You are on page 1of 10

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 17

UNIT 2
STRATEGI PEMERENGGANAN

HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir unit ini, anda diharapkan dapat:
1.
2.
3.

Mengenal pasti konsep serta strategi pemerengganan


Menghuraikan jenis-jenis perenggan dalam karangan
Mengaplikasi pelbagai teknik menulis perenggan dalam karangan

Pengenalan

erenggan ditakrifkan oleh Kamus Dewan (1994) sebagai bahagian daripada muka atau bab
dalam buku, rencana yang terdiri daripada beberapa baris dan pragraf. Perenggan merupakan
unit karangan yang mengandungi beberapa ayat, yang antara satu dengan lainnya mempunyai
hubungan dari segi makna dan tatabahasa. Manakala Fowler (1970) menyatakan perenggan ialah
sebuah kotak kecil ayat-ayat yang membina bentuk dan pada masa yang sama juga berfungsi
sebagai sebahagian daripada keseluruhan penulisan. Ringkasnya, perenggan merupakan
sekelompok karangan yang pendek mengandungi struktur ayat yang bervariasi.
Pemerengganan penting dalam menyampaikan idea yang konkrit dan tersusun. Perenggan
yang bermutu ialah perenggan yang mengandungi idea yang jelas, maklumat yang mencukupi dan
rangkuman ayat yang gramatis dan mudah difahami. Selain itu, sebuah perenggan yang berkesan
ialah perengan yang dapat menjalankan tugasnya dengan baik.
Jika tugas perenggan itu adalah untuk memperkembangkan kenyataan maka setiap ayat
yang terkandung di dalamnya hendaklah merupakan peluasan dan rujukan kepada kenyataan
tersebut. Pembaca hendak merasakan bahawa semua ayat yang dibina dalam perenggan itu
merupakan perkembangan yang berkesan kepada kenyataan yang dikemukakan. Seorang pengarang
yang mahir mampu menyusun sebuah perenggan dengan kaedah penulisan yang sistematik. Jika kita
lihat fungsinya, ternyata perenggan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti rajah 1.

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 18

Perenggan

Khusus

Utama

Pengenalan
Pengembang
Penutup

Penyenaraian
Percontohan
Perbandingan
Pengelasan
Soalan-Jawapan
Kenyataan Luar Dugaan
Kontras Masa
Penglibatan Pembaca

Falsafah
Urutan Waktu
Analogi
Penghuraian Proses
Urutan Ruang
Anekdot
Tiga Kata Bermakna
Analisis

Rajah 1:
Pembahagian perenggan utama dan khusus

Perenggan Utama
Berdasarkan fungsinya dalam karangan, struktur perenggan utama dapat dijeniskan kepada tiga
bentuk iaitu:
i. Perenggan Pengenalan
ii. Perenggan Pengembang
iii. Perenggan Penutup
Perenggan Pengenalan
Perenggan pengenalan mempunyai fungsi tarikan yang penting kerana ia akan menentukan sama
ada pembaca berminat untuk meneruskan pembacaan atau tidak. Selain itu perenggan pengenalan
mesti menggambarkan tajuk karangan dan pernyataan penulis tentang tujuan penulisannya.
Pengenalan yang menarik akan mengundang minat pembaca untuk menelaah karangan sehingga
tamat. Isi perenggan pemulaan bertujuan mengutarakan aspek pokok perbincangan dan memberi
latar belakang penting tentang tajuk yang ditulis. Manakala pengenalan yang lemah dan
membosankan akan memudarkan minat pembaca dan sekali gus menunjukkan kegagalan seseorang
pengarang. Perenggan pengenalan dapat dibina melalui teknik-teknik berikut, iaitu:

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 19

i.
ii.
iii.
iv.
v.

