuasa mutlak untuk mentadbir negara dan semua hasil keluaran negara
adalah milik bersama rakyat.

Hendricus

Josephus

Franciscus

Maria

Sneevliet

merupakan

tokoh

yang

bertanggungjawab dalam membawa masuk ideologi komunis ke Indonesia pada tahun


1913. Beliau adalah bekas Ketua Sekretariat Buruh Nasional dan pemimpin Parti
Revolusioner Sosialis di salah satu wilayah Belanda.6 Pengunduran tersebut telah
menyebabkan Sneevliet mula aktif dalam dunia perdagangan yang telah membawa beliau
masuk ke wilayah Indonesia. Di samping menguruskan hal ehwal perdagangan, Sneevliet
telah mengambil kesempatan untuk menyebarkan ideologi komunis bukan sahaja kepada
orang Belanda tetapi juga orang Indonesia. Pada 9 Mei 1914, Sneevliet bersama P.
Bersgma, J. A. Brandstedder, H. W. Dekker telah mendirikan Indische Social Democratishe
Vereniging (ISDV) di Surabaya dengan tujuan untuk mengembangkan gerakan komunis di
Indonesia.7 Dengan menggunakan nama samaran Maring, Sneevliet telah memainkan
peranan yang sangat penting dalam gerakan komunis antarabangsa. Ketika berlangsungnya
kongres ISDV ke-7 di Semerang pada 23 Mei 1920, nama ISDV telah ditukar kepada
Perserikatan Komunis di Hindia. Manakala pada 7 Jun 1924, ketika persidangan di Jakarta
nama tersebut sekali lagi telah ditukar kepada Parti Komunis Indonesia. Pada masa yang
sama, ibu pejabat rasmi jawatankuasa pusat juga telah dipindahkan dari Semerang ke
Jakarta.8

3.0

CORAK PERLUASAN PARTI KOMUNIS INDONESIA

3.1

Peranan Hendricus Josephus Franciscus Maria Sneevliet

Sneevliet dilihat memainkan peranan yang amat penting kepada perluasan Parti Komunis
Indonesia pada peringkat awal kemunculannya. ISDV

yang dibentuk Sneevliet pada

permulaannya gagal untuk mendapat sokongan dan mempengaruhi rakyat serta organisasi

Saleh Asad Djamhari, hlm. 19.

Guy J. Pauker, (1969). The Rise and Fall of the Communist Party of Indonesia. Santa
Monica: Rand Corporation, hlm. 3
8

Ibid

pergerakan nasional seperti Boedi Oetomo dan Sarekat Islam.9 Walau bagaimanapun,
pemimpin-pemimpin ISDV terutamanya Sneevliet cuba untuk mendekati dan mempengaruhi
pemimpin-pemimpin Sarekat Islam. Sarekat Islam merupakan sebuah organisasi politik yang
bersifat

anti

kolonialisme

dan

kapitalisme.

Persamaan

sentimen

tersebut

telah

menyebabkan Sneevliet cuba untuk mengeksploitasi Sarekat Islam melalui pengikutnya.


