You are on page 1of 8

KONSEP, CIRI-CIRI, JENIS DAN KAEDAH PENTAKSIRAN

PENGENALAN
Dalam menempuh kehidupan seharian, kita seringkali berhadapan dengan
apa yang dikatakan sebagai pengujian, pengukuran dan penilaian dalam
semua keadaan yang memerlukan kita membuat sesuatu pertimbangan atau
keputusan. Guru perlu membuat pertimbangan atau keputusan berhubung
dengan pelajar dalam bilik darjah kendaliannya tentang pengajaran dan
pembelajaran yang berlangsung. Apakah telah mencapai objektif yang telah
ditetapkan atau memerlukan tindakan pengulangan semula dan sebagainya.
Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah antara beberapa konsep penting
dalam dunia pendidikan. Sering kali istilah ini bertukar ganti digunakan.
Misalnya, sesetengah guru apabila mengedarkan kertas ujian, mereka
mungkin mengatakan mereka mengukur prestasi pelajar atau menilai prestasi
pelajar dalam sesebuah bilik darjah tanpa mengambil hirau maksud sebenar
atau maksud khusus yang mendukung istilah berkenaan. Secara khususnya,
ketiga-tiga istilah berkenaan mempunyai makna yang lebih spesifik dan
ketiga-tiganya mempunyai perbezaan.
Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik, dengan mengambil kira
semua faktor yang boleh mempengaruhi maklumat atau dapatan yang
diperolehi akan membantu guru dalam membuat sebarang keputusan yang
tepat.

DEFINISI KONSEP PENTAKSIRAN


Menurut Moktar Ismail, konsep pentaksiran ialah langkah untuk menentukan
sejauh mana seseorang mempunyai sifat tertentu yakni tahap keupayaan,
status dan nilai. Proses menilai dilakukan secara kuantitatif merangkumi skala
ordinal dan skala slang. Beliau membuat kesimpulan bahawa pentaksiran
dibuat bagi tujuan menentukan kedudukan dan pencapaian murid-murid.
Mengikut pakar dan penulis buku yang terkenal dalam bidang berkenaan iaitu

David Payne dalam bukunya Applied Educational Assessment Edisi Kedua


tahun 2003, pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat,
menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan
membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat.
Daripada pengertian pentaksiran di atas, beliau menyarankan: Pentaksiran =
Penilaian + Pengukuran
Dalam konteks sekarang istilah pentaksiran mula digunakan dalam membuat
penilaian. Popham (2000) berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan
penaksiran digunakan silih berganti dan dianggap sebagai sinonim.
Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada
suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada
proses pembelajaran. Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap
sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai,
mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang
pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga
Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk
skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan
kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.
Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian,
pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru di
bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan instrumen
pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya dengan
penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran

DEFINISI PENILAIAN
Penilaian boleh didefinisikan dengan banyak cara. Menilai boleh dianggap
sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam
memberikan nilai mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara.
Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai ;
The process of delineating, obtaining, and providing useful information for

judging decision alternatives


Definisi ini menjangkau melepasi daripada maksud pengujian dan
pengukuran.
Gay (1985), berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap
sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan
sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini
seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat pertimbangan atau
keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Ini berbeza
dengan pengukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor (numeric)
tertentu yang lebih bersifat kuantitatif.
Terdahulu daripada itu, Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik
mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena
pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspekaspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah
usaha pengajaran itu ditentukan. Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru
memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar
atau guru menilai pencapaian pelajar. Dalam keadaan ini kita boleh
mengatakan bahawa guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui
ujian yang dijalankan. Tindakan susulan yang dilakukan guru dengan
menggunakan keputusan ujian itu berserta maklumat lain yang berkaitan
untuk menilai prestasi murid berkenaan. Dalam sesetengah keadaan
penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih
dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.
Penilaian boleh dijalankan dengan menggunakan maklumat atau data yang
berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan keduaduanya sekali. Secara kuantitatif, maklumat yang diperolehi melalui penilaian
dinyatakan dalam bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun,
dikemaskinikan serta diringkaskan dalam kaedah yang lebih mudah difahami.
Manakala secara kualitatif pula, maklumat yang dapat dinyatakan atau
dihuraikan tanpa menggunakan nombor-nombor. Misalnya Ali menyelesaikan
tugas yang diberikan oleh guru dengan bersih.

