You are on page 1of 2

Kebaikan Menyertai PLKN

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilaksanakan di negara kita
merupakan gabungan daripada latihan ketenteraan dan penanaman nilai-nilai
patriotik kepada generasi muda ke arah cinta , kasih dan sayang akan negara.
Program ini berbeza daripada kerahan tenaga yang dilaksanakan daripada
beberapa buah negara lain kerana menggunakan modul dan acuan kita sendiri
yang disesuaikan dengan keadaan sosial, budaya dan ekonomi.
Program yang dilaksanakan ini banyak mendatangkan manfaat. Melaluinya remaja
dapat menyemai nilai-nilai patriotik yang semakin luntur dalam kalangan remaja
pada hari ini. Perubahan masa dan cara hidup pada masa kini menjadikan mereka
leka sehingga tidak tahu erti kesusahan dan penderitaan hidup generasi sebelum
merdeka.
PLKN juga bertindak sebagai satu makanisme bagi pembentukan disiplin diri
remaja. Disiplin diri merupakan asas penting bagi sesuatu kejayaan. Masa lapang
selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diisi dengan kegiatan yang
berfaedah dan mendisiplinkan diri dengan jadual yang ditentukan. Program ini
juga dapat mematangkan fikiran mereka setelah menjalani latihan dan menguji
ketahanan mental dan fizikal.
Program ini yang melibatkan pelbagai kaum juga, dapat memperkukuhkan
integrasi nasional. Melalui program ini, remaja daripada berbilang kaum,
kebudayaan dan agama dapat dihimpunkan dalam satu wadah bagi menyuburkan
semangat perpaduan kaum. Hal ini kerana semasa menjalani aktiviti program
mereka tinggal bersama-sama. Jurulatih PLKN juga membantu pelatih memahami
cara negara yang merangkumi tanah air, rakyat dan kadaulatan ini ditadbir
melalui sistem pentadbiran.
Program yang dilaksanakan dalam PLKN meliputi modul-modul tertentu, iaitu
latihan fizikal, kursus bina semangat, kursus bina perwatakan dan khidmat
masyarakat. Latihan fizikal PLKN tidak membabitkan penggunaan senjata api
atau latihan ketenteraan. Para pelajar akan belajar berkawat, tempur tanpa
senjata, pertolongan cemas, merentas halangan dan kegiatan sukan. Melalui asas
ketenteraan ini, para remaja didedahkan dengan kemahiran kepimpinan dan
ikhtiar hidup.
Secara tuntas, Program Latihan Khidmat Negara yang dijalankan memang
mendatangkan kebaikan kepada remaja mahupun negara.. Justeru, semua pihak
khususya para remaja dan ibu bapa perlu menyahut seruan kerajaan dengan
menyertai program ini.