You are on page 1of 9

Biodata Tunku Abdul Rahman

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid
Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah
Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970.
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung.
Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa
Malaysia".
Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin,
Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid
Halim Shah, Sultan Kedahyang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang
tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai
daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal
pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun
berumur 30 tahun ketika itu. Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak
sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk
pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur
sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.
Pendidikan
Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar.
Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke
rumahnya untuk mengajarbahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa
Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu
siang dan membaca Al-Quran pada waktu petang.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku
Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir
School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara
gurunya

ialah

HR

Cheeseman

dan SM

Zainal

Abidin.

Seorang

yang

aktif,

beliau

menyertai Pengakap dan Kor Kadet.


Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan
pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk
menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak
dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan,
beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu
terpaksa meminta maaf.

Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju
Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di
Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap
dengan tengkolok.
Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V.
Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Beliau suka
bersiar-siar dengan motosikal Riley Sportdan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan
raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda
Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada
sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti
Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester
pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku
bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan
dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan
ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku
bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan
Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid
Rahmaniahsempena nama Tunku.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran
undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939
kerana terdapatnya berita bahawaperang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika
itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah
seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara
Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus,
seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah
jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan
Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.
Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda
sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan
Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai
Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di
pekan Alor Star.

Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku
bertemu denganAbdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu
Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku
menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen
untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada
tahun 1949. Setelah belajar 25 tahun , barulah Tunku layak menjadi peguam. [1]
Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang
digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden
pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga
1976.
Keluarga
Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan
anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku
Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi
penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.
Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England.
Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff.
Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk
menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah
Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan
sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang
ternama dan kaya di Kedah. Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka
mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang
yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata
perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.
Kerjaya politik
Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat
Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana
beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah
Sesyen.
Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah
pengisytiharan

penubuhan Malayan

Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan

Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia)
dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn

meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau
memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Laluan ke kemerdekaan
Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan
Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya
persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatanyang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO
dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri
Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun
1955.
Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan
Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu
bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk
menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakamanperakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang
kemerdekaan Malaysia yang biasa.
Sebagai Perdana Menteri
Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke
kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada
tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.
Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak,
dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di
Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau
menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan
bahagian kaumCina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap
daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang
radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti
Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana.
Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di
Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian. Ini
membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.
Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen
haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya,
Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak

mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini
untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.
Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan
Malaya, Thailand danFilipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih
besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967.
Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunanperhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di
Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis
terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat,
mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.
Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa
meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden
UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada
penentang-penentang parti seperti Dr Mahathirdan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing
menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kegiatan Islam
Selepas

menjadikan Islam sebagai agama Malaysia

mengasaskan Pertubuhan

Kebajikan

Agama

yang

rasmi

Islam (PERKIM),

pada

sebuah

1960,
pertubuhan

Tunku
untuk

membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan
Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum kematiannya.
Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada "Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat
Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu
beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951.

Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantikkan sebagai
Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkanBank Pembangunan Islam sebagai sebuah
institusi yang khusis di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah Islamiah Serantau
Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga 1988.
Kehidupan kemudian
Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat khabar yang
berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya, "Mengenang kembali"
("Looking Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As I See It") kritis kepada kerajaan, dan
pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr Mahathir mengharamkan surat khabar itu. Ini menyebabkan
perpecahan di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas Perdana Menteri,Tun Hussein Onn menubuhkan
sebuah parti baru yang digelar "UMNO Malaysia", tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr Mahathir
yang menubuhkan UMNO Baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan
serpihan UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk
Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.
Meninggal dunia
Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang.Apabila sakit beliau
dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur .Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu
berumur 87.Jenazah dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku dan esoknya disemadikan di Makam Diraja
Langgar, Alor Star.

Garis masa

1903: Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai
Istana Pelamin.

1913 (umur 10): Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan
Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Debsirindir,
Bangkok.

1916 (umur 13): Pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School.

1919 (umur 16): Belajar di England.

1925 (umur 22): Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan
kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.

1927 (umur 24): Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti
Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.

1930 (umur 27): Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.

1931 (umur 28): Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang
Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai
Jajahan di Kulim.

1932 (umur 29): Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.

1933 (umur 30): Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina
di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku Khatijah ibni
Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul
Rahman.

1934: Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku
berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.

1935 (umur 32): Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu ,
perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.

1937 (umur 34): Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak
sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.

1938 (umur 37): Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang
undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan isterinya yang
telah diceraikan , Violet Coulson.

1939 (umur 36): Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah.Berkahwin
dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah .Syarifah Rodziah Syed Syeikh Barakbah ialah adik
rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang
anak pun.

1940 (umur 37): Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am
Selatan Kedah.

1941 (umur 38): Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.

1947 (umur 44): Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian * 1948 (umur 45):
Dipanggil ke bar di Inner Temple.

1949 (umur 46): Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai
Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala
Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai Presiden
Mahkamah Sesi.

1946: Menyertai UMNO.

1951 (umur 48): Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan
jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di Kedah.

1954 (umur 51): Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut
kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.

1955 (umur 52): Pilihan raya persekutuan umum yang pertama diadakan, dan Parti
Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan
majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama.
Satu lagi rombongan ke London diadakan.

1956 (umur 53): England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20
Februari di Bandar Hilir, Melaka.

1957 (umur 54): Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos.
Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak
antarabangsa.

1958 (umur 55): Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958
1976).

1960 (umur 57): Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk
membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.

1961 (umur 58): Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang
menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca
Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.

1963 (umur 60): Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung
dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).

1967 (umur 64): ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu
Association of Southeast Asian Nations.

1969 (umur 66): Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik
sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.

1971 (umur 68): Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan
digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.

1982 (umur 79): Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP)
(1982 1988).

1990 (umur 87): Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor
Star.