You are on page 1of 3

DUNIA

MATEMATIK
SEKOLAH RENDAH
Memandang Dunia Dengan
Matapelajaran Matematik
Monday, 5 December 2011

Guru Matematik Tercabar Dan Mencabar ?

Benarkah pelajar-pelajar kita tidak berminat belajar matematik? Adakah guru-guru matematik pula tidak
pandai menarik minat pelajar-pelajarnya mempelajari matematik? Atau salahkah dasar pendidikan
Malaysia mengubal sukatan pendidikan matematik di negara ini? Persoalan demi persoalan diajukan.

Akhirnya terdengarkan seperti nyanyian "Bangau,Oh Bangau"; yang terlibat menuding jari menuduh
kesalahan kepada yang lain. Sebagai guru matematik, persoalan yang sentiasa bermain di fikiran ialah
bagaimana menggunakan pelbagai kaedah agar pelajar-pelajarnya cepat memahami apa yang diajar,
juga boleh mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam apa juga situasi
permasalahan matematik. Apa yang diharapkan juga ialah supaya pelajar terus mengingati apa yang
dipelajari itu seberapa kekal yang boleh.
Cabaran yang ditanggung oleh guru matematik bukannya sedikit. Selain memenuhi tuntutan kerja
perkeranian yang menimbun, guru matematik juga terpaksa menyediakan bahan pengajaran untuk P&P
yang mendatang. Pemilihan alat bantu mengajar perlu sesuai, penyediaan lembaran kerja yang pelbagai
buat pelajar yang pelbagai tahap perlu disediakan. Di bilik darjah pula guru perlu pandai memilih kaedah
yang dapat menarik perhatian pelajarnya dengan apa yang diajar. Pelajar tidak harus terasa tertekan,
merasa bosan malah merasa benci terhadap matematik. Guru juga yang harus memain peranan agar
pelajar melempar jauh perasaan negatif dan fobia mereka terhadap matematik. Soalnya, pelajar yang
mempunyai pelbagai latar belakang dan tahap pencapaian yang berbeza, malah mempunyai corak
disiplin yang mengharukan juga harus ditangani oleh guru matematik.
Sekolah Bestari memungkinkan guru-guru matematik yang selama ini menjadi sumber maklumat bertukar
tugas sebagai filisitator. Guru sebagai pemandu arah kepada pelajar, mereka sendiri yang mencari
maklumat sendiri tanpa sempadan. Di sekolah bestari, guru digalakkan menggunakan pelbagai strategi
pengajaran dan pembelajaran untuk mengoptimumkan pembelajaran. Strategi yang dicadangkan
berasaskan pada satu kontinum dari pemusatan guru ke pemusatan pelajar. Strategi yang dipilih untuk
pengajaran dan pembelajaran efektif mesti memenuhi keperluan pelajar dan ia sesuai dengan iklim
sekolah.
Kaedah Pembelajaran Koperatif pula adalah suatu strategi pengajaran yang melibatkan pelajar-pelajar
saling bantu membantu diantara satu sama lain dalam kumpulan kecil dengan mempunyai matlamat
bersama. Kajian terkini mendapati penggunaan Pembelajaran Koperatif boleh meningkatkan dan