Selain itu, pemimpin-pemimpin ISDV juga semakin giat menyebarkan propaganda mereka.
Buktinya, Sneevliet telah mempengaruhi angkatan tentera darat, Brandstedder mendekati
angkatan tentera laut, manakala Baars dan van Burink pula cuba untuk mendekati pegawaipegawai negeri.10 Sneevliet telah mengadakan pelbagai aktiviti, ceramah, dan kursus-kursus
politik. Pelbagai hasil tulisan telah diterbitkan dengan tujuan untuk mengurangkan
kepercayaan angkatan tentera kepada pemimpin pasukan mereka. Hasil daripada hasutan
dan propaganda yang disebarkan, satu organisasi dalam kalangan anggota tentera yang
berhaluan radikal iaitu Majlis Kelasi dan Marin telah dibentuk.
Tindakan Sneevliet bersama pemimpin ISDV telah berjaya dikesan oleh pemerintah
Hindia Belanda. Oleh itu, pada bulan Disember 1918 Sneevliet telah diusir dari Hindia
Belanda diikuti Brandstedder pada September 1919 atas alasan mengganggu keamanan
dan ketertiban Indonesia.11 Walaupun Sneevliet dan Brandstedder telah meninggalkan
Hindia Belanda, namun mereka berjaya memperluaskan pengaruh komunis kepada
organisasi seperti Angkatan Laut Surabaya, dan Sarekat Islam. ISDV akhirnya telah berjaya
menyebarkan ajaran komunisme di Semarang dan mempengaruhi pemimpin SI Semarang
iaitu Semaun dan Darsono. Sokongan yang diperolehi daripada SI Semarang telah
menjadikan ISDV semakin kuat dan ajaran komunisme semakin dikenali masyarakat. Pada
23 Mei 1920, bertempat di bangunan SI Semarang, ISDV telah mengubah namanya menjadi
Perserikatan Komunis di Indie (PKI). Perubahan tersebut menggambarkan bahawa
organisasi ISDV akan semakin serius dalam memperjuangkan ideologi komunisme. Semaun
telah dipilih sebagai ketua manakala Darsono sebagai wakilnya. Beberapa tokoh ISDV yang
terdiri daripada orang Belanda seperti Bersgma dilantik menjadi setiausaha, Dekker sebagai
bendahara, dan A. Baars sebagai salah seorang ahlinya.
Walaupun Semaun dan Darsono dilantik menjadi pemimpin PKI, tetapi mereka tetap
menjadi pemimpin kepada SI Semarang. Hal ini kerana, Pusat Sarekat Islam pada ketika itu
9

Pusat Sejarah dan Tradisi ABRI, (1991). Bahaya Laten Komunisme di Indonesia:
Perkembangan Gerakan dan Pengkhianatan Komunisme di Indonesia, 1913-1948. Jakarta: Markas
Besar Angkatan Bersenjata, hlm. 6.
10
Saleh Asad Djamhari, hlm. 20.
11

Abdul Karim Pringgodigdo, (1986). Sejarah Pergerakan Rakyat Indonesia. Jakarta: Dian
Rakyat, hlm. 24.

masih membenarkan anggotanya untuk menjadi anggota kepada organisasi lain.12


Penglibatan dengan PKI telah menjadikan SI Semarang semakin radikal. Buktinya, muridmurid di sekolah SI telah diajarkan lagu Internasionale yang merupakan lagu khas untuk
gerakan berhalaun kiri. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan SI Semarang menjadi
semakin radikal. Pertama ialah penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat ekoran
penjajahan Belanda. Sistem tanaman paksa yang diperkenalkan telah menyebabkan rakyat
seolah-olah menjadi kuli kepada Belanda. Kedua kerana kawasan untuk penanaman padi
semakin berkurangan ekoran perluasan kawasan tanaman tebu untuk memenuhi keperluan
industri gula. Keadaan ini telah menyebabkan pengeluaran beras sebagai makanan ruji
penduduk semakin berkurangan. Ketiga kekecewaan terhadap Dewan Rakyat yang
dibentuk Gabenor van Limburg Stirum yang hanya berfungsi sebagai penasihat kekuasaan
bukannya sebagai majlis perundangan seperti yang diharapkan. Kemampuan Snevliet
dalam mempengaruhi organsasi seperti angkatan ketenteraan dan SI Semarang merupakan
salah satu corak perluasan parti komunis di Indonesia.