Kutipan, peribahasa, anekdot


Pendapat atau pernyataan seseorang tokoh
Menyatakan maksud dan tujuan penulisan
Mengemukakan pertanyaan
Catatan pengalaman peribadi

Perenggan Pengembang/ Badan Karangan


Perenggan pengembang bertujuan menjelaskan pokok perbincangan yang sebelumnya telah
dinyatakan dalam perenggan permulaan. Perenggan pengembang berfungsi sebagai:
i.
ii.
iii.
iv.
v.

mengemukakan inti persoalan


memberi ilustrasi dan contoh
menjelaskan hal yang akan dibicarakan pada perenggan berikutnya
meringkas atau mengejapkan isi perenggan sebelumnya
mempersiapkan dasar atau landasan bagi kesimpulan

Sehubungan peranan tersebut, perenggan pengembang yang bermutu harus mengandungi


ciri-ciri berikut, iaitu:
i.
ii.
iii.
iv.
v.

Ayat topik yang berkait langsung dengan pernyataan tesis (ayat tesis).
Mengandungi bukti yang sahih seperti fakta, contoh, deskripsi fizikal dan pengalaman
sendiri.
Menggandingkan maklumat lama dan maklumat baharu.
Mengandungi ayat penyangga yang memberi penerangan dan gambaran tentang
ayat topik dalam sesebuah perenggan.
Mengandungi kesinambungan idea antara perenggan dengan perenggan dan ayat
dengan ayat.

Perenggan Penutup
Perenggan penutup berbeza dengan perenggan lain kerana fungsinya menyimpulkan buah fikiran
dalam satu atau dua perenggan sahaja. Selain itu perenggan penutup merupakan kesimpulan bagi
seluruh isi karangan. Perenggan ini juga merupakan pernyataan kembali maksud penulis dengan
tujuan mengejapkan kefahaman pembaca. Begitupun, sebagai perenggan terakhir, seharusnya
struktur perenggan penutup mematuhi ciri-ciri berikut:
i.
ii.
iii.
iv.

Mestilah berkait langsung dengan pernyataan tesis.


Pernyataannya dapat mencerminkan keseluruhan isi utama.
Mengandungi kesimpulan daripada suatu penyelesaian, ramalan dan cadangan (jika
berkaitan).
Memberi nilai judgement oleh penulis agar pembaca merasa puas hati terhadap
hujah-hujah pengarang.

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 20

Teknik Menulis Perenggan


Terdapat pelbagai teknik menulis perenggan bergantung kepada jenis dan motif karangan. Perhatikan
teknik-teknik perenggan berikut yang boleh diaplikasikan sama ada ketika kita menulis perenggan
permulaan, peranggan di bahagian badan karangan ataupun perenggan penutup.
1.

Teknik Penyenaraian
Ayat dalam perenggan yang baik dapat dipecahkan kepada empat fungsi asas. Pertama,
pembuka perenggan, iaitu ayat yang menentukan topik fokus dalam perenggan seluruhnnya.
Kedua ialah pengembang perenggan yang menyajikan pelbagai contoh, bukti serta perincian
bagi menyokong idea utama yang dikemukakan dalam pembuka perenggan. Ketiga ialah
modulator, iaitu ayat yang menghasilkan peralihan yang lancar antara idea-idea yang berbeza
dalam ayat. Keempat pengakhir perenggan, iaitu ayat menyimpulkan idea yang dibincangkan
dalam perenggan secara logik. Bukan semua penulisan dicirikan oleh fungsi-fungsi ayat seperti
yang dianalisis ini. Bagaimanapun, perenggan yang baik biasanya mempunyai gabungan
beberapa fungsi daripada keempat-empat fungsi sepeti yang dinyatakan itu.
Ciri-cirinya: Pertama, Kedua, Ketiga, Keempat.

2.

Teknik Percontohan
Tidak syak lagi, banyak daripada tamadun besar terlibat dalam terjemahan yang luas. Di Asia,
Jepun dan China terkenal kerana bidang terjemahan mereka. Begitu juga tamadun Anglo-Saxon
di Britain, Amerika Utara dan Australia. Malah, ramai penulis kita mengenali sastera dunia hanya
melalui bahasa Inggeris. Tamadun Melayu pada kurun ke empat dan lima belas juga telah
membuka diri kepada pemikiran Arab serta Parsi.
Ciri-cirinya: Asia, Jepun, China, Britain, Amerika Utara, Australia, Arab, Parsi.

3.

