Global Village Bukanlah Globalisasi

Noel Kashf PPBKKM, Universiti Kebangsaan Malaysia
Emel: noelkashf_ukm@yahoo.com

Pengenalan Sejak sekian lama ramai orang mempunyai tanggapan yang silap kerana beranggapan globalisasi adalah sama dengan “Perkampungan Sejagat” (Global Village). Kesilapan tanggapan ini bukan sahaja di kalangan pelajar atau orang biasa tetapi juga di kalangan golongan cerdik pandai di universiti termasuk profesor yang terkenal. Ini telah menimbulkan kekeliruan.1 Tulisan ini berusaha memperbetulkan kekeliruan tersebut. Perbezaan pengertian ini akan dijelaskan secara persis. Ungkapan “Perkampungan Sejagat” (Global Village) dicetuskan oleh Marshall McLuhan pada tahun 1960.2 ‘Perkampungan Sejagat’ berkait dengan kemajuan rangkaian media massa dan kesan-kesannya ke atas manusia sejagat. Media massa itu meliputi penyiaran (tv, radio, telekomunikasi) dan percetakan (akhbar dan majalah). Konsep ini tidak termasuk ICT (Teknologi Maklumat Komputer) seperti yang berlaku selepas pertengahan dekad 1980-an. Sebagai satu konsep, “Perkampungan Sejagat” bermaksud keadaan manusia sejagat telah terjaring oleh rangkaian media massa sehingga dirasakan dunia ini hanya sebuah tempat tinggal atau sebuah kampung. Misalnya, peristiwa yang berlaku beriburibu kilometer dapat diketahui dengan serta merta, seolah-olah ia berlaku dalam sebuah kampung yang sama. Jaringan media massa dan kesedaran seperti inilah yang dinamakan ‘Perkampungan Sejagat.’
1

Mohamed Anwar Omar Din (ed.) Dinamika Bangsa Melayu Menonggah Arus Globalisasi. Bangi: Penerbit UKM.

2

Sila lihat Marshall McLuhan. 1964. The Printed Word: Architect of Nationalism. Dalam Understanding Media. Mentor/Penguin.

Walau bagaimanapun, konsep ‘Perkampungan Sejagat’ itu berbeza daripada konsep globalisasi. Konsep globalisasi akan jelaskan kemudian. Di sini akan dijelaskan konsep “Perkampungan Sejagat” terlebih dahulu. Pada asasnya, “Perkampungan Sejagat” adalah salah satu proses Internasionalisasi yang berkembang daripada Modenisasi. Harus diingatkan bahawa dekad 1960-an adalah Zaman Keemasan Modenisasi. Ada empat ciri kenapa konsep ‘Perkampungan Sejagat’ tidak dapat disamakan dengan globalisasi: 1. Ia berkembang dalam kerangka modenisasi iaitu berasaskan satu struktur yang mempunyai dua paksi. ‘Pusat’nya terletak di negara-negara Barat. Misalnya, bidang penyiaran antarabangsa dikuasai oleh CNN, SNBC dan BBC. Bidang majalah dan akhbar dikuasai antarabangsa dikuasai oleh Times, Far Economic Eastern Review, Asia Magazine, Asia Week dan sebagainya. 2. Perhubungannya tidak bersifat interaktif, sebaliknya bersifat ‘satu hala.’ Walaupun ia mempunyai jaringan ke global dan berita dan maklumat disebarkan ke seluruh dunia namun berita dan namun ia hanya datang dari pihak setesen penyiaran atau syarikat penerbitan. 3. Perisiannya (berita dan maklumat) dikawal terutamanya pihak-pihak yang berada di bilik editor. Editorlah yang menentukan berita dan maklumat apa yang akan disiar atau diterbitkan. 4. Khalayak tempatan tidak memain peranan selain menjadi ‘khalayak yang pasif’ yakni hanya menerima berita dan maklumat dari syarikat berkenaan. Jelas bahawa apa yang dikatakan ‘Perkampungan Sejagat’ itu lebih cocok disebut “Perkampungan Ciptaan Editor di paksi pusat.” Ini kerana jelas sekali walaupun konsep “Perkampungan Sejagat” menjelaskan berlakunya penyebaran serta merata di tempat beribu-ribu kilometer―seolah-olah ia berlaku dalam sebuah kampung yang sama―namun penyebaran maklumat tersebut dikawal oleh editor dalam bilik berita Barat. Masyarakat lain, terutamanya di Negara-Negara Sedang Membangun hanyalah menjadi khalayak yang pasif, iaitu hanya menjadi bahan berita dan penerima apa yang disiarkan oleh pihak Barat; hampir tidak memain peranan sama sekali.