3.2

Penguasaan ke atas Organisasi Pemuda dan Buruh

Pengisytiharan kemerdekaan pada tanggal 17 Ogos 1945 telah membawa kepada


pembentukan organisasi-organisasi masyarakat seperti organisasi pemuda dan buruh.
Kemunculan organisasi pemuda dilihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Buktinya,
pada tahun 1945, telah terbentuk lebih kurang 30 organisasi pemuda.13 Pembebasan Amir
Sjarifuddin yang merupakan salah seorang pemimpin PKI daripada tahanan semasa
pendudukan Jepun telah membawa kepada kemunculan Angkatan Muda Indonesia (AMI)
pada 20 September 1945. Organisasi yang dibentuk hasil daripada gabungan pemuda di
Surabaya tersebut telah dipimpin oleh Roeslan Abdulgani. Selain itu, Amir Sjarifudin juga
membentuk organisasi pemuda lain yang dikenali sebagai Pemuda Republik Indonesia
(PRI).14 Pada peringkat awal kemunculan, kedua-dua organisasi tersebut tidak mempunyai
sebarang hubungan dengan komunis. Walau bagaimanapun, penglibatan pemimpinpemimpin komunis seperti Soemarsono, Krissubanu, dan Ruslan Widjsastera secara tidak
langsung menyebabkan ideologi komunis mula menguasai organisasi tersebut.
Kepelbagaian organisasi pemuda telah menimbulkan idea untuk menyatukan
kesemua organisasi tersebut di dalam sebuah organisasi baru yang bersifar menyeluruh.
12
13

Saleh Asad Djamhari, hlm. 21.


Saleh Asad Djamhari, hlm. 81.

14

George McTurnan Kahin, (1952). Nationalism and Revolution in Indonesia. New York:
SEAP Publications, hlm. 162.

Cadangan tersebut telah dibahaskan dalam kalangan pemimpin organisasi-organisasi


pemuda di Jakarta, dan disambut baik oleh Amir Sjarifuddin. Pada 6 November 1945,
pertemuan bersama organisasi-organisasi pemuda telah diadakan di Yogyakarta.
Pertemuan tersebut telah membawa kata sepakat untuk mengadakan kongres pada 10
hingga 11 November di Yogyakarta. Kongres Pemuda yang dipimpin oleh Chaerul Saleh
telah dihadiri oleh 332 utusan daripada 30 organisasi pemuda seluruh dunia. Amir
Sjarifuddin menggunakan kesempatan tersebut untuk mempengaruhi pemuda. Menurut
beliau, hai pemuda, jika kamu memegang bedil di tangan kananmu haruslah kamu
memegang tukul di tangan kirimu, dan jika kamu memegang pedang di tangan kananmu,
peganglah emas di tangan kirimu.15
Sepanjang berlangsungnya kongres, tiga organisasi pemuda iaitu sosialis yang
diketuai Sutan Sjahrir, komunis oleh Amir Sjarifuddin, dan kelompok Tan Malaka cuba untuk
bersaing bagi merebut kepimpinan pemuda.16 Ketiga-tiga kelompok tersebut sebenarnya
berasal

daripada

ketidaksefahaman.

fahaman
Dengan

yang

sama

iaitu

menggunakan

komunis,

kekuatan

tetapi

organisasi

berpisah
Pemuda

ekoran
Republik

Indonesia, Amir Sjarifuddin telah bertindak menyatukan beberapa organisasi pemuda dalam
organisasi baru yang dikenali sebagai Pemuda Sosialis Indonesia (Pesindo). Penyatuan
tersebut telah mendapat sokongan daripada tujuh wakil organisasi iaitu Angkatan Pemuda
Indonesia (API) Jakarta, PRI Surabaya, Angkatan Muda Republik Indonesia (AMRI)
Semarang, Gerakan Pemuda Republik Indonesia (Gerpi) Yogya, Angkatan Muda Kereta Api
(AMKA), Angkatan Muda Elektrik dan Gas (AMLG), dan Angkatan Muda Pos Telegraf dan
Telefon (AMPTT).17 Kepimpinan Pesindo jelas sekali dimonopoli oleh pihak Amir Sjarifuddin.
Pesindo telah muncul sebagai satu organisasi yang kuat, dan mampu untuk memberikan
ugutan kepada lawan politik mereka.
Corak perluasan Parti Komunis Indonesia bukan hanya dengan mempengaruhi
organisasi pemuda, tetapi juga organisasi buruh. Menurut ajaran komunisme, kaum buruh
merupakan asas kekuatan kepada revolusi.18 Oleh itu, setiap parti komunis perlu untuk
mendapatkan sokongan daripada organisasi buruh. Salah satu organisasi buruh terbesar
yang muncul setelah Indonesia mendapat kemerdekaan ialah Barisan Buruh Indonesia
(BBI). Pada 6 September 1945, kepimpinan BBI telah berubah daripada Koesnaini kepada
15

