You are on page 1of 4

CIRI YANG PERLU DIMILIKI OLEH GURU UNTUK MEMBANUKAN SISTEM PENDIDIKAN BERTARAF

DUNIA
http://permatapemulihan.blogspot.com/2010/03/ciri-ciri-yang-perlu-dimiliki-oleh.html
1.0 PENDAHULUAN
Keguruan ialah satu jawatan professional seperti mana kerjaya-kerjaya lain dalam masyarakat
dunia. Sebagai guru yang profesional, guru perlu melaksanakan kerjayanya dengan sepenuh hati,
bersedia menanggung semua konsekuen yang sesuai dengan nilai profesion ini. (Dr Ragbir Kaur
a/p Joginder Sigh, 2007) Salah satu agenda penting dalam matlamat perancangan pembangunan
pendidikan bagi RMK-9 ialah membangunkan istem pendidikan bertaraf dunia. Dalam agenda ini
kerajaan akan memperkukuhkan kurikulum sekolah yang seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani dan intelek, mempunyai disipin yang tinggi, bersikap kerjasama, dan mampu memainkan
peranan dalam masyarkat, serta melahirkan sejumlah sekolah yang baik dan cemerlang untuk
dijadikan show case kepada negara-negara lain di dunia. (Ucapan menteri Pendidikan Malaysia
dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran Malaysia). Dr Ismail Zain, dalam kertas
kerjanya yang bertajuk Pendidikan Bertaraf Dunia Kearah Pembestarian Dalam Proses Pengajaran
dan Pembelajaran (selepas ini di tulis p&p) menjelaskan pendidikan bertaraf dunia sebagai
wacana dalam dasar pendidikan negara yang meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang
yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai
institut perkembangan ilmu.
2.0 CIRI-CIRI GURU BERKUALITI
Ciri dalam Kamus Dewan 2007 didefinisikan sebagai sifat (unsure,tanda) yang khusus pada
sesuatu atau membezakannya daripada yang lain. John Macdovalo (1993) menyatakan kualiti
sebagai memenuhi keperluan atau kehendak pelanggan. Jemaah Nazir Sekolah pula
mendefinisikan kualiti sebagai ciri-ciri atau sifat kecemerlangan yang dikehendaki oleh sesuatu
barang, alat perkakas, dan perkhidmatan (ISO8402). Maka, dapatlah dikatakan untuk
menghasilkan pendidikan bertaraf dunia, ciri-ciri guru yang berkualiti ialah guru yang memenuhi
keperluan pelajar dalam pelbagai aspek sama ada dari segi p&p, sahsiah, kemahiran, kepakaran
dan pengurusan.
Oleh itu antara ciri-ciri yang perlu ada pada guru berkualiti bagi menghasilkan pendidikan bertaraf
dunia, guru perlulah:
2.1 Bertindak sebagai penyebar ilmu Menurut Ragbir Kaur (2007), fungsi guru ialah mendidik
murid dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada pelbagai disiplin dalam
kurikulum sekolah. Para guru haruslah memiliki sifat-sifat amanah, dedikasi, komited pada
tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan mempunyai sikap membantu dan
menyampaikan seberapa banyak ilmu kepada murid-muridnya. Penekanan di sini ialah
mengenai sikap dan penampilan guru itu sendiri terhadap konsep ilmu. Guru harus
mendalami ilmu sebanyak mungkin supaya dapat menyebarkan ilmu kepada para pelajar
bagi melahirkan insan dan warganegara yang berilmu. Dalam era transformasi pendidikan
guru hendaklah menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis serta
memperkembangkan potensi pelajar dalam semua aspek JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani,
Intelek dan Sosial) bagi mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.