Teknik Perbandingan
Di universiti dan juga maktab, ujian objektif dan peperiksaan esei merupakan dua kaedah
penilaian yang sering digunakan untuk mengukur pengetahuan dan pemahaman pelajar
terhadap kursus yang diikuti. Ujian objektif lazimnya memuatkan beberapa banyak soalan dan
pelajar perlu memperlihatkan penguasaan subjek secara terperinci. Sebaliknya peperiksaan
bercorak esei menghendaki pelajar menyusun jawapan dalam bentuk karangan sebagai maklum
balas terhadap soalan-soalan yang diajukan. Walaupun ujian objektif dan peperiksaan esei
mempunyai tujuan yang sama, iaitu menilai pencapaian pelajar, namun teknik yang digunakan
kedua-duanya berbeza sama sekali.
Ciri-cirinya: Sebaliknya [tetapi, namun, bagaimanapun dan lain-lain].

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 21

4.

Teknik Pentakrifan/ Definisi


Kamus Dewan (1999) mendefinisikan struktur berhubungan dengan bentuk atau form. Struktur
adalah makna yang mengambil bentuk, sehingga struktur rumah adalah sinonim dengan bentuk
rumah, paling tidak dalam pengertian popular. Tidak ada perbezaan yang jelas antara struktur
dan bentuk, bahkan mungkin sama. Paling-paling, penggunaan istilah struktur dianggap lebih
bersifat ilmiah dibandingkan dengan istilah bentuk.
Ciri-cirinya: Kamus Dewan (1999) mendefinisikan...

5.

Teknik Pengelasan
Perkembangan bahasa kanak-kanak dapat dibahagikan kepada tiga sudut, iaitu fonologi,
semantik dan sintaksis. Dalam perkembangan fonologi, kanak-kanak menghasilkan bunyi secara
rambang. Mula-mula ia memperoleh fonem-fonem yang kasar dan ketara perbezaan tuturnya,
tetapi kemudian maju kepada fonem-fonem halus dan seni perbezaan tuturnya. Dalam
perkembangan semantik pula, kanak-kanak mula berupaya menguasai beberapa patah kata dan
kemudian memperluas perbendaharaan katanya dengan agak cepat. Manakala dalam
perkembangan sintaksis, kanak-kanak menguasai ujaran satu perkataan ketika berumur satu
tahun dan maju kepada ujaran dua perkataan ketika menjangkau dua tahun. Setelah meningkat
kepada umur lima tahun barulah bahasa kanak-kanak itu hampir menyamai bahasa orang
dewasa. Dengan memahami ketiga-tiga sudut perkembangan bahasa kanak-kanak ini, dapatlah
kita terapkan pendidikan bahasa kepada anak-anak kita sejak peringkat awal lagi.
Ciri-cirinya: fonologi, semantik dan sintaksis.

6.

Teknik Soalan-Jawapan
Tahukah anda hutan mempunyai fungsi tersendiri dalam kehidupan manusia? Ahli-ahli kajian
kehutanan kini mengetahui bahawa hutan membantu mengurangkan hakisan tanah. Ini berlaku
melalui aliran air pada batang tumbuhan. Air hujan tidak akan terus menimpa permukaan bumi,
sebaliknya akan mengalir turun melalui akar tumbuhan. Ini mengurangkan kelajuan air hujan
yang tiba ke permukaan tanah. Akar tumbuhan pula memegang butiran tanah dan
mengekalkan struktur tanah tersebut. Keadaan ini mengukuhkan struktur tanah dan dapat
mengurangkan hakisan apabila hujan. Curahan air hujan di permukaan tanah mudah
menghakiskan tanah sekiranya ikatan antara butir-butir tanah tersebut longgar. Tanah yang
terhakis akan diangkut oleh aliran air hujan ke dalam sungai. Keadaan yang berterusan ini akan
menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan turun lagi, sungai yang cetek itu tidak dapat
menampung kandungan air tersebut. Ini akan menyebabkan banjir berlaku dan mengakibatkan
kerosakan harta benda yang teruk.
Ciri-cirinya: tanda soalan [?] dan diikuti dengan jawapan.

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 22

7.