mewujudkan pencapaian pelajar, pemikiran kritikal dan kreatif, sikap positif terhadap matapelajaran dan
sekolah, kemahiran sosial dan interaksi kumpulan, keyakinan diri dan saling menghormati. Tugas guru
sebagai tenaga pengajar beralih kepada penggalak agar mereka terangsang untuk menyiasat, meneroka
dan mencari sendiri maklumat yang dikehendaki terutama dalam matematik.
Menurut Johnson, Johnson, and Smith (1991) pembelajaran koperatif perlu mengandungi 'Positive
Interdependence' iaitu setiap ahli bergantung antara satu sama lain untuk mencapai sesuatu matlamat.
Jika mereka gagal memainkan peranan masing-masing, kumpulan itu akan menanggung akibatnya.
'Individual Accountability', iaitu setiap ahli dalam kumpulan adalah bertanggung jawab kepada
maklumatnya dan menguasai sepenuhnya bahan-bahan pelajaran berkaitan. 'Face to face promotive
interaction', iaitu walaupun setengah kerja dalam kumpulan boleh dibahagi-bahagikan tetapi ada kalanya
ia perlukan maklum balas, cabar-mencabar dan galakan secara interaktif dari rakan-rakan lain dalam
kumpulan. 'Appropriate use of collaborative skill' iaitu pelajar digalakkan membentuk dan dilatih saling
mempercayai, kemahiran kepimpinan, membuat keputusan, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran
pengurusan konflik. 'Group processing' adalah setiap pasukan membentuk matlamat kumpulan, dari
masa ke semasa membuat penilaian tentang pencapaian sebagai satu kumpulan dan mengenalpasti
masalah untuk tujuan kebaikan masa datang.
Terdapat beberapa model yang telah direka oleh para pengkaji dalam merealisasikan kaedah
Pembelajaran Koperatif bergantung kepada kesesuaian pelajar iaitu diantaranya ialah The Structural
Approach (Spencer Kagan), The Learning Together Approach (Johnson & Johnson), STAD, TGT, Jigsaw
(Slavin) dan Group Investigation (Sharan & Shacar).
Proses pembelajaran yang berkesan sebenarnya dipengaruhi oleh banyak faktor. Antaranya termasuklah
faktor motivasi, kepantasan bertindak, suasana sekeliling dan mod serta cara penyampaian bahan
pembelajaran tersebut. Boleh dikatakan tiada bukti kukuh yang memperkatakan tentang perbezaan cara
pembelajaran antara pelajar yang pintar, sederhana dan yang lembab, kerana proses yang berlaku dalam
otak manusia adalah sama. Yang membezakan ketiga-tiga kategori pelajar itu hanyalah dari segi motivasi
dan kepantasan bertindak. Proses pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer banyak
menolong dalam hal ini. Perisian kursus yang dibina dengan teliti boleh menolong meransang minda
pelajar untuk terus mempamerkan kebolehan-kebolehan golongan ini yang kadang-kadang tidak
terjangkau oleh minda manusia dewasa.

