You are on page 1of 1

Sudah hampir dua tahun Tuk Mat meninggalkan aku. Dia pergi buat selama-lamanya.

Waktu itu
aku baru melangkah ke tahap dua sekolah rendah. Tuk Mat amat istimewa bagiku. Aku tidak
pernah melupakannya. Imbasan peristiwa lalu masih segar dalam ingatanku.
Namanya selalu kusebut apabila kesunyian. Aku terasa seolah-olah Tuk Mat berada di sisiku.
Begitulah kasih sayang dan rapatnya aku dengan Tuk Mat. Aku merenung gambarku bersama-sama Tuk
Mat. Alangkah manjanya aku memeluk bahu Tuk Mat. Tuk Mat kelihatan begitu ceria dengan
senyumannya. Hanya potret inilah yang tinggal untuk mengubat rinduku pada Tuk Mat.
Selama ini, pada Tuk Mat tempat aku bermanja. Tuk Matlah yang menyara aku. Segala
perbelanjaan persekolahanku ditanggungnya. Peristiwa sedih ini berlaku kira-kira tujuh tahun yang silam.
Ibu berkahwin lain setelah kematian bapa.
Ibu melahirkan Khairul Nizam. Sesungguhnya kehadiran orang baru dalam hidup ibu
menyebabkan aku jauh hati. Aku melarikan diri dan meninggalkan ibu. Mujur Tuk Mat faham. Beliau
mengajak aku tinggal bersama-sama dengannya. Selepas itu, ibu ada juga datang memujukku. Tetapi
Tuk Mat berkeras untuk terus menjagaku.
Tuk Mat benar-benar menyayangi aku. Setiap hari beliau menghantar dan mengambil aku dari
sekolah dengan motosikalnya. Sepanjang ingatanku, tidak pernah Tuk Mat melukakan hatiku. Beliau
sentiasa bersabar melayan segala kerenahku. Walaupun kadangkala aku ini kepala angin, Tuk Mat tidak
pernah memarahiku apatah lagi memukulku. Sebaliknya, Tuk Mat banyak memberikan nasihat
kepadaku. Hingga kini, kata-kata itu masih segar dalam ingatanku.
Kenangan dan kemesraanku bersama Tuk Mat amat payah untuk kulupakan. Memori ini telah
sebati dengan jiwaku. Tanpa kusedari, air mataku berlinangan di pipi. Aku benar-benar rindu akan kasih
sayang Tuk Mat. Doaku, semoga Tuk Mat damai di alamnya. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya atas
roh Tuk Mat.
1. Apakah hubungan Khairul Nizam dengan penulis?

2. Apakah yang dilakukan oleh penulis apabila terkenangkan Tuk Mat?


3. Penulis telah menceritakan tentang kehidupannya bersama-sama Tuk Mat, berapakah usia penulis sekarang?
4. Mengapakah penulis berasa sedih sehingga mengalirkan air mata?