Keadaan ini berbeza dalam globalisasi. Perbezaan yang paling nampak ialah: 1) Dalam globalisasi sesiapa saja boleh menyebarkan berita ke seluruh dunia. Ini sekali gus menunjukkan dalam globalisasi sesiapa saja boleh menjadi editor, dan tidak berpusat di Barat mahupun di Timur. Seorang yang berada di sebuah kampung terpencil beliau menjadi editor asalkan mempunyai rangkaian internet. Contoh lain dapat dilihat pada Ensikopedia Wikipedia. Ensikopedia ini membenarkan sesiapa saja dan dalam bahasa apa sekali pun untuk memasukkan tulisan. Di samping itu, salam mana-mana laman Esikopedia tersebut terdapat ruang untuk sesiapa saja mengedit apa yang telah dibuat oleh penulis lain. Ini juga menunjukkan dalam globalisasi berlaku perhubungan secara interaktif, bukannya bersifat ‘satu hala’ seperti dalam Perkampungan Sejagat. Jaringan globalisasi ke seluruh dunia tidak dikawal oleh mana-mana editor atau mana-mana bilik berita. 2) Satu lagi perbezaan “Perkampungan Sejagat” daripada globalisasi ialah konsep “erkampungan Sejagat” hanya berkait dengan media massa. Sebaliknya, globalisasi berkait dengan pelbagai aspek kehidupan meliputi ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Konsep Globalisasi

Di mana-mana pun pengucapan globalisasi adalah satu fenomena baharu tetapi agak cepat merebak.3 Perkataan ini muncul sebagai satu istilah dengan konsep tersendiri hanya pada tahun 1985, dan agak menarik ialah walaupun pada hari ini istilah tersebut lebih banyak digunakan dalam bidang komuniti dan arena ekonomi dan politik namun konsepnya adalah digagaskan oleh seorang ahli sosiologi-agama bernama Roland
3

Di dunia Barat perkataan ‘global’ telah lama dipakai, dapat dikesan sejak tahun 1676 (lihat dalam Merriam Webster's Collegiate Dictionary, 1996: 496). Dalam kamus lama bahasa Inggeris ia bermaksud spherical (Ibid.); dirujuk sebagai satu kata sifat, dan sekiranya dialih bahasa ke bahasa Melayu ia bermaksud ‘bersifat spera.’ Pada awal 1960-an timbul ungkapan ‘global village’ (perkampungan sejagat) yang digagaskan oleh Marshall MacLuham (1960 dan 1964). Walau bagaimanapun, ungkapan ini tidaklah menjelaskan konsep globalisasi dalam pengertian yang sebenar kerana intinya adalah modenisasi (Waters 1995: 2).

Robertson (Waters 1995: 2-3). Berasaskan semakan perpustakaan yang telah dilakukannya, Waters (1995: 3) mengisytiharkan: “The key figure in the formation and specification of the concept of globalization is Robertson.” Penggagasan konsep ini terjadi apabila Robertson menerbitkan sebuah makalah berjudul ‘‘The Relativization of Societies: Modern Religion and Globalization” (1985 dalam T. Robbins, W. Shepherd and J. McBride (eds.), Cult, Culture and the Law, Chicago: Scholars). Menurut Robertson (1985: 8) “Sebagai satu konsep globalisasi merujuk dua perkara iaitu ‘pemampatan dunia’ dan ‘intensifikasi’ kesedaran manusia tentang dunia sebagai satu keseluruhan” — Globalization as a concept refers both to the compression of the world and the intensification of consciousness of the world as a whole. Sejak terbitnya tulisan Roberton itu, pemakaian istilah globalisasi berkembang dengan begitu cepat dalam pelbagai bidang, meliputi arena ekonomi, politik, teknologi maklumat perkomputeran internet (ICT), sosial, kebudayaan, perhubungan antarabangsa, ketenteraan, jenayah, wabak penyakit, alam sekitar dan lain-lainya. Berasaskan lebih daripada 100 bahan tulisan yang telah disemak, antara definisi-definisi globalisasi dalam arena sosiobudaya, ekonomi dan politik adalah seperti berikut. Dalam arena sosiobudaya, menurut Waters (1995: 3) “Globalisasi adalah satu proses sosial yang mana kekangan geografi ke atas hal-ehwal kemasyarakatan dan budaya menyurut dan manusia semakin sedar bahawa kekangan tersebut semakin surut” — Globalization is a social process in which the constraints of geography on social and cultural arrangement recede and in which people become increasingly aware that they are receding. Dalam arena ekonomi, menurut Tonelson (1997: 353) “Globalisasi adalah keadaan semakin meningkatnya integrasi pasaran antarabangsa yang dibawa oleh kepesatan pengaliran barangan, perkhidmatan, modal, maklumat dan ada kalanya manusia di serata dunia” — Globalization is the increasing integration of international markets being brought about by rapidly expanding worldwide flows of goods, services, capital, information, and sometimes people. Menurut Keller dan Pauly (1997: 371) “Globalisasi adalah keadaan di mana modal dan teknologi yang berada di bawah kawalan syarikat-syarikat multinasional mengalir dengan bebas melintasi sempadan-sempadan