Saleh Asad Djamhari, hlm. 83.

16

A. Dahlan Ranuwihardjo, (1979). Pergerakan Pemuda Setelah Proklamasi. Jakarta:


Yayasan Idayu, hlm. 13.
17

Saleh Asad Djamhari, hlm. 83.

18

Ibid, hlm. 85

Njono. Di bawah pimpinan Njono, BBI Jakarta dengan nama seluruh BBI telah menuntut
agar KNI mengakui BBI sebagai satu-satunya organisasi yang menyuarakan dan
menggerakkan kaum buruh. Permintaan Njono mendapat maklum balas daripada
Koesoemasoemantri yang merupakan menteri pada ketika itu. Beliau mengarahkan agar
satu perjumpaan diadakan dengan semua anggota BBI untuk membincangkan perkara
tersebut. Pertemuan tersebut akan diadakan di Surakarta pada 7 hingga 9 Novermber 1945,
dengan dihadiri oleh lebih kurang 3000 ahli.19
Antara agenda utama yang dibahaskan dalam kongres tersebut adalah berkenaan
dengan arah perjuangan buruh setelah Indonesia mencapai kemerdekaan. Sepanjang
kongres tersebut, BBI Surabaya dan BBI Jakarta dilihat cuba untuk mempertahankan
perjuangan masing-masing. Menurut Sjamsoe Harja-Oedaja yang merupakan ketua BBI
Surabaya, perjuangan utama buruh adalah untuk memindahmilik seluruh perusahaan
kepada rakyat. Selain itu,beliau juga mencadangkan agar sebuah parti politik bernama Parti
Boeroeh Indonesia (PBI) ditubuh dan BBI dibubarkan. Walau bagaimanapun, BBI Jakarta
yang diketuai Njono menyatakan bahawa perjuangan buruh seharusnya selaras dengan
kekuatan komunis dan sosialis. Beliau menyimpulkan bahawa dasar perjuangan buruh
adalah menentang penjajahan dan memberikan bantuan ekonomi kepada buruh.20 Pada
masa yang sama, Njono amat tidak bersetuju dengan cadangan agar BBI dibubarkan.
Namun, akhirnya keputusan kongres berpihak kepada BBI Surabaya.
Kongres pertama PBI telah berlangsung pada 15 Disember 1945 di Yogyakarta yang
dihadiri oleh 28 orang wakil. Desakan telah dilakukan oleh golongan yang menentang
pembubaran BBI yang diketuai Njono telah menyebabkan BBI dihidupkan kembali dengan
nama Gabungan Sarekat Buruh Indonesia (GASBI).21 Pada akhir tahun 1946, komunis telah
berjaya menguasai semua organisasi buruh. Sokongan daripada golongan muda, buruh,
petani, dan pekerja-pekerja lain adalah amat penting bagi membangkitkan kembali kekuatan
komunis yang sebelum ini terjejas ekoran penjajahan Belanda dan Jepun.

3.3

Memenangi Hati Rakyat

19

Slamet Muljana, (2008). Kesedaran Nasional Dari Kolonialisme Sampai Kemerdekaan.


