You are on page 1of 3

”INSAN CEMERLANG NEGARA GEMILANG”

Bismillah……Alhamdulillah……..

Emas sarat tampak memikat,
Hiasi dulang berisi gelang,
Kualiti hebat prestasi ditingkat,
Insan cemerlang negara gemilang.

Cetusan barakah buat peneraju acara,
Saf kehakiman intelektual berkarisma,
Sidang hadirin warga dewan berwibawa..
Assalamualaikum w.b.t. dan salam karisma...

Hari ini, pertandingan ini bukanlah pertandingan akademi piala fantasia, maka saya
bukanlah Mawi ataupun Faizal, tetapi pelajar akademi Institut Pendidikan Guru Malaysia
yang akan menyampaikan sebuah pidato bertajuk ”Insan Cemerlang, Negara
Gemilang”.

Sidang pendidik yang dikasihi sekalian,

Frasa insan cemerlang menurut Dato Nordin Kardi, Naib Canselor UUM ialah
insan yang berdaya saing dan mampu memanipulasikan dirinya ke arah kemajuan
seiring perkembangan zaman.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, frasa negara gemilang ialah negara yang
dipimpin oleh pemimpin berwibawa serta mampu mencapai keseimbangan dalam
segala aspek termasuk politik, ekonomi mahupun sosial.

Sidang penonton yang penuh santun,

Bicara saya yang pertama ialah ”insan berintegiti negara dijulang”. integriti
membawa maksud nilai kejujuran dan keperibadian yang luhur menjadikan negara
dipandang hemah dan mulia oleh seantero dunia. Masayarakat yang memahami nilai-
nilai kemanusiaan yang harus menjadi amalan bagi mementuk insan cemerlang.
Sebagai warganegara Malaysia, saya sangat berbangga kerana rakyat negara ini sudah
mempunyai nilai integriti yang baik. Buktinya, apabila seorang pegawai TLDM iaitu
Bakhri Shah Abdullah dari Kt Sultan Idris (1) Pengkalan Lumut yang dilaporkan oleh
akhbar Berita Harian pada 15 Jun 2009 telah menerima Pedang Kehormat Kesatuan
Britannia dan beliau merupakan orang bukan British pertama menerima anugerah itu.
Selain beliau, nilai integiti ini juga telah menjadikan rakyat kita antara usahawan berjaya.
Ku Azhar Ku Abd Razak merupakan bekas tentera dan kini beliau antara usahawan
berjaya negara dengan kejayaan membuka syarikat perusahaan feri terbesar Malaysia
iaitu JMV Tradetech. Kejayaan syarikat beliau juga telah memperkenalkan destinasi
menarik Malaysia seperti Langkawi di peringkat global. Ini telah menunjukkan kepada
kita bahawa insan berintegriti menjulang negara di peringkat antarabangsa.

Sidang hadirin warga dewan budiman,

Bicara saya yang kedua, insan bersatu negara maju. Konsep 1 Malaysia ”Rakyat
didahulukan, pencapaian diutamakan” yang telah digagaskan oleh YAB Perdana
Menteri Dato Seri Najib Tun Razak bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat
Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang
seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Jika dahulu, timbulnya cakap-cakap
belakang, Melayu itu kaya, Cina itu hina, India pula teraniaya, tetapi kini perbezaan
mentaliti berdasarkan etnik nyata dihapuskan sama sekali. Dalam erti kata lain, 1
Malaysia menuntut rakyat Malaysia agar sama-sama berganding bahu menggembleng
tenaga dalam membantu memastikan aspirasi negara iaitu wawasan 2020 tercapai jika
ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh segenap lapisan
masyarakat. Inilah yang kita inginkan, insan bersatu, masyarakat berpadu negara kita
Malaysia pasti akan maju.

Bicara saya yang ketiga ”Insan kreatif dan inovatif meningkatkan produktiviti”.
Saban tahun kita melihat betapa besarnya peruntukan yang diagihkan oleh kerajaan
terhadap institusi pendidikan dalam usaha untuk memantapkan lagi medan pendidikan
negara seterusnya berjaya melahirkan modal insan yang bakal menerajui negara. Hal ini
kerana, dalam dunia yang penuh cabaran ini, seseorang individu perlu mengolah
sesuatu yang baru dan segar berdasarkan pengetahuan yang ada. Itulah domain yang
ingin dibentuk dalam modal insan hari ini. Saudara Najmil Faiz Mohamed Aris, pelajar
PHD dalam bidang Nano Technology di Universiti Metropolitan di Leeds yang sebelum
ini mendapat perhatian media Malaysia kerana kejayaan beliau mengharumkan nama
negara menerusi pembentangan tesisnya di Parlimen Britain pada tahun 2005. Insan
yang kreatif dan inovatif inilah yang akan memacu kepesatan negara Malaysia agar
berjaya mengharungi arus globalisasi yang melanda seharusnya berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan negara-negara yang lain.

Bicara saya yang keempat. ”Insan berilmu meningkatkan kualiti insani”. Hakikat
dan lumrah kehidupan, masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan tinggi diberi
keutamaan dan penghormatan. Sejarah pembinaan tamadun dunia telah membuktikan
bahawa keagungan sesebuah tamadun dapat diukur melalui tahap keintelektualan dan
nilai integriti masyarakat tamadun tersebut. Alkhawarizmi, tokoh yang cukup ulung
dalam bidang matematik. Hasil kajian beliau telah menjadi asas kepada teori
trigonometri. Tokoh barat, Professor Hitti sangat menyanjung beliau dan menganggap
tokoh Islam itu antara saintis ulung dunia. Selain itu juga, saya bawakan contoh-contoh
pelajar Cemerlang SPM kita, Nuramalina Che Bakri, Nadiah Amirah Jamil, Azali Azlan
dan adik Nik Nur Madihah yang merangkul kejayaan cemerlang dalam SPM
membuktikan insan berilmu meningkatakan kualiti diri yang unggul sekaligus mampu
memberi sumbangan besar kepada negara ke arah kegemilangan.

Tuntasnya, insan cemerlang adalah insan yang memiliki nilai dan sikap yang maju dan
ke hadapan dalam membina dan mencanai negara ke arah kegemilangan yang sejagat.

INSAN CEMERLANG NEGARA GEMILANG
SALAM INTEGRITI

Sekian w.b.t.

MUHAMMAD SOLEHUDDIN B HJ ABDUL RONI
IPGM KAMPUS DARULAMAN
TEKS PIDATO IPGM KEBANGSAAN PIALA DATIN ASARIAH MIOR SHAHARUDDIN
TIM. KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
28-30 JULAI 2009