Teknik Kenyataan Luar Dugaan


Di dalam buku Doctors terdapat pendedahan bahawa seorang doktor mempunyai peluang
sebanyak 2.1 kali lebih tinggi daripada bukan doktor untuk dimasukkan ke dalam wad sakit
jiwa; 2.6 kali lebih tinggi untuk menjadi pemabuk (atau lebih tinggi kerana para doktor enggan
dirawat); 5.3 kali lebih tinggi untuk menghadapi masalah dadah. Kadar bunuh diri adalah tiga
kali lebih tinggi daripada orang awam, enam kali lebih tinggi daripada guru dan 10 kali lebih
tinggi daripada pegawai awam. Seorang daripada setiap 50 orang doktor didapati mengambil
nyawanya sendiri. Kenyataan-kenyataan inilah agaknya yang menjadi bukti bahawa bidang
perubatan dianggap kerjaya yang menekan perasaan.
Ciri-cirinya: doktor sakit jiwa, pemabuk, dadah, bunuh diri.

8.

Teknik Kontras Masa


Bidang pertanian di negara kita telah mengalami perkembangan yang pesat akibat daripada
kemajuan teknologi. Kalau dahulu, petani menggunakan tukang empat kerat, bergantung
sepenuhnya pada cuaca dan menggunakan bantuan perkhidmatan kerbau tetapi kini ciptaanciptaan moden telah mengambil alih peranan yang dimainkan oleh unsur-unsur tradisional itu.
Kini alat-alat moden telah merevolusikan bidang pertanian dan penemuan-penemuan baru telah
mengubah corak kehidupan petani.
Ciri-cirinya: dahulu, kini [esok, lusa, semalam, kelmarin].

9.

Teknik Penglibatan Pembaca


Kita semua tahu mengenainya atau kita rasa bahawa kita tahu. AIDS! Sudah terlalu banyak
orang berkata tentang wabak Sindrom Kekurangan Daya Tahan Penyakit ini. Tetapi adakah
cukup bagi kita untuk mengetahui sahaja penyakit ini dan kesan-kesan yang dibawa
bersamanya sedangkan kita terus berpura-pura bahawa sebenarnya ia tidak wujud atau hanya
wujud pada orang lain; bukan pada diri kita juga?
Ciri-cirinya: kita...kita...kita...kita

10.

Teknik Falsafah
Apabila kita bercakap tentang masa, sebenarnya terdapat dua cara orang melihat masa;
setengah-setengah orang merungut kerana tidak mempunyai masa dan setengah-setengah
yang lain berusaha mencari jalan untuk menghabiskan masa. Hakikatnya ialah bahawa masa
diberikan dengan adil. Semua orang mendapat 60 minit setiap jam dan 24 jam setiap hari.
Yang tidak diberikan dengan adil ialah tugas dan beban kerja. Tugas-tugas yang dilakukan
menentukan sama ada masa seseorang itu pendek atau panjang.
Ciri-cirinya: masa [abstrak] diberikan dengan adil [abstrak].

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 23

11. Teknik Urutan Waktu


Di Negeri-negeri Selat, yang diperintah oleh Inggeris, Pulau Pinang adalah negeri yang pertama
menyaksikan penerbitan sebuah akhbar, iaitu apabila The Government Gazette diterbitkan
dalam tahun 1806 oleh A.B. Bone, seorang tukang lelong dan pecetak, dengan keizinan
Kompeni Hindia Timur Inggeris. Di Manila, akhbar tulen yang mula-mula terbit ialah Del Superior
Gobierno, yakni mingguan berbahasa peribumi yang pertama hanya muncul dalam tahun 1862,
iaitu apabila surat khabar dwimingguan, El Pasig, diterbitkan dalam bahasa Sepanyol dan
Tagalog. Di Betawi, selepas Vendu Nieuws ditamatkan penerbitannya dalam tahun 1809, muncul
pula pada 15 Januari 1801 surat khabar mingguan, Bataviasche Koloniale Courant, yang
diusahakan oleh Ross, seorang pendeta pada masyarakat Belanda di Betawi. Tetapi akhbar ini
pun terpaksa dihentikan apabila Tanah Jawa jatuh ke tangan Inggeris dalam bulan Ogos 1811.
Ciri-cirinya: 1809, 1862, 1809, 15 Januari 1801 dan Ogos 1811.