Yogyakarta: PT LKiS Pelangi, hlm. 66.
20

Saleh Asad Djamhari, hlm. 86.

21

Ibid, hlm. 89.

Siri pemberontakan yang dilakukan oleh Parti Komunis Indonesia pada tahun 1926 hingga
1927, diikuti tahun 1948 yang telah menjadikan PKI sebagai parti terlarang telah menjadi
pengajaran yang cukup bermakna buat PKI. PKI dilihat cuba untuk bangkit kembali bagi
memperjuangkan ideologi mereka. Menariknya, kebangkitan semula PKI telah menyaksikan
parti tersebut semakin mendapat tempat dalam masyarakat Indonesia. Bilangan penyokong
PKI bertambah ramai jika dibandingkan pada masa 1948.22 Antara tahun 1954 hingga 1959,
PKI terus mendapat kejayaan di mana ketika pemilihan pada September 1955 PKI telah
berjaya mendapat undian sebanayk 6176900 undi. Seterusnya, PKI mendapat undian
sebanyak 7760000 undi pada tahun 1957 di Jawa, Sumatera, dan Riau.23Salah satu corak
perluasan PKI adalah dengan memenangi hati rakyat. Antara strategi yang digunakan ialah
perombakan status tanah. Dasar yang dilaksanakan Belanda seperti sistem tanam paksa
telah menyebabkan masyarakat kekurangan kawasan pertanian. Situasi tersebut telah
dieksploitasi PKI untuk memperluaskan kuasa. Pada tahun 1953, PKI tampil dengan slogan
tanah buat petani dan petani memiliki tanah sendiri. Selaras dengan kempen tersebut, PKI
telah bertindak membantu masyarakat untuk menguasai tanah perkebunan, dan melakukan
penanaman semula hutan untuk memastikan masyarakat mendapat kawasan pertanian
yang mencukupi. Selain itu, PKI juga berusaha mempertahankan tanah-tanah yang telah
digunakan petani. Pada masa yang sama, golongan petani telah diorganisasikan, diberikan
baja, benih, peralatan, membaik pulih saluran air, dan sebagainya.24
Keduanya, peningkatan upah buruh. Kadar upah yang terlalu rendah telah
menyebabkan ramai petani berada dalam kemiskinan. Selain itu, ramai juga petani yang
tidak memiliki tanah sendiri. Oleh itu, PKI telah menjanjikan peningkatan upah demi
kesejahteraan masyarakat. Golongan petani dianjurkan untuk melakukan mogok, tidak
menyerahkan hasil pertanian kepada pemilik tanah sebagai satu tanda protes di atas
penindasan yang dilakukan.25 Selain itu, pengagihan hasil yang menguntungkan juga
diperjuangkan PKI. Buktinya, pada Persidangan Nasional Tani PKI yang diadakan pada
bulan April 1958, Njono telah menuntut agar dilaksanakan sistem agihan hasil mengikut
nisbah 6:4. Menurut nisbah tersebut, sekiranya hasil pertanian yang diperolehi sebanyak 10
kilogram, maka 6 kilogram menjadi hak pemilik tanah, dan 4 kilogram akan diperolehi oleh

22

Arbi Sanit, (2000). Badai Revolusi, Sketsa Kekuatan Politik PKI di Jawa Tengah dan Jawa
Timur. Yogyakarta: Pustaka Pelajar, hlm. 72.
23

Guy J. Pauker, hlm. 5.

24

Ibid, hlm. 132.

