Professional Documents
Culture Documents
1. Ketika mengandung
Adat Valaikaappu adalah adat yang dilakukan ketika kandungan sulung wanita hamil
menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan. Wanita hamil tersebut akan dipakaikan
sebentuk gelang tangan baru yang dikenali sebagai Suulkaappu. Suul bermaksud
`kandungan ibu? dan Kaappu pula bermaksud 'perlindungan'. Gelang ini dipakai
bertujuan untuk melindungi bayi di dalam kandungan daripada kesukaran semasa
bersalin.
Adat Valaikaappu diadakan pada hari dan masa yang baik menurut kalendar India.
Upacara ini akan diadakan di rumah suami atau ibu bapa dan disertai oleh kaum wanita
yang telah bersuami dan mempunyai anak yang dipanggil cumanggali.
Gelang tangan yang dipakaikan dalam upacara ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu
gelang kaca, pancalogam dan emas mengikut kemampuan masing-masing. Setelah anak
dilahirkan, gelang tangan emas tersebut akan dileburkan untuk dibuat perhiasan bagi bayi
tersebut dan akan dipakaikan pada hari pemberian nama.
2. Sewaktu kelahiran
Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India dimana ia akan dicatat dengan
tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Bintang bayi ini akan
menentukan mental, fizikal dan rohani bayi sehingga dewasa.
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan tinggi
mengenai agama Hindu akan membisikkan Gayatri Mantiram iaitu sejenis mantera
Tuhan di telinga bayi sebelum tali pusat dipotong. Namun begitu adat ini disesuaikan
dengan hanya membisikkannya sebaik sahaja melihat bayi tersebut kerana perubatan
moden tidak membenarkan sesiapa memasuki bilik bersalin.
Bisikan nama Tuhan pada telinga bayi adalah untuk membolehkan bayi tadi mendengar
nama Tuhan sebelum mendengar apa-apa yang lain. Ia bertujuan untuk membawa rahmat
kepada bayi tersebut.
Tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama uri dan tembuni di sekitar kawasan
rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Bahan-bahan ini
dimasukkan bersama untuk mengelak dari dikorek oleh binatang liar dan tidak digunakan
oleh ahli sihir.
Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya.
Di samping madu, air gula juga boleh digunakan. Minyak savvennai yang merupakan
campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan.
Kegunaan minyak ini dipercayai boleh membawa kecantikan dan supaya bayi tidak
diserang sebarang penyakit. Madu pula dikatakan dapat melembutkan lidah bayi dan
memudahkan bayi bertutur.
Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi
akan bertindak menjadi pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran
bayi tersebut.
3. Selepas kelahiran
Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima,
ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan hari ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke
rumah upacara aalati dilakukan. Ia bertujuan untuk mengelakkan bala atau sebarang
malapetaka dariapada berlaku.
Bagi upacara aalati ini, dulang yang mengandungi serbuk kunyit, kapur sirih yang
dicairkan, arang, sirih dan kapur barus yang dinyalakan diangkat dan diputar tiga kali
mengikut arah jam dan juga lawan jam. Dulang juga dilambai sebanyak tiga kali.
Seterusnya para cumanggali akan mencelupkan ibu jarinya ke dalam dulang tersebut dan
mencalitkan ke dahi ibu dan anak. Setelah ibu dan anak masuk ke dalam rumah, isi
dulang aalati dibuang.
Apabila bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli keluarga yang lain
di sebuah bilik khas yang sentiasa dijaga kebersihannya. Bagi dua minggu pertama, orang
luar dilarang melawat mereka kecuali untuk tujuan perubatan.
Jika proses bersalin secara pembedahan, ibu yang baru bersalin tidak dibenarkan mandi
selama dua minggu atas sebab-sebab kesihatan akibat fizikal ibu yang lemah kerana
pembedahan dan kesan kelahiran. Bagi ibu yang bersalin normal, si ibu akan mandi
selang sehari selepas bersalin. Beberapa herba dan dedaun seperti aadatoodai dididihkan
bersama air. Air tersebut digunakan untuk mandi. Rambut ibu akan dikeringkan dengan
segera dengan asap kemenyan bagi mengelakkan sakit kepala, selsema dan juga untuk
menyegarkan tubuh badan selepas bersalin.
Bayi pula kebiasaanya dimandikan pada waktu petang oleh seorang wanita yang
berpengalaman. Mandian ini dilakukan dengan menyiram ke seluruh badan bayi dengan
menggunakan air suam yang kadangkala dicampur dengan bahan-bahan herba. Ia
bertujuan untuk mengelak penyakit sawan atau kuning. Susu juga digunakan sebagai
bahan utama untuk melembutkan kulit bayi.
Ketika bayi dimandikan, urutan perlahan dilakukan pada tubuh bayi dan tulang belakang
bayi supaya tidak bengkok. Bagi tujuan kecantikan, hidung, kening dan telinga turut
diurut. Beberapa bahan seperti serbuk kunyit, minyak bijan, kas-kas dan kacang hijau
yang ditumbuk digunakan sebagai pembersih badan bayi bertujuan untuk mengelakkan
penyakit kulit dan melicinkan kulit bayi. Selesai dimandikan, bayi ditonggengkan dengan
mengangkat kedua belah kaki sambil menepuk bahagian punggung untuk mengeluarkan
kahak. Setelah itu bayi diasapkan dengan asap kemenyan, dan disapu dengan bedak yang
diperbuat dari tepung beras supaya tidak dihinggapi ruam. Akhir sekali bayi akan
dibedung dengan kain bertujuan untuk meluruskan anggota badan bayi.
Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan. Ia
dilakukan dengan memasukkan bayi ke dalam buaian dan dikendalikan oleh ahli keluarga
yang tertua yang arif tentang agama dan perkara yang berkaitan dengan dewa-dewa.
Upacara dimulakan dengan mengadakan upacara sembahyang sebagai tanda kesyukuran.
Terdapat juga upacara memuja Dewi Pecciyamman dan Dewi Kaatteeri dilakukan oleh
segelintir masyarakat India. Upacara pemujaan dilakukan dengan membersihkan
sekeliling rumah dan memasang lampu minyak di keliling rumah. Bahan-bahan
persembahan juga disediakan seperti kari ayam betina, telur rebus, ikan kering dan
sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan ke dalam buaian dan namanya diumumkan
pada orang ramai. Saudara mara yang hadir akan memberi pelbagai hadiah dan upacara
diakhiri dengan jamuan dan upacara sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan bayi.
Nama-nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan mengikut tarikh
kelahiran bayi. Nama-nama tokoh sejarawan, nenek moyang serta yang berkaitan dengan
agama Hindu juga dipilih bagi bayi tersebut kerana nama yang dipilih ini akan
mempengaruhi perwatakannya kelak.