12. Teknik Analogi


Kealaman dengan segala kerahsiaannya dan kedirian dengan segala kerahsiaannya itu
menunjangkan suatu ikatan yang amat akrab dan sukar dipisahkan, tidak ubah seperti gula
dengan kemanisannya, garam dengan kemasinannya dan seruntun dengan kepahitannya.
Kedua-duanya bukan sahaja tidak dapat direnggangkan sampai bila-bila tetapi juga akan
bersebati menjadi benih dan yang sering kita henyak dengan kaki kita sendiri dan kaya dengan
cacing-cacing itu adalah juga elemen diri kita yang merupakan warisan kita dan asal usul kita
dan juga akhirnya kita akan kembali kepada tanah.
Ciri-cirinya: gula - kemanisan, garam - kemasinan, seruntun - kepahitan.
13. Teknik Penghuraian Proses
Sistem penyejukan enjin direka untuk menguraikan lebihan haba yang dihasilkan melalui
pembakaran minyak petrol. Semasa enjin kenderaan dihidupkan dalam keadaan sejuk, ia
mengambil masa untuk mencapai suhu operasinya. Haba akan hilang melalui aliran air di
sekeliling blok enjin dan juga melalui radiator. Termostat pada enjin berfungsi untuk
memberhentikan cecair penyejuk (air) yang mengalir melalui radiator apabila enjin di bawah
suhu operasinya. Termostat terdiri daripada sebuah blok lilin dan penjunam berspring
membentuk injap. Sebaik sahaja enjin mencapai suhu operasinya, lilin tersebut akan cair dan
tekanan air akan menolak injap dan membukannya. Ini akan membenarkan cecair penyejuk
mengalir melalui radiator. Apabila enjin dimatikan, spring akan menutup injap. Sebaik sahaja
suhu enjin dan cecair penyejuk turun, lilin penyejuk akan memejal sehinggalah enjin memerlukan
penyejukan semula.
Ciri-cirinya: proses penyejukan enjin.

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 24

14. Teknik Urutan Ruang


Tengahari ini, kota Cairo seakan membara. Matahari berpijar di tengah petala langit. Seumpama
lidah api yang menjulur dan menjilat-jilat bumi. Tanah dan pasir seakan menguapkan bau
neraka. Hembusan angin Sahara disertai debu yang bergulung-gulung menambahkan panas
udara yang semakin tinggi dari detik ke detik. Penduduknya, banyak yang berlindung dalam flat,
yang ada dalam apartmen-apartmen berbentuk kiub dengan pintu, jendela dan tirai tertutup
rapat.
Ciri-cirinya: kota Cairo, Matahari, bumi, sahara, neraka, flat.

15. Teknik Anekdot


Sering juga kesan panindera itu datang dengan mengejut; secara tidak disangka-sangka. Robert
Stevenson, pengarang novel terkenal, Dream Island pada suatu petang sedang bermain dengan
cucunya. Cucunya asyik melukis sesuatu di atas kertas, menconteng-conteng beberapa garisan
dan garisan itu entah bagaimana menjadi satu peta sebuah pulau. Kesan daripada garisan
cucunya itu memberi ilham kepada Stevenson mengarang novelnya yang agung itu.
Ciri-cirinya: cerita dalam cerita yang bertujuan menjelaskan ayat topik, iaitu kesan pancaindera
(ilham) datang secara tidak disangka-sangka.

16. Teknik Tiga Kata Bermakna


Cemerlang, gemilang dan terbilang merupakan slogan keramat yang sudah tidak asing lagi
kepada rakyat Malaysia. Di sebalik keindahan sebutannya yang sedap didengar, slogan ini
sebenarnya dicipta untuk membangkitkan semangat rakyat supaya membangun bersama
kerajaan bagi merealisasikan wawasan negara dengan mengukir kejayaan lebih cemerlang
bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga dapat membangunkan modal insan yang
berhemah, berintigriti, berdaya saing dan berilmu pengetahuan.
Ciri-cirinya: Cemerlang, gemilang dan terbilang.

17. Teknik Analisis


Tautan penghubung ayat mempunyai 9 atau 56.25 peratus ikatan untuk teks 1 dan 7 atau 43.75
peratus ikatan untuk teks 2. Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 16 dengan teks 1 mengatasi
teks 2 dengan perbezaan sebanyak 2 ikatan. Tautan penghubung ayat ini merupakan tautan
yang mempunyai jumlah tertinggi berbanding tautan penghubung ayat yang lain.
Ciri-cirinya: perbincangan berbentuk analisis tautan penghubung ayat.