negara” — Globalization is that both capital and technology harnessed by multinationals are flowing more freely across national borders. Dalam arena politik, menurut McGrew (1992: 23) “Globalisasi merujuk kepelbagaian rangkaian dan saling-berhubungan antara negara-negara dan masyarakatmasyarakat yang membina sistem dunia moden” — Globalization refers to the multiplicity of linkages and interconnections between the states and societies which make up the modern world system. Menurut Mittelman (1994: 7) “Globalisasi adalah satu transformasi sejarah yang mengembang dan memperderaskan interaksi merentasi masa dan ruang dengan implikasi mendalam daripada segi perhubungan pertukaran kuasa, di samping menambah daya keupayaan komuniti untuk menentukan nasib sendiri” — Globalization means a historical transformation, extending and accelerating interactions across time and space, with profound implications in terms of changing power relations, as well as for the capacity of a community to determine its own fate. Demikianlah antara definisi-definisi globalisasi dalam arena-arena yang dilihat dari pelbagai perspektif. Pemaparan di atas memberi gambaran bahawa globalisasi tidak hanya berkait dengan ekonomi semata-mata, tetapi juga melibatkan juga arena sosial, kebudayaan dan politik. Selain itu, konsep globalisasi melampaui pandangan umum yang hanya mengaitkannya dengan “teknologi maklumat perkomputeran internet (ICT)” atau konsep “perkampungan sejagat” dan “dunia tanpa sempadan.”


Saya menghujah sembilan pengaruh yang menjadi penggerak (driving) globalisasi iaitu: (1) meningkatnya kekayaan sejagat selepas berlakunya an enlargement of modernity, from society to the world, (2) kurangnya halangan dasar perdagangan antarabangsa, (3) keruntuhan komunisme, (4) meningkatnya kegiatan dan berlakunya revolusi dalam bidang komunikasi iaitu kemajuan pesat pengangkutan dan perhubungan ICT yang bersifat interaktif, (5) penstrukturan semula syarikat-syarikat perdagangan Transnational Corporations (TNC) pada pertengahan 1980-an selepas Pentadbiran Ronald Reagan, Pentadbiran Margaret Thatcher dan negara-negara lain termasuk Jepun, Korea Seltan,

Malaysia, menjalankan Dasar Neo-Liberalisasi (melalui Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan), (7) pengglobalan pasaran kewangan, (8) kesatuan budaya (cultural convergence) berasaskan kumpulan etnik, agama dan perabadan, dan (9) meningkatnya penghargaan terhadap sesuatu yang berjenama di serata dunia. Globalisasi adalah akumulasi pelbagai perubahan (accumulative changes) yang telah berlaku sejak berlakunya Modenisasi, Internasionalisasi dan Kolonialisasi sebelum ke-19 lagi. Walau bagaimanapun, globalisasi muncul sebagai satu fenomena yang mempunyai ciri-ciri tersendiri adalah pada pertengahan 1980-an. Menurut Mitchell (1992) dan Tonelson (1997) faktor serta merta yang mendorong kemunculan globalisasi adalah bermula oleh tindakan Kongres Amerika Syarikat di bawah Pentadbiran Presiden Reagen menjalankan Dasar Neo-Liberalisasi. Tujuan Kongres tersebut adalah untuk mengelakkan berlaku kemelesetan ekonomi di dalam negara Amerika Syarikat kerana berlaku berlebihan pelaburan dan penawaran di dalam negara tersebut. Sekiranya tidak dijalankan apa-apa tindakan mungkin negara tersebut akan mengulangi Kemelesetan Besar yang pernah berlaku pada tahun-tahun 1930-an. Dasar Neo-Liberalisasi itu dijalankan melalui Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan. Tindakan ini telah membolehkan syarikat-syarikat besar Amerika Syarikat, seperti Motorola, IBM, Microsoft, KFC, MacDonald’s, Coca Cola, City Bank, Visa Card, MasterCard, Disneylands, melabur lebih banyak ke luar negaranya. Pada masa tersebut berlaku perlumbaan secara besar-besaran di kalangan syarikat korporat multinasional (MNC) dan transnasional (TNC) milik Amerika Syarikat dalam kegiatan Internasionalisasi di seluruh dunia. Langkah yang dijalankan oleh Pentadbiran Presiden Reagen itu diikuti oleh negara-negara lain termasuk Pentadbiran Margaret Thatcher di United Kingdom, Argentina, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia. Pada masa tersebutlah pemerintah Malaysia menjalankan Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan. Jelasnya, pada masa Pentadbiran Presiden Reagen, Pentadbiran Margaret Thatcher dan negara-negara lain melakukan globalisasi, kerajaan Malaysia turut melakukannya iaitu yakni mengadakan Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan dengan menuruti model Pentadbiran Reagan di Amerika Syarikat dan Margaret Thatcher di United Kingdom itu.