Gabungan antara teknologi komputer dan kepakaran tenaga pengajar akan menghasilkan satu
Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) yang bermutu. Salah satu ciri-ciri yang
baik untuk sebuah PPBK yang bermutu ialah dengan memasukkan unsur teori pembelajaran dalam
perisian. Sistem maklumat melalui komputer dapat menarik perhatian pelajar terutama matematik yang
merupakan pelajaran yang digeruni. Satu menu yang menarik disediakan secara persembahan
bermultimedia. Pelajar diberitahu objektif pelajaran dengan paparan tentang penyataan objektif yang
perlu dicapai oleh pelajar bila menggunakan perisian. Penggunaan komputer dapat merangsang pelajar
untuk mengingat semula (recall) isi kandungan yang telah dipelajari tambahan pula pembelajaran dapat
dipersembahkan secara menarik dengan beberapa faktor seperti warna, font, grafik dan rekaletak yang
boleh menarik perhatian dan meransang pelajar untuk terus menggunakan perisian.
Selain daripada itu perisian PPBK juga menyediakan bimbingan belajar iaitu satu menu khusus untuk
membantu pelajar yang bermasalah terutama bahagian asas disamping dapat mengesan kemajuan,
menilai dan mentaksir kemajuan pelajar dengan mengemukakan soalan atau memberi tugasan supaya
pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari . Perisian seperti Geometer's Sketchpad, Autograph
dan juga kalkulator grafik dapat membuka minda pelajar untuk menyiasat serta meneroka sendiri teoriteori dalam pengajaran matematik. Malah dalam penggunaan internet , kita akan dapati pelbagai
maklumat mengenai matematik boleh didapati; sejarah matematik, kaedah pengajaran dan permainanpermainan berunsur matematik yang boleh menghiburkan pelajar.
Teori Konstruktivisme membawa pelajar membina realiti sendiri atau sekurang-kurangnya
menterjemahkan apa yang dialaminya berdasarkan kepada persepsi pengalaman. Jadi, pengetahuan
individu adalah berfungi untuk pengalaman lepas, struktur mental dan kepercayaan ini semua akan
digunakan sebagai penerangan kepada benda dan peristiwa yang ditempuhi (Jonasson 1991). Merill
(1991) berpendapat bahawa pengetahuan dibina dari pengalaman. Pembelajaran ialah pandangan
individu kepada dunia sekeliling. Konsep terhadap sesuatu adalah dibina hasil daripada perkongsian
beberapa perspektif dan daripada pembelajaran cara koleboratif. Apa yang ingin disampaikan ialah realiti
yang dibina oleh pelajar adalah realiti yang dibina sendiri. Pelajar sebenarnya telah mempunyai satu set
idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka. Sesungguhnya
kaedah pengajaran gaya konsruktivisme dalam pembelajaran matematik banyak mengubah cara
pengajar. Daripada menetapkan apa yang perlu dicapai (cara pengajaran tradisional) kepada idea yang
lebih terbuka, pelajar terangsang untuk berfikir dan bebas memberi pendapat. Masing-masing ada
pengalaman dan berfikir sendiri. Unsur multimedia yang dimasukan bertujuan supaya deria pengguna
dirangsangkan sedaya mungkin. Ini sebagai suatu strategi kognitif dan seterusnya teori konstruktivisme
dapat dipraktikkan.
Simulasi didefinisikan sebagai suatu situasi yang diwujudkan supaya menyerupai situasi sebenarnya
tetapi dalam bentuk yang dimudahkan, diringkas atau dikecilkan. Kaedah ini dapat membantu dalam P&P
matematik. Kaedah ini selalunya dibina dengan teknologi multimedia untuk mentafsirkan masalah
matematik selain dengan penggunaan model. Ini bertujuan untuk mereka mengenali secara tersendiri
dengan masalah yang terjadi. Pelajar akan mendapat pengalaman dari cara ini yang besesuaian dengan
Teori Konstruktivisme seterusnya dapat menyelesaikan pelbagai masalah matematik. Kaedah Projek atau
Tugasan matematik pula bertujuan untuk meningkatkan penglibatan pelajar dengan idea-idea konseptual
dan memperkembangkan kemahiran matematik. Antara objektif utamanya adalah untuk melahirkan
pelbagai kaedah penyelesaian selepas satu konsep pembelajaran diberikan. Walaupun ia satu tugas
yang agak berat, tetapi kaedah ini dijamin dapat memberikan kepuasan kepada pelajar terutama apabila
dapatan dihasilkan dengan jayanya. Kaedah Kerja Luar dalam pembelajaran matematik pula membawa
pelajar ke situasi yang berbeza dari bilik darjah, ia dapat merialisasikan masalah situasi sebenar kepada
pelajar. Pelajar akan terhibur, tidak merasa bosan dan didedahkan dengan pengalaman yang sebenar.
Cabaran yang dilalui oleh guru-guru matematik sebenarnya boleh ditangani dengan adanya
perkembangan kaedah pembelajaran yang terkini. Kaedah 'chalk and talk' dan kaedah tradisional
memang membebankan guru. Pengunaan teknologi seperti komputer dapat membantu P&P guru dalam
bilik darjah. Selain menguasai pengetahuan dan pelbagai kaedah dalam mata pelajaran matematik, guru
perlu memahami dan mengamalkan sepenuhnya saranan dan falsafah serta saranan yang terkandung
dalam kurikulum pendidikan negara KBSR dan KBSM demi memfokuskan arah tuju guru-guru matematik
dalam melaksanakan tugas perguruan. Tanpa pengorbanan guru runtuhlah tamadun suatu bangsa.

You might also like