2.2 Bertindak sebagai Pembentukan Nilai / Role Model Nilai merupakan kriteria penting bagi
mengukur mutu sesuatu benda. Menurut Ragbir Kour (2007) guru harus membentuk
murid-murid untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang
tinggi. Nilai-nilai yang perlu diterapkan ialah moral, agama, terminal dan instrumental.
Jadi, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional, dan sosial yang
baik dan murni supaya dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna.
Sebagai ibu bapa kedua kepada murid-murid, segala nilai dan tingkah laku guru menjadi

contoh teladan kepada para pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah
secara tidak langsung akan diterapkan dalam jiwa pelajar. Menurut Ee Ah Meng (2003)
guru yang beriltizam akan menjadi role model kepada para pelajarnya. Secara tidak
langsung, guru berkenaan akan dapat memupuk beberapa ciri peribadi yang positif melalui
amalan-amalannya di dalam bilik darjah.
2.3 Bertindak Sebagai Pengamal Budaya Ilmu
Menurut Mok Soon Sang 2007, Profesor Syed Muhammad al-Altas menyatakan ilmu
merupakan sesuatu yang bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada
jiwa manusia. Hal ini menunjukkan ilmu merangkumi semua aspek kehidupan luaran dan
dalam jiwa manusia. Guru sebagai pengamal ilmu perlu mempraktikkan budaya ilmu
seperti membaca, berfikir, memerhati, berkarya, bersumbangsaran, dan bertukar fikiran
serta mencari pengalaman baru (Ragbir Kour (2007)). Dalam p&p, guru akan
memindahkan ilmu yang baik, meninggikan adab murid, serta memberi petunjuk ke arah
kebenaran sebagai seorang pengamal ilmu. Sebagai seorang guru, budaya ilmu harus
menjadi kriteria utama dan harus dipupuk dalam diri supaya menjadi teladan bagi para
pelajar mencontohinya. Budaya ilmu di kalangan guru dan pelajar adalah sejajar dengan
salah satu matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu
melahirkan generasi yang mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya menjadi teras dan
tunjang dalam amalan pendidikan seumur hidup.
2.4 Mengamalkan kemahiran professional
Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan
untuk mendidik murid-murid di seklah. Oleh itu, guru yang mempunyai kemahiran
profesional serta kecerdasan emosi yang tinggi memainkan peranan besar dalam
menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak
selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Peranan ini penting bagi membawa pendidikan
negara Malaysia ke arah pendidikan yang bertaraf dunia (Dr. Ragbir Kaur, 2007). Antara
kemahiran yang perlu ditekankan ialah kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif. Para
pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan
pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi
menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga
terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa (Mohamad bin Muda, Ketua Penolong
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia).
2.5 Bersifat profesional dan peka dengan segala perkembangan pendidikan
Craft (2002) menyarankan bahawa untuk menjadi pendidik yang profesional, seorang guru
perlu peka terhadap inisiatif pendidikan yang terkini.. Guru yang profesional juga sentiasa
mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini bagi
mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran p&p guru. Mak Soon Sang (2007),
menegaskan guru hendaklah melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran
menggunakan internet untuk memperolehi maklumat tentang perkembangan matematik
dan pedagogi pengajaran masa kini di samping membimbing murid-murid menggunakan
internet sebagai p&p. Selain itu guru perlu mengaplikasikan teknologi maklumat (ICT) di
dalam bilik darjah melalui program SLE (Smart Learning Environment) yang bertujuan
meningkatkan pengetahuan guru terhadap penggunaan ICT. Antaranya aplikasi word
processing, spreadsheet, database, desktop publishing, dan graphing (Dr Ranbir Kaur a/p
Joginder Sigh, 2007).
2.6 Mengamalkan pengajaran efektif
Mak Soon Sang (2007) mengenalpasti ciri-ciri pengajaran efektif dari segi perancangan,
pelaksanaan, dan penilaian pengajaran.