Catatan yang sama dibuat oleh Anuwar Ali (1995: 29-30) dan Ishak Shari (1998: 48). Mereka menyatakan pengenalan globalisasi ke dalam ekonomi di Malaysia adalah tindakan yang diasaskan kepada Pemikiran Neo-Liberal yang dilakukan melalui penggubalan Akta Penggalakan Pelaburan 1986 yang membawa unsur-unsur Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan. Misalnya, Ishak Shari (1998: 48) mencatatkan: Pemikiran Neo-liberal inilah yang telah diterima oleh pemerintah di Malaysia sejak pertengahan 1980-an, yang membawa kepada perubahan radikal kepada teras dasar pembangunan negara dengan pengenalan dan pengukuhan dasar Liberalisasi, Deregulasi dan Penswastaan dan seterusnya menjadikan sektor swasta sebagai sebahagian enjin utama pertumbuhan ekonomi negara selepas. Anuwar Ali (1995: 22) pula mencatatkan: “Kemampuan negara mengambil bahagian dalam perdagangan antarabangsa makin mencabar selama dua dekad yang lepas, lebih-lebih lagi semenjak pertengahan 1980-an, apabila ekonomi terbuka ini dihubungkan dengan globalisasi ekonomi dunia.”

Kesimpulan
Demikianlah secara ringkas penjelasan tentang perbezaan antara konsep Perkampungan Sejagat daripada globalisasi. Perkampungan Sejagat hanya terbatas hanya dalam halehwal komukasi. Di samping itu, dalam hal-ehwal komukasi sekali pun ia adalah terbatas. Sebaliknya, globalisasi membawa pengertian yang lebih luas daripada itu.

Rujukan Mohamed Anwar Omar Din (ed.) Dinamika Bangsa Melayu Menonggah Arus Globalisasi. Bangi: Penerbit UKM. McLuhan, Marshall. 1964. The Printed Word: Architect of Nationalism. Dalam Understanding Media. Mentor/Penguin.

Robertson. R. 1985. “The Relativization of Societies: Modern Religion and Globalization.” Dalam T. Robbins, W. Shepherd and J. McBride (eds.), Cult, Culture and the Law, Chicago: Scholars. Anuwar Ali. 1995. Globalisasi pembangunan industri dan peranan pemerintah di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Ishak Shaari. 1999. Bumi semua manusia: menangani ketidaksetaraan ekonomi dalam arus globalisasi. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia. Keller, W. W. and L.W. Pauly. 1997, Globalization at bay. Current History, November. McGrew, A. 1992. Global Politics. Cambridge: Polity Press. Merriam Webster's Collegiate Dictionary, 1996 Mitchell, J. 1992. The Nature and Government of Global Economy. Dalam A. McGrew, P.G. Lewis et.al (eds.). Global Politics. Cambridge: Polity Press. Mittelman, J. H. 1994. The globalization challenge: surviving at the margin. Third World Quarterly, 15 (3). Robertson, R. 1992. Globalization Social Theory and Global Culture. London: Sage. Rosenau, J. 1990. Turbulence in World Politics: A Theory of Change and Continuity. Princeton: New Jersey: Princeton University Press. Strange, S. 1997. The erosion of the state. Current History. November. Tonelson, A. 1997. Globalization: the great American non-debate. Current History, November. Waters, M. 1996. Globalization: Key Ideas. London and New York: Routledge.