25

Ibid, hlm. 140.

petani yang mengusahakannya.26 Pada tahun 1960, satu undang-undang telah dikeluarkan
berkaitan dengan pembahagian hasil. Menurut undang-undang tersebut, pembahagian hasil
hendaklah dilakukan secara adil iaitu dengan nisbah 1:1. Perlaksanaan undang-undang
tersebut ternyata telah banyak membantu golongan petani untuk menampung kehidupan
mereka.
Tambahan lagi, PKI juga telah membentuk koperasi dalam kalangan petani. Petani
akan dapat menyalurkan hasil tanaman mereka untuk dijual ke kota melalui koperasi
tersebut. Langkah ini secara tidak langsung dapat menghindarkan petani daripada orang
tengah yang terlalu mementingkan keuntungan. Di samping itu, koperasi tersebut akan
menyediakan baja, benih, peralatan pertanian, dan sebagainya sesuai dengan kemampuan
petani.27 Tindakan PKI yang berusaha memenangi hati rakyat ternyata telah membantu
mereka untuk memperluaskan lagi pengaruh.

3.4

Strategi Politik Komunis

Kemunculan semula PKI setelah mengalami kejatuhan amat luar biasa. Hal ini kerana, PKI
semakin diterima oleh masyarakat berdasarkan kepada keputusan pilihan raya umum yang
dijalankan antara tahun 1954 sehingga 1959. Episod kejayaan tersebut telah menyebabkan
ramai yang menjangkakan bahawa PKI akan memenangi pemilihan berikutnya dan bakal
menjadi satu-satunya parti komunis di dunia yang berjaya mengawal kerajaan dengan cara
aman.28 Melihat kepada keadaan Indonesia yang kembali tenang selepas berlakunya
beberapa krisis, PKI pada bulan Februari 1963 telah meminta untuk diadakan pilihan raya
dengan kadar yang segera bagi membolehkan mereka untuk mengambil alih pentadbiran.
Walau bagaimanapun, untuk menghalang PKI daripada meneruskan matlamat tersebut,
Presiden Sukarno telah membuat pengumuman di Kongres Parti Kebangsaan Indonesia
pada 28 Ogos 1963 bahawa pilihan raya tidak akan diadakan sekiranya ia akan
menjejaskan perpaduan dalam kalangan masyarakat Indonesia. Sebagai respon, PKI sekali
lagi membuat tuntutan agar diadakan pilihan raya seperti mana yang disokong oleh
jawatankuasa pusat.

26
27

28

Ibid, hlm. 141.


Ibid, hlm. 143.
Guy J. Pauker, hlm. 5.

Oleh kerana pilihan raya tidak dapat dijalankan, PKI melihat salah satu cara lain
untuk mendapatkan kuasa politik adalah dengan mempengaruhi Sukarno.29 Pengaruh
Sukarno amat kuat kerana beliau merupakan pejuang nasionalis utama Indonesia selama
hampir empat dekad serta telah menjadi pemimpin selama lebih 20 tahun. Dalam kata lain,
Sukarno telah mencapai tahap kemuncak dalam kuasa politiknya. Pada bulan Mei 1963,
The Provisional Peoples Consultative Assembly telah menamakan Sukarno sebagai
presiden seumur hidup yang mana telah mendapat sokongan daripada pihak PKI. Para
pemimpin PKI sentiasa berusaha memastikan agar rakyat melihat keakraban mereka
dengan presiden Sukarno. Langkah tersebut adalah bagi memancing sokongan rakyat
terhadap PKI. Setiap penyataan yang dikeluarkan oleh barisan kepimpinan PKI pasti akan
disertai dengan petikan kata-kata daripada presiden Sukarno. Selain daripada untuk
mendapatkan sokongan rakyat, tindakan tersebut juga sebagai satu cara untuk PKI
mempengaruhi Sukarno.
Segala usaha yang dilakukan pemimpin PKI ternyata membuahkan hasil. Hal ini
kerana, ketika sambutan ulang tahun PKI ke-55 pada 23 Mei 1965 yang bertempat di
Stadium Jakarta, Sukarno telah menggambarkan Aidit sebagai banteng pertahanan
Indonesia di hadapan ahli kabinet, diplomat, orang-orang kenamaan, dan 120 000
penyokong yang hadir.30 Selain itu, beliau juga telah mengesahkan kenyataan Aidit di mana
PKI pada ketika itu mempunyai seramai 20 juta penyokong. Pada akhir ucapan dalam majlis
tersebut, Sukarno telah menasihati pihak komunis agar terus maju ke hadapan dan tidak
pernah berundur. Berdasarkan ucapan yang disampaikan tersebut, PKI ternyata telah
berjaya mempengaruhi presiden Sukarno untuk menyokong gagasan mereka. Sokongan
dan pengaruh daripada presiden Sukarno telah memberi kelebihan kepada PKI dalam
usaha mereka untuk mengambil alih pentadbiran. Jika dilihat, kenyataan yang dikeluarkan
presiden Sukarno dalam majlis ulang tahun PKI tersebut telah menampakkan bahawa Aidit
yang bakal menggantikan beliau dalam menerajui kepimpinan Indonesia.