Jadi dapat disimpulkan bahawa penilaian merupakan satu proses


mengumpul, menganalisis dan menginterpretasi maklumat untuk menentukan
setakat mana pelajar mencapai objektif pengajaran.
DEFINISI PENGUKURAN
Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding dengan
pengujian. Pengukuran membawa definisi sebagai suatu proses
mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui angka tentang
sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur
dengan menggunakan instrumen. Atau dalam erti kata lain langkah
menentukan tahap sejauh mana seseorang individu memiliki sifat-sifat
tertentu.
Biasanya kita mewakilkan sesuatu indeks berbentuk angka kepada prestasi
seseorang individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat
mewakili sifat tertentu. Misalnya, Ramli mendapat markah 60 peratus dalam
ujian Matematik. Kita tidak menyatakan prestasi Ramli berkenaan sama ada
baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita hanya mengukur tanpa menentukan
nilai. Justeru, pengukuran adalah hanya penentuan status atau tahap.
Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian. Sebagai contoh, proses
mendapatkan maklumat berbentuk kuantitatif menggunakan proses
pencerapan atau penggunaan skala pemeringkatan. Berbeza dengan
pengujian yang ingin mendapatkan maklumat sebanyak mana prestasi yang
diperolehi, pengukuran pula menjurus kepada banyak mana skor atau markat
yang diperolehi dengan menggunakan proses tertentu.
Seperti pengujian, pengukuran juga tidak bersifat mutlak. Pengukuran
ketinggian mental seseorang individu sudah tentu lebih sukar dan tidak dapat
dilakukan dengan tepat berbanding pengukuran ketinggian fizikal seseorang
individu menggunakan alat ukur yang tepat seperti penggunaan pembaris.
Misalnya, seseorang murid yang mendapat skor 90 tidak boleh dianggap
mengetahui dua kali ganda murid yang mendapat skor 45 walaupun skor 90
itu dua kali angka 45. Manakala seseorang yang mendapat skor sifar pula
tidak juga boleh dianggap sebagai tidak mempelajari sebarang perkara atau

tidak memahami sebarang perkara tentang sesuatu pelajaran yang dilalui. Ini
jelas menunjukkan pengukuran aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang
tepat sebagaimana mengukur ketinggian murid menggunakan kayu ukur atau
pembaris.
Dengan itu, seseorang guru harus menggunakan instrumen yang tepat bagi
menghasilkan keputusan yang tepat. Jika instrumen yang digunakan
mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah hasil yang diperolehi daripada
ukuran yang dijalankan itu juga tidak tepat.
DEFINISI PENGUJIAN
Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap
mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat
dianggar sebagai proses penyerahan set soalan yang standard yang perlu
dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur yang sistematik bagi
mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau
pelajar.
Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk
memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan
dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori.
Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100
untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian
bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem
berkategori pula seperti ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti, atau
rabun warna bagi ujian penglihatan.
Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti
yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik
dalam Raminah Haji Sabran (1991) yang menegaskan bahawa:
Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang
diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan.
Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat
penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)

Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu
ukuran yang disebut sebagai markat akan diberikan kepada individu
berkenaan. Pengujian menjelaskan keadaan berapa baguskah prestasi murid
yang diuji.
Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti
pelaksanaan (pentadbiran ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip
jawapan. Melalui proses pengujian inilah seseorang guru dapat mengetahui
sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai sebanyak mana kemahiran
yang telah dipelajari.
Rumusannya, pengujian merupakan satu atau prosedur sistematik bagi
mengukur satu sempel tingkah laku. Hal ini menjawab soalan kepada setakat
mana prestasi individu jika dibandingkan dengan prestasi individu lain, atau
berbanding dengan tugas yang ditentukan.

PERKAITAN PENGUJIAN, PENGUKURAN DAN PENILAIAN

KONSEP PENTAKSIRAN

TUJUAN PENTAKSIRAN
o Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam
pembelajaran
o Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran
o Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan
pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.
o Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan
sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.
o Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.
o Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.
o Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran
CIRI - CIRI PENTAKSIRAN
Pentaksiran yang baik mempunyai ciri-ciri seperti berikut;
i) Keobjektifan ketepatan seseorang pemeriksa memeriksa skrip jawapan.
ii) Kebolehtadbiran- kelincinan dan kerja-kerja susulan yang dilaksanakan
secara berpusat atau berasaskan sekolah.
iii) Kemudahtafsiran- maklumat tentang calon berdasarkan skor,
mendiskrimasikan calon, menepati tujuan mengadakan sesuatu ujian dan
pentaksiran.
iv) Kekomprehensifan mengandungi soalan-soalan yang mewakili semua
objektif yang penting.
KAEDAH PENTAKSIRAN
Pentaksiran boleh dibuat dengan beberapa kaedah seperti melalui;i) Pemerhatian
ii) Lisan dan
iii) Penulisan

Pemerhati:
Dibuat apabila sukar hendak dikesan melalui kaedah lisan atau melalui kerja
bertulis para pelajar. Biasanya penilaian dibuat melalui sikap, perlakuan,
proses atau hasil kerja amali, lukisan, kraf tangan dan sebagainya.
Lisan :
Mengesan secara serta-merta tentang penguasaan pengetahuan,
kefahaman, konsep, kemahiran, perlakuan amalan dan sikap pelajar.
Biasanya penilaian jenis ini dilaksanakan melalui aktiviti seperti bersoaljawab, perbincangan, kuiz, hafazan, bercerita dan sebagainya.
Penulisan:
Melibatkan aktiviti menyemak dan memeriksa hasil tugasan daripada kerja
bertulis para pelajar seperti lembaran kerja ujian bertulis, laporan projek,
karangan, taksir graf, peta, jadual atau carta. Setiap penilaian dan
pentaksiran hendaklah dikendalikan oleh guru untuk menilai sendiri
pelajarnya secara berterusan berdasarkan hasil pemelajaran yang telah
ditentukan.

KESIMPULAN
Oleh itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa pentaksiran merupakan satu
proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman serta
pertimbangan tentang produk sesuatu proses. Dari konteks pendidikan
pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang
merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan
menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi
sesuatu tujuan. Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan
gambaran tentang prestasi pembelajaran

You might also like