2.5.1 Perancangan pengajaran


Clarke dan Cutler (1990) menyatakan keberkesanan pengajaran bergantung kepada
perancangan, pelaksanaan, penilaian terhadap proses dan objektif pembelajaran. Oleh itu,
mengenalpasti objektif pengajaran merupakan salah satu ciri kualiti pengajaran yang
diperlukan dalam perancangan. Cohn et al, (1987) selanjutnya menyokong pendapat ini
dengan menyatakan guru harus membuat refleksi kendiri untuk menilai objektif
pengajarannya setelah selesai melaksanakan pengajaran. Oleh itu guru harus mempunyai
kemahiran dalam memilih strategi p&p yang sesuai kerana ia merupakan suatu rancangan
untuk melaksanakan aktiviti p&p juga mahir dalam penggunaan kaedah dan teknik
mengajar untuk menyampaikan isi pelajaran dengan cara yang berkesan, kerana
pemilihan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai akan menjamin keberkesanan
pengajaran serta pencapaian objektifnya secara optimum.
2.5.2 Pelaksanaan pengajaran
Mok Soon Sang (2002), mengatakan peranan guru dalam pelaksanaan dan kejayaan
proses pengajaran dan pembelajaran meliputi tugas-tugas seperti menganalisis objektif
dan isi kandungannya, menentukan keperluan pelaksanaan seperti melengkapkan diri
dengan kemahiran mengajar dan penyediaan bahan-bahan pelajaran, merancang dan
melaksanakan pengajaran, membuat penilaian untuk mengenalpasti kelemahan dengan
tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan pengajaran dengan membuat
pengubahsuaian dalam rancangan mengajar.
2.5.3 Penilaian pengajaran
Yap, Wan, dan Ismail (1985) dalam Kertas Kerja oleh Profesor Dr. Saedah Siraj
mentakrifkan penilaian dalam pendidikan dan pembelajaran sebagai satu aktiviti untuk
mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif p&p.
Ingham (dalam Saedah Siraj, 2000) menyarankan supaya pendidik membuat penilaian
dan menghargai perbezaan setiap individu kerana setiap perbezaan itulah yang akan
menentukan cara setiap individu itu belajar dan juga boleh memberi pengalaman
pembelajaran kepada masing-masing.
3.0 KESIMPULAN
Oleh itu dalam menuju pendidikan bertaraf dunia, guru adalah agen terpenting dalam
merealisasikan pendidikan anak bangsa Malaysia dalam mengharung cabaran di tahap yang lebih
tinggi. Pengisian guru yang berkualiti seperti yang di bentangkan iaitu guru perlulah bertindak
sebagai penyebar ilmu, pengamal budaya ilmu, guru sebagai role-model, mengamalkan
pengajaran efektif, peka dengan segala perkembangan pendidikan, dan mengamalkan kemahiran
profesional mampu meyediakan generasi muda untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan
yang berupa masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa
bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan
maklumat sejagat. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Mohamad bin Muda, Ketua Penolong
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dalam ucapannya, para
pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf
baru, abad ke-21.
BIBILIOGRAFI
Kamus Dewan, Edisi Keempat. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur 2007.
Dr. Ragbir Kaur a/p Joginder Singh (2007). Panduan Ulangkaji Pendidikan Untuk KPLI Sekolah
Menengah dan Sekolah Rendah. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Dr Wan Shamsuddin Bn Wan Mamat (Disember 1998). Pengisian Wawasan Pendidikan Negara
Menuju Abad21 .http://citacita.tripod.com/nota/wawasdidik.htm%20online%20on
%2024/02/2008.
Dr Ismail Zain, Pendidikan Bertaraf Dunia Ke Arah Pembestarian Dalam Proses Pengajaran Dan
Pembelajaran.
http://www.tutor.com.my/ online on 24/02/2008 Mak Soon Sang (2007).
Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Komponen 3: Profesional Keguruan) Sekolah Rendah. Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd., Subang Jaya.
Mohamad Bin Muda (1991), Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Cabaran Dan Harapan dalam Pendidikan Menghadapi Alaf Baru. Professor Dr Saedah Siraj dan
Nurhayati Ishak (26-28 Disember 2006).
Peningkatan Kualiti Pengajaran Di Institut Pengajian Tinggi Di Aceh, Prosiding Persidangan
Antarabangsa Pembangunan Aceh, UKM Bangi.
http://pkukmweb.ukm.my online on 24/02/2008