4.0

KESIMPULAN

Episod pemberontakan yang dilakukan PKI bermula daripada tahun 1926 sehingga kepada
tahun1965 telah membawa kepada pakatan untuk menumpaskan parti tersebut.
Pemberontakan, penganiayaan, pembunuhan, dan penyeksaan dianggap sinonim dengan

29

Guy J. Pauker, (1961). Current Communist Tactics in Indonesia. California: Rand


Corporation, hlm. 30.
30
Guy J. Pauker, hlm. 10.

10

perjuangan parti komunis. Kemuncak kepada perjuangan PKI adalah semasa berlakunya
Gerakan 30 September 1965, di mana enam orang jeneral tentera Indonesia telah diculik
dan dibunuh, menawan beberapa kawasan, serta mengepung kediaman presiden.31 Pada 8
Oktober 1965, satu mesyuarat yang dipimpin oleh Jeneral Soeharto dan Jeneral AH
Nasution telah diadakan di mana mesyuarat mencapai kata putus untuk menumpaskan PKI.
Menurut Sueharto,
Sejak menyaksikan apa yang berlaku di Lubang Buaya, kegiatan saya yang utama
adalah mengahncurkan PKI, menumpaskan mereka di mana-mana sahaja, di ibu
kota, di daerah-daerah, dan di pergunungan tempat pelarian mereka.32
Dalam usaha untuk menumpaskan PKI, Jeneral Soeharto telah bertindak
mengasingkan pentadbiran angkatan tentera darat yang berada di bawah pimpinannya pada
ketika itu dengan pentadbiran awam. Dalam kata lain, keputusan yang dibuat Soeharto tidak
akan dipengaruhi oleh pentadbiran awam. Operasi menumpaskan PKI oleh angkatan
tentera Soeharto mencakupi pengangkapan, pemenjaraan, dan pembunuhan ke atas
sesiapa yang terlibat dengan komunis. Selain itu, Soeharo juga telah melibatkan rakyat
dalam usaha membasmi PKI. Hal ini kerana, Soeharto lebih suka untuk mendapatkan
bantuan daripada rakyat kerana golongan tersebut yang seringkali didekati oleh PKI. Maka,
secara tidak langsung, maklumat pergerakan PKI akan dapat diperolehi dengan bantuan
daripada rakyat. PKI ternyata mendapat tentangan daripada banyak pihak ekoran tindakan
mereka yang melampau dalam usaha untuk menguasai pemerintahan. Satu-satunya
individu yang sentiasa menyokong dan membela PKI adalah presiden Sukarno. Namun,
strategi yang dilakukan Jeneral Soeharto akhirnya telah membawa kepada kehancuran PKI
pada tahun 1965, dan diisytiharkan sebagai parti haram.

31

Ibid, hlm. 17.


Soeharto, G. Dwipayana, Ramadhan Karta Hadimadja, (1988). Soeharto: Pikiran, Ucapan,
dan Tindakan Saya. Jakarta. Citra Lamtoro Gung Persada, hlm. 136.
32

11