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 25

Kepelbagaian Teknik Dalam Perenggan


Kita telah belajar bahawa terdapat pelbagai teknik yang boleh diaplikasi dalam sesebuah perenggan.
Tetapi tahukah anda bahawa dalam sebuah perenggan terdapat pelbagai teknik yang boleh
digandingkan untuk menghasilkan sebuah perenggan yang bermutu. Pengarang yang mahir tidak
bergantung kepada satu teknik sahaja, tetapi akan mencantumkan pelbagai teknik untuk memberi
kesan kepada pembaca. Oleh sebab itu, apabila kita membincangkan strategi pemerengganan, kita
mestilah melihat dalam konteks yang luas, misalnya:
Di Negeri-negeri Selat, yang diperintah oleh Inggeris, Pulau Pinang adalah negeri yang
pertama menyaksi penerbitan sebuah akhbar iaitu apabila The Government Gazette
diterbitkan dalam tahun 1806 oleh A.B. Bone, seorang tukang lelong dan pecetak, dengan
keizinan Kompeni Hindia Timur Inggeris. Di Manila, akhbar tulen yang mula-mula terbit
ialah Del Superior Gobierno, yakni mingguan berbahasa peribumi yang pertama hanya
muncul dalam tahun 1862, iaitu apabila surat khabar dwimingguan, El Pasig, diterbitkan
dalam bahasa Sepanyol dan Tagalog. Di Betawi, selepas Vendu Nieuws ditamatkan
penerbitannya dalam tahun 1809, muncul pula pada 15 Januari 1801 surat khabar
mingguan, Bataviasche Koloniale Courant, yang diusahakan oleh Ross, seorang pendeta
pada masyarakat Belanda di Betawi. Tetapi akhbar ini pun terpaksa dihentikan apabila
Tanah Jawa jatuh ke tangan Inggeris dalam bulan Ogos 1811.
Seperti dinyatakan terdahulu bahawa teknik yang digunakan dalam perenggan di atas adalah jenis
uratan waktu, tetapi kita juga boleh menyatakan bahawa terdapat satu lagi teknik yang digunakan oleh
pengarang, iaitu teknik urutan ruang. Antara ciri teknik ini ialah Pulau Pinang, Manila, Sepanyol, Betawi
dan Jawa. Jelas bahawa semua lokasi-lokasi ini merupakan ruang dalam skala besar, iaitu sebuah
negeri (Pulau Pinang), bandar (Manila), negara (Sepanyol), bandar (Betawi) dan pulau (Jawa).
Kesimpulannya, sesebuah perenggan boleh mengandungi lebih daripada satu teknik. Kebijaksanaan
menggandingkan pelbagai teknik dalam satu perenggan memerlukan latihan, kemahiran dan
pembacaan yang meluas tentang selok belok penulisan.

PENILAIAN KENDIRI
1.
2.
3.
4.

Apakah yang anda faham tentang strategi pemerengganan.


Bincangkan perbezaan antara perenggan permulaan, pengembang dan penutup.
Bina dua perenggan pengenalan menggunakan teknik anekdot dan teknik falsafah.
Analisis sebuah karangan dari aspek strategi pemerengganan.

S t r a t e g i P e m e r e n g g a n a n | 26

KATA KUNCI
1. Perenggan Utama
2. Perenggan Pengembang
3. Perenggan Penutup

4. Teknik Aneknot
5. Teknik Falsafah
6. Kepelbagaian Teknik Perenggan

Bahan Rujukan
Awang Sariyan. (1992). Asas Penulisan Deskriptif. Kuala Lumpur: Menara Ilmu Sdn. Bhd.
____________. ( 2006). Tertib Mengarang. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Henry Guntur Tarigan. (1986). Menulis sebagai Satu Ketrampilan Berbahasa. Bandung:
Penerbit Angkasa.
Ismail Ahmad. (1996). Penulisan Saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sulaiman Masri et al. (2007). Bahasa Melayu; Rujukan Menengah. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributors Sdn. Bhd.

You might also like